Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Arak bahayakan anak negeri

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

DALAM usaha Kerajaan Negeri menguatkuasakan peraturan melarang penjualan arak di tempat-tempat yang terlarang, berbangkit kekeliruan apakah minuman yang mengandungi arak sekalipun peratusnya kecil ikut terlarang? Persoalan ini timbul apabila kedai-kedai makan di Kemaman yang biasa menjual minuman yang sedemikian dikehendaki mematuhi peraturan baru itu.

Pada dasarnya semua pihak tidak membantah peraturan sekarang. Arak hanya boleh didapati di tempat-tempat yang ditentukan saja. Tetapi bagaimana minuman yang peratus araknya kecil dan dikatakan tidak memabukkan? Adakah ia termasuk dalam kategori yang sama? Soal teknikal ini sekalipun remeh, tetapi bagi mahkamah ia penting. Hakim banyak membebaskan orang dituduh atas sebab-sebab teknikal. Membangkitkan soal teknikal tidak salah, kerana dari teknikal inilah pula memungkinkan persoalan selanjutnya diketahui.

Maksiat

Adalah benar bahawa minuman yang zat alkoholnya sekadar sedikit tidak memabukkan. Tetapi siapa yang dapat menghadkan bahawa ia terhenti setakat sedikit itu saja. Biasanya maksiat seperti arak, judi dan lain-lain tidak pernah mengenal jemu dan had. Peminum arak tidak pernah merasa cukup dengan sesudu dan secawan. Kaki judi tidak pernah puas dengan untung seringgit atau dua ringgit. Penjudi yang kalah RM10 tidak akan terhenti dengan kalah RM10 saja. Ia akan cuba menebus kekalahan RM10 itu selagi ada wang disaku.

Dan kalau kekalahan RM10 itu dapat ditebus, ia juga tidak terhenti sekadar menebus kerugian, tetapi ia mahu mencuba keuntungan. Akhirnya dia kekal di meja judi saja. Jika arak yang diminum hanya sebahagian kecil dari kandungan minuman, tetapi kelazatan yang sedikit itu meransang mengejar lebih kelazatan. Siapa tahu bila hendak berhenti? Larangan atas arak bukan sekadar memabukkan, tetapi ia adalah perkara yang tidak bersih. Mudharat dari arak itu lebih banyak daripada faedahnya.

Pengaruh arak itu biasanya menguasai nafsu manusia dan ia juga mempengaruhi iman seseorang. Zat arak yang masuk ke rengkung akan bergaul dalam darah dan ia sebati di situ. Justeru itu akal budi akan dikuasai dan dipengaruhi oleh arak. Di luar sebab-sebab agama, pasukan keselamatan terutama bahagian lalu lintas sangat prihatin dengan pengaruh arak ini. Mereka sendiri mungkin tahi arak, tetapi mereka bersetuju bahawa pengaruh arak banyak menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Justeru, polis tidak bertolak ansur dengan pemandu yang darahnya mengandungi zat arak yang tinggi. Baru-baru ini mahkamah tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman kepada bintang badminton negara yang didapati memandu ketika mabuk. Ia tidak termasuk kecederaan rumah tangga disebabkan oleh pengaruh arak. Kemalangan jalan raya bukanlah besar dibanding dengan kerosakan akhlak masyarakat yang dikuasai oleh pengaruh arak.

Bintang badminton

Persoalan arak yang dilarang itu bukan kerana banyak dan sedikitnya, tetapi arak itu sendiri barang yang tidak bersih. Jika arak boleh diibaratkan seperti najis, tidak kira ia najis manusia atau najis haiwan, jika ia jatuh dalam setempayan air dan kerana zat yang terlalu sedikit itu tidak banyak mengubah sifat air tadi, adakah sesiapa tergamak menggunakan air itu untuk makan dan minum? Setakat ini air seperti ini lebih senang digunakan untuk menyiram bunga saja.

