Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Royalti isu Kerajaan bukan parti

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Senara Muda, Haji Mazlan Hashim secara terbuka menegaskan isu royalti petroleum Terengganu merupakan isu Kerajaan, bukan isu kepartian. Oleh itu katanya, menjadi satu kewajipan kepada setiap pegawai kerajaan mempertahankan hak Kerajaan Negeri tanpa mengira fahaman politik. "Royalti petroleum hak Kerajaan Terengganu dan saya sebagai pegawai kerajaan bersikap ‘neutral’ mempertahankan hak itu, dan jika isu royalti merupakan isu parti PAS, saya tidak akan bersama dengannya," katanya dalam satu majlis di sini baru-baru ini.

Menurut Haji Mazlan, royalti petroleum diberhentikan pembayaran sejak tahun 2000 setelah Kerajaan Negeri diperintah oleh PAS selepas pilihan raya umum lalu. Justeru katanya, Kerajaan merangka beberapa langkah bagi meningkatkan sumber pendapatan negeri yang berkurangan akibat tindakan pihak Persekutuan memberhentikan pembayaran royalti tersebut. Antara lain rakyat Terengganu yang berada di luar negeri ini diminta pulang membayar zakat masing-masing kepada Kerajaan Negeri. "Mereka yang mempunyai perniagaan di luar Terengganu boleh pulang membayar zakat kepada kita (kerajaan) di sini," ujarnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Tabung Darul Iman (TDI) yang dilancarkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada bulan November tahun lalu. "Semua pihak boleh menyumbang ke dalam TDI yang berperanan dalam soal kebajikan rakyat negeri ini," jelasnya. Beliau berharap agar semua pihak memahami situasi yang berlaku. "Semua tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri adalah tidak wajar serta mendukacitakan," ujarnya.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 21 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com