Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pekerja wanita pasaraya selesa bertudung

Walau di mana pun kita berada di bumi Allah ini, kita pasti terikat dengan peraturan dan hukum-hakam dari Allah. Begitu juga dengan peraturan bertudung bagi mereka yang bergelar wanita. Pemakaian tudung merupakan satu perkara wajib bagi setiap wanita Islam.

Senario pemakaian tudung di Terengganu bukanlah merupakan satu perkara baru. Rata-rata golongan wanita yang ditemui menyatakan, mereka telah diasuh dan diajar semenjak dari kecil lagi oleh kedua ibu bapa mereka untuk memakai tudung.

WARTA berpeluang menemuramah beberapa orang responden wanita, antaranya termasuklah Rosmawati Mohamad Hashim 23 tahun, pekerja sebuah pasaraya di sini. Beliau menyatakan, "baik di sisi Allah, baiklah kualitinya, walaupun andainya dipandang tidak standard di mata manusia. Baginya pemakaian tudung, adalah hukum Allah. Maknanya, setiap yang bergelar wanita wajib mematuhinya." Rakannya, Norma Man 21, juga bersependapat dengannya.

Bagi Fauziah Mohamad 25, seorang kakitangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan, "kita berusaha memastikan sejauh mana perkara-perkara wajib dapat dilaksanakan sungguh-sungguh, tanpa ‘excuse’, perkara haram benar-benar dijauhi tanpa dalih, yang sunat cuba dibuat sebanyak mungkin, perkara makruh cuba dijauhi setakat yang terdaya dan perkara harus dibuat sesuai dengan keadaan dan keperluan. Keadaan inilah yang akan menyatakan nilai kualiti iman seseorang itu."

Pekerja-pekerja Pasaraya Mydin juga memberitahu WARTA mereka tidak pernah dilarang oleh majikan mereka daripada memakai tudung. Malahan pemakaian tudung bagi pekerja-pekerja Pasaraya Mydin adalah digalakkan oleh majikan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Hai Aisyah, aku berwasiatkan wasiat ini, maka hafalkanlah olehmu akannya. Engkau akan sentiasa dalam kebajikan selagi engkau menghafali wasiatku ini". Hai Aisyah peliharalah dirimu kerana bahawasanya kebanyakan kaum wanita menjadi isi neraka dan kayu apinya. Lalu aku bertanya, "Wahai Rasulullah, mengapakah terjadi yang demikian itu."

Jawab baginda, "kerana mereka tidak sabar di atas kesusahan, tidak memuji Allah atas kemurahan- Nya, mengkufuri nikmat-Nya, banyak berkata kepada perkara yang sia-sia. Kaum perempuan juga kurang pada akal dan agamanya. Adapun kurangnya pada agama, bahasawanya perempuan itu pada setiap bulan meninggalkan solat sekian-sekian harinya dan keadaan kurang akal ialah Allah s.w.t. menjadikan dua orang saksi wanita bagi ganti seorang saksi lelaki."

Untuk hidup dalam suasana yang diredhai dan diberkati oleh Allah, kita perlu merujuk kepada aspek dalaman dan luaran iaitu kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Rohaninya terisi dengan tunjang iman dan ketaqwaan serta fardu ain dan fardu kifayahnya juga selesai dalam menjalani kehidupan di dunia serta untuk bekalan di akhirat. Buat semua yang bergelar muslimah, kalian adalah pencetus kedamaian, jangan biarkan kedamaian ini berkocak hanya dengan sedikit kelalaian yang pastinya membawa kebinasaan. Teruskan perjuangan mencari kebenaran. Muslimah berhemah, penangkis fitnah memusnah


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com