“Pertemuan membincangkan perpaduan Melayu yang dijadualkan hari ini (19/2/2001) tertangguh tanpa sebarang kepastian. Tiada tarikh baru dicadangkan, sebaliknya cuma pelbagai syarat baru yang menjurus ke arah pembatalannya. Malahan, idea untuk parti politik Melayu berbincang memang dari awal di lingkari ketidaktentuan. Sambil UMNO yang mengilhamkan pertemuan itu bersikap terbuka terhadap apa saja cadangan, PAS pula timbulkan kerenah. Daripada tuntutan asal PAS agar perbincangan di perluaskan meliputi isu perpaduan nasional, Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar, pula lebih cenderung kedua-dua pihak tidak bersemuka. Mungkin Mahfuz masih berasa sakit hati kerana debatnya dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein, dibatalkan. Dan keadaaannya seolah-olah kepimpinan PAS merelakan keputusan terbaru ini sebagai pembalasan.”
Inilah yang merupakan perenggan pertama dalam Minda Pengarang Berita harian bertarikh 19 Februari, 2001 yang memberi gambaran yang jelas kenapa ‘tertundanya’ pertemuan yang dikatakan ‘ternanti-nanti’ itu. Tetapi, dengan membaca perenggan pertama ‘Minda Pengarang’ tidak bererti beliau bersikap ‘neutral’ ataupun berkecuali dalam situasi yang melibatkan masyarakat Melayu. Tulisannya yang berikut memang menghentam PAS habis-habisan:
“....Petanda positif untuk pertemuan terus terserlah selepas mesyuarat teknikal yang diketuai kedua-dua setiausaha agung parti, Khalil Yaakob dan Nasharuddin Mat Isa, 8 Februari lalu. Rupanya, semua itu hanyalah gambaran sementara yang menerbitkan harapan palsu sedangkan adalah jelas kini PAS memang dari awal banyak berhelah dan tidak ikhlas. Barangkali kerana terlalu kerap menuduh pihak lain bermain wayang, Pas kini terdorong untuk mementaskan sandiwara ciptaan sendiri. Kesimpulan boleh dibuat bahawa parti itu tidak langsung menyangka tuntutannya untuk membincangkan kepincangan sistem kehakiman, termasuk pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, pencabulan ke atas demokrasi; kepincangan ekonomi; dan peminggiran kedudukan dan peranan Islam akan diterima dengan tangan terbuka oleh Umno. Lebih daripada itu, Umno menyatakan kesediaan bermuzakarah dan menerima semua isu yang dibawa parti pembangkang itu tanpa sebarang syarat agar perbincangan mengenai perpaduan dapat dilaksanakan dengan telus dan terbuka.
“ Daripada mengalu-alukannya, kita melihat PAS tersepit oleh helah ciptaannya. Keikhlasan dan ketelusan Umno benar-benar memerangkap mereka. Lantaran itu, Pas mengadakan pula tiga syarat tambahan sehari menjelang pertemuan sepatutnya diadakan. Ia dibuat mereka dengan kesedaran bahawa tuntutan mengembalikan royalti minyak kepada Terenggganu, membenarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu dan Umno menggugurkan cadangan melarang penggunaan perkataan Islam pada parti politik, sebagai sesuatu yang tidak akan dipenuhi. Kita melihat pada ketika Umno bersungguh-sungguh mahu pertemuan itu diadakan tanpa mengenakan sebarang syarat atau sekatan, Pas pula nampak bermati-matian supaya ia tidak berlangsung. PAS pun sedar bahawa ia boleh membangkitkan tuntutan terbarunya itu ketika perbincangan diadakan tetapi mereka memilih untuk tidak berbuat demikian. Inilah belang sebenar PAS – tanpa ada apa-apa lagi keraguan.”
Demikianlah pendapat minda pengarang Berita Harian itu keseluruhannya. Cuma dia terlupa mencatitkan bahawa tiga syarat tambahan yang dikemukakan oleh PAS itu adalah sebagai ‘denda’ kerana Mahathir telah membocorkan rahsia perbincangan awal kepada orang ramai. Sedangkan dalam perbincangan awal itu kedua-dua pihak bersetuju merahsiakan rumusan perbincangan mereka. Tetapi, itulah cara orang Umno dan akhbar propaganda mereka bermuslihat. Mereka mudah mencemuh parti pembangkang dan menyorokkan kebenaran dalam usha menonjolkan apa yang mereka mahu orang lain anggap sebagai kebenaran.
