Assalamualaikum,
Mungkin topik ini tidak sesuai pada masa dan ketikanya, tapi saya rasa
terpanggil untuk mengkritik pasukan negara yang bagaikan longlai di persada
antarabangsa.
Kenapa kita kekurangan pemain bolasepak yang benar-benar unggul seperti
mokhtar dahari, soh chin aun, arumugam dan ramai lagi 20-30 tahun dahulu
membawa nama negara sehingga ke sukan olimpik. Oleh kerana Russia pada masa
itu merupakan negara komunis, pasukan negara terpaksa membatalkan hasrat
mereka untuk beraksi di sukan bertaraf dunia. Di sini saya cuba menghuraikan
faktor-faktor yang menyebabkan skuad negara malap di peringkat dunia mahupun
asia.
1. Rasuah - Rasuah telah menular dari politik ke bola sepak. Kita dikejutkan
dengan penangkapan seorang rakyat malaysia di UK kerana cuba untuk merasuah
pemain bolasepak professional england divisyen 1 sedikit masa dahulu. Pemain
seperti Azizul Abu Hanifa, Matlan Marjan, dan ramai lagi ditangkap kerana
rasuah. Begitu cekap sekali mereka menangkap pemain bola sepak yang
mengamalkan rasuah daripada ahli politik yang mencuri duit rakyat. Ini
menunjukkan kerajaan telah gagal untuk memupuk sifat baik dan bersih di
kalangan rakyat malaysia untuk menolak dan membasmi gejala rasuah. Tidakkah
kita terpikir bahawa semua ini adalah berkaitan dengan sistem pendidikan
negara yang gagal menyemai keperibadian yang tulus dan bersih?
2. Duit sebagai 'motivator'. Rata-rata gaji pemain-pemain boleh mencecah 5
angka tetapi prestasi mereka sebenarnya hanya layak untuk menerima gaji
seorang kerani. Saya bukan cuba memperkecilkan pekerjaan kerani, tetapi saya
mahu menekankan prestasi pemain bolasepak negara hanya tergolong dalam
kategori gaji yang diterima oleh seorang kerani. Nilai satu juta kepada
Azman Adnan adalah tidak munasabah. Selepas diberi nilai satu juta, Azman
Adnan nampak tidak dapat beraksi dengan baik (crack under pressure) kerana
nilai itu. Ganjaran membawa balik piala terlalu besar dan melimpah ruah yang
nyata tidak berpadanan dengan prestasi bola sepak negera.
3. Bola sepak negara bola subsidi. Setiap bola sepak negeri akan menerima
habuan daripada kerajaan negeri setiap tahun. Nampaknya bola sepak negara
hanya pemain sahaja yang professional tetapi pengurusan masih di takuk lama.
Mereka tidak kisahkan kerugian kepada persatuan negeri kerana setiap tahun
mereka akan memdapat subsidi dari kerajaan negeri. Cuba kita lihat di
negara-negara Eropah dan Amerika yang rata-rata menggunakan duit sendiri.
Pengerusi kelab bola sepak membuat pinjaman daripada bank, mengeluarkan dari
kocek sendiri atau mencari penaja untuk mengukuhkan kedudukan pasukan bola
sepak mereka. Keuntungan mereka memang bergantung kepada penjualan tiket dan
barang-barang di atas nama pasukan mereka seperti Barcelona, Manchester
United, Lazio, Inter Milan, dan sebagainya. Sekiranya tiada penonton yang
membeli tiket dan barangan mereka, kemungkinan besar mereka akan muflis dan
dibeli oleh orang lain secara persendirian ataupun mengikut
syarikat-syarikat besar. Di sinilah terletaknya keazaman mereka untuk cuba
meningkatkan mutu permainan agar lebih ramai peminat bola sepak akan
membanjiri stadium. Melihatkan kurang sambutan kepada bola sepak negara,
bolehlah ditutup stadium-stadium yang hanya mendatangkan kerugian yang
terpaksa ditanggung oleh rakyat malaysia sendiri. Kalau negeri masih lagi
mahu subsidi persatuan ini, saya tegaskan setiap tahun persatuan ini
hendaklah mengeluarkan butir-butir akaun di media massa untuk mempastikan
duit subsidi ini tidak digunakan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh sekolah
projek kini hilang tanpa khabar.
