Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Tangkapan Terbesar PAS Abad Ini

Gambar utama Utusan Malaysia Isnin, 12 Februari 2001menunjukkan perut buaya bernama 'Bujang Subis' dari Sungai Niah, Miri, Sarawak dibelah perutnya dan dapat mengeluar tangan dan kaki mangsa yang dibahamnya. Serentak dengan itu gambar utama Berita Harian juga menyiarkan peristiwa yang hampir sama iaitu nelayan berjaya menangkap jerung besar seberat 300 kg di Lumut, Perak, apabila digantung dengan kedudukan ekor keatas, lalu tersembul keluar tangan dan kaki manusia yang diratahnya entah bila.

Dalam bulan Februari ini dua haiwan ganas telah berjaya ditangkap dan selepas itu berjaya dibongkarkan tindakan yang mereka telah lakukan yang selama ini terpendam diperut sungai dan dasar lautan tanpa diusik oleh sesiapa.

InsyaAllah pada 19 Februari 2001 seekor lagi spesis ganas akan berjaya ditangkap.Terpulanglah kepada pemburu yang menangkapnya.

Samada ingin membelah perutnya untuk mendedahkan apa yang telah ditelannya sejak sekian lama

Ataupun menongengkan kaki ke atas dan kepala ke bawah untuk melambakkan seluruh isi perutnya dan selepas itu melihat sendiri berapa banyak mangsa yang telah di bahamnya.

Dan pilihan yang terakhirnya ialah menjinakkan spesis tersebut, tetapi pemburu harus awas kerana sudah ramai pemburu yang telah tewas dengan kehebatan spesis ini.

Bahkan tuannya sendiri telah pernah dibaham oleh spesis ini dan ramai pemburu yang telah tewas dengan kebuasannya dan kelincahannya.

Spesis ini lebih ganas dari 'Bujang Subis' melibas tanpa mengenal mangsa, lebih rakus dari 'Jaws' dan lebih licin dari 'Belut Thailand'.

Sejarah telah membuktikan kerakusan, keganasan dan kelincahan spesis ini menggigit tuannya seperti Abd Rahman, Hussein, Ghafar dan membunuh dan mencederakan pemburunya seperti Salleh Abas, Ibrahim Libya, Musa Hitam, Ghazali, Anwar.

Kali ini, pada 19 Februari 2001, pemburu yang bernama Fadzil akan cuba mendekati spesis ganas tersebut. Ramai juga dari kalangan anak beranak dan iiran tetangga menjerit ketakutan ketika pemburu handalan kali ini memberi tahu ingin mencuba nasib.

Pemuda Kedah juga mulanya merasa bimbang bila membayangkan libasan ganas spesis ini akan mencederakan bukan sahaja pemburu, bahkan akan merobohkan pengkalan yang sudah dibina semula sejak 1978 apabila ianya roboh pada tahun 1969.

Tetapi apabila melihat bahawa umpan yang dibawa untuk menjinakkan spesis ini bukan umpan politik murahan, bukan umpan hipokrasi, bukan umpan kedengkian dan juga bukan umpan dendam kesumat.

Umpan yang di bawa adalah umpan Islam dan keimanan, umpan yang dibawa adalah umpan dosa dan pahala, umpan yang dibawa adalah kejujuran dan keikhlasan dan umpan yang dibawa adalah kemanusiaan dan keTuhanan.

Umpan yang dibawa ini disepanjang sejarah, tidak pernah mengecewakan pemburu yang membawanya bahkan telah berjaya menangkap spesis yang lebih ganas seperti Firaun, Namrud, Abu Jahal, Abu Lahab, Rom dan Farsi.

Jerit sorak anak beranak dan jiran tetangga yang tidak mengizinkan menghampiri spesis tersebut akan berkurangan jika pada 19 Februari nanti pemburu benar-benar dilihat membawa umpan yang berjaya menundukkan spesis yang lebih ganas sepanjang sejarah kemanusiaan iaitu Islam yang syumul.

Jika ini berlaku, Pemuda Kedah dengan penuh bangganya bersama pemburu untuk menangkap spesis ganas tersebut dan jika diberi peluang kamilah yang akan berebut membelah perutnya untuk mengetahui berapa banyak mangsa yang telah dibaham dan mengeluarkan dengan segera mangsa yang belum mati seperti permit akhbar Harakah 8 kali sebulan, royalti minyak Terengganu, perbicaraan kes Memali, permohonan stesyen radio dan TV kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu, peruntukan pembangunan untuk ADUN dan Ahli Parlimen BA, permohonan maaf secara terbuka terhadap fitnah UMNO terhadap PAS, kacau ganggu yang dilakukan oleh kerajaan pusat terhadap pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu.

Apakah mangsa-mangsa akan berjaya dikeluarkan dari perut spesis ganas tersebut, apabila ianya berjaya ditanggkap, ataupun ia masih secara senyap-senyap akan cuba melibas dan membaham pemburu dengan berbagai tipu muslihat dengan bantuan kuncu-kuncunya yang ada diserata lubuk dan paya?

Jika spesis ini merasakan bahawa inilah masanya ia akan membaham pemburu utamanya apabila pemburu menghampiri pada 19 Februari nanti, maka Pemuda ingin menjelaskan bahawa spesis ini silap besar, kerana pemuda sudah bersedia dengan motar dan GPMG untuk meledakkannya dengan serta merta apabila sesuatu inisiatif jahat cuba dilakukan oleh spesis atau kuncu-kuncunya.

Sanak-saudara dan jiran tetangga yang menjerit ketakutan, janganlah bimbang! Relakan pemergian pemburu kita yang penuh kewibawaan dan pengalaman untuk menjinakkan spesis terganas sepanjang sejarah Malaysia.

Janganlah kita menarik tangan pemburu hingga menyukarkan beliau menepis libasan spesis tersebut.

Janganlah kita menempik ditelinga pemburu hingga menyukarkan beliau mendengar gerakan spesis tersebut.

Janganlah kita menarik kaki pemburu hingga menyukarkan beliau menendang spesis tersebut jika keadaan memerlukan.

Kita iringi dengan doa dan harapan, semuga ia mencapai natijah yang baik. Demi kepentingan Islam dan kesyumulan. Kerana tidak ada apa yang kita perjuangkan di dalam kehidupan ini melainkan untuk mengajak manusia beriman dan mentaati keseluruhan perintah Allah swt berdasarkan Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qias.

Gunakan seluruh kesempatan yang ada untuk bertemu anak pihak spesis ganas tersebut, bahawa kita akan gagal jika bersatu di bawah Melayu, tetapi akan berjaya jika bersatu di bawah Islam.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 14 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com