Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tanda tanya wang yang diagihkan dari sumber mana

MARANG: Apakah wang yang dikatakan ‘wang ihsan’ yang dibahagi-bahagikan kepada rakyat Terengganu sekarang dari peruntukan royalti minyak dari Petronas atau dari sumber lain, menjadi tanda tanya dan perbualan baik di Terengganu mahu pun di Kuala Lumpur.

Haji Mustafa Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia memberitahu perhimpunan di sini bahawa adalah diragui wang yang dibahagi-bahagikan itu, wang yang dirampas dari royalti minyak milik Terengganu. Menurutnya, maklumat yang didengar bahawa Petronas belum menyerahkan wang royalti kepada kerajaan pusat kerana tidak terdapat kaedah yang sah bagaimana ia hendak diserahkan.

Pihak tertentu di Terengganu yang mendakwa wakil Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP), badan yang dibentuk oleh Kementerian Kewangan untuk menguruskan apa yang dikatakan wang ihsan sedang rancak membahagi-bahagikan habuan itu kepada orang ramai. Berita-berita tentang pemberian itu tersiar di sana sini bahawa wang itu dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang berhajat kepadanya. Memang ramai orang yang menagih untuk mendapatkannya dan yang masyhurnya orang-orang yang mendakwa miskin diberi RM200 seorang. Antara yang menyampai habuan itu ialah menteri Kerajaan Pusat.

Pemberian itu dipercayai menimbulkan pertelingkahan sesama yang mengaku wakil JPP disebabkan tiada kaedah dan peraturan yang jelas tentang cara-cara ia diberi. Petronas dipercayai setakat ini begitu amanah tentang tanggungjawabnya dan dikatakan masih tidak mengeluarkan royalti itu kepada yang bukan empunya. Ia mempunyai peraturan bagaimana, bila dan kepada siapa wang royalti itu dikeluarkan. Ia hanya boleh diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada tempoh yang ditentukan.

Berdasarkan keyakinan royalti itu masih disimpan oleh Petronas, maka dipercayai wang yang dibahagi-bahagikan itu bukan dari rampasan royalti itu. Tidak diketahui dari sumber mana wang itu diambil. Kira-kira 10 ribu orang mendengar ucapan Haji Mustafa di majlis perasmian Bangunan PAS Kawasan Marang yang didirikan di seberang Jalan Masjid Rusila. Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato’ Fadzil Mohd. Noor merasmikan bangunan itu. Turut Hadir Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

SETIU: Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) Kampung Sungai Bari berkerjasama membantu mengurangkan bebanan persekolahan 15 pelajar miskin di kampung berkenaan baru-baru ini.

Serentak itu Satu majlis penyampaian sumbangan basikal dan hari raya kepada pelajar berkenaan diadakan di Perkarangan Masjid Sungai Bari, di sini. Bentuk sumbangan yang diberikan ialah 15 buah basikal, duit raya dan hamper berisi makanan. JSR itu memilih pelajar yang miskin berkenaan dan benar-benar layak, tanpa mengira fahaman politik ibu bapa mereka.

Kesemua jenis bantuan yang diberikan ialah sumbangan peribadi dari Ahli JSR kampung berkenaan. Ahli Parlimen Setiu, Che Ghani Ambak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Haji Mohamad Hitam, Pegawai Unit Pembangunan Insan (UPI) DUN Langkap, Tengku Ahmad Husin, dan Penghulu Mukim Hulu Nerus, Haji Hasan Karim menyampaikan sumbangan itu kepada pelajar-pelajar tersebut.

.......................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com