Mungkin saudara dan saudari tertanya-tanya kenapa saya menulis artikel
bertajuk seperti di atas. Jawapannya mudah, sekadar ingin berkongsi bersama
agar kita dapat membentuk sahsiah diri yang lebih baik.
Sekadar peringatan kepada semua, saya bergitu tertarik dengan teks daripada
Yusuf Qardhawi mengenai perkara ini. Fardhu kifayah dalam hidup kita
merupakan satu tuntutan yang perlu dilakukan oleh orang Islam sehingga cukup
quotanya. Sebagai contoh, sekiranya satu kawasan itu tidak mempunyai seorang
kadi, maka menjadi fardhu kifayah kepada penduduk kawasan tersebut untuk
berusaha memenuhi quota tersebut. Perkara ini tidak hanya termaktub kepada
hal-hal yang berkaitan dengan agama, malahan dari CEO kepada seorang kerani.
Kekurangan inilah yang saya lihat punca terbesar kepada umat Islam sekarang
berada di belakang umat-umat yang lain. Kita sebagai umat Islam haruslah
memimpin dihadapan bukannya mengikut di belakang. Saya positif ramai di
kalangan kita yang mempunyai pengetahuan yang luas mengenai komputer, tetapi
ianya hanya boleh dispesifikasikan sebagai pak turut. Kita mengikut
perkembangan teknologi dan bukannya mencipta sesuatu. Kekurangan kepakaran
dalam bidang penyebaran maklumat secara menyeluruh ke serata dunia
menyebabkan pihak lain melancarkan propaganda mengenai Islam merupakan agama
yang hanya tahu berkelahi, berperang dan bencikan pendamaian. Secara rambang
saya melihat kita masih lagi ketinggalan, menggambarkan fardhu kifayah masih
lagi tidak tertunai seluruhnya. Ramai di antara kita yang masih lagi
mengunjungi restoran 'fast food' yang dikuasai oleh umat bukan Islam.
Pekerjaan seperti pasukan keselamatan merupakan fardhu kifayah kepada kita.
Apabila seseorang itu mendapat sesuatu pekerjaan contohnya polis, maka ia
bukan lagi fardhu kifayah tetapi telah bertukar menjadi fardhu ain kepada
beliau. Ini kerana pekerjaan itu melambangkan amanah yang diberikan oleh
pihak polis kepada beliau untuk menjaga keamanan dan keselamatan setempat.
Siapa kata Allah takkan tanya pasal kerja dunia?
Amanah yang diberikan itu hendaklah dijaga sebaik-baiknya. Sama seperti
hubungan suami-isteri, setiap ahli polis hendaklah mengikut setiap langkah
dan arahan pihak atasan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum Allah.
Membelasah orang ramai kerana tanpa sebab adalah salah walaupun tugasan itu
diperintahkan oleh pihak atasan kerana ia melanggar hukum Islam. Kita tidak
boleh memukul orang tanpa sebab musabab. Seorang akauntan tidak boleh
mencuri duit syarikatnya kerana disuruh oleh bossnya kerana Islam
mengharamkan mencuri. Seorang akauntan hendaklah menjaga amanah, dengan
berlaku jujur, tidak menipu untuk menjaga kedudukannya dan tidak mengamalkan
rasuah.
Oleh itu saranan saya kepada pasukan keselamatan dan menteri-menteri,
fikirlah masak-masak tentang amanah sebenar pasukan keselamatan kepada
rakyat. Hakimlah diri sendiri sebelum rakyat menjadi hakim di pentas
keadilan, dan lebih buruk lagi jika anda berdepan dengan Tuan segala makhluk
dan alam semesta di padang masyhar. Mulut anda akan dikunci dan setiap
pergerakan anda akan dipaparkan ke seluruh umat manusia. TIDAK MALUKAH ANDA?
Nia Iskandar