Apakah penangguhan perundingan itu sesuatu yang mengejutkan? Saya ingin petik pula tulisan Awang Sulung dalam “Bisik-bisik mingguan” yang tersiar di Mingguan Malaysia Ahad 18 Februari, 2001 (yakni satu hari sebelum majlis perundingan itu sepatutnya dilaksanakan):
“Harapan Melayu”
Sukar untuk di mengerti, kenapa setelah tinggal sehari sahaja lagi pertemuan bersejarah penyatuan Melayu UMNO-PAS, tiba-tiba kemungkinan ditangguh atau dibatal pula menjadi sebutan. Adalah terlalu kecil kiranya PAS menjadikan pertemuan jawatankuasa teknikal kali kedua belum diadakan tetapi tarikh 19 Februari di umumkan sebagai alasan.
“Ini bererti PAS lebih utamakan keegoan parti daripada perpaduan Melayu, satu agenda bangsa yang amat besar ertinya. Datuk Seri Dr. Mahathir sendiri tidak berani membuat sebarang ulasan kerana bimbang akan ada yang tidak puas hati. Tetapi Setiausaha Agung PAS dengan mudah mengumpamakan UMNO yang meminang dan Pas berhak meletakkan syarat walaupun sedar kenyataannya boleh mengugut penyatuan. Ini bererti UMNO terlalu berhati-hati untuk tidak merosakkan peluang pertemuan demi bangsa tetapi Pas di lihat mementingkan ‘political mileage’.
“Jangan kecewakan harapan orang Melayu untuk melihat rekahan bangsa bertaut semula. Mereka tidak harapkan PAS menyertai BN, jauh sekali membubarkan parti itu. Apa yang ingin dilihat pergeseran politik seagama menjadi reda. Berpolitik tidak salah tetapi jangan sampai hilang sopan santun bangsa. Tetapi sejak akhir-akhir ini, budaya bangsa terhakis kerana politik malah telah melampaui tuntutan agama.
“PAS jangan kecewakan harapan bangsa Melayu. UMNO telah ‘meminang’ sebagai bukti kesungguhan. Kalau PAS membatalkannya, yang terus berpecah adalah Melayu, yang rugi adalah bangsa sendiri dan puncanya adalah PAS.”
Tulisan Awang Sulung itu muncul satu hari sebelum perundingan berjadual itu sepatutnya dilangsungkan. Bagaimanakah Awang Sulung tahu perundingan itu akan dibatalkan? Apakah benar cerita orang PAS selama ini betapa segala perbualan para pemimpin PAS memang dipantau dan dirakamkan oleh pihak risikan polis untuk pengetahaun pucuk pimpinan UMNO? Dan kalau sumber tulisan ini adalah berdasarkan debat dalaman orang PAS bagaiamanakah Mingguan Malaysia boleh mengesannya?
Kalau kumpulan Utusan sudah tahu lebih awal lagi kemungkinan perundingan itu dibatalkan apakah orang UMNO tidak juga tahu akan perkara itu? Takkanlah Pak Subky Latiff, orang kuat PAS yang membocorkan dulu ‘rahsia dalaman’ PAS kepada bekas anak-anak buahnya di Utusan? Kita mahu rakamkan juga Lidah Pengarang Utusan Melayu pada 19 Februari itu.
“PAS Kecewakan Umat Melayu”
“Keputusan di saat-saat akhir PAS menangguhkan pertemuan dengan UMNO yang sepatutnya berlangsung hari ini menimbulkan kekecewaan khususnya kepada masyarakat Melayu yang menaruh harapan besar agar perbincangan kedua-dua parti itu dimulakan segera. PAS tidak sepatutnya meminta pertemuan itu ditangguhkan kerana ia sama sekali tidak memenuhi semangat dan doa masyarakat Melayu yang mengharapkan setidak-tidaknya pertemuan itu berlangsung terlebih dahulu.
“Setelah perkembangan sebelum ini menampakkan keyakinan kepada pertemuan yang dilihat hampir pasti menjadi kenyataan. PAS tiba-tiba berundur ke belakang sambil meletakkan begitu banyak syarat selain memberikan pelbagai alasan untuk kepentingan politik sempit parti itu.
“Sedangkan para pemimpin UMNO termasuk Perdana menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sejak dari awal menunjukkan komitmen termasuk dalam kenyataan-kenyataannya, semata-mata untuk menjayakan pertemuan itu demi tuntutan penyatuan Melayu. Setelah UMNO memulakan inisiatif mempelawa PAS menyertai perbincangan itu dan di ikuti keterbukaan UMNO tidak mengenakan sebarang syarat, penangguhan yang diminta oleh PAS hanya memperlihatkan ketidakmatangan parti itu.
