Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


MB Terengganu : Saya memimpin secara kolektif

MUQADDIMAH

DUNIA sedang memerhatikan bagaimana keupayaan seorang ulama’ mentadbir sebuah negeri apabila Menteri Besar (MB), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dihujani pelbagai soalan menyentuh pelbagai isu khususnya tentang cara dan keseronokannya bekerja sebagai MB Terengganu. Untuk mengetahui apa jawapan beliau mengenainya ikuti wawancara Joceline Tan mewakili Straits Times Singapore Cawangan Kuala Lumpur bersama Pengarang WARTA, Suhaimi Taib dengan MB di Pejabat MB di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 14 Januari lalu.

Joceline Tan: Semasa saya mewawancara Tuan Guru ketika saya bertugas di New Straits Times Press Kuala Lumpur dahulu, Tuan Guru sangat optimistik terhadap perhubungan Kerajaan Terengganu dengan Kerajaan Pusat. Saya ingat perhubungan ini sudah tegang sedikit pada masa sekarang?

MB: Sekarang mula reda balik. Mereka sudah ajak kita berbincang berkenaan perpaduan Melayu. Mungkin kerana mereka merasakan bahawa sikap agresif yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pusat memberi kesan negatif kepada mereka. Ini dibuktikan melalui pilihanraya kecil di Lunas di mana Barisan Nasional (BN) sudah mengalami kekalahan walaupun pilihanraya itu tidak seimbang. Kita bukan sahaja berdepan dengan parti BN tetapi parti itu sering kali menggunakan seluruh jentera kerajaan termasuk jabatan-jabatan kerajaan, alat-alat kerajaan dan semua pihak yang memberi sokongan kepada mereka dan kawasan ini pula mempunyai majoriti bukan Islam.

Walaupun begitu kita mencapai kemenangan dalam pilihanraya. Ini memberi isyarat yang sangat bermakna kepada BN dan selepas itu kita melihat bermulanya kenyataan mengajak PAS dan parti Melayu supaya diadakan perbincangan mengenai perpaduan. Sebelum itu mereka menimbulkan isu yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) kemudian berlaku perbincangan dan ini menunjukkan bahawa mereka menyedari tindakan berkeras merugikan mereka sendiri dan sepatutnya mereka menghurmati demokrasi berparlimen.

Di mana sikap yang saya tunjukkan dalam kenyataan saya setahun yang lalu adalah berdasarkan kepada realiti dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan ia mengikut moral demokrasi berparlimen tetapi mereka melakukan di luar daripada moral demokrasi berparlimen.

Berhubung dengan wang ihsan, Kerajaan Terengganu mungkin menghadapi masalah sekira- nya tidak cukup wang, mungkin projek-projek tidak boleh dilaksanakan. Apa pandangan Tuan Guru berhubung dengan wang ihsan?

MB: Kita perlu menyedari bahawa untuk membelanjakan wang mestilah mengikut undang-undang atau mengikut peraturan kewangan. Di Peringkat Pusat wang itu mestilah dimasukkan dalam Kumpulan Wang Disatukan yang mesti dibahas dan diluluskan di Parlimen. Sehingga hari ini, kita tidak mendapat butir ataupun kenyataan secara jelas adanya apa yang dinamakan wang ihsan. Perkara ini tidak disebut dalam buku belanjawan. Cuma soal itu disebut dalam ucapan Menteri Kewangan sahaja.

Kami baca dalam surat khabar bahawa Tuan Guru berkata, wang ihsan ini mungkin duit haram. Betul ke?

MB: Ya Betul, sekiranya diambil daripada royalti. Kalau diambil daripada royalti, itu adalah satu rompakan, satu rampasan yang haram mengikut agama, undang-undang, moral dan demokrasi. Itu adalah tindakan haram kerana royalti ini adalah suatu keputusan daripada Akta Petroleum 1974 dan mengikut Perjanjian di antara Kerajaan Negeri dengan PETRONAS.

Jadi Kerajaan Terengganu sudah bersedia membawa kes ini ke mahkamah?

MB: Ya, kita sudah bersedia dan semua kertas dan laporan sudah disediakan oleh Pengerusi jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Tun Mohd. Salleh Abas.

