Seluruh dunia berbincang mengenai keadaan ekonomi yang merudum disebabkan keadaan ekonomi Amerika mundur. Perkara ini telah kita tulis lama dulu lagi kerana inilah yang berlaku secara bermusim setiap kali pilihanraya presiden Amerika selesai. Kita telah menuliskan ingatan sejak satu tahun dulu lagi, ekonomi Amerika sengaja dipacu laju kerana syarikat multinasional yang besar-besar mengeluarkan dana yang banyak untuk menyumbang kepada kedua-dua calon presiden Republikan dan Demokrat. Sebaik sahaja keputusan diumumkan, ekonomi akan merudum menunggukan strategi baru pihak yang menang kerana inilah masanya parti yang menang itu ‘membalas jasa’ syarikat yang banyak berkorban kepadanya. Cara yang terbaik untuk melakukan proses ‘terima kasih daun keladi’ ini ialah dengan membiarkan satu gelonsoran ekonomi yang ada supaya segala putaran ekonomi pemerintahan lama yang masih berminyak itu turun lemaknya.
Kita menjangkakan pada kali ini George W. Bush akan marangka satu program pembetulan ekonomi dengan menggerakkan aktibiti syarikat besar-besar yang mengeluarkan kelengkapan perang. Ini adalah satu taktik yang amat logik agar segala peluru lama yang tersimpan di stor tentera akan diganti dengan yang baru. Barang gantian hanya dapat dibawa masuk apabila simpanan lama sudah dikurangkan. Bagaimanakah caranya? Dengan menghadiahkan barang simpanan lama itu dalam bentuk geran ataupun dijual untuk dibayar secara ansuran ataupun digunakan sendiri di medan pertempuran. Alat kelengkapan perang tidak akan digunakan kalau tidak ada peperangan. Kerana itu, unsur-unsur peperangan perlu dianjurkan selalu agar ada sahaja bahagian dunia ini yang berperang dan memerlukan kelengkapan perang itu.
Itulah yang berlaku ketika Shah Iran membelanjakan sebahagian besar hasil minyak dan gas negaranya untuk menjadikan Iran “sebuah negara Islam yang paling kuat kelengkapan perangnya di dunia.” Itulah ucapannya sehinggakan semua negara Arab di Teluk dan Timur Tengah menjadi gelabah untuk menambahkan pula kelengkapan perang mereka. Sebaik sahaja negara Arab termakan dakyah perang Shah Iran itu, usaha untuk menjatuhkannya pun dibuat sehinggakan ketika Ayatollah Khomeni naik takhta Presiden Carter ketika itu sanggup mencuba menculik Shah Iran yang sedang dalam perjalanan daripada Florida menuju ke Kaherah. Penculikan sudah dirancang di Amsterdam ketika pesawat Shah Iran sepatutnya berhenti sekejap untuk mengisi minyak. Shah Iran menerima isyarat daripada ‘orang dalam pentadbiran Carter’ untuk terus keluar secepat mungkin daripada udara Belanda dan meluru terus ke Kaherah. Pesawat kehabisan minyak sebaik sahaja mencecahkan tayarnya di landasan.
Kegagalan Amerika ‘menyerahkan’ Shah Iran membuat mereka melancakarkan ‘Projek B’ dengan membuatkan Iraq berperang dengan Iran. Iraq pun menjadi sekutu Amerika dan Iran menjadi seteru dunia barat. Hanya China dan Russia menyebelahinya dan Jepun ikut serta secara selamba dan berahsia. Tiba-tiba peperangan yang banyak bertumpu di batasan ke dua negara menjadi reda setelah beberapa kapal perang Iran tenggelam di Teluk Parsi kerana tembakan ‘exocet’; peluru berpandu buatan Peranchis. Satu gencatan senajata tiba-tiba diusahakan agar kedua negara tidak bertembak-tembakan. Rahsia sebenar gencatan itu ialah kerana seluruh negara teluk yang diketuai oleh Arab Saudi telah melengkapkan negara mereka dengan kelengkapan perang yang canggih. Bayangkan, Arab Saudi telah membeli tiga buah AWAC (Advance Warning Aircraft) sebuah pesawat udara Boeing yang lengkap dengan segala peralatan elektronik untuk menyekat dan ‘mematikan’ alat elektronik pihak lawan. Semua negara Arab yang kaya dengan minyak itu membuat tempahan yang berbilion dollar harganya. Mereka tidak ambil pusing betapa mereka tidak mempunyai pegawai dan pemandu pewasat yang terlatih untuk mengendalikan semua kelengkapan itu. Terpaksalah mereka impot penerbang daripada Pakistan, Somalia dan Afrika Selatan untuk kerja-kerja itu. Ramai juga anak Melayu Singapura yang diimpot bagi bahagian teknikal. Ada juga beberapa kerat anak Melayu Malaysia yang berjaya menerima tawaran negara Arab itu, kebanyakannya di bidang masakan dan pelayan meja makan sahaja.