“Sebarang tekanan menerusi syarat-syarat keterlaluan yang dikenakan serta taktik menangguhkan pertemuan tersebut boleh dirumuskan betapa PAS terlau mencari keuntungan politik. PAS sengaja ingin menonjolkan ia sebuah parti yang baik dengan membawa syarat yang boleh memberi keuntungan kepadanya seperti isu sistem kehakiman, kepincangan ekonomi, mengembalikan semula royalti minyak Terengganu dan cadangan pengguguran nama Islam pada nama pertubuhan.
“Sebaliknya jika permintaan ini tidak dilayani dan dipenuhi, dengan mudah UMNO hendak dicop parti yang tidak baik. Pas sendiri sedar beberapa perkara ini bukan di bawah bidang kuasa UMNO. Taktik Pas ini hanya akan menjejaskan imej parti itu di kalangan orang Melayu dan umat Islam. PAS sebelum ini boleh mengadakan rundingan dan bekerjasama tanpa syarat dengan DAP, tetapi tidak mempunyai semangat yang sama untuk berunding biarpun dengan parti orang Melayu dengan seislam yang lain. Mesejnya PAS lebih rakus untuk mendapatkan kuasa dan mahu menjadikan pelawaaan UMNO ini sebagai permainan politik parti itu dan jika strategi yang mereka ambil ini dianggap satu kemenangan, mereka sebenarnya silap percaturan.
“Masyarakat Islam dan orang Melayu rata-ratanya akan menilai PAS sebagai parti yang menampilkan kesombongan politik dan langsung tidak menunjukkan keikhlasan kepada penyatuan ummah. Yang pasti, PAS telah melepaskan kesempatan terbaik untuk mencernakan imejnya sebagai parti yang luhur dan proaktif kepada perundingan di samping gagal membawa simbol penyatuan ummah.
“Maka dengan perkembangan terbaru ini, UMNO harus memikirkan semula perlawaannya terhadap Pas kerana UMNO bukanlah parti yang lemah, sebaliknya masih berada di tampuk kuasa politik nasional. UMNO sudah mengambil segala langkah untuk penyatuan umat Islam tetapi untuk apa lagi berurusan dengan pihak yang sememangnya menunjukkan keangkuhan, tidak ikhlas dan tidak berorientasikan penyatuan sebenar.
- Forum Khas di TV1
Pada sebelah malam Isnin (19/2/2001) selepas Berita Perdana, ada pula satu forum khas yang dipengerusikan oleh Dato’ Jaafar Kamin yang bersikap ‘berkecuali’ membincangkan perkara yang sama. Ahli panel ialah seorang professor daripada UNITAR dan seorang lagi daripada UUM. Ketika mendengar hujah-hujaah yang mereka sebutkan, saya teringat kata-kata Wak Amin Sapiro yang menggelarkan setengah professor Melayu sebagai “Professor Kangkong”. Di sepanjang forum itu saya mula menyoal diri apakah benar Wak Amin menggunakan perkataan ‘kangkong’ ataupun perkataan sebenarnya ialah ‘kongkang’ ? Tanpa menyebut universiti di mana salah seorang professor itu bertugas, saya berpendapat memang beliau cuba menonjolkan dirinya tanpa pengetahuan mendalam mengenai isu sebenar yang dibincangkannya itu. Kalau pendapat kita itu semata-mata menjadi pita rakaman Utusan ataupun BH, eloklah duduk sahaja di rumah daripada diketawakan orang. Sepatutnya apabila seorang bergelar professor keluar di kaca TV dia seharusnya mampu mengutarakan hujah-hujah secara ilmiah kerana itulah yang diharapkan oleh penonton, mencari jawapan melalui ilmiah untuk diseragamkan dengan fikiran orang biasa di jalanraya. Inilah hujah yang amat diharapkan oleh rakyat marhaen supaya mereka terdidik untuk menganalisa secara ilmiah juga akhirnya. Tetapi, kalau kita mahu tampil di cermin TV ataupun corong radio, kita berlagak serupa dengan kongkang di hutan yang saling sahut-menyahut dan melaungkan bunyi dan nada yang sama, eloklah kaji semula kaedah dan pendekatan kita. Sekaligus, ibu-bapa kepada anak-anak yang belajar di universiti tempat bertugasnya si professor kongkang itu tadi, dapat menyoal apakah sebenarnya yang dikaji oleh anak mereka kalau para pendidik universiti itu mempunyai perwatakan yang serupa dengan professor yang mereka lihat dan ketawakan itu. Apakah kemungkinannya professsor itu sengaja diambil secara bidan terjun untuk mencukupkan korum sahaja dalam proses kerajaan memutar minda orang Melayu? Ataupun sebagai membalas jasanya menulis mengampu UMNO di Utusan?
