Wawancara dengan Mufti Negeri Terengganu ASY SYEIKH ABDUL HALIM ABDUL KADIR
WARTA : Adakah melaksanakan hudud menguntungkan atau menyebabkan perpecahan dan mewujudkan ketidakstabilan politik?
MUFTI: Pertamanya kita diwajibkan melaksanakan hukum Islam setakat mana kita diwajibkan melaksanakan hukum itu. Orang yang ada kuasa wajib melaksanakan apa yang dia diwajibkan melaksanakannya. Sembahyang, zakat, amal ma’aruf nahi mungkar mesti berjalan. Soalnya apabila ditubuhkan negara Islam, pertama sekali kita kena memahami apa yang dikatakan negara Islam itu. Boleh atau tidak boleh? Berjaya atau tidak, bukan kerja kita. Kita ditugaskan menubuhkannya.Tugas kita ialah sebagai hamba Allah bertanggungjawab melaksanakan perintahnya. Selagi kita menjadi hamba, kerja kita ikut arahan tuan. Itu konsepnya.
WARTA : Mengapa kita kena buat sedangkan negara Islam lain tidak mahu buat?
MUFTI: Kita sebagai hamba. Siapa yang buat betul kita ikut, dan sebaliknya. Kalau kira orang lain, bila orang lain tak sembahyang, mengapa kita sebuk sembahyang sedang ramai yang tak sembahyang? Malah ramai tak keluar zakat, tak puasa, tak tunai haji. Kita tetap sembahayang walaupun orang lain tak sembahayang. Dalam bab haji mengapa tak timbul pasal apa hukum tak kerjakan haji? Mengapa kita ikut saja?
WARTA : Kalau hendak melaksanakan hudud memang tidak boleh laksana kerana yang pertama mahukan empat orang saksi.
MUFTI: Jangan tunjuk lemah sangat. Dalam Islam semua boleh diselesaikan. Bagi yang mengaku sudah ada anak tak payah lagi kena tengok macam celak masuk dalam lubang celak. Di zaman Rasulullah telah berlaku. Demikian juga zaman sahabat. Mereka mengaku, ‘saya berzina.’ Ini hal dalam perut. Rasulullah kata biar, tunggu dulu. Dia sudah mengaku, tidak perlu sibuk celak tak celak. Mengapa buat andaian kalau tak boleh buat? Yang tak boleh buat ialah kerana kita tidak berusaha. Arahan Islam ialah buat setakat mana yang mampu. Jika tak mampu Tuhan tak marah. Yang tidak betul ialah kita tak mahu usaha membuatnya. Persoalannya sekarang ini kita hendak atau tidak?
Kemudian timbul soal teknikal. Nampak macam sesuatu yang payah, tentulah jadi payah. Kita buat andian hendak membuat orang mengaku dan memang ada bukti nyata ada orang perempuan mengandung. Hendak atau tidak dia kena mengaku yang dia betul berzina. Maka tidak timbul masalah tengok (mengendap) kerana dia sudah mengaku.
WARTA : Jika ada saksi yang mengendap itu fasiq?
MUFTI: Andaian itu terlalu jauh. Itu ertinya andaian orang takut dan andaian orang tak mahu melaksanakan Islam. Itu sahaja. Sekarang bukti boleh didapati melalui memasang kamera, tidak perlu mengendap. Sekarang ini ada DNA yang disebut kaedah secara sainstifik. Semua diakui diterimapakai. Kalau kerana tidak payah pasang lensa jarak jauh. Pasang saja di rumah pelacuran umpamanya. Tetapi Islam tidak disuruh sampai begitu. Makna dalam Islam tidak disuruh megendap kecuali benda itu disyaki. Soal mengendap yang ditimbulkan adalah soal orang tidak mahu melaksanakan Islam. Dia mencari pelbagai alasan. Perbincangan ini lebih kepada teknikal. Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Ini termasuk dalam seribu dalih.
WARTA : Adakah benar kita kena tunggu seratus peratus orang Islam baru boleh laksanakan Islam?
MUFTI: Tidak semestinya. Undang-undang mana mahu semua orang terdiri dari satu jenis baru boleh dilaksanakan? Kita ada undang-undang untuk orang Islam dan ada untuk orang bukan Islam. Dalam masyarakat majmuk orang Islam yang kena dan orang bukan Islam ada yang tak kena.