Benarkah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) telah menolak wang ihsan berjuta-juta ringgit dari Kerajaan Pusat?

MB: Sebenarnya Kerajaan Pusat telah meminta beberapa institusi pendidikan di Negeri Terengganu di antaranya KUSZA, TATI dan beberapa buah sekolah agama supaya menerima wang ihsan daripada Kerajaan Pusat. Kita telah memberi jawapan bahawa sekiranya wang itu wang royalti petroleum hendaklah dibayar melalui PETRONAS. Pihak Kerajaan Pusat mestilah membayar mengikut saluran pentadbiran di mana mengikut saluran dan etika pentadbiran, wang itu mestilah dihantar melalui Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan melalui Pegawai Kewangan Negeri.

Kemudian Pegawai Kewangan Negerilah yang mengagihkan wang ini mengikut kepala-kepalanya. Jadi apa yang berlaku, mereka terus memanggil pihak terbabit. Ini tidak betul dari segi pentadbiran. Kemudian mereka menghantar cek kepada KUSZA, TATI dan beberapa pusat pengajian yang disebutkan tadi. Kita membuat kenyataan sekiranya wang itu daripada royalti petroleum, kita tidak terima. Mestilah dihantar melalui PETRONAS. Sekiranya wang ini peruntukkan Kementerian Pendidikan maka kita menerima.

Ini adalah hak Kerajaan Negeri dan mengikut peraturan pembahagian kewangan oleh Kerajaan Pusat. Kita telah meneliti surat dan cek yang dikeluarkan itu. Kita mendapati surat dan cek itu mempunyai kepala yang diperuntukkan melalui Kementerian Pendidikan. Kita membuat keputusan supaya wang itu diterima kerana ia adalah daripada Kementerian Pendidikan bukan wang ihsan. Itu yang sebenarnya.

Adakah orang biasa merasa marah kerana isu wang ihsan ini?

MB: Orang biasa marah isu wang ihsan ini dan memang kemarahan ini berlaku dalam UMNO sendiri dan sudah berlaku ketidakadilan dan penyelewengan dan wang ini memakan diri UMNO sendiri dan kita mendapat maklumat di seluruh negeri bagaimana wang ini tidak sampai kepada sasarannya. Pengagihan wang ini mereka lakukan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). JKKK sebenarnya bidang kuasa Kerajaan Negeri bukan bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Apa yang dilakukan bercanggah dengan Perlembagaan dan bercanggah dengan peraturan pentadbiran. Mereka tidak sepatutnya menubuhkan JKKK. Ini adalah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Tetapi mereka lakukan juga dan mereka salurkan wang yang dinamakan wang ihsan ini kepada pihak JKKK. Saya difahamkan, sekarang sudah berlaku keresahan di kalangan masyarakat kerana wang ini dikatakan tidak sampai kepada sasaran.

Dan ada yang sampai tetapi menunjukkan bukti-bukti penyelewengan. Sebagai satu contoh, berlaku di kawasan Rhu Rendang, Marang, yakni kawasan saya sendiri, Pengerusi mengumumkan bahawa setiap orang dibahagi RM200.00. Bila mereka balik ke rumah dan membuka sampul surat yang berisi wang itu, mereka dapati wang hanya berjumlah RM150.00 sahaja. Di mana perginya RM50.00 lagi.

Kita juga mendapat maklumat di beberapa tempat lain. Di Hulu Besut berlaku di kawasan mangsa banjir Kampung La. Pihak Kerajaan telah mengeluarkan bantuan segera RM5,000 bagi mangsa rumah yang musnah. Selepas itu pihak UMNO telah memaklumkan bahawa mereka akan menghantar bantuan yang lebih besar dari bantuan berkenaan. Di kalangan UMNO telah menyalahgunakan wang RM5,000 termasuk membeli motorsikal dan lain-lain. Mereka tidak membaiki rumah. Akibat dari itu mereka terbabit sudah merasa resah dan rimas.

Kita sudah menunaikan tanggungjawab kita tanpa mengira parti dan fahaman politik termasuk menunaikan tanggungjawab terhadap orang-orang UMNO. Bagaimanapun mereka membahagi-bahagikan bantuan mengikut penyokong parti mereka tidak kepada sesiapa yang berhak menerimanya tanpa mengira parti.

