Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Songlapan Di Farmasi

Songlapan Di Farmasi
(Fleecing At The Pharmacy)

Menteri Kesihatan, Dato’ Chua Jui Meng, baru kini mengetahui mengenai kewujudan ubat jenis ‘generic’ (yang mudah dibeli secara umum). Dia berkata oleh kerana harga ubat-ubatan semakin tinggi, meningkat sehingga 30% lonjakannya, orang ramai haruslah mendapatkan ubat yang biasa yang memang mempunyai sama tahap mujarabnya. Tetapi, dia tidak pula menyebut di mana boleh didapat ubat jenis itu. Tanyalah setiap farmasi di Kuala Lumpur dan juga di bandar-bandar besar, kebanyakan mereka akan memberitahu tidak menyimpan ubat jenis itu. Tanyalah doktor anda akan ubat jenis itu mereka pun tidak menyimpannya. Tetapi, ubat jenis ‘generic’ ini memang mudah dibeli di negara asing. Malahan doktor perubatan akan mudah memberi anda membuat pilihan akan beberapa jenama terpilih ataupun ubat jenis umum itu.

Tetapi, bukan begitu halnya di Malaysia. Masyarakat perubatan dan juga semua syarikat farmasi memang tidak menggalakkannya. Memang terdapat satu kumpulan melobi yang sungguh hebat mengenai cara ubat-ubat digunakan di negara ini. Kalau para doktor tidak menyimpan ubat itu, bagaimana anda mampu menggunakannya. Para doktor tidak akan menyimpan ubat-ubat itu disebabkan wujudnya imbuhan yang sungguh lumayan yang menyebabkan mereka bersikap demikian sehinggakan sanggup mengenepikan keperluan para pesakit yang memerlukan ubat-ubat seperti itu. Bukannya satu perkara yang pelik apabila syarikat pengeluar ubat memberikan bekalan dua kali ganda pada harga yang ditawarkannya. Inilah yang membuatkan doktor (swasta) cepat kaya.

Ubat-ubat farmasi memang berharga lebih tinggi lagi daripada ubat kebiasaan di wilayah ini disebabkan monopoli oleh syarikat yang dikongsisama oleh anak perdana menteri, Mokhzani Mahathir dan syarikat Renong yang dikuasai oleh menteri kewangan Tun Abdul Daim Zainuddin. Syarikat pembekal ubat yang lain tidak mampu mengemukakan tender harga melainkan mereka membayar komisen melebihi tiga persen kepada syarikat yang dikuasai oleh Mokhzani. Komisen semacam ini yang sepatutnya membuatkan beliau tersengeh di bank kalau tidak kerana hutangnya yang menggunung tingginya.

Kerana inilah harga ubat di negara ini akan terus tinggi. Pharma Niaga yang dikuasai oleh Renong juga menguruskan Perpustakaan Pengawalan Farmasi Kebangsaan (National Pharmaceutical Control Library) sebuah insitusi yang diswastakan untuk menguji setiap ubat yang dibawa masuk untuk dikawal dan menentukan jenis yang boleh dijual di pasaran tempatan. Kalaulah perdana menteri berada lebih lama lagi di kerusinya sekarang, tidak lama lagi anaknya yang ini akan membalun semua perkhidmatan sokongan di seluruh hospital di negara ini. Dia sudah pun menguasai Kumpulan Hospital Pantai. Walau apa pun yang dijanjikan kerajaan memberi kesaksamaan kepada rakyat di negara ini, ia hanya merupakan kesaksamaan kepada dua kumpulan yang ini sahajalah.

Harga ubat yang berjenama meningkat naik terlalu kerap sangat seperti juga kenaikan harga tol yang kini merupakan sesuatu beban yang tidak lagi terdaya dipikul oleh rakyat marhaen. Ubat-ubat yang biasa pun seperti pelega kesakitan memang semakin mahal harganya. ‘Cardiprin’ adalah sejenis ubat berintikan aspirin untuk menghindarkan kepekatan darah. Saya kerap memakannya dan harganya di sini ialah RM9 untuk setiap 28 biji. Tetapi saya membelinya melalui seorang kawan dengan harga A$7 untuk 100 butir. Aspirin yang serupa khasiatnya dengan Cardiprin, memang mudah dibeli di Amerika Syarikat dengan harga beberapa dollar sahaja untuk satu botol berisi 500 butir. Satu butir (biji) ubat multi-vitamen yang berjenama dijual di India dengan harga 14 sen tetapi di negara ini ia berharga RM1.50 (Ingat, in harga satu biji ataupun butir - penterjemah). Pengekangan harga memang menjadi amalan biasa di antara farmasi di negara ini.