Bagi kerajaan Islam ada batas-batas lain. Kalau minum arak, orang bukan Islam dibolehkan minum tetapi jangan mengganggu ketenteraman awam. Jangan mabuk depan orang ramai. Dia boleh minum di rumahnya. Kalau dia minum di kelab di depan orang ramai dia boleh dikira mengganggu ketenteraman orang ramai. Jika dia minum dia memandu kereta dia boleh kena tahan kerana dia boleh menyusahkan orang lain. Dia ditahan bukan dari segi haram arak, tetapi dari segi kesannya.
Kalau kita bincang, agama mana yang membenarkan minum arak? Tak ada. Tentang yang disebut apa rasionalnya kes tangkap khalwat; orang Islam kena denda manakala yang bukan Islam tidak kena denda? Bagaimana kalau sebuah negara Islam boleh mengenakan denda atas asas adat? Buat satu peraturan bahawa sesiapa telah menyalahi adatnya sendiri dan agamanya. Macam mana? Kristian pun tak boleh juga (berkelakuan tidak senonoh). Cuma kerajaan Islam menguatkuasakan peraturannya, dan tidak siapa boleh marah peraturan melarang orang mencuri. Bolehkah orang Hindu boleh mencuri? Satu forum menyebut bahawa ajaran asal Hindu mencuri salah, tetapi harta yang diambil dari hasil mencuri halal. Jika benar, ini bermakna boleh mencuri. Alasannya mencuri pun berusaha juga. Tetapi mencuri panjat pagar orang dan risikonya tinggi.
WARTA : Ada pandangan ingin mentafsirkan semula al-Quran.
MUFTI: Apa maksud mentafsir semula al-Quran? Kita hendak pegang apa maksudnya dulu. Kalau tafsir semula itu lain daripada kaedah bahasa Arab dan daripada kemampuan ilmu, memang tidak boleh. Sebab makna al-Quran itu sudah tidak ada. Jika tafsir semula dengan makna kesesuaian dari sudut mafhum, adalah tidak salah. Sebagai contoh hadith menyebut mengenai malaikat duduk dalam majlis ilmu. Macam mana kita tafsirkan ayat itu dalam bentuk sekarang ini?
Mudah sahaja. Seperti dalam bilik kita ini ada semua benda dan semua alat sudah ada. Ertinya benda itu sudah ada. Kalau menghurai dalam bentuk moden ini, kita ambil alat walaupun kecil tapi semuanya kita nampak tanpa wayar dan tanpa apa-apa. Kalau itu bentuk tafsir semula tidak ada masalah; menyesuaikan makna al-Quran dengan sains dengan perkembangan baru. Cuma Yang dibimbangkan ialah tafsir ini mengubah maksud al-Quran. Itu yang tak boleh sebab al-Quran turun dalam bahasa Arab. Makna dan maksudnya dirujuk kepada Allah. Mentafsir al-Quran selain daripada itu ialah dengan hadith. Tafsir Quran dengan tidak memakai hadith tak boleh dan salah dari segi Islam. Ia boleh mengubah makna al-Quran. Kalau ditafsir makna kerana hendak mengubah mafhum ayat sebagaimana yang difahami oleh orang Arab, Rasulullah dan sahabat, adalah salah.
Tafsir makna isra’ dan mikraj dengan situasi sekarang ini tidak ada masalah lagi kerana orang boleh pagi minum di Makkah, tengah hari makan di Baitul Maqdis, petang balik sembahyang Maghirab di Makkah. Sekarang tidak menjadi masalah. Metafsir ayat isra’ mikraj ini dari sudut sains tak ada masalah. Sekarang sudak tidak mustahil, telefon kita sudah guna kamera Televisyen.
WARTA : Ada yang mengatakan boleh mentafsir menggunakan imaginasi?
MUFTI: Itu imaginasi dia saja. Kita mesti lihat dulu. Jika bercanggah tak boleh. Imaginasi tidak ada hukum. Tidak dibolehkan mengikut imaginasi. Sama juga orang yang hendak lagukan al-Quran. Jika hendak lagukan al-Quran mengikut muzik, sepakat ulama’ tidak membenarkan.
...............................................
Warta Darul Iman