Saya dapat tahu bahawa pada tahun lalu Tuan Guru ada berdialog dengan orang Cina di Kampung Tiong. Bolehkah Tuan Guru jelaskan sedikit tentang dialog itu? Dialog ini mungkin merupakan yang pertama dengan komuniti di sana.

MB: Sebenarnya dialog itu bukan yang pertama bahkan sudah beberapa kali Kerajaan Negeri mengadakan dialog dengan orang Cina. Saya tidak ingat itu kali yang ke berapa. Dalam Dialog di Kampung Tiong itu, kita mendapat tindak balas yang sangat baik daripada masyarakat Tionghua di antaranya ialah mereka menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam menghadapi isu rampasan Royalti Petroleum. Dan ada di kalangan pemimpin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan satu Tabung supaya mana-mana rakyat berkemampuan boleh memberi sumbangan kepada tabung ini.

Sebenarnya kita sudah menubuhkan tabung itu yang diberi nama Tabung Darul Iman iaitulah nama bagi Negeri Terengganu dan dalam dialog itu juga mereka sudah membuat beberapa tuntutan dan kita menimbangkan tuntutan itu. Tuntutan itu adalah munasabah dan wajar. Ianya tidak menjadi masalah kepada kita untuk menunaikannya. Sebagai contoh di antaranya mereka memohon supaya Kerajaan mengubah nama Jalan Bandar kepada Jalan Kampung Cina yang merupakan nama asal kampung itu dulu.

Kita sudah menerima permohonan mereka. Sehingga hari ini mereka menunjukkan tindak balas yang baik apabila kita melantik Ahli Majlis Perbandaran dari kalangan masyarakat Tionghua dan kita melantik Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang dianggotai oleh orang Tionghua di mana wujudnya masyarakat mereka seperti di Kemaman, di Wakaf Tapai, Marang begitu juga di Kuala Terengganu dan di Besut.

Benarkah berita yang mengatakan ramai diplomat asing yang berkunjung di sini berjumpa dengan Tuan Guru dan apakah soalan-soalan yang mereka kemukakan ketika berjumpa dengan Tuan Guru?

MB: Ya. Nampaknya mereka ingin tahu apakah dasar, matlamat dan pelaksanaan yang Kerajaan Negeri lakukan. Sehingga hari ini kita mendapat respon yang baik. Selepas dari itu berlaku ‘follow up’ dengan kedatangan pelabur-pelabur daripada negara-negara berkenaan. Antaranya pelabur daripada Australia, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom datang untuk mengadakan perbincangan pelaburan. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak bimbang dengan dasar Kerajaan Negeri.

Mereka juga tidak bimbang dengan Kerajaan PAS berkenaan dengan hudud, negara Islam?

MB: Nampaknya mereka tidak bimbang dan mereka lebih yakin dengan ketelusan yang kita buktikan.

Benarkah mereka bersimpati dengan masalah wang ihsan dan rampasan wang royalti petroleum?

MB: Ya. Kita telah mengadakan dialog dengan beberapa kedutaan di Kuala Lumpur berhubung dengan wang ihsan dan rampasan royalti petroleum ini. Kita mendapat simpati daripada mereka. Sebenarnya simpati juga daripada PETRONAS sendiri termasuk pegawai tinggi sehingga pegawai bawahan bersimpati dengan Kerajaan Negeri. Mereka juga menyedari bahawa itu adalah hakikat kerana perjanjian itu jelas.

Tuan Guru yakin atau tidak dengan kes mahkamah dalam isu pendakwaan terhadap rampasan royalti petroleum?

MB: Pembawaan kes rompakan royalti petroleum sebagai percubaan sejauh mana perubahan dalam badan kehakiman sekarang. Sejauhmana ia menepati sebagaimana kenyataan Ketua Hakim Negara yang baru.

Tuan Guru banyak menyokong muzakarah perpaduan Melayu yang akan diadakan sedikit masa lagi?

MB: Sebenarnya kita mencadangkan supaya perbincangan diadakan secara lebih luas iaitu di peringkat nasional bukan sahaja perpaduan Melayu termasuk perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia. Ini kerana kita menyedari bahawa masalah negara tidak akan selesai dengan perpaduan Melayu sahaja. Mestilah dengan perpaduan semua kaum.