Kini, bermacam andaian dan cemohan telah dilemparkan kepada PAS kerana membatalkan pertemuan itu. Professor Agama Kumpulan Utusan, seorang kelahiran Thailand, yang jauh lebih muda daripada pucuk pimpinan PAS menganggap tindakan itu tidak baik. Begitu juga beberapa pendapat yang ditonjolkan oleh TV kepunyaan UMNO yang mengatakan kemungkinan Dato Fadhil Nor terancam oleh kumpulan ‘ekstrim’ yang dikatakan akan mencabar kepimpinannya seandainya pertemuan itu tidak dibatalkan.
Kalau Langkah Sentiasa Sumbang
Dalam penulisan saya yang lalu, ada saya sebut secara pendek sahaja: tidak salah PAS dan UMNO bermuzakarah, kerana itu adalah tuntutan ajaran Islam. Tetapi, Islam juga menuntut agar setiap usaha untuk bermuzakarah itu mestilah didorongi oleh satu nawaitu yang telus dan tidak berbelah bagi. Cadangan agar PAS dan UMNO bertemu itu, dikatakan sebagai hasil cadangan yang dikemukakan oleh Prof Dr.Datuk Ahmad Fawzi Mohd. Basri. Tetapi, kenapakah tidak disebut betapa Tuan Guru Nik Aziz telah berkali-kali sebelum itu mencadangkan agar diadakan pertemuan mengenai isu yang sama, dulu-dulu lagi? Malahan, perbincangan di antara Tuanguru Nik Aziz dengan Dr. Mahathir telah pun dirakamkan beberapa kali sebelum ini. Mungkin mereka membincangkan masalah pentadbiran Kelantan dengan Kerajaan Pusat, tetapi mereka pernah bertemu secara empat mata dan membincangkan masaalah orang Melayu juga.
Penonjolan nama orang UMNO sebagai pencadang pertemuan UMNO-PAS ini sudah menunjukkan betapa muslihat putaran minda sudah pun bermula. Sebelum isu pertemuan Mahathir dengan Fadhil Nor dirancang, perdebatan di antara Ketua Pemuda UMNO dan PAS baru sahaja dibatalkan. Inilah perdebatan yang digembar-gemburkan oleh ketua pemuda UMNO sehingga menarik minat media massa sejagat. Majlis yang sepatutnya dipengerusikan oleh professor Diraja Ungku Aziz telah dibatalkan oleh Pemuda UMNO “setelah memikirkan kesan perdebatan itu yang akan memecah-belahkan lagi perpaduan orang Melayu.” Itulah salah satu alasan yang telah diberikan. Belum pun sampai satu bulan pembatalan itu dilakukan, muncul pula kisah perundingan awal di pihak jawatankuasa teknikal PAS-UMNO. Namun, bukan sedikit rakyat marhaen yang sudah mnejangkakan perundingan itu sebagai satu sandiwara UMNO sahaja.
Kini, PAS dicemuh sebagai pihak yang mungkir janji dan sengaja tidak berniat baik pada tahap awalannya. Tetapi cuba kita fikirkan dulu masak-masak segala peristiwa yang membuatkan PAS membatalkan perundingan itu. Alasan PAS amat jelas: “suasana yang tidak tenteram untuk meneruskan perundingan adalah menjadi salah satu penyebabnya.”
a) Sepatuntya PAS sedar di tahap awalan lagi, UMNO memang tidak ikhlas untuk menjayakan pertemuan di antara Mahathir-Fadhil Nor. Ketidakikhlasan ini bukan sahaja muncul daripada Mahathir, malahan juga beberapa orang tertentu dalam UMNO yang mahu Mahathir undur dengan segera. Satu ketika dulu Mahathir menuduh Anwar dengan pelbagai tuduhan mengatakan dia mempunyai segala bukti mengenai tingkah laku Anwar yang dikatakan jijik itu.
Anwar ditangkap dan didera sebelum dihadapkan ke mahkamah. Banyak barang bukti yang ditonjolkan oleh Mokhtar Dugong ternyata tidak benar. Kalau di mahkamah lain dan di negara lain, tuduhan itu gugur semuanya dan Anwar sudah lama dibebaskan. Bayangkan bangunan yang menjadi bukti utama masih belum dibina ketika Anwar dikatakan melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Bagitu juga dengan tilam yang diusung setiap hari, yang memang tidak layak dijadikan barang bukti. Bagaimana akhirnya dengan arahan mahkamah yang mengeluarkan sapina kepada Mahathir? Di sebalik keegoannya betapa dia bersedia untuk menghadirkan diri di mahkamah, dia enggan hadir akhirnya. Sedangkan mahkamah itu adalah satu kandang badut pilihan yang melaksanakan segala arahannya.