3. pengurusan yang tak tahu apa. Cuba tengok senarai pentadbiran bola sepak
negeri. Rata-rata permulaan nama mereka bermula dengan Dato' ataupun Tan Sri
yang memang boleh dikatakan 95% tidak tahu bermain bola. Turun ke padang pun
boleh dikira dengan jari. Pra-musim dibawa pasukan negeri ke Thailand,
Australia untuk berlatih. Alasan sebenar mahu membawa keluarga bersama-sama
untuk melancong. Hasilnya, hampas. Di Malaysia, secara amnya kalau satu
persatuan itu mahu berjaya, maka hendaklah dimasukkan nama-nama datuk ini
kerana dengan inilah baru boleh dapat subsidi dari kerajaan. duit boleh
disalurkan ke tabung bola sepak negeri. Mentaliti ini cukup membuatkan
pasukan negeri kucar-kacir. Tengok lah apa jadi kepada pasukan bowling
negara yang satu masa dahulu dilihat sebagai satu pasukan paling menyinar di
dunia. Saya hanya menunggu masa untuk Dato'- Dato' ini mengucar kacirkan
pasukan skuash yang nyata mereka mempunyai bakat menggegar dunia. Saya tidak
kisah kalau Dato'-Dato' ini benar-benar 'passion' tentang bola sepak cuma
jangan guna politik di dalam persatuan bola sepak negeri. Saya tahu Dato' -
Dato' semua mahu orang katakan Dato' bagus sebab pasukan negeri Dato' menang
Piala Malaysia. Tengok apa jadi dengan Sarawak dalam Piala Kelab2 Asia? Kena
belasah tak salah saya aggregat 14-0 dengan sebuah kelab di Jepun.
4. Stamina - Pemain-pemain Malaysia tidak cukup stamina. Mereka yang
PROFESSIONAL ini patutnya mengamalkan diet sebagai seorang atlit. Saya cabar
FAM buat satu survey untuk melihat berapa ramaikan pemain-pemain bolasepak
kita yang mengamalkan diet. Satu masa dahulu Terry Walsh keluar ke bandar
(meronda-ronda la) bersama-sama pasukan hoki negara dan semua makanan yang
diorder oleh pemain hoki negara terpaksa di'cancel'kan oleh Terry Walsh
kerana tidak sesuai untuk dimakan oleh seorang atlit!
5. SRP/PMR dapat berapa? SPM dapat berapa? - Soalan yang terang lagi jelas.
Pemain bola sepak negara tidak lah kisah apa yang mereka dapat dalam SPM
sebab mereka mahu bermain bola. Brian Jyan Siva (maaf kalau tersalah ejaan)
merupakan pelajar perubatan bersama-sama Calvin Fernandez. Nor Saiful Zaini
mempunyai diploma dalam sukan. Mereka merupakan pemain hoki negara. Pemain
bola sepak negara yang mendapat gred 2 bola dikira sebagai pelajar
cemerlang. Kenapa pelajar-pelajar cemerlang tidak menceburi bolasepak?
Soalan ini kena tanya persatuan2 bola sepak negeri, FAM dan juga Dato'-Dato
yang tengah fikir negara mana yang mereka akan melancung tahun depan.
Pelajar-pelajar universiti tempatan bukannya tidak pandai bermain bola,
rata-rata boleh diasah dan digilap untuk pasukan negara. tapi kemanakah
mereka sekarang?
6. Bawah 12 tahun - akhir asia, bawah 14 tahun - separuh akhir, senior -
sukan sea kumpulan (tak lepas suku akhir). Remaja-remaja malaysia mencapai
keputusan menggalakkan di pertandingan antarabangsa semasa mereka berumur 12
hingga 20 tahun. Tapi kemanakah mereka selepas itu? Kenapa tidak dicungkil
bakat-bakat mereka agar mereka dapat menjadi pemain bola sepak terkenal
seperti mokhtar dahari? Adakah mereka mempunyai short memory tentang
bolasepak, mereka akan lupa bagaimana untuk bermain bola selepas berumur 20
tahun? Mustahil. Dato', boleh tolong jawab soalan ini tak?
7. Pantang kena puji - Sedikit masa dahulu Manchester United datang ke
Malaysia, Everton , England dan Arsenal pun pernah. Mereka cakap Malaysia
ada potensi. Siar berita berbulan-bulan tapi hasilnya haprak. Pemain bola
sepak negara dibuai mimpi bermain bersama-sama pasukan England yang
bertanding di Piala Dunia dan Piala Eropah, dibuai mimpi berlawan dengan
Manchester United dan Arsenal, pasukan terkenal di England dan mengejar
Piala Kelab Eropah (Champion League) setiap tahun. Mereka bercakap mengenai
pemain-pemain muda yang mempunyai potensi. Namun potensi pemain itu tidak
berkembang sehingga kini. Matlan Marjan sekarang menjadi nelayan di sabah,
Azizul Abu Hanifa merengkok di penjara taiping dan pernah seorang kawan saya
bergurau, pasukan paling kuat sebenarnya pasukan penjara! Mereka mungkin
menjadi calon untuk menjuarai Piala Malaysia jika diberi peluang.
Mungkin banyak lagi yang menjadi faktor kemerosotan prestasi pasukan bola
sepak negara dan saya sekadar memberi peringatan dan panduan kepada sesiapa
yang terlibat lebih-lebih lagi Dato' - Dato' yang hanya tahu membuncitkan
perut di atas kerusi empuk persatuan-persatuan bola sepak negeri.
sekian terima kasih
Nia Iskandar