Sokongan padu Amerika dan negara sekutunya di barat terhadap Iraq telah membuatkan Saddam Husin naik lemak sehinggakan dia mula merancang mencipta senjata nuklear sendiri. Dia tersilap langkah tanpa memikirkan bahawa Amerika menyokongnya hanya setakat untuk berperang dengan Iran sehingga segala kelengkapan perang Amerika yang lama dapat digunakan ataupun dijual habis. Program nuklear Saddam lingkup dalam masa sepuluh minit diserang oleh pesawat tentera Israel. Siapakah membantu Israel kalau bukan Amerika? Dari manakah pesawat itu terbang kalau bukan daripada Turki dan Itali. Tetapi, siapakah yang menjalankan bantuan besar dengan mematikan segala peralatan elektronik Saddam Husin ketika pesawat Israel menghampiri udara Iraq? Jawapannya ialah Arab Saudi.
Tapak nuklear Iraq yang diperbuat dengan China dan bantuan Jarman Timur, lingkup dalam masa sepuluh minit sahaja. Dari situ Saddam menaruh dendam kepada Amerika dan beberapa negara Arab yang membantunya. Amerika dan Israel tidak dapat melumpuhkan Iraq selagi negara Arab yang lain tidak membantu mereka. Lihat bagaimana sudah empat presiden Amerika yang bersara dan bertukar ganti, Saddam Husin masih bernyawa lagi. Kini, George W. Bush sudah pun menjadi presiden dan meneliti segala rancangan perang Amerika setelah dia banyak belajar mengenainya ketika bapanya menjadi presiden dulu.
Alangkah hebatnya Saddam Hussin sehinggakan lima presiden Amerika masih tidak lagi mampu menumbangkannya. Bukankah itu juga yang berlaku kepada Fidel Castro? Tetapi, Fidel Castro sudah bertakhta lebih lama lagi. Sejak John Kennedy menjadi presiden Amerika dan Kruschov menjadi Presiden Russia dan Gescard D’estaing menjadi Presiden Peranchis. Mungkin untuk menghapuskan Iraq itu memang menyulitkan Amerika dan rakan sekutunya kerana Baghdad terletak di pendalaman negara dan Saddam Hussin sentiasa berlegar di beberapa istana dan kubu bawah tanahnya. Tetapi, Cuba hanya sebuah kepulauan yang boleh diserang dalam masa dua jam perjalanan laut daripada Florida. Bagaimanakah Castro mampu menjadi presiden paling lama di dunia?
Begitu jua halnya dengan Yassir Arafat yang sudah memimpin orang Palestin lebih empat puluh tahun lamanya. Israel mampu menembak orang Palestin sesuka hati, tetapi Yassir Arafat jarang sangat diserang hendap? Jawapannya ialah kerana manusia yang bergelar pemimpin bangsannya seperti Castro, Saddam,Yassir Arafat dan Ghadaffi adalah pemimpin yang sengaja dibiarkan terus bertakhta di puncak kuasa mereka tanpa diganggu gugat oleh kuasa besar dunia. Cuma pemimpin Afrika seperti Kabilla, Mobuto Sesi Seiko, Sarjan Doe, dan beberapa pemimpin di Chad dan Ivory Coast serta Senegal yang mudah tertembak dalam rampasan kuasa di negara mereka.
Alangkah pelik cerita ini, tetapi itulah hakikatnya. Ada pemimpin yang tidak dapat bertahan lama kerana dia naik lemak terlalu cepat dan sudah difikirkan tidak berguna kepada dunia barat. Tetapi, ada pula pemimpin yang sengaja dibiarkan naik lemak bertahun lamanya sehinggakan kehidupannya sudah sampai ke tahap naik minyak. Mereka terus dipelihara dengan segala lakonan dan drama untuk menentukan mereka terus dapat bernyawa. Jadi, ada dua jenis pemimpin dunia yang bukan menjadi ahli kuasa besar Dunia Pertama. Satu kumpulan dibiarkan naik lemaknya sebelum ia digulingkan selalunya melalui rampasan kuasa ataupun peperangan saudara. Satu kumpulan lagi sengaja dibiarkan terus berkuasa tanpa banyak usaha untuk menumpaskannya. Kuncinya terletak kepada khazanah yang ada pada negara pemimpin yang dibiarkan terus naik minyak itu.
Ghadaffi dan Saddam dibiarkan terus berkuasa supaya Amerika terus dapat mengawal harga turun naik minyak. Di waktu yang sama bekalan kelengkapan perang boleh disalurkan oleh Peranchis, Jarman dan Russia serta China. Jepun, China dan Korea boleh membekalkan kelengkapan elektronik secara bermonopoli kerana dua negara ini sengaja menyingkirkan tawaran negara orang putih. Itali boleh memainkan peranannya sebagai pembekal pelbagai alat elektronik dan mesin kecil-kecilan melalui hubungan sejarah yang lama dengan Libya. Dari situ ia berkembang ke Iraq melalui syarikat Arab yang menjadi proksinya.
