BANGI, SELANGOR: Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud menitahkan supaya Mahasiswa Terengganu mahir dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) bagi menjangkau kemajuan alaf baru. Baginda bertitah, IT merupakan bidang baru yang perlu diterokai dan dimanfaatkan oleh golongan terpelajar untuk kemajuan dan kebaikan masyarakat Terengganu. Baginda bertitah demikian di Majlis Santapan Malam Konvensyen Mahasiswa Anak Terengganu, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini baru-baru ini.Sultan Mizan mengurniakan anugerah kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum kepada beberapa orang mahasiswa di majlis berkenaan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Haji Mustafa Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Haji Harun Taib. Konvensyen itu bertujuan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan antara pemerintah dan golongan mahasiswa khususnya dari Negeri Terengganu melalui interaksi dua hala secara langsung.
Ia juga dapat memupuk semangat kerjasama dan bersatu padu bagi memajukan Terengganu melalui sumbangan tenaga dan idea-idea golongan terpelajar kepada pihak pemerintah. Hal itu bertepatan dan berteraskan objektif untuk memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik, ko-kurikulum dan memberi kesedaran kepada mahasiswa untuk terus berusaha dalam pelajaran di samping tidak mengabaikan kegiatan ko-kurikulum.
Antara program menarik yang berlangsung dalam majlis itu ialah Seminar Pendidikan Persatuan Mahsiswa Terengganu (PERMATA) bertajuk Kecemerlangan Pelajar Cina dan Kemunduran Pelajar Melayu : Suatu Analisis dan Kaedah penyelesaiannya. Selain itu, program berkenaan merupakan satu wadah bagi PERMATA untuk mengumpulkan kembali seluruh mahasiswa khususnya anak jati Terengganu di UKM bagi merapatkan lagi ikatan kekeluargaan di kalangan mereka.