Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kenyataan Akhbar S/U Agung PAS ( Perpaduan Nasional)

Kenyataan Akhbar
Setiausaha Agung PAS
15 Februari 2001

‘PERBINCANGAN PERPADUAN NASIONAL’

Lujnah Politik PAS Pusat telah bersidang pada 14 Februari bagi mendengar dan meneliti secara rasmi laporan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal PAS-UMNO pada 8 Februari 2001 yang lalu. Lujnah Politik PAS Pusat sementara menegaskan komitmen keputusan yang dibuat oleh Jawatakuasa PAS Pusat, merakamkan beberapa perkembangan mutakhir yang mendesak kami meneliti secara lebih dekat perbincangan PAS-UMNO ini, supaya ia dianjurkan dalam suasana penuh keprihatinan dan pertanggungjawaban terhadap kemaslahatan negara dan kepentingan rakyat.

Lujnah Politik PAS Pusat telah diberitahu akan beberapa hal yang telah diperbincangkan dan perlu dibawa kembali kepada pertimbangan pimpinan parti masing-masing. Sehubungan dengan perkara ini, Lujnah Politik PAS Pusat merakamkan beberapa tindakan pemimpin UMNO khususnya Dr Mahathir dalam beberapa kenyataan akhbar baru baru ini yang jelas menyanggahi semangat keputusan ini. Jelas bahawa Dr Mahathir sengaja membelakangi keputusan ini. Umum membantah sikap ‘high-handed’ seperti ini ketika beliau mendedahkan beberapa hal bersabit tarikh, format perwakilan dan agenda perbincangan.

Penegasan Dr Mahathir terhadap perpaduan Melayu sebagai agenda perbincangan juga memberi gambaran kurang baik terhadap suasana perbincangan. Kenyataan beliau yang disiarkan dalam akhbar The Star 11 Februari 2001, bahawa Perpaduan Nasional adalah sebahagian dari Pepaduan Melayu lebih-lebih lagi melukakan sebahagian besar rakyat tertutamanya warga dan penyokong PAS/BA. PAS dengan ini ingin merakamkan bahawa keputusan Jawatankuasa Agung dalam komitmen kami kepada perbincangan PAS-UMNO adalah atas agenda Perpaduan Nasional. Sementara penegasan kepada agenda yang serba menyeluruh ini adalah penting, PAS bersedia untuk mendengar pandangan pemimpin UMNO terhadap agenda perpaduan Melayu.

Perjumpaan JK Teknikal juga melaporkan kepentingan kedua-dua pihak supaya mewujudkan suasana positif yang akan memungkinkan perbincangan ini direalisasikan. Antara perkara yang telah disampaikan oleh JK Teknikal PAS kepada pihak JK Teknikal UMNO adalah perlunya UMNO mengembalikan keadaan kepada status-quo. Sebagai ‘starter’ atau ‘appetiser’ (muqaddimah), antara perkara yang disebutkan adalah mengembalikan semula hak royalti minyak seperti yang sedia termaktub yang perjanjian. Kami juga merasakan bahawa mengembalikan penerbitan Harakah sebanyak dua kali seminggu itu adalah wajar dilakukan oleh UMNO. Sementara itu kami juga amat dukacita dengan tindakan pihak keselamatan yang menggunakan kekerasan terhadap majlis majlis BA, seumpama yang berlaku di Sabak Bernam dan di Kubang Pasu. Jelasnya tindakan seperti ini adalah bercanggahan dengan semangat perpaduan nasional yang hendak dicapai. PAS berpandangan bahawa tajuk pertemuan sebagai “Perbincangan Perpaduan Nasional” adalah amat wajar untuk membaik-pulih suasana negara hari ini. Maka dengan itu PAS mencadangkan agenda perbincangan adalah seperti berikut:

a. Kepincangan sistem kehakiman: PAS akan secara khususnya membangkitkan isu pendakwaan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan akan mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu ini.

b. Pencabulan ke atas demokrasi: PAS akan membangkitkan perkara berkaitan dengan Federalisma dan perlunya kembali kepada semangat perlembagaan dalam hubungan antara kerajaan negeri dan pusat.

c. Kepincangan ekonomi: Pas akan mengemukakan pandangan rakyat berhubung dengan dakwaan penyalahgunaan dana awam seperti KWSP, Tabung Pencen, Tabung Haji dan Wang Saham Amanah tanpa mengikut prosedur tertentu dan untuk tujuan yang dipertikaikan.

d. Peminggiran kedudukan dan peranan Islam: PAS akan membangkitkan isu berhubung cadangan UMNO untuk menggugurkan penggunaan perkataan ‘Islam’ pada nama pertubuhan Islam terrmasuk parti politik, yang mana akan menambahkan ketegangan rakyat.

NASHARUDIN MAT ISA
Setiausaha Agung PAS Pusat.
15 Feb 2001.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com