Apabila negara Arab sentiasa bercakaran dan tidak tenteram, sebahagian hasil negara mereka yakni minyak dan gas akan digunakan untuk kelengkapan perang yang perlu diperbaharui mengikut kecanggihan alat elektronik dan komputer. Setiap kali dilakukan pertukaran kelengkapan itu, ramai lagi tenaga pengajar daripada barat yang diambil dan diberikan gaji yang lumayan. Ketika Iraq dan Iran berperang, Dubai telah membina sebuah pelabuhan buatan manusia yang terbesar di dunia. Ia mampu menerima kemasukan 75 kapal besar dalam satu masa. Tujuannya ialah untuk memberi tempat kepada kapal-kapal Amerika dibaik pulih seandainya mengalami kerosakan dalam peperangan Iraq-Iran itu. Iran tidak berkata apa-apa ketika pelabuhan itu mula dibina sehingga siap. Dubai pun gembira kerana kehadiran kapal Amerika menjamin keselamatannya terutama sekali kepada satu pelantar minyak yang dibina di pintu masuk Teruk Parsi. Di bahagian bertentangan di sebelah tebing teluk itu, memang ada juga pelantar minyak yang dipunyai oleh Iran. Pada malam hari pancaran cahaya api yang membakar gas yang keluar daripada kedua-dua pelantar minyak itu memberikan pemandangan yang sungguh indah yang tidak dapat di mana-mana. Lagipun pancaran cahaya lampu itu menjadi pedoman untuk kapal Iraq melalui Teluk Parsi sambil mengharungi garisan perairan antarabangsa di situ.
Semua kapal minyak Iraq dikawal oleh kapal perang yang mempunyai kelengkapan perang yang canggih. Tetapi, Iran mampu menembak kapal-kapal besar itu dengan menggunakan askar berani mati yang menggunakan bot kecil yang berkuasa tinggi. Mereka menunggu di perairan antarabangsa yang sepatutnya bebas daripada serangan musuh dan menyerang kapal Iraq dengan jayanya. Iraq membalas dendam dengan menggunakan ‘Exocet’. Banyak kapal perang Iran yang dibedilnya dan pada satu hari Iraq telah menyerang pelantar minyak Iran di ‘pintu-masuk’ Teluk Parsi itu. Hilanglah cahaya api di malam hari yang menerangi kawasan masuk ke Teluk Parsi.
Tetapi, Iran bukan bodoh. Ia melancarkan satu projek menghentam pelantar minyak Dubai dengan alasan; kalau dia tidak dapat menyedut minyak yang ada di dasar bumi wilayah itu, orang Arab pun turut terpaksa bercuti dulu. Semua negara Arab dan penyokongnya di barat terpaksa menjelir lidah lagi. Di waktu yang sama Iran mengeluarkan amaran, mana-mana negara Arab yang menerima kapal-kapal Amerika untuk diperbaiki akan dianggap bermusuhan dengan Iran. Terbantutlah usaha kerajaan Dubai untuk memperbaiki kapal perang Amerika.
Taktik Yang Sama Di Kepulauan Melayu
Taktik yang sama telah diamalkan oleh Amerika dan kuasa besar barat di Asia terutama sekali di kawasan yang satu ketika dulu mereka gelarkan sebagai Gugusan kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Gelaran itu hanya berubah kerana orang Melayu sendiri yang mengubahnya. Lihatlah buku sejarah dan peta lama orang barat. Mereka menulis dengan megah nama gugusan pulau-pulau Melayu itu. Cuma, apabila rantau itu semua menerima kemerdekaan, panggilan lama itu tidak lagi mahu digunakan oleh pemimpin tempatan sendiri.
Yang disebut sebagai kepulauan Melayu itu bermula daripada Filipina dan menurun secara satu lengkungan ke bawah mendasari kepulauan Republik Indonesia dan naik ke atas sehingga mencecah Segenting Kra. Alangkah besar dan hebat rantau itu sehinggakan Bahasa Melayu diiktiraf sebagai ‘Lingua Franca’ di rantau ini. Ketika kerajaan Melayu sudah semakin rapuh dulu pun setiap bahtera dan jong pedagang yang memasukki perairan gugusan kepulauan Melayu itu mesti mempunyai penterjemah khas ataupun anak kapal yang pintar berbahasa Melayu. Cerita yang baik-baik mengenai keagungan orang Melayu sejak zaman pra penjajah dulu boleh didapati dengan membaca tulisan penulis Filipina yang menyingkap sejarah kehebatan Jose Rizal, seorang anak Melayu beragama Islam yang dijadikan bapa kemerdekaan Filipina.
Apabila Filipina mencapai kemerdekaannya pentadbiran negara sudah mirip pentadbiran Amerika dan budaya hidup pemimpin Filipina adalah berpaksikan cara hidup orang kaya yang mempunyai ladang tebu yang berpuluh ribu hektar luasnya. Inilah kumpulan yang menerajui kerajaan Filipina sehinggalah Marcos naik menjadi diktatornya. Amerika membiarkan segala kekejaman Marcos tanpa mahu memperbetulkannya kerana Marcos menyerahkan Teluk Subic sebagai pengkalan perang Angkatan Armada Amerika.
