Assalamualaikum wm wbt
Serangan keatas Iraq : Kerajaan UMNO-BN turut berdosa.
Memang tidak kena pada tempatnya, malah melucukan bila
Pemuda UMNO berdemo baru-baru ini di depan Kedutaan
Amerika Syarikat untuk membantah serangan udara
terbaru oleh Amerika Syarikat dan Britain keatas Iraq.
Bukankah kerajaan Malaysia yang diterajui oleh UMNO
telah menyokong Resolusi 678 Bangsa-Bangsa Bersatu
bertarikh 29 November, 1990? Resolusi 678 bukan sahaja
membenarkan tindakan ketenteraan keatas Iraq tetapi
telah juga memberi ‘blank cheque’ kepada Amerika
Syarikat dan kuasa-kuasa Barat untuk bertindak kejam
keatas Iraq hingga ke hari ini.
Serangan udara terbaru keatas Iraq pada Jumaat, 16
Februari, 2001 masih berasaskan mandat Resolusi 678
yang disokong oleh kerajaan Malaysia. Bukankah ini
bermakna kerajaan Malaysia yang diterajui oleh UMNO
turut bersubahat dan bertanggungjawab?
Dan bukankah kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO
seterusnya telah menyokong Resolusi-resolusi susulan
Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengenakan sekatan ekonomi
dan beberapa tindakan susulan ketenteraan ke atas
Iraq? Akibatnya antara lain adalah puluhan ribu
kanak-kanak di Iraq telah mati kerana kekurangan
makanan dan ubatan dan beribu rakyat Iraq terbunuh
atau cedera dengan beberapa serangan missiles Tomahawk
dan serangan udara Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa
Barat. Bukankah kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO
telah menyokong Resolusi-resolusi BB berkaitan Iraq
dan dengan demikian UMNO sama sahaja dosanya dengan
Amerika Syarikat? Pemuda UMNO sila jawab.
Memangnya Iraq pada mulanya bersalah kerana telah
menyerang dan meanaklukki Kuwait pada 2 Ogos 1990.
Iraq tetap bersalah walau pun Sadam Husin telah
diperdayakan oleh Duta Besar Amerika Syarikat ketika
itu, Ms April Glaspie yang telah menipu Sadam Husin
kononnya Amerika Syarikat tidak akan campurtangan
dalam apa jua bentuk tindakan yang bakal diambil Iraq
ke atas Kuwait. Memangnya Kuwait dari segi sejarah
adalah tanah milek Iraq yang telah ditarah keluar dan
diberi kemerdekaan oleh pihak British kerana potensi
minyak dan gas asli wilayah tersebut. Namun begitu
Iraq tetap bersalah kerana telah menggunakan
kekerasan.
Tetapi kebanyakkan negara-negara OIC, termasuklah
Malaysia, telah juga terang-terang melanggar hukum
Allah SWT apabila menyokong dan membantu tindakan
ketenteraan puak kafir Amerika Syarikat dan Barat ke
atas Iraq atas nama kerjasama Bangsa-Bangsa Bersatu.
Orang Islam ditetapkan supaya menyelesaikan sendiri
secara in-house peperangan antara puak-puak atau
negara-negara Islam. Usaha mencari penyelesaian
perdamaian itu mesti diusahakan oleh orang-orang Islam
sendiri dan bukan dengan campurtangan puak-puak kafir,
lebih-lebih lagi campurtangan Amerika Syarikat dan
Kristian Barat yang jelas adalah musuh Islam.
Malaysia adalah ahli Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UN Security Council) semasa Resolusi 660 ( 2
Ogos 1990) dan Resolusi 678 (29 November, 1990)
diluluskan.
Resolusi 678 yang menjadi asas kepada segala
tindak-tanduk kejam oleh Amerika Syarikat dan Barat ke
atas Iraq hingga ke hari ini telah mendapat laluan
dengan 12 undi menyokong (termasuk sokongan Malaysia),
2 undi menentang ( Cuba dan Yemen) dan 1 undi
pengecualian (China).
Keputusan Malaysia menyokong Resolusi 678 ini
mengecewakan ramai orang Islam yang telah mengharapkan
sekurang-kurangnya Malaysia akan mengambil pendirian
berkecuali (abstention) seperti yang diambil oleh
China.
