Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pelbagai pihak sokong kenyataan SUK

KUALA TERENGGANU: Rata-rata kakitangan kerajaan Negeri Terengganu menyambut baik dan merasa lega di atas penghormatan yang diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato’ Senara Muda, Haji Mazlan Hashim membuat pejelasan pada persidangan Dewan baru-baru ini. Penghormatan yang sebegini belum pernah diberikan kepada mana-mana SUK oleh kerajaan sebelum ini kecualilah kepada penasihat undang-undang untuk menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang tetapi ianya telah dibuat oleh Kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS.

Mereka merasakan penjelasan ini membolehkan mereka memahami soal yang berkaitan dengan peraturan-peraturan perkhidmatan yang diperjelaskan oleh Dato’ SUK yang memerlukan kepada kepatuhan kakitangan. Ianya juga merupakan satu pengorbanan yang besar dari seorang Setiausaha Kerajaan Negeri. Dato’ Senara Muda telah diberi kebenaran oleh Yang di Pertua Dewan Haji Hussain Awang membuat penjelasan perkara bersabit perkhidmatan pentadbiran. Tindakannya itu adalah untuk menjalankan tugasnya, menjaga disiplin pegawai-pegawai, mematuhi arahan-arahan kerajaan, memberikan ingatan agar menjauhkan urusan dari politik kepartian.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perjawatan dan Perkhidmatan), Encik Husein Embong ketika ditemui WARTA mengalu-ngalukan penjelasan oleh Dato’ SUK sambil menyifatkannya sangat baik. Ianya juga memenuhi hasrat kerajaan yang dipilih oleh rakyat, bertepatan dengan etika dan peraturan serta pekeliling perkhidmatan Awam yang sedia ada. Penolong Pentadbir Tanah Daerah Hulu Terengganu, Encik Wan Mohamad Wan Ibrahim menyokong penuh penjelasan oleh Dato’ Haji Mazlan dan menyifatkannya satu kewajaran yang perlu dipatuhi oleh kakitangan kerajaan. Beliau berkata, hasrat Dato’ SUK itu boleh meninggikan disiplin kakitangan kerajaan.

Sementara itu Puan Hajjah Aminah Ismail menyifatkannya sebagai satu sikap berterus terang dari Dato’ SUK yang mahu melihat kakitangan kerajaan menjalankan tugas selari dengan hasrat kerajaan dan mempunyai disiplin yang tinggi. Seorang Pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya disiarkan menyifatkan ianya suatu yang amat baik dan perlu dipatuhi oleh kakitangan kerajaan. Tindakan sedemikian tidak pernah berlaku ketika kerajaan dulu memerintah. Semua pihak percaya peluang yang diberikan kepada Dato’ Senara Muda tidak akan ditemui walaupun dalam masa 20 tahun lagi.

.......................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com