Demikian juga halnya di Indonesia. Sukarno dibiarkan berkuasa lama sehingga beliau digulingkan kerana terlalu memihak kepada fahaman Komunis yang dianjurkan oleh S.N. Aidid. Tempatnya digantikan oleh Suharto dan bermulalah satu era pemerintahan kuku besi yang lebih tiga dekad lamanya. Amerika tidak berminat menyingkirkan Suharto kerana mengambil pendirian bahawa Indonesia ialah seekor harimau yang sedang tidur. Kalau Indonesia bangkit, ia adalah sama dengan kebangkitan semua negara Arab yang disatukan semuanya. Indonesia mempunyai segala-galanya, baik dari sumber hasil bumi hinggalah tenaga kerja yang sanggup bekerja keras. Yang penting sekali, Indonesia ialah sebuah negara Islam yang terbesar di dunia. Membiarkan kebangkitan Indonesia bererti memacu kebangkitan Islamiah di kepulauan Indonesia itu sedangkan usaha mengembangkan ajaran agama Kristian memang sudah lama dilaksanakan secara pilihan. Apatah lagi ketika masih muda dulu sehingga di tahun-tahun terakhir hidupnya Ibu Tien Suharto diangkat sebagai ‘Rahib Agong’ pengembangan ajaran Kristian keseluruhan Indonesia. Pada era Suharto ramai panglima Indonesia yang beragama Kristian telah dinaikkan pangkat. Indonesia yang bangkit untuk maju bererti mengurangkan tenaga buruh kasar di Malaysia dan mengurangkan masalah sosial di Malaysia. Sekaligus ia memperkuatkan syiar Islam di Indonesia dan melunturkan usaha mengkristiankan republik itu.
Kebangkitan Indonesia memang disekat secara terancang oleh semua kuasa besar. Kerana itu dakwah anti-Islamiah sentiasa dijalankan secara bersistem juga. Sehinggakan apabila Jusuf Habibie naik menggantikan Suharto, dia sengaja dimanipulasi agar tidak dapat bertahan lama. Kuasa besar lebih rela melihatkan Indonesia ditadbir oleh seorang kiai yang sudah rabun matanya. Namun, rakyat Indonesia faham segala putar belit ini dan menunggukan masa untuk menyedarkan rakyat jelata betapa mereka terpaksa melakonkan drama mengikut skrip yang ditulis oleh kuasa besar. Salah satu cara memperlekehkan kuasa besar itu ialah dengan menggalakkan Gus Dur terus keluar negara untuk menonjolkan nama Indonesia. Tetapi, semua professional Indonesia tahu, itu sahaja caranya untuk mereka menjalankan kerja-kerja pembersihan terhadap segala kekotoran yang menyelimuti negara di zaman Suharto.
Dari segi perlembagaan, Gus Dur dan parti politik dukungannya mempunyai hanya 18 persen suara di Dewan Perundangan Rakyat. Tetapi, dia menonjol kerana mainan politik yang amat kuat yang tidak mahu parti lawannya naik. Kumpulan penyangak di sektor perdagangan Indonesia lebih selesa berpresidenkan seorang yang rabun matanya dan yang tidak mampu melihat dengan jelas apa lagi membaca segala keterangan di atas kertas. Gus Durakan dicatatdalam sejarah politik dunia sebagai presiden yang terlalu banyak keluar negara memandang apa yang dia tidak dapat lihat.
Malaysia Dan Dilema Bikinan Kuasa Besar
Antara semua negara di Tenggara Asia (ASEAN) Malaysia yang mencapai kemerdekaannya pada 31.8.1957, sepatutnya kini merupakan salah sebuah negara terkaya di dunia yang layak diiktiraf sebagai ahli kumpulan G-7. Tidak ada sebuah negara lain di dunia ini yang mempunyai hasil kekayaan semula jadi yang begitu besar seperti yang terdapat di Malaysia. Cuba kita bandingkan Malaysia dengan negara yang kaya raya di dunia yang mempunyai kawasan yang sama besarnya ataupun bilangan penduduk yang lebih kurang sama dengannya ataupun tahap kemodenan yang sama usia dengannya. Cuba perhatikan Taiwan, yang merupakan sebuah pulau yang mempunyai jumlah penduduk lebih kurang sama dengan Malaysia tetapi diwujudkan oleh kumpulan Nasionalis yang berpisah dengan tanah besar China. Taiwan mengimpot hampir semua keperluannya tetapi mempunyai simpanan dana yang besar bukan sahaja di negara sendiri tetapi di negara luar. Kekuatan Taiwan terletak kepada sumber tenaganya hingga mampu menguasai industri elektronik dunia termasuk permainan kanak-kanak yang menggunakan elektronik.
Sekaligus kita faham berapa tingginya mutu pendidikan di Taiwan walaupun kelulusan universitinya masih tidak diiktiraf di Malaysia. Sawah padi Taiwan sentiasa digunakan sepenuh maksimum. Penanaman padi diselang-seli dengan ternakan siput dan ikan serta udang. Bayangkan betapa agressif dan berkesannya teknologi pertanian di sebuah kepulauan yang mempunyai cuaca bersifat sab-tropika.