Operative clause Resolusi 678 yang telah
dieksploitasikan sewenang-wenangnya oleh Amerika
Syarikat dan negara-negara Barat untuk ‘menghukum’
(menganiayai) Iraq hingga ke hari ini adalah fasal 2
yang berbunyi demikian – “ to use all necessary means
to uphold and implement resolution 660 (1990) and all
subsequent relevant resolutions and to restore
international peace and security in the area.”
(Resolution 660 diluluskan pada hari Iraq menyerang
Kuwait pada 2 Ogos, 1990. Resolusi itu menuntut Iraq
mengundurkan tenteranya dari Kuwait).
Memang betul pada mulanya Malaysia memperlihatkan
sedikit keengganan untuk menyokong Resolusi 678. Ini
adalah kerana Malaysia menganggap initiatif diplomatik
untuk mencari penyelesaian perdamaian melalui
perundingan ( peacefully negotiated settlement) belum
diusahakan sepenuhnya (not as yet exhaustive) atau
diberi masa yang cukup. Malaysia telah mengubah
pendirian ini dengan sekelip mata selepas lawatan
Secretary of State Amerika Syarikat, James A. Baker
III. Dikatakan kononnya Malaysia terpengaruh dengan
habuan yang dijanjikan oleh Amerika Syarikat yang
berupa peningkatan eksport Malaysia ke Amerika
Syarikat dan peningkatan pelaboran Amerika Syarikat
kedalam ekonomi Malaysia jika Malaysia menyokong
Resolusi 678.
Ada juga cerita kononnya Mahathir dalam pertemuan
‘four-eyed’ dengan Baker telah digula-gulakan dengan
suatu “secret defence arrangement” Bermacam spekulasi
didengar mengenai ‘perjanjian pertahanan yang rahsia’
itu yang orang-orang Wisma Putra enggan mengesahkan
dan enggan pula menafikannya. Ada cerita kononnya
Amerika Syarikat memberi janji akan sanggup menghantar
tenteranya ke Malaysia untuk mempertahankan kepimpinan
Mahathir dan UMNO. Betul atau tidak cerita-cerita ini,
Allahualam.
Iraq telah berundur dari Kuwait sejak bulan Februari
1991 lagi, tetapi Amerika Syarikat, Britain dan
negara-negara Barat telah terus menghukum Iraq dengan
sekatan ekonomi dan bermacam lagi tindakan susulan
ketenteraan hingga ke hari ini. Memang benar ada
negara OIC, termasuk Malaysia, yang kononnya tidak
bersetuju dengan tindakan menghukum Iraq secara
berterusan itu, tetapi kesemuanya negara-negara OIC
itu tidak berani untuk benar-benar membantah kerana
takut akan tindak balas Barat, terutama keatas ekonomi
mereka . Oleh itu kita hanya dengar negara-negara OIC,
terutamanya Malaysia, hanya membuat heboh dan bising
sekali-sekala, itu pun bukan kerana hendak betul-betul
menolong Iraq tetapi ianya lebih berupa propaganda
untuk ‘public consumption’ di negara sendiri.
Oleh kerana Malaysia menyokong Resolusi 678 maka tidak
boleh disalahkan jika ramai rakyat kita hanya
memandang sinis atau mengetawakan demo Pemuda UMNO
baru-baru ini. Lawatan Siti Hasmah dahulu ke Iraq juga
telah menjadi bahan ketawa.
Gelagat kerajaan UMNO-BN yang berpura-pura simpati
terhadap Iraq sama seperti kepura-puraan yang
diperlihatkan terhadap isu keganasan dan penganiayaan
Israel keatas orang Arab Palestine. Kita telah lihat
bagaimana kerajaan UMNO-BN telah menghukum penjara
tiga rakyat Malaysia yang berdemo anti-Israel tetapi
beberapa hari kemudiannya Mahathir telah berpura-pura
mengutuk Israel di Persidangan Kemuncak OIC di Doha.
Pemuda UMNO dinasihatkan supaya hentikan sandiwara
mereka itu. Jangan berpura-pura menunjuk simpati
kepada Iraq. Keikhlasan dan kredibiliti kerajaan
Malaysia yang diterajui oleh UMNO berkaitan isu-isu
Islam termasuk penindasan dan penganiayaan keatas Iraq
oleh kuasa-kuasa Barat adalah – ZERO. Elok kiranya
Pemuda UMNO menumpukan perhatian terhadap menangani
perpecahan dalam UMNO yang semakin teruk demi hari.
Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !
Tarabulsi
1 Zulhijah 1421
(25 Februari, 2001)