Tranung Kite - Pertemuan PAS-UMNO: Siapa Ikhlas Siapa Berolok
    Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pertemuan PAS-UMNO: Siapa Ikhlas Siapa Berolok

oleh
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad

Perkembangan baru untuk merealisasikan pertemuan PAS-UMNO amat menarik perhatian setiap rakyat. PAS meletakkan beberapa prasyarat sebelum pertemuan itu dinatijahkan; termasuk isu royalti minyak Trenggganu, Isu Harakah, Isu Anwar dan nama Islam itu sendiri. Reaksi dari beberapa pemimpin UMNO sudah pasti membingungkan rakyat yang perihatin kerana pra-syarat-pra-syarat itu dengan sendirinya mendedahkan fe'el-fe'el UMNO yang selama ini dirasakan menjadi antara faktor yang memecahbelahkan orang Melayu.

Pertemuan PAS-UMNO amat penting. Tidak siapa yang menafikannya; malah kerana terlalu pentingnya inilah maka PAS perlu berhati-hati, bersungguh-sungguh dan meletakkan beberapa faktor utama supaya pertemuan itu kelah menjadi sejarah . Pertemuan itu bukan sebuah gimmik tapi satu pertemuan antara dua organisasi yang besar mewakili orang Melayu-Islam, Oleh itu setiap perincian untuk pertemuan itu perlu digariskan dengan catitan hitam-putih supaya ianya kelak menjadi satu dokumen sejarah dalam usaha mendaulatkan bangsa Melayu.

Pra-syarat yang digariskan oleh PAS adalah amat penting dan memperlihatkan kesungguhan serta keikhlasan yang amat jitu kerana hanya sesudah pra-syarat itu dibereskan saja barulah martabat kedua-dua pihak setara; bukan yang satu menzalimi satu yang lain. Isu royalti minyak. isu Anwar, Islam dan Harakah amat jelas memperlihat kezaliman UMNO terhadap PAS. Kezaliman ini sukar sekali untuk menunjukkan keikhlasan UMNO bila pertemuan diadakan kelak.

Sayang, reaksi dari beberapa orang pemimpin UMNO amat nagatif sekali. Dato' Seri Najib dengan sendirinya merasakan pra-syarat itu tidak penting dan boleh dikemukakan bila bertemu kelak. TPM, seperti biasa, mengatakan hal-hal yang umum saja bila memberi komen dan sukar untuk memegang kenyataannya kerana beliau hanya mengekor saja. Mahathir lebih menarik lagi komennya kerana, katanya, dalam pertemuan itu boleh timbulkan apa saja yang dikehendaki kerana yang penting baginya adalah pertemuan itu; bukan agendanya, bukan hasilnya. Mahathir lebih melihat dari aspek propaganda pertemuan itu kerana pertemuan itu akan di tonjolkan secara heboh dan berleluasa oleh semua media massa untuk kepentingan politiknya. Komen Mahathir jelas tidak memperlihatkan kesungguhan kerana , baginya, pertemuan itu hanya untuk bertemu dan bercakap-cakap saja.

Ini amat berlainan dengan sikap PAS yang berhati-hati, bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan kerana pertemauan itu adalah sejarah yang besar bagi PAS. Sekiranya pertemuan itu tanpa agenda, tanpa syarat-syarat yang munasabah, maka PAS rasakan ianya hanya satu mainan politik UMNO saja. Oleh itu pra-syarat yang dituntut oleh PAS perlu sangat dipenuhi terlebih dulu oleh UMNO. Sebenarnya masih banyak lagi pra-syarat yang boleh ditimbulkan oleh PAS kerana selama ini PAS asyik menjadi sasaran utama UMNO saja; termasuk sekatan ceramah , pengelolaaan mesjid , penindasan ke atas ahli PAS dan sebagainya. UMNO tidak pernah menerima PAS sebagai parti politik yang berwibawa dalam dasar demokrasinya seperti yang berlaku pada kerajaan PAS di Terangganu dan Kelantan. Kewaspadaan PAS dalam pertemuan ini amat disanjungi dan sudah pasti orang Melayu yang perihatin menyokong PAS dengan prasyarat-prasyarat itu.

Namun belum apa-apa lagi sudah ada suara yang memperkecilkan PAS sebagai sebuah parti politik dan di sana sini menganggap PAS hanya sebagai parti yang amat sempit dasar dan matalamatnya. Beberapa akhbar yang hanya asyik mengangkat UMNO hanya tahu mengkritik saja; malah sudah ada yang menulis rencana pengarangnya pun memperkecil-kecilkan hasrat PAS yang ikhlas dan bersungguh-sungguh itu.

Kita berharap PAS tetap dengan pra-syaratnya. Benar bahwa beberapa pra-syarat itu melibatkan kerajaan dan bukan UMNO sebagai sebuah parti politik. Tapi UMNO adalah teraju kepada pemerintahan sekarang. dan kiranya UMNO menerima pra-syarat itu, UMNO boleh membawa nya kepada kerajaan untuk tindakan sewajarnya. Pertemuan boleh diadakan lagi dua tiga kali lagi untuk PAS menerima tuntutannya.

Itupun kalau UMNO benar-benar serius dengan pertemuan ini. Kalau hanya untuk berolok saja , maka PAS tidak perlulah bersusahpayah untuk bertemu kerana akhirnya PAS akan hanya menjadi sasaran olok-olokan UMNO saja. Elok saja tunggu 2004 bilamana rakyat seluruhnya membuat pilihan samada hendakkan UMNO atau PAS. Kita serahkan saja kepada rakyat bila rakyat bertemu suara dalam pilihanraya nanti. Allah-u-Akhbar.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 21 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com