Taiwan mempunyai media yang amat kritikal terhadap prestasi kerajaan yang memerintah. Kerana itu kira kerap melihat pergadohan di dewan parlimen mereka di antara parti pemerintah dan parti pembangkang. Inilah kesan ketelusan akhbar di sana di mana setiap wartawan cuba memaparkan berita yang berpaksikan ‘investigative reporting’. Kekuatan terbesar ekonomi Taiwan terletak kepada semangat persatuan bekerjasama mereka yang disokong kuat oleh sistem perbankan negara. Kalau kita lihat akan armada kapal penangkapan ikan Taiwan di perairan Argentina hingga ke Lautan Merah, semua kapal itu adalah kepunyaan koperasi rakyat marhaen Taiwan.
Kita boleh bandingkan negara ini dengan Switzerland sebuah negara tersepit di tengah-tengah tamadun Eropah. Kekayaan warisan negara itu hanyalah ‘batu’ dan ‘salji’. Tetapi, di sanalah tersimpannya emas berbungkal dan harta karun kebanyakan pemimpin negarasejak manusia mengenal tamadunnya. Lebih enam puluh peratus manusia yang ada di Switserland adalah pendatang dari luar. Mereka mula-mula menjadi petugas kepada semua institusi pertubuhan bangsa sejagat yang mendahului PBB. Kini, ramai berada di situ kerana terdapat banyak institusi Bank Dunia dan cawangan hampir setiap bank yang besar di dunia. Kekuatan terbesar Switzerland ialah ‘RAHSIA’. Inilah negara yang mempunyai akta khas mengenai rahsia perbankan yang amat dipercayai oleh semua penyimpan wang di sistem perbankannya.
Tanyalah sesiapa yang lama bertugas di Switzerland, bagaimana gelagat pemimpin dunia yang datang ‘beristirahat’ di Switzerland. Kepakaran orang Switzerland menyimpan rahsia membuatkan ramai pemimpin politik negara ini yang suka melakukan missi perdagangan ke Eropah dan Amerika dengan melakukan ‘stopover’ (persinggahan) sehari dua ke Switzerland. Anda boleh membuka akaun rahsia di bank Switzerland di setiap lobi hotel lima bintang di sana. Tidak perlu pergi ke bank yang besar-besar, memadai dengan membukanya di cawangan kecil yang terdapat di sebelah meja penukar wang hotel sahaja.
Inilah sebabnya setiapkali tertabalnya kerajaan baru di negeri-negeri, ada sahaja lawatan perniagaan yang akan ditaja oleh Menteri Besar yang terbaru ke Eropah. Mereka ingat rakyat Malaysia bodoh sangat apa sebenar tujuan lawatan mereka itu. Bukankah Menteri Perindustrian Negara sentiasa sahaja mengelilingi dunia untuk menaikkan ekonomi negara? Tidak cukupkah lagi dengan peranan PesuruhjayaPerdangangan di setiap negara di Eropah itu sehingga exco UMNO pun perlu membuat missi perdagangan di Eropah. Apakah mereka fikir orang Eropah baru setahun jagung pengalamannya dalam dunia perniagaan? Mampukah doktor yang hanya pandai tampal dan cabut gigi berdebat dengan tuanpunya perdagangan yang sudah lebih empat ratus tahun usia perdagangannya? Mampukan seorang bekas jaga get keretapi bercakap mengenai perniagaan global?
Kenapa Malaysia Di Takuk Lama?
Kemajuan sesuatu bangsa itu tidak boleh dinilai dengan adanya bangunan menara kembar dunia tertinggi di dunia. Tidak juga kerana ia mampu membuat lapangan terbang yang lebih besar dan lebih murah daripada bikinan negara asing. Tidak juga kerana ia mampu membuat bendera negara yang terpanjang di dunia. Ataupun keranaia mempunyai seorang pelayar yang telah berani mengelilingi dunia bersaorangan. Semua itu bersifat relatif sahaja. Dunia sejagat tidak menilai kebesaran sesuatu bangsa itu kepada pembinaan sesuatu yang relatif.
Sejak Malaysia menerima kemerdekaannya, Allah telah mengurniakannya dengan pelbagai kemewahan yang boleh membuat orang asing irihati dan menggeleng kepala. Mereka irihati kerana tidak ada negara lain yang menerima segala kemewahan itu sehinggakan Malaysia mampu menjadi satu negara yang besar. Tetapi mereka menggelengkan kepala kepada kebodohan kepimpinan Malaysia selama ini yang tidak tahu menilai peluang kemewahan yang Allah hamburkan. Ramai orang asing naik pening memikirkan kenapakah Malaysia tidak membangun sehebat Taiwan ataupun Switzerland ataupun Singapura? Taiwan menjadi hebat kerana menguasai industri elektronik kecilan dunia. Switzerland hebat kerana menguasai perkhidmatan perbankan dan percutian dunia. Singapura hebat kerana menguasai industri perkhidmatan pos, perkapalan dan udara dunia. (Tidak ramai orang yang tahu bahawa sejak berpuluh tahun lamanya Pos Singapura merupakan ‘hub’ pengagehan mel dan bungkusan dunia yang terbesar).
