Oleh SUBKY ABDUL LATIF
Untuk Tahun 2001, Kerajaan Negeri masih membenarkan Tadika KEMAS beroperasi di balai raya di seluruh negeri Terengganu dengan syarat KEMAS hanya menjalankan kelas pra sekolah untuk penduduk tempatan.
Tiada kegiatan politik khususnya yang ditujukan untuk melemahkan Kerajaan Negeri dibenarkan di bangunan yang diletakkan di bawah Kerajaan Negeri itu. Dan kebenaran untuk Tadika KEMAS itu tertakluk kepada permohonan dari KEMAS dari setahun ke setahun.
Setakat ini kebenaran atau permit dikeluarkan lagi sesuai dengan janji pimpinan Kerajaan Negeri tidak mahu menghalang kegiatan untuk memberi pengetahuan dan pelajaran kepada rakyat dan anak-anak rakyat. Tetapi permit tentu tidak dikeluarkan secara outomatik kepada pihak yang tidak memohon secara rasmi seperti yang terjadi di sebuah Kampung Sura Hujung di Dungun apabila sesi persekolahan di buka awal tahun ini.
Balai Raya Sura Hujung itu dikunci kerana KEMAS tidak mengemukakan permohonan dan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) pula mengemukakan permohonan umum bagi mengadakan kelas fardu ain. Setakat rencana ini ditulis Kemas memilih menggunakan bangunan lain dan untuk sementara exco memutuskan dasar penggunaan balai raya, ia digunakan dulu untuk kelas fardu ain.
Kekeliruan
Mungkin pada peringkat awal apabila berlaku perubahan kuasa terdapat kekeliruan bagi KEMAS untuk menggunakan terus balai raya dan peraturan-peraturan siapa dan bagaimana balai raya patut digunakan. Ia adalah disebabkan sebelumnya hampir tiada peraturan dan tiada pihak lain boleh menggunakannya kecuali untuk kegiatan politik UMNO tempatan. Balai raya wujud sejak sebelum merdeka untuk kegunaan masyarakat mengadakan perjumpaan dan perkumpulan sama ada bermesyuarat atau apa-apa majlis keramaian. Malah tidak salah jika majlis perkahwinan diadakan sebagai alternatif bangsal atau khemah yang lazim digunakan di kampung-kampung.
Semua pihak berhak menggunakannya mengikut peraturan pentadbirannya. Tetapi setelah monopoli politik satu parti berkembang selepas merdeka, balai raya hanya menjadi monopoli satu pihak itu saja iaitu untuk kegunaan cawangan parti yang berkuasa. Apabila KEMAS ditubuhkan, di luar musim pilihanraya, ia digunakan untuk kegiatan KEMAS. Paling akhir kegiatan tetapnya ialah Tadika atau Taman Didikan Kanak-kanak. Dalam apa keadaan pun kelas itu tetap satu kegiatan politik.
Dalam musim pilihanraya ia menjadi markaz atau pos pilihanraya parti yang memerintah walaupun parti itu ada bangunan sendiri. Justeru itu ia tidak lagi mudah digunakan untuk lain-lain kegiatan masyarakat melainkan yang dibenarkan oleh parti kerajaan. Pihak yang tidak bersama parti yang berkuasa, jangankan untuk menggunakannya bagi kegiatan kemasyarakatan biasa, berteduh dari panas dan hujan pun dikira janggal, asing malah tidak dikehendaki. Atas amalan tanpa peraturan itu ia seolah-olah hak milik cawangan parti itu walaupun yang berkuasa atas bangunan kerajaan di daerah-daerah ialah Pegawai Daerah.
Jalan keluar
Lain-lain pihak terpaksa mencari jalan keluar untuk sebarang kegiatan masyarakat. Mereka membawa mesyuarat ke rumah-rumah, mengadakan perjumpaan dari rumah ke rumah, dan untuk perkahwinan masih di halaman rumah masing-masing sesuai dengan pegangan tradisi rakyat yang tidak pernah berubah. Perkembangan ini menjadikan rakyat yang tidak bersama parti yang memerintah sebagai kumpulan yang berdikari, manakala yang menyokong parti yang memerintah atau yang suka dipanggil penyokong kerajaan terus menjadi kumpulan rakyat yang bergantung kepada kerajaan seperti anak burung yang mesti disuap ibu setiap masa.
