Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Al-Quran dan Al-Sunnah jalan pulang remaja

Oleh Mohd Adib Ibrahim

Masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Gejala sosial sudah cukup meluas dalam masyarakat kita terutama Melayu Islam. Ia semacam gergasi yang cukup menakutkan; boleh menyergah sesiapa sahaja; boleh memporak-perandakan masyarakat.Pelajar dan remaja merupakan punca gejala sosial. Mereka membuat segala yang jahat. Ia menjadi bahan perbincangan hangat masyarakat, pemimpin, akhbar dan pelbagai media elektronik mutakhir ini.

Masalah sosial ini sebenarnya sudah lama melanda masyarakat dan negara tetapi tahapnya semakin membimbangkan dan meruncing. Kebimbangan ini kerana kejahatan yang dilakukan agak luar biasa dan menakutkan.

Andainya masalah sosial ini diumpamakan nyalaan api, unggun atau bara api itu ialah hati yang kotor. Kita tidak akan dapat memadamkan api jika air dicurahkan kepada nyalaannya, bukan pada pangkal api. Begitulah dengan masalah sosial yang merebak di dalam negara hari ini, akan dapat ditangani hanya dengan mengubati akibat-akibatnya. Tetapi mesti dimulai dengan mengubati puncanya, yakni mengubati hati manusia di samping pihak berkuasa perlu kembali kepada ajaran Allah S.W.T.

Gejala sosial

Hiburan yang pelbagai ragam, menyeronokkan, keadaan lingkungan yang tidak selesa, pembangunan yang dijalankan di negara ini menampakkan keganasan dan tidak seimbang mempengaruhi jiwa mereka. Pelbagai sebab yang menjadi punca rakusnya gejala sosial hari ini. Untuk menangani gejala ini, kita bukan sahaja harus memahami rentetan sebab-sebab ini malah harus berani mencari jalan penyelesaiannya.

Alaf baru ini golongan pelajar dan remaja mencabar dengan pelbagai masalah di dalam negara, kepincangan dasar semakin menyerlah kononnya negara mampu merealisasikan matlamat wawasan 2020 tetapi tidak mendidik rakyat ke arah kebaikan. Gambaran keruntuhan moral di kalangan ahli masyarakat khususnya pelajar-pelajar sekolah, muda-mudi hari ini di semua peringkat menerusi perlakuan seks bebas, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi, kesalahan juvana, penagihan dadah, keganasan rumahtangga, pembakaran sekolah, masalah HIV atau AIDS semakin meningkat.

Cuba kita meneliti perangkaan yang dikeluarkan oleh Timbalan Polis Negara pada 16 September 1996 dalam Utusan Melayu jelasnya: Pada tahun 1994 sebanyak 75,976 kes jenayah berlaku di seluruh negara, sebanyak 1,618 kes (21.3 peratus) melibatkan juvana. Tahun 1995 sebanyak 81,211 kes jenayah berlaku daripada jumlah itu 1,895 kes (23.3 peratsus) melibatkan juvana. Manakala pada tahun 1996 hingga Jun sebanyak 41,218 kes jenayah yang berlaku, dari jumlah itu 996 kes (2.3 peratus) melibatkan juvana.

Gambaran di atas menunjukkan dari jumlah penduduk bawah umur 18 tahun seramai 1 juta 476 ribu 200 orang bagi setiap 912 orang terdapat satu kes melibatkan juvana. Sementara jumlah kes yang melibatkan pelacuran dan maksiat gadis di bawah umur di seluruh negara sebanyak 325 kes tahun 1994, tahun 1995 (505 kes) dan dari Januari hingga Jun 1996 (204 kes). Kes penagihan dadah pula sebanyak 1,826 kes tahun 1996, tahun 1995 (1,979 kes) dan dari Januari hingga Jun 1996 (505 kes) .

Masalah sosial ini bukan lagi "telur sudah di hujung tanduk" sebaliknya semakin parah kerana graf kedudukannya semakin melonjak. Jika tidak ditangani segera, bom jangka akan meletup bila-bila masa. Kepada siapa hendak dipersalahkan? Bayangkanlah, bagaimana ibu bapa, guru dan sebagainya hendak mengawal keadaan jika berpuluh-puluh saluran televisyen di negara ini bukan bersifat mendidik. Majoritinya program yang disiarkan adalah ke arah meruntuhkan. Ibu bapa mahupun guru mana yang mampu mendidik anak-anak dan pelajar-pelajar ke arah kebaikan jika persekitaran membiak dengan gejala maksiat yang tidak dibendung.

Adalah tidak ajaib jika masalah penderaan dan penganiayaan ke atas kanak-kanak telah meningkat daripada 511 kes pada tahun 1990 kepada 1,009 kes pada tahun 1996 (tidak termasuk kes Sabah dan Sarawak). Begitu juga dalam kes pembuangan bayi, jika menoleh ke belakang kes-kes pembuangan bayi telah meningkat daripada 36 kes pada tahun 1989 kepada 55 kes pada tahun 1996. Kes rogol di kalangan kanak-kanak meningkat sebanyak 66.4 peratus daripada tahun 1990 hingga 1996. Apatah kes-kes perkosaan seksual yang dilakukan oleh juvana juga turut meningkat.

