TYT Presiden George W Bush
Presiden Amerika Syarikat,
Rumah Putih,
Washington DC.
Melalui,
TYT Duta Besar Amerika Syarikat,
Pejabat Kedutaan Besar AS,
Jalan Tun Razak,
KUALA LUMPUR
23 FEBRUARI 2001
Tuan Yang Terutama Presiden AS,
MEMORANDUM MENGUTUK TINDAKAN KEBINATANGAN AMERIKA SYARIKAT KE ATAS IRAQ
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius tindakan "barbarian" yang dilakukan oleh "polis antarabangsa", Amerika Syarikat dan kuncunya, Britain yang menyerang tanpa sebab negara Iraq sehingga menyebabkan kemusnahan pihak yang tidak berdosa. Bagi DPP Pusat kemusnahan dan penderitaan yang dihadapi oleh umat Islam di Iraq merupakan penghinaan kepada umat Islam di seluruh dunia.
DPP Pusat sangat kesal di atas sikap rakus dan tidak berperikemanusiaan Presiden Bush yang mewarisi keganasan yang pernah dilakukan oleh bapanya ke atas Iraq pada 1989 dahulu. DPP Pusat masih tidak memahami sikap munafik yang menjadi orientasi Amerika Syarikat dalam politik antarabangsa sehingga sanggup melakukan keganasan ketika menuntut negara lain mematuhi piawai hak asasi manusia antarabangsa.
DPP Pusat menuntut Amerika Syarikat supaya segera memohon maaf kepada warga Iraq dan seluruh umat Islam di atas keganasan yang dilakukan oleh Presiden George W. Bush. Amerika Syarikat juga mesti membayar ganti rugi yang dialami oleh kerajaan Iraq dan rakyatnya. DPP Pusat amat bimbang sekiranya umat Islam memilih jalan terakhir dan bertindak menggunakan kekerasan akibat daripada sikap angkuh dan sombong Amerika Syarikat yang menyerang dan membuli negara-negara umat Islam.
Yang Menjalankan Amanah
SALAHUDDIN HJ AYUB
Naib Ketua DPP Pusat