Malaysia tidak mampu menjadi sebuah negara yang hebat kerana otak rakyat Malaysia sudah dipasak dan dipukau laksana seekor gajah yang takutkan rantainya (saya pernah menulis akan fenomena ini dan meminta jasabaik PW menerbitkannya semula). (Nasihat MT Mengenai Pandang Ke Timur - Terbitan semula drp RPN)
Malaysia hebat hanya kerana TV dan radio Malaysia mengatakan ianya hebat. Malaysia hebat kerana Mahathir dan Projek ‘Malaysia-Boleh’ mengatakan Malaysia hebat. Kita perlu soal dirikan lama-lama dan dalam-dalam, adakah negara yang saya sebutkan hebat tadi (Taiwan, Singapura dan Switserland) pernah menaja satu pasukan penerjun untuk turun di Khutub Utara dengan sebuah kereta buatan mereka? Adakah mereka menaja satu pasuakan payung terjun turun di Khutub Selatan? Jawapannya tidak. Tetapi mereka memang sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya dua pasukan (seperti juga Indonesia) yang mendaki Everest setiap tahun. Berapakah hebatkah Malaysia kalau projek LRT yang sepatutnya siap untuk digunakan oleh Sukan Komanwel masih lagi terpacak tanpa kesudahannya?
Setiap kali UMNO membuka mulut di kampung-kampung apakah yang mereka laungkan? (i) Dulu, Kini dan Selamanya; (ii) Umno itu Kerajaan dan Kerajaan itu UMNO; (iii) Orang Melayu hanya boleh maju melalui UMNO; (iv) Hanya UMNO yang mampu menjamin ketuanan Melayu dan keutuhan agama Islam. Inilah cogankata yang dianggap ‘kunci-kata keramat’ yang dipasak kepada otak orang Melayu sejak dua puluh tahun yang lalu. Inilah mainan politik yang berputar di minda orang Melayu. Empat kunci kata ini sebenarnya menjadi penghalang otak orang Melayu yang mahu maju. Dengan lain perkataan, cogankata UMNO merupakan penyedap untuk orang Melayu lalai. Kerana Melayu sudah lalai laksana orang yang dipukau makanya mereka terpaku di takuk lama tanpa membangun secara menyeluruh. Kerana itulah Mahathir dan para juak dan sukusakatnya berada di satu tahap yang selamat tanpa diganggu gugat oleh kuasa besar.
Apabila rakyat diajar dan dipasak mindanya untuk memahami hanya UMNO parti politik yang menjamin segala tatasusila hidup yang indah-indah, tentu sekali UMNO melaksanakan pelbagai usaha untuk membuktikan bahawatulah yang sebenarnya. Itu sebabnya kita dapati sebahagian besar perbelanjaan negara dicurahkan untuk menegakkan setiap penipuan sehinggakan penipuan itu menjadi satu ‘kebenaran’. Inilah dasar kerajaan UMNO di bawah kepimpinan Mahathir bin Mohammad. Inilah propaganda ala Nazi yang pernah dilaungkan juga oleh Sanusi Junid. Kerana itu kita dapati Biro Tata Negara (BTN), KEMAS, Persatuan Peladang, GPMS dan banyak lagi agensi lain yang ditaja dan dibiayai oleh kerajaan pimpinan UMNO untuk melakukan kerja-kerja mencanang segala cogankata itu.
Setiap cogankata UMNO memang disokong oleh banyak projek kerajaan yang mahal harganya. Malahan pelancaran majlis perdana projek itu sahaja memakan ratusan ribu ringgit. Contohnya ialah Projek Rakan Muda. Lebih satu ratus juta ringgit telah dibelanjakan, tetapi kos pengiklanan sahaja menelan tujuh puluh juta ringgit. Kerana itu kita kerap terbaca tulisan puja-memuja oleh orang tertentu yang menjadi kaya raya melalui pengiklanan sahaja. Kalau projek BTN dan KEMAS begitu berkesan untuk memukau pemikiran orang Melayu, bagaimana pula boleh timbul teori Melayu sudah berpecah?
Lain Gendang Lain Tarinya
BTN dan KEMAS dikerah dengan belanja rakyat marhaen untuk mencanang bahawa UMNO dibawah kepimpinan Mahathir Mohamad ialah sebuah parti yang sungguh proaktif dan amat memikirkan masalah rakyat jelata. Itulah lagu yang kerap digendang dan didendangkan. Tetapi apa yang sudah jadi akhirnya? Getah dan Sawit merudum harganya sejak tiga setengah tahun yang lalu. Di waktu yang sama, Mahathir, Rafidah Aziz dan Paklah bersimpang siur mengelilingi dunia lebih hebat daripada Ketua Setiausaha Negara Amerika. Apakah kerja mereka sebenarnya?
Kini, harga proton naik lagi, sedangkan seluruh dunia tahu bahawa Proton adalah kereta basi yang sudah hampir dibuang oleh Mitsubishi. Lihat, Mitsubishi terpaksa menarik semula lebih 95,000 kereta buatannya di seluruh dunia. Yang peliknya, tidak ada satu pun kereta proton yang dikatakan bermasalah. Orang Melayu diajar agar berbangga dengan Proton dan Produa. Malahan Proton Waja “adalah kereta rekaan anak tempatan’. Sila buka http://www.mitsubishi.com/ dan buka bahagian segala model dan produk keluarannya. Anda akan perhatikan apakah Waja itu betul-betul rekaan anak Malaysia.