Saya hairan PAS selalu tidak mengiktiraf perpaduan Melayu kerana ia nasionalisme. PAS selalu mengiktiraf perpaduan ummah.

MB: Kita menganggap kalau penekanan kepada perpaduan Melayu sahaja sebenarnya membawa perpecahan kepada Negara. Ini kita tidak mahu. Kalau orang Melayu boleh bincang tentang perpaduan Melayu, orang Cina juga boleh bincang perpaduan Cina, orang India boleh bincang perpaduan India. Itu tidak selesai masalah.

Adakah Negeri Terengganu sekarang lebih beragama daripada dulu semasa UMNO berkuasa?

MB: Ya. Saya merasakan lebih baik. Di Antaranya jelas ketara berlaku perubahan di kalangan rakyat. Hiburan-hiburan yang meruntuhkan akhlak boleh dikatakan dapat diselesaikan sehingga pengusaha-pengusaha pusat-pusat hiburan melakukan secara bersembunyi. Dan ini dapat dipantau sedikit demi sedikit. Dan kita mendapat kerjasama yang sangat baik daripada rakyat.

Kalau banyak perkara dianggap haram, bolehkah saya tahu orang muda bagaimana boleh mencari hiburan?

MB: Islam tidak mengharamkan semua hiburan. Hiburan yang diizinkan, hiburan yang bermoral dan bermaruah, ini dibenarkan oleh agama.

Bolehkah Tuan Guru memberi contohnya?

MB: Sebagai contohnya ialah menyanyi. Menyanyi dibenarkan kalau seni kata itu, tidak lucah, yang membangkitkan semangat dan menimbulkan unsur-unsur moral, memuji keindahan alam. Itu dibenarkan agama, ia tidak menjadi suatu kesalahan. Sukan umpamanya, dibenarkan oleh Islam. Bahkan Islam menggalakkan aktiviti sukan termasuk berenang, berkuda dan memanah. Itu ada dalam Islam.

Mereka boleh berhibur. Permainan bolasepak umpamanya. Bahkan semasa Kerajaan PAS mengambil alih Negeri Terengganu, Pasukan Terengganu pernah menjadi Johan Piala FA, Piala Raja-raja dan dapat masuk final beberapa kali. Ini menandakan peningkatan dalam bidang sukan di masa kita memerintah. Kita tidak mengimport pemain daripada luar negara yang boleh menghabiskan duit sebagaimana yang dilakukan selama ini.

Betul ke Islam membenarkan sukan renang?

MB: Ya. Ada hadith Nabi s.a.w. menyatakan ajarlah anak kamu berenang dan memanah. Nabi menyebut sukan itu dalam hadithnya. Begitu juga dengan aktiviti sukan yang lain dengan syarat ia tidak melalaikan dan membawa unsur keruntuhan moral.

Balik semula ke isu wang ihsan. Adakah kemungkinan Terengganu akan tertinggal ke belakang dari segi pembangunan sekiranya tidak cukup pendapatan untuk melaksanakan projek pembangunan?

MB: Sehingga hari ini Terengganu sudah ketinggalan walaupun dahulunya mendapat royalti yang begitu besar. Jumlah daripada tahun 1978 sehingga kita mengambil alih dijangka wang royalti petroleum berjumlah RM7 Bilion tetapi dari segi kemiskinan rakyat, Terengganu adalah nombor tiga, ada yang mengatakan nombor dua di Malaysia.

Apakah yang dibuat oleh Kerajaan lalu terhadap duit royalti? Yang penting di sini ialah pentadbiran yang baik dapat menguruskan wang Kerajaan dengan baik untuk kebaikan rakyat dan Negeri Terengganu bukan untuk kepentingan golongan tertentu sahaja.

Tidak dinafikan bahawa wang itu perlu tetapi jika banyak wang sahaja, sedangkan pengurusan wang tidak betul, tidak boleh memberi apa-apa kesan. Dan sehingga hari ini kita cuba menyelesaikan masalah rakyat tanpa wang royalti ini. Di antaranya ialah kita melaksanakan projek-projek kecil. Kita galakkan rakyat bergotong-royong, Kerajaan mengeluarkan belanja dan rakyat memberi sumbangan tenaga untuk menyiapkan projek berkenaan.