Dalam perkembangan ini, apabila penyokong-penyokong kumpulan yang selama ini dipanggil pembangkang mengadakan kelas pra sekolah baik ia dinamakan PASTI, TASKI atau apa nama jua, maka mereka menggunakan bangunan sendiri sama ada disewa atau milik sendiri. Kadang-kadang kelas itu mengenakan yuran yang jauh lebih tinggi dari anjuran KEMAS, tetapi ia tetap disokong rakyat.
Sekarang Terengganu dan Kelantan ditadbir oleh parti lain, tetapi penyokong kedua-dua kerajaan itu tetap menggunakan bangunan mereka dulu. Jika ia disewa sebelum berkuasa, dalam masa berkuasa pun mereka terus menyewa. Jika dulu ia bangunan pisang sesikat, ia tetap di situ. Jika ada perubahan ekonomi, maka mereka tetap beroperasi di luar balai raya.
Berdikari
Mungkin ia dilihat oleh penyokong sebagai satu kelemahan pihak yang berkuasa negeri kerana tidak memberikan pilih kasih kepada penyokong. Tetapi hikmahnya mereka digalakkan terus berdikari. Mutu dan prestasi PASTI akan luntur jika ia berhajat untuk bertenggek dibangunan kerajaan. Di mana-mana pun yang bersikap dedalu, bertenggek atas tenaga orang lain akan menjadi pihak yang lesu dan mundur. Tadika KEMAS mendapat kemanjaan sejak mula. Sekalipun ia mendapat sokongan kementerian, tetapi ia tetap tidak mampu berdikari. Sebahagian dari rakyat memilih tadika berbayar.
Kelas KEMAS di Terengganu kini diberi ihsan oleh Kerajaan Negeri sementera masing-masing belum berdikari. Tetapi KEMAS tentu segera membuat keputusan untuk terus menjadi dedalu atau berdikari? KEMAS Terengganu masuk tahun kedua menerima ihsan dari Kerajaan Negeri. Ia sebenarnya menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Tetapi kerana dari mula kementerian itu tidak memperkenalkan moral berdikari, maka ia menggalakkan badan di bawah kuasanya mengemis ihsan dari pihak lain. KEMAS bernasib baik Kerajaan Negeri bersikap kawan rakyat lalu membenarkan KEMAS setahun lagi menggunakan balai raya. Bagaimana pun ia mesti diterima sebagai satu kebenaran sementara atau lebih jelasnya sementara KEMAS menuju taraf berdikari.
Mengenali diri
Tetapi KEMAS mesti memikir bagaimana ia perlu segera berdikari. Bukan suatu yang mustahil KEMAS Terengganu dan Kelantan akan menjadi unit KEMAS pertama di negara ini yang berdikari. Ketika itu KEMAS di dua buah negeri itu akan jadi pihak yang bermaruah dibandingkan dengan KEMAS di negeri lain. Segala syarat dan masalah yang diterima oleh KEMAS di Negeri Terengganu jangan dilihat sebagai satu tindakan diskriminasi, balas dendam atau satu penindasan, tetapi ia adalah satu orientasi baginya mengenali diri dan memahami erti sebuah kumpulan masyarakat yang merdeka dan berdikari.
Premis sendiri
KEMAS mesti mulai sekarang memikirkan untuk mendapatkan bangunan sendiri sama ada menyewa atau mendapatkan bantuan dari kementerian. KEMAS akan lebih bebas bergerak jika ia beroperasi di premis kepunyaannya. Ia tentunya tidak diganggu. Ia boleh membuat rancangan sendiri. Ia bebas menentukan jika kelasnya hendak dipinjamkan untuk pilihanraya dan sebagainya.
Kerajaan yang dinamik perlu memikirkan keperluan balai raya yang berkesan. Ia boleh digunakan untuk berkumpul, untuk keraian dan lain-lain. Kemajuan dan pembangunan menjadi tanah bertambah sempit. Negara dan Negeri mesti berjimat tanah. Maka ia mesti memikirkan balai raya serba guna. Sekolah dan bangunan umum mesti tidak menggunakan premis yang sama.
......................................................
Warta Darul Iman