Demikianlah cara otak Melayu itu diperam agar tidak menjadi geram. Orang Melayu dianggap oleh pemimpin UMNO sebagai kilang memangkah kertas undi sahaja untuk memilih calon undi UMNO di pilihanraya. Inilah tugas sebenar BTN dan KEMAS. Tetapi, kalau KEMAS dan BTN mampu menggembeling fikiran orang Melayu untuk bersatu, tidak ada satu ekar pun tanah kosong orang Melayu yang terbiar begitu sejak berpuluh tahun yang lalu. Segala taktik membekukan pemikiran Melayu daripada maju seirama dengan kemajuan dunia menyebabkan pemimpin Melayu seperti Mahathir sengaja dijaga oleh Amerika agar terus berkuasa tanpa sebarang masalah. Inilah taktik yang digunakan oleh British, Peranchis dan Jarman terhadap Kamal Ataturk satu ketika dulu di Turki. Inilah juga puncanya orang Turki diajar untuk mencampakkan kopiah dan tarbus mereka dan memilih topi buatan barat, sedangkan topi itu belum dipastikan asal usul kulitnya. Sekaligus,Turki hingga ke hari ini menjadi satu negara yang kebingungan sedangkan Barat melihatnya sebagai sebuah benteng yang berbentuk penampan kemaraan pengaruh Islam untuk berhijrah balik ke rantau yang pernah dikuasainya.
Unsur-unsur Yang Membuatkan Melayu Jumud
Orang Melayu menjadi kebingungan dan meraba-raba sejak dua puluh tahun lamanya. Pemikiran orang Melayu sudah dipukau begitu cantik sekali dengan segala slogan yang hangat-hangat dan segala projek yang berbentuk mega. Laksana orang bermain kuda-kepang yang terpaksa menunggu berjam lamanya sebelum dia merasakan ‘kudanya’ itu betul-betul terbang, sedangkan ia hanya kulit dan buluh bikinan manusia yang menyerupai kepala kuda. Bayangkan mainan kuda kepang dengan mainan tarian naga ataupun tarian singa yang betul-betul memerlukan satu kecekapan yang hanya dapat dimantapkan melalui latihan yang berdisiplin. Inilah kiasan yang berlaku kepada orang Melayu yang disogok oleh kepimpinan UMNO dengan ajaran persis mainan kuda kepang.
Kita khayal kerana kepimpinan yang curangdan bertaraf penyangak. Inilah prestasi orang Melayu pimpinan UMNO yang dilantik menjadi wakil rakyat. Sebaik sahaja mengangkat sumpah menjadi wakil rakyat mereka lupa akan sumpahan mereka itu bahawa mereka adalah “wakil” kepada rakyat. Memang anih kalau difikirkan bagaiman seorang wakil rakyat mudah lupa daratan. Tentu kita ingat akan kisah seorang wakil rakyat yang membawa wang ke Australia secara berkilo beratnya. Bagaimana pula dengan kes Haji Waad yang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah. Kini, ada satu kes lagi membabitkan wakil ADUN Senaling. Kalau isteri keduanya itu tidak menuntut pembelaan rakyat marhaen tidak akan mudah mengetahui bagaimana seorang wakil rakyat Senaling boleh mempunyai tanah yang luas di Lukut. Ini baru dua kisah ADUN Negeri Sembilan. Belum lagi kisah Menteri Besar yang dikatakan bukan kepalang besar penyangaknya.
Mahathir pernah memberikan gelaran ‘penyangak’ (penyangak matawang) kepada George Soros. Oleh itu tidaklah salah kalau kita katakan hampir semua pemimpin UMNO yang menjadi wakil rakyat adalah penyangak juga. Sekaligus Mahathir adalah raja segala penyangak Melayu. Keadaan ini berlaku kerana media tidak menjalankan peranan mereka.
Taiwan maju kerana setiap kelakuan wakil rakyat diteliti dengan teropong yang paling besar oleh medianya. Apa juga kelakuan mereka memang diberikan ruang yang besar. Singapura menonjol kerana setiap projek kerajaan mendapat penelitian yang rapi oleh medianya. Tetapi, di Malaysia pihak medianya adalah bertaraf penyangak jua. Ramai wartawan Melayu sanggup bersekongkol dengan wakil rakyat atas dasar ‘menjaga periuk nasi.”
Contoh yang terbaik ialah berita TV3 yang mengatakan bahawa PAS hanya memberitahu pembatalan perundingan dengan menyusupkan surat notis itu ke bawah pintu ofis Khalil Yaakob. Ini adalah satu pembohongan besar yang telah dinafikan oleh pegawai Khalil Yaakob sendiri. Kenapakah TV3 tidak pernah mengungkit betapa surat Mahathir mengajak PAS berunding itu dikeluarkannya atas nama seorang perdana menteri dengan beralamat di Putrajaya? Bukankah itu menepati slogan bahawa UMNO itu Kerajaaan dan Kerajaan itu UMNO?
