Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Aqidah dasari perpaduan sejati

PADA prinsipnya perpaduan adalah suatu yang dituntut kerana perpaduan itu pada asasnya berpunca dari rahsia kekuatan. Negara dan rantau yang gagah dan berdaulat selalunya wujud kerana perpaduan dan kesatuan penduduknya. Tetapi perpaduan itu pula mesti mempunyai asas dan tonggaknya. Kita kena memilih seruan perpaduan macam mana yang wajar disokong dan yang mana pula yang mesti dijauhi. Dalam kontek orang Melayu beragama Islam, asas perpaduannya ialah kesatuan dalam aqidah. Sebarang muafakat dan rancangan mesti berpaksikan aqidah dan kekuatan muafakat itu pula sejauh mana ia dapat berpegang kepada aqidah.

Kita pernah mendengar keperkasaan kaum Qibti dan Babilon di zaman purba, betapa ia berjaya muncul dan menonjol sebagai tamaddun besar, tetapi kerana kaum itu tidak terikat kepada aqidah yang dibawa oleh rasul-rasul mengikut syariat dan ajaran yang sambung menyambung, maka kini tamaddun itu tinggal kenangan dan sejarah saja. Ke mana perginya Qibti dan Babilon tadi?

Rom dan Parsi juga bangun sebagai tamaddun yang agung tetapi masing-masing tidak dapat mempertahankan kehebatannya kerana ia tidak tegak atas kekuatan aqidah. Rom kini kekal sebagai sebuah kota, bukan lagi sebuah empayar. Parsi pula tidak lagi dikenali sebagai Parsi kecuali bahasanya saja tetapi bangsa itu bertukar menjadi Iran. Iran sendiri tidak terkenal sebagai bangsa disegani hinggalah ia di bawah pimpinan Khomeini. Ia bangun dengan kemerdekaan aqidah. Kini Iran dikenali dan disegani kawan dan lawan.

Palestin terus dikenali sebagai bangsa Arab yang kental. Ia berjaya mewarisi bumi yang banyak melahirkan para nabi, tetapi kerana ia meninggalkan kehidupan beraqidah, maka kemerdekaannya dirampas musuh. Ia bersatu untuk menebus kemerdekaan. Ia hanya berjaya bebas dari taklukan salibiyyah setelah bersatu di bawah perjuangan aqidah yang dipimpin oleh Sultan Salahuddin al Ayubi. Kini ia ditakluki oleh zionis Yahudi. Ia belum bebas, Insya Allah, jika intifadhah yang muncul itu tegak dengan asas aqidah, maka kesatuan dan perpaduan umat Palestin akan memberi bekas.

Politik di Malaysia kini mengambil slogan perpaduan bangsa Melayu. Soal perpaduan di kalangan orang Melayu tidak berbangkit. Mereka tidak berpecah. Cuma mereka tidak dalam satu kesatuan. Tidak mustahil kesatuan boleh diwujudkan, tetapi jika ia tidak ditegakkan atas asas aqidah, maka ia tidak akan kekal dan tidak akan berkat. Kesatuan orang Melayu hanya bermakna jika berasaskan aqidah Islamiyyah. Muafakat itu mesti mengambil kira perpaduan yang lebih pokok iaitu perpaduan nasional yang di dalamnya meraikan kepentingan kesatuan semua kaum.

Muafakat yang tidak mengajak supaya taat kepada Allah tidak boleh diterima, tetapi muafakat itu mestilah untuk membesarkan Allah.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 26 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com