APAKAH negara Malaysia benar-benar mengamalkan kebebasan akhbar? Pertanyaan ini timbul ekoran sukarnya beberapa individu mendapatkan permit untuk menerbitkan akhbar dan majalah kerana dikatakan membawa suara pembangkang.
Dari ribuan permit yang dikeluarkan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), banyak permit yang seolah-olah tidak dipantau kualitinya.
Maka, lahirlah akhbar dan majalah (selepas ini disebut media cetak) yang tidak bermoral dan tidak mencapai tahap yang diharapkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan ada sebahagian majalah ini "tidak boleh dibawa balik ke rumah." Media cetak ini akan menjual cerita-cerita seks, skandal dan tahyul yang langsung tidak memberi manfaat ke arab kemajuan dunia dan IT. Maknanya, dalam persiapan dunia menuju ke arah IT, di Malaysia, rakyatnya disajikan dengan bahan-bahan "mengundur ke belakang".
Dalam kesibukan KDN memantau media cetak yang simpati dengan pembangkang, mereka tidak mempedulikan majalah lucah dan pornografi yang terlalu banyak di pasaran terbuka. Sebahagiannya, menjual gambar lucah artis dan modeling. Apakah ini baik untuk rakyat negara ini? Penerbit yang tidak berpengalaman tentunya tidak tertakluk kepada etika. Mereka berniaga dan matlamatnya hanya mahu mencari keuntungan tanpa punya tanggungjawab mendidik dan menyediakan bahan terbaik bagi menjadi santapan minda rakyat.
Ada penerbit majalah yang 'melakukan segala-galanya seorang diri' dengan memetik gambar-gambar lucah dari Internet dan cerita rekaan yang mengarut. Ini semua tidak dipedulikan pihak KDN kerana mereka mungkin tidak mempunyai tanggungjawab sosial. Lebih teruk lagi, mungkin Menteri Dalam Negeri tidak 'kisah' dengan majalah seperti ini asalkan 'bukan politik pembangkang'.
Bayangkan, majalah kecil bersaiz Mastika yang berderet di pasaran benar-benar menjadi bahan picisan yang tidak langsung memberi manfaat kepada pembaca. Selagi media cetak ini mampu diterbitkan, bermakna penerbitnya memperolehi keuntungan. Mengapa pihak KDN masih terus membenarkan majalah seumpama ini diterbitkan dan khabarnya masih banyak permit yang akan diberikan kepada pemohon asalkan ia bukan bercorak politik dan tulisan serius.
Mustahil jika penerbitnya mengalami kerugian, ia terus menerus diterbitkan. Mengapakah pihak KDN tidak menghadkan pengeluaran permit jenis ini yang rata-rata menjual bahan karut-marut dan ada yang jelas mampu membawa kerosakan akidah. Tanpa merujuk mana-mana majalah, ada yang mengambil kesempatan dengan menipu pembaca dengan peraduan-peraduan yang dibuat. Pembaca dijanjikan dengan hadiah menarik dan lumayan tetapi hakikat sebenarnya, semua pembaca tertipu.
Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi tentunya tidak ada masa untuk melihat semua ini tetapi kesan jangka panjang kepada pemikiran rakyat negara ini cukup membimbangkan. Apa yang dapat dilihat, asalkan permohonan permit itu tidak bercorak politik, maka KDN akan memberikan kepada sesiapa sahaja yang memohonnya. Ada pemohon yang mengambil kesempatan ini untuk memiliki sebanyak mungkin permit dan kemudiannya menyewakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab. Banyak bahan yang tersiar merupakan cerita rekaan tanpa asas dan sebahagiannya mengambil peluang 'membuka ruangan iklan' yang bertujuan 'asal dapat duit' sedangkan rakyat tertipu.
Dalam satu tulisan di ruangan surat pembaca, seorang gadis menceritakan bagaimana dia tertarik dengan satu iklan kecil kononnya dapat menambah pendapatan walaupun hanya bekerja secara sambilan di rumah.Setelah menghantar surat bersetem dan beralamat sendiri, pengiklan meminta gadis itu menghantar bayaran pendaftaran sebanyak RM30 dan kemudiannya memberikan pelbagai program yang tidak mudah untuk dilaksanakan.
Bila gadis itu enggan meneruskan urusan dengan pengiklan itu, wang RM30 itu tidak dikembalikan sebaliknya ia tidak boleh dikesan kerana menggunakan alamat peti surat tanpa sebarang nombor telefon dan sebagainya. 'Penipuan' seperti ini terus menerus berlaku dan tiada siapa pun yang menghiraukannya.
Selain itu, terdapat juga individu yang mengaku sebagai tukang urut, bomoh dan pawang yang menjalankan operasi di hotel-hotel. Mereka terus mengiklankan 'perniagaan' mereka tanpa rasa gentar. Rakyat terus tertipu dan KDN langsung tidak mengambil kira perkara ini walaupun "ia mungkin bidang kuasanya".
Untuk mendapatkan bacaan berkualiti, rakyat Malaysia terpaksa mendapatkan majalah luar negara. Akhbar harian menjadi begitu 'tawar' kerana mengambil sikap mengampu. Majalah-majalah bulanan yang dahulunya merupakan majalah 'ilmu' menjadi majalah 'misteri' kerana kebenaran KDN untuk mereka menukar syarat penerbitan.