Ini boleh mengecilkan perbelanjaan dan sehingga ini kita dapat menyempurnakan projek-projek yang belum disempurnakan di zaman pemerintahan BN dahulu. Contohnya Taman Rekreasi Di Lagun Kuala Ibai, beberapa jalan raya, Pusat Pendidikan TATI dan lain-lain. Begitu juga projek-projek perumahan. Itupun diteruskan.

Ada peniaga yang membuat aduan bahawa Terengganu tidak ada projek besar?

MB: Itu aduan yang dikemukakan oleh peniaga UMNO yang saya difahamkan antaranya mereka sudah mendapat projek untuk membina sekolah yang dikatakan melalui wang ihsan. Mereka sudah dapat projek sedangkan tanahnya belum ada lagi di mana meluluskan permohonan tanah adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Ini adalah cara yang dilakukan oleh UMNO membahagi-bahagikan projek kepada orang-orang mereka bukan berdasarkan kemampuan, kebolehan dan pengalaman mereka. Ini tradisi amalan UMNO sejak sekian lama. Mereka sudah agihkan untuk membuat projek sekolah di seluruh negeri tetapi mereka tidak ada tanah kerana ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Orang luar Terengganu menganggap Tuan Guru lebih menegaskan bidang agama daripada pengurusan Kerajaan Negeri. Apa komen Tuan Guru?

MB: Saya rasa memang dari segi agama kita perlu tegas. Pengurusan Negeri pun kita perlu laksanakan dengan baik. Dan sehingga hari ini al-Hamdulillah, saya mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pegawai-pegawai tadbir negeri terutamanya pegawai-pegawai kanan dan segala-galanya berjalan dengan lancar dan berlaku perubahan yang sangat memuaskan.

Dan untuk makluman dalam masa kita mengambil alih pemerintahan, kita telah menerima pelaburan sejumlah RM200 juta daripada luar Terengganu sama ada daripada Malaysia atau pun daripada luar negara. Dan masih ada lagi pelaburan yang akan datang ke Terengganu.

Selepas setahun menjadi menteri besar bolehkah Tuan Guru beritahu tentang pencapaian yang diperolehi setahun lalu dan perancangan masa depan?

MB: Yang penting ialah kita menyusun semula pentadbiran. Itu yang utama dan kita telah buat pertukaran di mana berlaku pertukaran SUK, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan Pegawai-pegawai Daerah. Ini adalah pembetulan dari segi pentadbiran. Sudah ada beberapa kali pertukaran. Kita melihat berlakunya birokrasi pentadbiran yang menjadi masalah. Yang ini kita perbetulkan.

Kita perlu menyedari bahawa 80 peratus daripada pegawai Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada ahli dan penyokong UMNO dulu. Mereka melihat apa yang kita buat dan sudah berubah memberi kerjasama dan kita telah membuktikan kemampuan walaupun wang royalti tidak ada. Kita membayar bonus kepada pegawai Kerajaan lebih dahulu daripada Kerajaan Pusat. Kita mempunyai kemampuan untuk mentadbir Negeri Terengganu. Kita juga mengutamakan melaksanakan janji manifesto pilihanraya umum yang lalu kepada rakyat. Ini perlu diutamakan.

Kita telah melaksanakan suatu yang tidak perlu kepada pindaan undang-undang. Contohnya ialah penghapusan tol di Jambatan Kuala Terengganu, penghapusan cukai pintu rumah kediaman, pembahagian tanah kepada rakyat dengan membuka permohonan tanah kepada rakyat yang tidak ada tanah, di kawasan setinggan dan tanah haram pertanian di mana sudah ada mereka yang bertani sejak 20 tahun yang lalu tetapi tidak memiliki tanah.

Kita telah menyelesaikan permohonan tanah yang mencapai angka ribuan. Kita dapati memang mereka usaha sungguh tanah ini. Begitu juga pembahagian tanah kediaman untuk mereka yang sudah berkeluarga. Ini berjalan dengan lancar. Ini bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada rakyat, Kerajaan juga mendapat wang dari hasil tanah berkenaan. Ini memberi pulangan kewangan kepada Kerajaan dalam masa yang sama memberi faedah kepada rakyat.

