Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


RM200 saja setelah perintah lebih 40 tahun

Saudara Pengarang,

Sebelum dan ketika Ramadhan yang lalu, rakyat Terengganu disibukkan dengan isu pembahagian ‘Wang Ihsan" oleh pihak yang telah tersungkur akibat dihukum oleh majoriti rakyat yang sedar setelah sekian lama menjadi kuda tunggangan dan diperbodohkan. Apa yang melucukan ialah, semua yang mendapat habuan tersebut adalah dari kalangan puak yang kalah, malahan yang berkereta, berumah besar juga antara yang memperolehinya. Orang lain yang tidak tersenarai juga boleh mendapatkan wang tersebut, dengan syarat mengisi borang ahli parti yang kalah.

Namun begitu, yang menerima patut bersyukur kerana dengan perubahan kerajaan, maka dapatlah mereka merasai wang tersebut yang mana tidak pernah wujud pun sebelum ini. Yang pasti, pihak yang memberi mungkin lebih tebal kocek mereka dari mereka yang menerima. Walaubagaimanapun, yang sahihnya wang berkenaan bukanlah dari punca "royalti". Wang royalti tidak boleh diagihkan kepada satu puak sahaja kerana anugerah Allah itu adalah untuk semua hambanya di Terengganu. Jika tidak diagihkan secara adil, itu pengkhianatlah namanya.

Persoalanya, apakah setelah lebih empat puluh tahun memerintah, hanya RM200 saja yang rakyat terima, sehinggakan berkokok habis seluruh dunia, setelah puak itu sudah lama hidup mewah. Apakah nilai rakyat Terengganu ini sekitar jumlah tersebut? Ini tidak lain untuk menghina rakyat sendiri seolah-olah menjadi pengemis jalanan tanpa mempersoalkan apakah punca wang tersebut dari sumber halal atau tidak. Sehinggakan di akhir-akhir ini sering digambarkan bahawa rakyat Terengganu hidup miskin di dalam rumah yang serba dhaif dan mengharukan. Apakah mereka ini hidup mewah, punya kereta dan saham yang berjuta ketika kerajaan lama memerintah dulu? Dan mereka jatuh miskin sebaik sahaja kerajaan bertukar tangan.

Namun begitu, rakyat yang sedar tidak mungkin terpedaya dengan cerita dongeng yang digembar-gemburkan itu. Kemampuan Kerajaan Negeri mengharamkan apa yang diperintah oleh Allah adalah satu kejayaan yang terlalu tinggi nilainya disisi Allah. Itu pun hanya boleh dinilai oleh orang-orang yang Allah berikan hidayah dan terpilih sahaja. Oleh itu pemberian wang ihsan itu hanya satu lakunan dan bertujuan untuk memperkecil dan memperendahkan maruah penyokong mereka saja. Tanpa wang ihsan, rakyat Terengganu tetap hidup dan tidak pula kebulur selama ini. – TJ, GK. Kuala Terengganu.

.......................................................
Warta Darul Iman


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com