Akhirnya, apa yang mahu diharapkan dari dunia penerbitan di Malaysia? Bagi pembaca yang sukakan hiburan, mereka dengan mudah boleh membeli majalah-majalah yang mendedahkan pusat dan berfoto seksi kerana ini yang dibenarkan KDN. Tetapi, bagi mendapatkan maklumat sebenar perkembangan politik tanahair dan analisis beberapa penulis mampan, ia bagai mencari kucing bertanduk.
Sejarah membuktikan, Perdana Menteri, Mahathir Mohamad ketika menjadi Menteri Dalam Negeri lebih terbuka daripada Abdullah Ahmad Badawi. Akhbar mingguan yang ada bebas seperti Eksklusif diharamkan. Satu sumber memberitahu, pegawai-pegawai KDN meyakinkan Abdullah bahawa akhbar itu tidak bertanggungjawab. Secara kebetulan, Abdullah yang memang kurang membaca bersetuju dengan pandangan pegawai kerajaan itu menyebabkan akhbar Eksklusif cuma sempat menemui pembaca setakat 52 minggu, iaitu jumlah keluarannya setahun.
Seorang penerbit dan penulis politik terkenal, Tarmizi Mohd Jam pernah memberitahu; "Dr. Mahathir tidak begitu keras tindakannya terhadap penulis tetapi berbeza dengan Menteri Dalam Negeri sekarang!" Sebuah majalah politik, Panji Masyarakat diharamkan tanpa sebarang amaran. Majalah Detik dan Al-Wasilah digantung tidak bertali sebelum diharamkan terus.
KDN mungkin mempunyai alasan sendiri mengapa mereka bertindak sedemikian tetapi mengapa kepada majalah bercorak politik? Apakah kerana Abdullah orang politik, maka segala tindak tanduknya mestilah bermotifkan politik? KDN seharusnya tidak perlu takut dengan media cetak yang 'nampak' seperti menyokong pembangkang. Media cetak ini terpaksa melakukannya kerana 'ia soal hidup dan mati' penerbitan itu sendiri. Bagaimana harus media cetak ini 'hidup' jika ia tidak laku dijual? Itulah sebabnya, ada majalah-majalah yang diterbitkan penerbit terkemuka juga terpaksa gulung tikar kerana bahan kandungan majalahnya 'mengampu' kerajaan.
Secara bergurau seorang kawan memberitahu, akhbar harian sendiri tidak berani menyiarkan gambar Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi di muka hadapan akhbar masing-masing kerana khuatir tidak laku.
"Berbeza dengan gambar-gambar pemimpin pembangkang, ia laris seperti jualan saham berprestij," kata kawan itu yang menurutnya kajian mengenai ini dibuat sejak dua tahun lalu. Seorang usahawan terkemuka pula melahirkan rasa hairannya dengan sikap KDN kerana terlalu 'takut' dengan satu atau dua majalah yang 'tidak sependapat dengan kerajaan'.
"Kerajaan boleh gunakan akhbar harian untuk berhadapan dengan satu atau dua majalah yang simpati kepada pembangkang," katanya ketika ditanya pendapatnya mengenai tindak-tanduk KDN kebelakangan ini.
Satu hakikat yang pihak KDN dan Abdullah Ahmad Badawi perlu ketahui ialah pembaca Harakah dan Roket bukan sahaja dari kalangan mereka yang menjadi ahli parti-parti pembangkang.
Maknanya, bukan kerana membaca Roket dan Harakah menyebabkan rakyat mengundi pembangkang dalam pilihan raya. Pembaca akhbar harian pun ramai yang bersimpati dengan pembangkang kerana 'tindak tanduk' akhbar harian ini juga menjadi sebab mengapa pembaca 'meninggalkannya' dan tidak percaya dengan apa yang dilaporkan.
Justeru, untuk apa KDN dan Menteri Dalam Negeri khuatir dengan kehadiran satu atau dua media cetak yang tidak menyokong kerajaan ini. Untuk meminta media cetak seperti ini melaporkan aktiviti pemimpin kerajaan memanglah mustahil kerana semua yang dilakukan pemimpin kerajaan sudah diberikan publisiti oleh media massa pro-kerajaan termasuk TV, radio dan akhbar harian yang pelbagai bahasa.
Jika betul laporan satu badan bebas yang mengkaji turun naik jumlah edaran media cetak di negara ini, bermakna usaha yang dijalankan pihak pembangkang supaya rakyat memboikot media massa tertentu berjaya.
Walaupun ada pihak dari media massa tersebut yang cuba menafikan 'kejayaan pemboikotan' ini tetapi hakikat tersebut tidak boleh ditolak sewenang-wenangnya.
Hari ini, penerbitan semakin banyak makalah tidak berkala terbitannya membuktikan 'betapa sukarnya' mereka (penerbit) mendapatkan kebenaran. Dan ini juga, bagi mereka yang faham membawa erti, kebebasan media tidak wujud di Malaysia walaupun di pasaran ratusan judul terjual.
Apakah sekatan yang dikenakan ini boleh menyebabkan jumlah edaran akhbar harian akan meningkat semula? Jawapannya tentu tidak dan mereka yang sudah menolak kehadiran akhbar harian ini akan terus menolaknya walaupun tiada apa yang boleh dibaca lagi.
Rakyat mesti terus memboikot media massa tertentu kerana 'inilah cara terbaik' mengajar mereka yang tidak sedar diri, ego dan pengampu.
Tidaklah ada satu kepedihan yang lebih dari apa yang dirasakan pengamal media massa pro-kerajaan hari ini apabila kesan pemboikotan itu berjaya. #
OLEH DAUD HAJI IBRAHIM
daibra@hotmail.com
.................................................................
Petikan Majalah Fokus Editor Suria Janid