Oleh sebab media Malaysia terlalu jauh kebelakang dalam peranan mereka secara professional, itu sebabnya Utusan Melayu hanya mampu mencatatkan keuntungan yang berupa 84% lebih rendah daripada keuntungan tahun sebelumnya. Itupun selepas ia menjual tanah secara muslihat politik kepada FELCRA. Tanpa menjual tanah itu, keuntungannya memang ‘pocik’ (kosong).
Sikap wartawan Melayu membuat laporan untuk hidup dan mengampu, membuatkan majoriti Melayu pada keseluruhannya hampir-hampir hidup laksana katak di bawah tempurung. Apa yang disogok oleh TV dan akhbar Melayu itulah dunia pengetahuannya. Mujur, ada internet dan laman reformasi untuk memberikan ruang berbeza untuk orang Melayu mencapai kebenarannya. Wartawan Melayu pada keseluruhannya sudah tidak pandai menulis secara menganalisa sesuatu situasi. Yang mereka pandai ialah memfitnah dan mencipta berita bohong. Sila buka ruangan yang menyiarkan bahan gosip di Utusan Melayu. Naik jijik dan mual beritanya. Anihnya penulis gosip itu kerap bercerita mengenai kaabah. Beberapa minggu yang lalu ada seorang penyebar gosip merintih kerana isteri M. Nasir enggan memberitahu sama ada dia sedang hamil ataupun tidak. Bagi saya, apabila sesaorang itu hamil, itu adalah rahsia peribadinya yang tidak ada kena mengena dengan prestasi suaminya. Tetapi, cerita semacam itu pun boleh dijadikan bahan oleh wartawan kelas begini.
Oleh kerana kemajuan orang Melayu itu dinilai daripada apa yang dipaparkan oleh media, kita lihat peranan wartawan amat penting dalam kemajuan bangsanya. Begitu juga dengan tahap pemikiran dan tingkah laku wakil rakyat. Mujur juga sistem pentadbiran negara yang diwarisi oleh PTD (Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik) adalah berasaskan sistem British. Golongan ini mempunyai sistem di mana isteri-isteri (mungkin juga termasuk suami pegawai wanita) pegawai PTD diberikan kursus khas secara beragenda agar mereka berfikiran selari dengan kemajuan peningkatan pangkat si suami/isteri.
Tetapi, saya jarang mendengar betapa isteri para wakil rakyat menjalani kursus khas untuk memperbaiki diri mereka. Mungkin kerana mereka sibuk ataupun kerana majlis yang dikelolakan oleh BTN, Kemas dan Bakti ataupun tugas mengiringi suami membuatkan mereka tidak ada kesempatan masa. Tetapi, kalau kita lihat golongan Mak Andeh (pinjam istilah Wak Amin Sapiro) memang diketahui mereka memainkan peranan yang amat besar untuk menjadikan suami mereka hebat sebagai penyangak sahaja. Sila buka majalah yang memaparkan fesyen orang Melayu dan lihat keadaan rumah wakil rakyat dan cuba cari cerita siapakah wakil rakyat itu sebelum menjadi wakil rakyat. Bagaimanakah wakil rakyat kita mampu mempunyai segala isi rumah yang berjuta harganya sedangkan sebelum itu wakil itu adalah seorang guru KEMAS ataupun tukang engsot pagar keretapi, ataupun ketua kumpulan kompang dan rebana ubi?
Pada kesimpulannya, Mahathir dapat bertahan begitu lama di tampuk kuasa kerana dia disenangi oleh kuasa besar kerana berjaya membazirkan wang rakyat untuk membuat projek-projek besar yang menggunakan kepakaran daripada luar [negara Barat] dan bahan binaan yang mahal-mahal yang diimpot dari negara negara luar saperti Amerika Syarikat, Britain,Peranchis, Itali dan Jarman. Lihat dulu siapakah rakan kongsi perniagaan besar-besar itu? Apa awalan pada nama yang diberikan oleh ibubapa mereka? Vincent, Danny, Francis, dan ada juga yang sengaja tidak mahu diketahui nama Kristian mereka. Semua itu paspot yang ‘menjamin’ Mahathir tidak diapa-apakan. Tidak kiralah kalau sebulan sekali Mahathir berdiri di sebuah persidangan memperlekehkan Amerika, Peranchis ataupun Jarman. Ataupun kalau dia mahu mengajar seluruh bangsa Jepun bagaimana memulihkan ekonomi Jepun.
Yang penting kepada kuasa besar itu ialah Malaysia yang kaya raya dengan segala hasil bumi yang ada harus membelanjakan wangnya untuk projek gila-gila. Tidak kiralah kalau separuh anak-anak Melayu yang bersekolah di kampung dan desa terpaksa belajar sambil berlapar Yang penting kepada kuasa besar itu Mahathir memerintah negara mengikut acuan mereka walaupun Mahathir boleh bersuara lantang bahawa Malaysia membangun mengikut acuan seorang malbari. Kemajuan bagi Mahathir ialah apabila orang Melayu di kampung-kampung sudah tidak bercawat lagi.
-Marhaintua-
22.2.2001