KEMAMAN: Kerajaan Negeri tetap melaksanakan agenda pembangunan terutama bagi golongan nelayan meskipun hampir 80 peratus sumber pendapatan negeri disekat oleh Kerajaan Persekutuan. Terengganu kehilangan hampir RM1 bilion wang royalti petroleum yang sepatutnya dibayar oleh pihak PETRONAS, disekat oleh Kerajaan Pusat. Namun begitu, pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri agar rakyat yang miskin akan terus dibela.
Satu majlis penyampaian Pukat dan Dailog Bersama Nelayan Kampung Kuala Kemaman diadakan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman di sini baru-baru ini.Orang ramai mengambil kesempatan berdailog bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Haji Abu Bakar Chik berhubung masalah kaum nelayan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) Kampung Habib Mohsin, Haji Abdul Rahman Mohamad meminta Kerajaan Negeri prihatin terhadap masalah penempatan kaum nelayan. Katanya, masalah penempatan bagi golongan nelayan menjadi agenda utama yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa. "Kami (nelayan) terdiri dari golongan yang miskin serta tidak berharta," ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan nelayan hidup menumpang di tanah berstatus ‘haram’. Seorang Nelayan, Encik Mat bin Abdullah, 43, dari Kampung Tengah turut merakamkan ucapan terima kasih atas pemberian bantuan pukat kepada para nelayan di Kuala Kemaman. "Saya mewakili kawan-kawan yang menerima bantuan pukat mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri," ujarnya. Katanya, dengan bantuan tersebut dapat meringankan sedikit bebanan para nelayan yang memerlukan alat menangkap ikan.
Rakannya, Encik Mamat Hassan, 53, dari Kampung Rumah Murah melahirkan rasa terharu dengan usaha Kerajaan yang tidak mengabaikan golongan nelayan. Katanya, dalam keadaan royalti disekat, Kerajaan Negeri tidak lupa tanggungjawabnya terhadap rakyat.
"Kami tetap bersama menuntut hak royalti kerana ia adalah hak rakyat," tegasnya yang tidak bersetuju dengan pembatalan royalti tersebut. Saudara Asmawi Ismail, 26, mencadangkan agar pihak kerajaan meneruskan pemberian bantuan pukat kepada kaum nelayan yang miskin. Katanya, bantuan bukan sekadar pukat sahaja bahkan beberapa peralatan menangkap ikan yang lain juga perlu diberi sumbangan.
"Kami bekerja hari ini untuk hari esok dan tidak mampu memiliki peralatan tangkapan sendiri," jelasnya. Di majlis tersebut seramai 37 orang nelayan menerima sumbangan pukat ‘kerisi’ yang pertama sempena Idul Fitri. Turut hadir di majlis berkenaan Ahli Parlimen Kemaman, Abdul Rahman Yusuf, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tengku Hassan Tengku Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh, Encik Ismail Harun dan Penyelaras Pelaburan Negeri, Haji Roslin Abdul Rahman.