Ubat-ubat yang membantu pernafasan seperti penenang tekanan darah adalah sesuatu yang amat diperlukan untuk membantu sesaorang yang kesesakan nafasnya. Tetapi, harganya melonjak terlalu cepat sehinggakan ramai yang tidak mampu membelinya. Saya kini tidak lagi mampu menjalani pemeriksaan doktor secara berjadual terhadap jantung saya – saya pernah menjalani pembedahan injap jantung 13 tahun yang lalu -- kerana harganya yang terlalu tinggi -- walaupun pemeriksaan itu dilakukan di hospital kerajaan. Nasib baik saya mempunyai seorang doktor yang bersikap sebagai seorang sahabat yang kerap sedia membantu. Dia memang merupakan seorang ‘general physician’ yang terbaik di Kuala Lumpur. Kini, kos perubatan adalah satu masalah besar kepada majoriti rakyat marhaen. Harga ubat yang tinggi adalah satu bebanan kepada sesiapa yang bukan menjadi pegawai kerajaan, ataupun pesara kerajaan ataupun yang mempunyai insuran perubatan kumpulan.

Apabila berlakunya kepincangan kepada sesuatu sistem kerajaan seperti yang telah pun dialami oleh perkhidmatan kesihatan dan perubatan, menteri kesihatan cuba menenangkan keadaan dan kemarahan rakyat yang semakin membuak dengan memberikan cadangan alternatif yang dia sendiri tidak akan mengemukakannya. Dia tidak pernah memberi penjelasan kenapa harga ubat-ubat semakin mendadak naiknya dan kenapa kita terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi dibandingkan dengan rakyat di negara lain. Seorang teman memesan vitamin secara pukal daripada Amerika Syarikat sehinggalah dia mengetahui ubat itu lebih murah lagi di Singapura. Jenama yang ini yang memang salah satu jenama terkenal tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Bermacam jenis putar belit dimainkan dalam songlapan pemasaran ubat-ubat agar kuasa penjualan ubat itu hanya dinikmati oleh syarikat pilihan dan kumpulannya untuk menentukan ubat mereka tetap tinggi harganya. Satu ketika dulu ada juga semangat berlawan sebelum dua syarikat pilihan tidak mengambil alih monopoli pengurusan hospital dan perkhidmatan perubatan. Kini, semangat berlawan-lawan itu sudah tidak ada lagi. Memang ada satu jalan lagi untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ia tidak akan dibenarkan oleh pihak yang berkuasa. Sepatutnya setiap kali satu jenis ubat itu ada di pasaran, ia mestilah disimpan oleh setiap klinik dan farmasi. Terpulanglah kepada pesakit untuk memilih jenis ubat yang diminatinya.

Saya tidak pernah terpesona dengan dakwaan bahawa ubat alternatif atau pun jenis ubat tradisi (seperti akar kayu) adalah tidak berguna dan berbahaya. Bahaya ubat itu tidak lebih menandingi bahaya penyakit yang patut diubatinya. Kalau boleh saya memang menjauhkan diri daripada perubatan yang dibuat secara ‘allopathic’ dan mencari kaedah alternatif sebaik mungkin. Saya kerap mudah alah kepada ubat moden itu dan kini lebih cenderung mendapatkan perubatan secara tradisional. Saya semakin lega sekarang dan terkejut dengan jumlah mereka yang mempunyai pengalaman yang sama. Saya bernasib baik kerana doktor peribadi saya mempunyai pemikiran yang terbuka dan dia sentiasa bersedia membantu untuk menolong pesakitnya mendapatkan perubatan yang selesa. Dia tidak pernah ambil pusing apakah perubatan itu jenis moden ataupun tradisi.

Tetapi, ini bukannya satu opsyen kepada orang ramai. Mereka terpaksa bergantung kepada ubat yang mesti dibeli. Apatah lagi ubat itu mahal dan para doktor tidak mampu membekalkannya. Inilah yang kerap berlaku di hospital kerajaan dan menyebabkan mereka terjerut membeli ubat berjenama yang berharga tinggi. Kalau kerajaan mahu menyelesaikan masalah ini (mana mungkin) kerajaan mesti bertindak mengurangkan harga kos perubatan. Dato Chua boleh melalak mengenai penggunaan ubat ‘generic’ yang lebih murah itu. Tetapi selagi kementeriannya sengaja liat untuk bertindak mengikut ragam dua syarikat yang monopoli industri itu, tidak ada perubahan yang boleh diharapkan. Terpaksalah kita membuat perkiraan sendiri laksana seorang yang hampir ditelan oleh seekor ular sawa berlawan dengannya sehinggalah dia lumat dikerjakan oleh ular itu.

-MGG Pilai-

....................................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua

Catatan Penterjemah:
Kerja-kerja songlapan di institusi kerajaan melibatkan kementerian kesihatan memang telah berjalan lama. Seperti yang pernah kita bincangkan dulu lagi, inilah sebabnya segala bentuk makjun yang telah lama digunakan oleh datuk nenek orang Melayu dianggap tidak sesuai di zaman moden kerana pemerintahan acuan Mahathir Mohammad mengatakan makjun dan akar kayu itu semuanya berbahaya kepada orang Melayu. –MT-


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 25 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com