Jenayah

Dalam kes sumbang muhrim telah meningkat 72 peratus dilakukan oleh bapa kandung dan bapa tiri. 70 peratus melibatkan kanak-kanak berusia 16 tahun. Jenayah kanak-kanak juga dalam kes juvana antara umur 10 hingga 15 tahun ialah 5,840 bagi tempoh 1993 hingga 1996. Pada tahun 1997 (sehingga Jun) terdapat sebanyak 1939 kes, purata umur penjenayah telah turun daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

Masalah yang melibatkan kes-kes remaja sebagai contohnya, jenayah remaja peratusannya semakin tinggi terlibat dalam amalan yang tidak bermoral dan penyalahgunaan dadah. Bilangan kes jenayah yang melibatkan remaja meningkat 66 peratus iaitu 2,080 kes pada tahun 1980 kepada 4,125 kes pada tahun 1996. Manakala bilangan kes juvana yang tidak dapat dikawal oleh ibu bapa atau penjaga telah meningkat empat kali ganda antara tahun 1970 hingga 1995 (83 kes pada tahun 1970 dan 355 kes pada tahun 1995). Dalam tempoh 1990 hingga 1996, 60 peratus daripada kes kesalahan juvana dilakukan oleh golongan remaja yang berumur antara 16 hingga 18 tahun.

Meningkat

Kes kehamilan remaja juga turut meningkat, kes wanita yang mengandung di luar nikah telah meningkat daripada 83 kes pada tahun 1993 kepada 142 kes pada tahun 1996 dan kes lari dari rumah dari tahun 1990 hingga 1996 sebanyak 26,092 kes orang hilang telah dilaporkan. Manakala kes wanita terjebak dengan pelacuran juga meningkat, 44,642 serbuan telah dilakukan oleh pihak polis ke tempat-tempat yang disyaki bagi tahun 1993 hingga 1996. Di samping itu, masalah sosial pekerja kilang, 21 peratus daripada pekerja kilang pernah melakukan perbuatan sumbang. Merenung masalah sosial ini meruncing adalah penting jalan penyelesaian perlu dicari.

Apa salahnya semua pihak memikir dan meneliti kejayaan pakar jiwa yang tidak ada tolak bandingnya iaitu Rasulullah s.a.w. Baginda bangkit menyelamatkan manusia daripada keruntuhan akhlak. Sabdanya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak". Kita perlu mengenal punca keruntuhan akhlak dan mengubati penyakit yang ditemui itu sebaik-baiknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "... Bila satu kaum melakukan penzinaan secara terang-terangan mereka akan diserang oleh penyakit yang belum dialami oleh nenek moyang mereka. Bila mereka mengurangi timbangan (menipu dalam perniagaan) mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak atasan. Bila mereka enggan membayar zakat, mereka akan terhalang oleh hujan dari langit dan kalau tidak kerana adanya haiwan dan binatang ternak, tidaklah akan diturunkan hujan. Bila mereka melanggar janji Allah dan Rasulnya, maka mereka akan dijajah oleh musuh dari bangsa lain yang akan merampas sebahagian dari harta mereka."

Strategi penyelesaian perlu diambil haruslah berbentuk pelbagai dimensi bagi merangkumi pelbagai aspek. Kegawatan isu sosial masa kini meminta kepada perlunya satu pelan tindakan sosial yang mantap dan padu yang dapat didokongi oleh semua pihak. Semua pihak perlu bertanggungjawab merungkai dan menyelesaikan kegawatan berlaku sekalipun masalah ini sudah di peringkat yang agak kritikal.

Contoh

Fungsi yang harus dilakukan oleh guru di sekolah bukan sahaja terbatas di dalam bilik darjah, malahan mereka menjadi teman kepada pelajar dengan khidmat nasihat dan bimbingan yang berterusan. Ibu bapa haruslah mengambil berat anak-anak, jika di sekolah pelajar dibimbing dengan baik tetapi di rumah sikap ibu bapa yang tidak menjadi contoh dan tidak mengambil berat hal pelajaran dan kehidupan anak-anak. Maka berlaku anak-anak tidak hormat dan tidak mendengar kata dan nasihat ibu bapa.

Pendidikan di rumah haruslah bermula dengan teladan yang baik. Kemudian diikuti dengan mengambil masa bertanyakan hal-hal pelajaran, masalah-masalah yang dihadapi dan sebagainya. Ibu bapa perlu memberi curahan kasih sayang yang tidak semestinya dalam bentuk kebendaan tetapi pentingnya dalam aspek didikan dan nasihat agama.

Masyarakat setempat juga sepatutnya sama-sama bertanggungjawab. Kita perlu ada budaya tegur-menegur dan menjaga tepi kain orang di dalam usaha membendung sikap remaja yang berkelakuan sumbang. Islam sendiri mengambil sikap ingat mengingat sesama Islam. Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Zaariyat ayat 55 yang bermaksud: "Dan peringatkan kerana sesungguhnya ingat mengingati itu memberi manfaat kepada orang-orang mukmin".

program

Manakala Kerajaan amat penting di dalam membendung gejala sosial hari ini kerana pemerintah bertanggungjawab kepada rakyatnya, suami bertanggungjawab kepada ahli keluarganya dan begitulah seterusnya. Kita tidak mahu umpama satu pihak yang cintakan Islam membangunkan akhlak dan moral sementara pihak kerajaan menjalankan program yang meruntuhkan akhlak dan moral generasi hari ini. Jika masalah yang berlaku hari ini tidak diambil hirau oleh pemerintah, lambat laun, generasi muda-mudi kita akan turut hancur.

Jangan ada di kalangan kita hari ini menganggapkan gejala kegawatan sosial ini adalah versi baru untuk manusia, sepatutnya ambillah pengajaran dari kisah Kaum Nabi Lut a.s. dibenamkan ke Laut Mati kerana perlakuan seks sumbang, kaum Aad, Thamud dan kaum Nabi Nuh a.s. dengan bala akibat kemungkaran masing-masing. Kini era internet, televisyen, video lucah, media cetak dan sebagainya menjadi hidangan generasi muda tetapi kita mengharapkan jalan pulang ditemui dengan syarat kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

.......................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 5 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com