Kerajaan membenarkan penjualan arak di tempat-tempat tertentu bagi meraikan rakyat bukan Islam yang agamanya tidak melarang minum arak. Tetapi penjualan itu hendaklah dipastikan dijauhi oleh orang Islam. Kelonggaran yang diberikan itu adalah selari dengan peruntukan dalam Islam. Itulah sebabnya lesen dikeluarkan tetapi agak terhad. Kelonggaran itu bukan pula satu kemudahan bagi orang-orang Islam untuk memuaskan gian mereka. Atas alasan ini, apa jua jenis arak tidak boleh dijual di restoran terbuka sekalipun restoran itu milik orang bukan Islam.

Tamaddun

Tamaddun kita tidak melarang orang Islam makan di restoran-rostoran kepunyaan orang bukan Islam. Restoran adalan keperluan dan ia terbuka kepada semua orang. Restoran bukan Islam pun agak peka dengan pantang larang dan budaya makanan orang Islam. Boleh dikatakan majoriti restoran kepunyaan bukan Islam menghidangkan makanan halal. Orang bukan Islam mengambil langkah itu bukan sekadar meraikan orang Islam tetapi boleh dikira sebagai perkhidmatan untuk semua kaum dan ia boleh mendekatkan antara satu kaum dengan yang lain.

Dalam masyarakat majmuk, rakyat berbilang kaum tidak sekadar bergaul di dewan-dewan tertentu, tetapi bercampur di sebanyak tempat restoren adalah satu daripadanya. Tetapi dalam kawalan menjauhkan orang Islam dari mendekati arak, maka arak hanya menasabah dijual di tempat tertentu yang agak janggal didatangi oleh orang Islam. Petugas khas atau polis tentu tidak manis menegur orang Islam singgah di mana-mana restoran untuk mendapatkan makanan dan minuman keperluannya. Tetapi jika tempat menjual arak dikira larangan bagi orang Islam tanpa meletakkan polis berkawal di tempat itu, kaki botol di kalangan orang Islam akan mengelak ke situ kerana tidak mahu dia dan keluarga terfitnah apabila mereka mendekati tempat itu.

Tetapi kaki botol tadi tidak mudah dituduh mendekati arak jika mereka singgah di restoran yang menjual arak. Boleh jadi mereka membeli minuman halal. Suasana ini akan diambil kesempatan untuk kaki botol di kalangan orang Islam untuk mendapatkan bekalan di tempat seperti itu. Mungkin ia dikira satu sekatan bagi orang bukan Islam untuk menjual apa yang mereka patut jual dan yang tidak bercanggah dengan budaya dan adat resam mereka. Tetapi dalam masyarakat majmuk, ia juga satu ujian atau cabaran bagi sesuatu kaum untuk menghormati kaum lain dan kepercayaan agama lain. Sekatan yang ada itu bukan suatu deraan tetapi ia adalah satu tanggungjawab.

Perdagangan candu

Sejarah British masuk ke Negeri China untuk membuka perdagangan candu adalah satu sejarah hitam yang bertujuan menghancur tamaddun kemanusiaan bangsa itu. British melayan orang Cina dengan memberi semudah-mudah dan semurah-murah candu. Ini kerana ia boleh didapati di mana-mana maka yang tidak kenal candu pun menjadi pemadat. Perdagangan candu tadi dibenci dan dikutuk oleh seluruh dunia khususnya masyarakat keturunan Cina di mana-mana juga.

Kutukan itu dibuat oleh orang Cina kerana candu merosakkan baka, akhlak, budaya dan kemanusiaan bangsa itu. Ia tidak dirasakan apa-apa oleh orang Inggeris yang hanya mencari untung dan tidak memikirkan nasib orang-orang Cina.

Dilaknat Allah

Ia boleh disamakan dengan perniagaan arak untuk orang-orang Islam. Bagi Islam arak termasuk dalam dosa besar. Manusia yang berurus niaga dengan arak dilaknati Allah. Makhluk yang dilaknat Allah adalah sehina-hina makhluk. Larangan itu ditujukan untuk orang Islam, dan restoran bukan Islam tidaklah wajar menjadi pengkalan untuk menjerumuskan orang Islam ke lembah yang hina. Dalam hal ini tanggungjawab memelihara maruah seorang rakyat adalah tanggungjawab sekalian penduduk tanpa mengira kaum dan agama.

.................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 26 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com