Oleh MOHD. NASIR AWANG
MAHA Bijaksanalah Allah yang seringkali mentakdirkan berlakunya peristiwa-peristiwa di dalam kehidupan manusia, sarat dengan segala macam pengajaran. Kerap berlaku beberapa isu yang diperbesar-besarkan oleh pembangkang disusuli secara reciprocal (timbal-balas) oleh kejadian yang hampir sama kembali menimpa mereka pula. Sebagai contoh, kita tentu masih ingat bagaimana di awal pemerintahan PAS di Kelantan sedekad lalu, ada digembar-gemburkan isu arahan menutup aurat terhadap kakitangan wanita di negeri itu.
Media konvesional telah memfokuskan isu ini kepada soal menutup rambut wanita yang diterjemahkan seolah-olah menyekat kebebasan. Berbagai pihak ditemubual termasuk tokoh politik, budayawan, pejuang hak asasi, pejuang feminis, para artis malah ilmuan Islam. Kesemua komentar mereka dijuruskan kepada kesimpulan bahawa tindakan Kerajaan Kelantan itu adalah menyalahi hak asasi manusia. Kata mereka, "soal rambut adalah soal peribadi".
Duduk tak duduk, dalam tahun yang sama juga dunia hiburan negara digemparkan dengan larangan sebuah stesyen televisyen terhadap penampilan artis lelaki berambut panjang. Operasi besar-besaran ‘membasmi’ artis lelaki berambut panjang digerakkan sebegitu rupa sehingga ke peringkat mengancam periuk nasi artis-artis terbabit. Menteri Penerangan sendiri ‘bertukar’ kerjaya buat seketika dan menjadi tukang gunting profesional. Seluruh media bercakap soal rambut artis. Anehnya, media yang sama tidak pula membuat ulasan bahawa "soal rambut adalah soal peribadi,". Pelik bukan?
Begitu juga dalam isu wabak taun yang melanda Kelantan tahun lalu. Para pemimpin Kerajaan Pusat menerusi media utama turut bertanggungjawab memaparkan imej negatif Kerajaan Negeri. Digambarkan kononnya Kerajaan Kelantan tidak pandai memerintah dan tidak tahu menjaga kebersihan, terutama di sekitar Sungai Kelantan.
Allah Maha Berkuasa sekali lagi telah membayar secara ‘tunai’ segala tohmahan jahat mereka itu. Selang tidak berapa lama selepas wabak taun di Kelantan itu, berlaku pula wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor, negeri yang mendapat jolokan "paling kuat Umno dalam dunia". Wabak HFMD juga turut dikaitkan dengan aspek kebersihan di tempat awam, terutama yang membabitkan kanak-kanak. Apakah ini menandakan bahawa kerajaan negeri berkenaan juga tidak pandai memerintah?
Kita pernah menyebutkan soal ‘perang’ yang diisytiharkan oleh Kerajaan Terengganu terhadap tempat-tempat judi, pusat video, karaoke dan snuker tidak berapa lama dahulu. Apa yang tidak diulas oleh tokoh politik, ahli ekonomi dan media tempatan berkaitan langkah itu? Semuanya bertujuan memberikan imej negatif kepada Kerajaan Terengganu. Namun, langkah ‘perang’ yang sama turut diambil oleh Kerajaan Pusat kemudiannya. Sudah tentulah rasional yang mereka berikan itu, antara lain turut memuatkan hujah yang dipakai oleh Kerajaan Terengganu sebelumnya.
Kini, kerajaan BN secara tidak sengaja terpukul lagi. Kali ini juga ekoran manipulasi berlebihan media-media utama terhadap isu penggunaan balairaya di Kampung Sura Hujung, Dungun. "Tabika Kemas: Pintu pagar dan bangunan dikunci", lapor sebuah akhbar. Ulasan yang diberikan secara jelas menuduh wujudnya "cubaan mengusir tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daripada beberapa balairaya di Terengganu".
Pembelajaran dikatakan terjejas dan para ibu bapa masing-masing mengesali tindakan pihak terbabit mengunci balairaya berkenaan. Gambar kanak-kanak tabika berkenaan yang "terpaksa" belajar di bekas warung kopi bersebelahan balairaya, turut disiarkan. Ia disertai ulasan kononnya pihak Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) setempat lebih mengutamakan agenda politik sehingga sanggup memangsakan kanak-kanak yang dahagakan pendidikan. Sedikit pun tidak disebut tentang kedegilan pihak pengurusan tabika berkenaan menyediakan tempat alternatif setelah dinotis keluar oleh pihak JSR beberapa ketika sebelum sesi persekolahan bermula lagi.
Allah Ta’ala mentakdirkan kejadian yang hampir sama berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Damansara dekat ibu kota. Sekolah yang memuatkan hampir 1,500 murid itu telah dipindahkan operasinya ke SJKC Puay Chai II, di Bandar Utama tidak jauh dari tempat asalnya. Bagaimanapun, di atas beberapa sebab tersendiri sebilangan muridnya dilaporkan enggan berpindah ke sekolah baru itu.
Isu itu berlarutan lebih seminggu, sehinggalah pada 12 Januari lalu, pihak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan mengunci SJKC Damansara dan meletakkan seorang anggota polis di situ untuk mengadakan kawalan 24 jam. Apakah itu bermakna BN juga memperakui bahawa tindakan mengunci sekolah bukanlah suatu yang luar biasa? Malangnya media telah berlaku tidak adil. Kalau dalam kes Tabika Sura Hujung, kanak-kanak digambarkan bernasib malang ekoran permusuhan politik, dalam kes SJKC Damansara pula dikatakan "ekoran kedegilan segelintir ibu-bapa yang enggan memindahkan anak-anak....".
Kes di Sura itu telah pun selesai, dan kita harap kes di Damansara juga bakal diselesaikan dengan baik. Namun, apa yang cuba kita utarakan ialah kedua-dua kes berkenaan sebenarnya banyak persamaan. Paling kurang ia sekali lagi mengajar kerajaan BN supaya lebih berhati-hati sebelum melemparkan sebarang serangan terhadap pihak lain. Kerana, kerap berlaku pembangkang tidak ubah seperti "mengata dulang paku serpih"!