Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Yayasan Terengganu merintis jalan kecemerlangan

Oleh ZANALIZAM AHMAD

DUNIA pendidikan merupakan satu cabang dunia yang begitu penting untuk melahirkan golongan manusia berintelektual berlandaskan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Memandangkan usaha dan cita-cita murni ini, terciptalah nama Yayasan Terengganu.

Yayasan Terengganu telah ditubuhkan pada 1 Mei 1972 di bawah Enakmen Terengganu bilangan 9 tahun 1972 untuk membantu kerajaan memajukan industri pendidikan sebagai wahana utama membangun sumber manusia.

Tujuan penubuhan Yayasan Terengganu dimaktubkan dalam Enakmen berkenaan sebagai usaha untuk meningkat, memaju dan memperkembangkan peluang-peluang dan kemajuan pelajar kepada rakyat negeri ini. Hasrat penubuhan ini telah diterjemahkan kepada fungsi untuk menaja pelajar di institusi-institusi pengajian dan latihan, membantu pelajar di peringkat persekolahan, menyediakan pelbagai peluang serta kemudahan pendidikan dan latihan serta menyelaraskan aktiviti-aktiviti pembangunan pendidikan.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Yusof Haji Tahir berkata, visi Yayasan Terengganu ialah menjadi sebuah agensi Kerajaan yang terulung membangun sumber manusia yang berkualiti. Objektifnya ialah melahirkan sumber manusia Terengganu yang berkualiti di samping mewujudkan satu perkhidmatan yang profesional dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar di institusi-institusi pengajian dan latihan. "Yayasan Terengganu juga memberi khidmat yang berkesan dalam program-program pembangunan sumber manusia negeri," katanya.

Yayasan Terengganu juga berusaha untuk muncul sebagai sebuah agensi pendidikan dan latihan negeri yang produktif. Membantu pelajar di peringkat sekolah meningkatkan pencapaian mereka dalam pendidikan dan peperiksaan. Menyediakan satu perkhidmtan yang cekap, berkesan, produktif dan profesional untuk meningkatkan imej Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dalam bidang pembangunan sumber manusia.

Misi Yayasan Terengganu ke arah pembangunan generasi pelajar Terengganu yang menepati sifat Negeri yang menjadi teras kepada pembentukan mujtama’ Madani. Fungsinya pula tambah beliau, ialah memainkan peranan utama dalam bidang pendidikan dan latihan untuk membangunkan sumber manusia Terengganu yang berkualiti mengikut keperluan masa dan keadaan. Tugasnya ialah meluas dan mempelbagaikan peluang latihan dan pendidikan pelajar-pelajar Terengganu. Mempromosi pendidikan dan latihan sebagai satu idustri bagi menambahkan minat masyarakat Terengganu terhadap bidang tersebut. Menyediakan program-program pengajian untuk menampung keperluan pelajar memperolehi ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi.

Yayasan Terengganu juga menyediakan tajaan di institusi pengajian tinggi dan institusi latihan kepada pelajar-pelajarnya. Yayasan Terengganu mengeluarkan pinjaman kepada pelajar-pelajar negeri ini yang berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta institusi latihan kemahiran. Penajaan para pelajar di Institiut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan ditumpukan kepada kursus-kursus di peringkat Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil.

Penajaan pelajar di IPT luar negara pula tertumpu kepada kursus profesional dan Ijazah Sarjana Muda sahaja. Yayasan Terengganu menaja pelajar di Institusi Latihan Kemahiran, mengeluarkan pinjaman pendahuluan untuk membantu pelajar yang mendapat tawaran ke IPT membuat persediaan awal sebelum mendaftarkan diri. Penghapusan pinjaman juga diperkenalkan untuk memberi galakan dan penghargaan kepada para pelajar yang cemerlang dalam akademik. Pinjaman tambahan di pertimbangkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan masa tambahan untuk menamatkan kursus setelah tempoh pinjaman sebenar tamat. Tajaan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan juga luar negara juga turut diadakan.

Yayasan Terengganu juga menawarkan bantuan persekolahan kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam akademik, melibatkan bantuan makan untuk sekolah rendah berasrama, bantuan persediaan untuk pelajar-pelajar miskin, biasiswa kecil Yayasan Terengganu (BKYT), bantuan kepada sekolah murid-murid khas, bantuan peperiksaan SPM dan STPM, anugerah pingat emas dan hadiah saguhati dalam mempertingkatkan prestasi pelajaran pelajar-pelajar Terengganu khususnya.

Dari segi aktiviti pendidikan, Yayasan Terengganu dijuruskan kepada dua pendekatan iaitu pendidikan menengah dan pendidikan pasca SPM. Yayasan Terengganu juga mempunyai aktiviti pembangunan institusi pendidikan melibatkan Maktab Rendah Sains Mara - Yayasan Terengganu (MRSM-YT), Kompleks Pendidikan Yayasan Terengganu Kuala Berang (KPYT-KB), Asrama Yayasan Terengganu, Kolej Yayasan Terengganu (KYT) dan Kolej Matrikulasi Terengganu.

Kolej Yayasan Terengganu (KYT) di Chendering telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu (YT). KYT menjalankan program peringkat pra-diploma dan diploma dan dikendalikan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UNITEKMA). KYT merupakan satu-satunya pusat bagi mengendalikan program dengan kerjasama Unitekma di Terengganu. Dalam tempoh 1992 hingga 1997, program seumpama ini dijalankan oleh YT di Bangunan Yayasan, Kuala Terengganu. Kumpulan sasaran KYT ialah semua pelajar lulusan SPM semua aliran yang mempunyai syarat yang minimun.

Sebagai sebuah agensi yang terlibat secara langsung dalam bidang pembangunan sumber manusia, Yayasan Terengganu akan terus berusaha mempelbagaikan peranannya bagi menyeimbangkan halatuju pembangunan di negeri ini. Yayasan Terengganu juga sedang berusaha dengan giatnya bagi mengadakan program usahasama dengan IPT tempatan dan kolej-kolej swasta sebagai langkah ke arah memperbanyakkan lagi jumlah lulusan di dalam bidang-bidang yang diperlukan.

Dalam usaha Yayasan Terengganu terus mengorak langkah, ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan kemajuan Sekolah Mulia Bestari yang diharamkan penubuhannya oleh Kerajaan Pusat. Adalah tidak wajar Sekolah Mulia Bestari diharamkan kerana sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang, dengan alasan sekolah ini akan digantikan dengan sekolah yang lain.

..........................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com