Oleh Tajul Arifin Abdul Kadir
Rakyat Terengganu adalah antara yang mengambil peluang untuk memilih kerajaan melalui pilihanraya. Itulah kebebasan mereka dan telah digunakan sepenuhnya dalam pilihanraya lalu samada kita suka atau tidak. Seperti yang berlaku di Kelantan, rakyat Terengganu juga telah menerima nasib yang sama akibat tindakan mereka itu. Mereka dituduh dengan bermacam-macam tuduhan oleh golongan yang tidak dapat menerima atau cuba menafikan ketentuan yang dibuat oleh Allah seperti tidak mengenang budi dan tidak tahu berterima kasih.
Perubahan
Sebelum ini, rakyat Terengganu telah memberi mereka kuasa lebih dari 40 tahun, tapi apa yang rakyat perolehi? Yang miskin terus miskin, manakala mereka yang diberi kuasa oleh rakyat terus memunggah serta mengumpul harta. Rumah semakin besar, kereta mewah sering bertukar ganti. Akhirnya rakyat sudah hilang sabar dan hilang keyakinan maka perubahan pun berlaku dengan bantuan dan hidayah Ilahi.
Selain dari itu, rakyat sudah mula terpikat untuk bersama-sama golongan yang benar-benar ingin menegakkan Islam. Rakyat tidak lagi mahu bersubahat dan menanggung dosa dengan segala bentuk dan tempat maksiat yang dibenarkan dan dilesenkan oleh kerajaan lalu seolah-olah mencabar arahan Allah.
Khianat
Rakyat sudah tidak mahu kezaliman, penindasan, penyelewengan, rasuah serta penipuan terus dilakukan tanpa boleh disekat. Rakyat tidak lagi peduli dengan pembangunan sedangkan dalam masa yang sama anak-anak muda tidak tahu halal haram, leka khayal dengan hidup yang penuh kepalsuan yang sengaja direka cipta oleh kerajaan lalu. Jadi apakah dengan perubahan rakyat ini dianggap tidak mengenang budi atau tidak tahu berterima kasih? Sepatutnya yang menuduh itu yang mesti berterima kasih dan mengenang budi rakyat kerana telah memilih mereka dulu sehinggakan mampu hidup mewah dengan cara mengkhianati kuasa dan mandat yang telah diberikan. Rakyat memilih mereka dulu bukan untuk selama-lamanya, bukannya mutlak atau kekal.
Rakyat adalah hakim dan berhak memilih siapa saja yang diingini oleh mereka. Apakah Nabi Musa juga boleh dianggap tidak mengenang budi dan tidak berterima kasih kerana menentang Firaun yang telah membela dan mendidik baginda sejak dari kecil? Ingatlah, pemimpin yang berkhidmat dengan ikhlas tidak akan mengungkit-ungkit akan segala apa yang telah dibuat untuk rakyat dan negeri, kerana itu adalah tanggungjawab kepada sesiapa saja yang diamanahkan untuk mentadbir negeri ini. Jangan anggap negeri dan khazanah yang ada adalah milik turun-temurun.
Oleh itu rakyat Terengganu perlu istiqomah untuk terus bersama-sama kepimpinan yang ada. Menukar kembali kepada kerajaan yang lama bererti segala maksiat dan kemungkaran bakal membiak semula di bumi Terengganu ini. Segala cukai akan dibeban semula ke atas rakyat yang mana telah dimansuhkan selama ini.
Manfaat
Apa gunanya masjid yang dibina sekadar cantik dan indah sekiranya hanya dijadikan tempat solat, mengaji bab puasa, zakat, haji haid dan nifas. Ilmu Islam mencakupi semua bidang. Itulah yang perlu dikembangkan di masjid atau di surau. Namun begitu ianya perlu bantuan dari Ilahi juga, jika tidak ilmu yang dituntut tidak akan memberi kesan apa-apa. Ilmu yang tidak mendapat barakah tidak akan memberi manfaat, bahkan bagi hati dan akhlak yang telah rosak jika tinggi mana ilmunya tidak akan mampu menghalalkan atau meredhakan apa-apa sumbangan yang diberikan kepada masjid untuk digunakan oleh orang lain yang tidak sealiran walaupun untuk tujuan ibadah.
Orang jahil, semua akan binasa kecuali adanya ilmu. Orang berilmu juga akan binasa jika tidak beramal. Orang yang beramal turut binasa kecuali ikhlas. Akhirnya ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa umatnya akan dikumpulkan di akhirat kelak bersama-sama dengan orang-orang yang dia ikuti semasa di dunia ini. Jika di dunia mereka bersama golongan yang ingin memperjuang dan menegakkan Islam, maka mereka akan bersama Nabi kelak, sebaliknya jika bersama orang yang zalim, penipu, hina Islam, benci ulama’ maka akan dikumpulkan bersama juga dan tidak akan diakui umat oleh Rasulullah s.a.w. walaupun di dunia mereka solat dan melakukan ibadah lain.
Keadilan
Oleh itu rakyat Terengganu wajib mengekalkan kerajaan yang ada, mudah-mudahan Allah limpahkan barakah, inayah dan rahmat-Nya berterusan. Penutupan tempat maksiat adalah antara usaha mengundang rahmat dan inayah dari Allah. Oleh itu bersamalah kita untuk kembali ke jalan Allah. Hancurkan kezaliman, tegakkan kebenaran dan keadilan.
..................................................
Warta Darul Iman