Kita juga membuat pembetulan sebagai contoh, ada jabatan yang mengambil kakitangan yang berlebihan semata-mata kerana politik. Contohnya seperti Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Ada orang kuat UMNO dibawa masuk kerja semata-mata kerana dia UMNO sedangkan kerjanya tidak ada. Sebagai contohnya seorang kerani mempunyai pembantu kerani. Yang si kerani lari buat kerja lain manakala pembantunya pula membuat kerja kerani. Ini apa yang berlaku di zaman dahulu.

Kita mengambil tindakan tidak memecat mereka kerana kita menyedari ianya akan menjadi masalah kepada Kerajaan. Apa yang kita buat ialah menukar dan mengagih kerja dengan memindahkan mereka kepada jabatan-jabatan lain yang memerlukan tenaga kerja mereka. Ini langkah yang kita ambil.

Masalah Tuan Guru adakah berkait dengan wang ihsan?

MB: Saya rasa itulah. Tindakan Kerajaan Pusat melalui rampasan royalti petroleum dan mereka menubuh pentadbiran pusat untuk mengganggu pentadbiran negeri termasuk menubuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Ini adalah merupakan masalah yang timbul dalam masyarakat.

Ramai beranggapan bahawa Pahang dan Kedah merupakan ‘Front Line State’. Adakah Tuan Guru yakin dengan tanggapan itu?

MB: saya yakin berdasarkan kepada perubahan yang berlaku di Teluk Kemang, di mana kita dapat merosotkan sokongan kepada BN kemudian kemenangan di Lunas. Ini adalah tanda-tanda awal kejatuhan BN di seluruh negara. Keadaan yang berlaku di Selangor, kita merasa jika diadakan pilihanraya di negeri itu, kita boleh menawan negeri Selangor bila-bila masa. Antaranya ialah isu Putra Jaya. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Selangor. Itu sebagai satu contoh. Begitu juga di negeri-negeri lain.

Ini bermakna PAS mesti meraih sokongan orang bukan Melayu?

MB: Ya. Kita menyedari bahawa kita tidak boleh mentadbir negara dengan orang Melayu sahaja. Mestilah melalui kaum-kaum yang lain juga.

Adakah Tuan Guru merasa seronok (enjoy) dengan tugas menteri besar yang dipikul sekarang?

MB: Kerjanya seronok tetapi bebanannya sangat berat sehingga saya merasa masa tidak cukup bagi saya. Bagaimanapun saya memimpin secara kolektif di mana saya tidak monopoli kuasa. Sebarang keputusan yang saya buat bersama dengan kawan-kawan (pimpinan negeri) yang lain. Sebagai contoh, saya bukan sahaja mengadakan mesyuarat exco secara rasmi, saya juga mengadakan mesyuarat exco yang tidak rasmi.

Kalau ada perkara yang besar saya buat mesyuarat khas sama ada waktu malam atau waktu yang sesuai. Saya memanggil semua exco, SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang dan saya tidak membuat keputusan sendiri. Ini menyeronokkan kawan-kawan dan inilah cara saya mentadbir secara berpasukan.

Kami membaca Majalah Asia Week yang menyebut kemungkinan Tuan Guru sebagai Perdana Menteri Malaysia akan datang. Apa komen Tuan Guru?

MB: Itu dalam ilmu Tuhan. Saya tidak tahu. Saya tidak mahu menimbulkan kemarahan Perdana Menteri yang ada sekarang. Saya merasakan belum tiba masa bagi saya untuk berbuat demikian. Mungkin Perdana Menteri sudah mahu berundur. Itu terpulang kepada rakyat dan ini bergantung juga kepada hiraki kepimpinan PAS yang ada pada hari ini.

Sudah tentulah orang pertama dalam PAS dan sudah tentulah diambil kira persefahaman kita dengan parti-parti dalam Barisan Alternatif yang lain. Saya lebih seronok menjadi pembantu daripada orang yang pertama. Itu lebih menyenangkan. Ini pengalaman daripada saya menjadi menteri besar.

......................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com