Apakah Mahathir sanggup menghadiri perundingan di satu majlis di mana dia akan disanggah dengan fakta yang jelas dengan segala butir perundingan itu dirakamkan dengan rakaman pita dan mungkin juga di videokan? Alangkan majlis yang dikendalikan oleh orang upahannya dia sendiri takut menghadirkan diri, apakah Mahathir berani berunding di tempat yang berkecuali?
Rakyat marhaen harus sedar, ura-ura perundingan UMNO-PAS ini adalah satu lakonan untuk menutup malu kerana terbatalnya debat mega di antara Hishamuddin Husein dan Mahfuz Omar. Semua orang tahu, Hishamuddin menjadi pemimpin pergerakan pemuda UMNO hanya sebagai ‘default’ dan bukannya dia benar-benar layak di tempat itu. Contoh yang terbaik dalam andaian ini terletak kepada dua isu besar: Masalah Suqui dan peranan Pemuda UMNO di pilihanraya kecil Lunas. Kedua-dua peristiwa penting ini diserahkan kepada Abdul Aziz Sikh, kerana Hishamuddin memang dianggap tidak berani mengepalai cabaran seperti itu. Tahap bakatnya hanya terserlah kalau untuk menggantung bendera terpanjang Jalur Gemilang di Tembok Besar Cina, ataupun mengistiharkan lemang terpanjang di dunia, sirih junjung terbesar dunia, kain rentang paling lebar di dunia. Itulah tahap bakat dan keberanian berpolitik yang ada padanya.
Oleh kerana ramai veteran UMNO yang merasa tertekan lebih awal lagi sebelum perdebatan pemimpin pergerakan pemuda UMNO-PAS itu, makanya Hishamuddin mengambil jalan pintas untuk membatalkan saja perdebatan itu. Sepatutnya dia tidak membatalkannya. Hanya memadai dengan perkataan ‘ditangguhkan’ sehingga satu masa yang lebih sesuai. Tetapi, Hisham telah bertindak pantas kerana dia tahu dia akan tumpas kalau perdebatan itu diteruskan. Taktik yang digunakan oleh Hishamuddin Hussein itu dijangka mungkin digunakan oleh UMNO terhadap majlis perundingan di antara PAS dan UMNO. Tetapi, PAS memahami dan menjangkanya dengan jitu sehingga bertindak untuk melakukannya terlebih dulu.
Apakah secara kebetulan, di waktu Mahahtir sebagai ketua pemimpin Barisan Nasional dan UMNO akan berunding dengan pemimpin PAS, suasana perundingan itu dicemari dengan pelbagai peristiwa di mana rakyat marhaen didera dengan pancutan air asid dan pukulan cota dan sepak terajang yang dilakukan oleh pihak polis? Dalam semua tindakan ganas ini rakyat marhaen tidak pun bersenjata seperti yang dilakukan oleh perusuh lain di luar negara. Kenapakah sampai begitu kejam kerajaan Mahathir lakukan terhadap rakyat jelata, sedangkan perbuatan berdemonstrasi secara aman dibenarkan oleh perlembagaan negara?
Kenapakah Paklah yang berkuasa mengawal pihah polis lebih menekankan demonstrasi jalanan adalah budaya asing yang tidak baik? Bagaimana pula dengan gelagat GPMS yang berdemo menyanggah Asiweek dan CNN? Adakah mereka diberikan permit polis?
Antara Perlembagaan Negara Dan Akta Polis
Perlembagaan negara memberi ruang yang luas dan jelas untuk rakyat berdemonstrasi aman. Tetapi, pihak polis sepertimana yang diwarisinya daripada penjajah dulu mempunyai kuasa menyekat perhimpunan aman itu dengan sekatan permit khas. Tindakan polis memilih bulu siapa yang layak menerima permit menunjukkan pihak polis bukan lagi melindungi rakyat untuk tidak dianiayai. Malahan, polis sudah menjadi satu institusi yang diperibadikan oleh Mahathir untuk menjaga keselamatan dan kuasanya sahaja. Majoriti anggota polis datangnya daripada luar bandar. Satu ketika dulu himpunan rakyat mengganyang Mahathir dilakukan di ibukota Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar sahaja. Orang kampung tidak sedar taktik kotor Mahathir dan pasukan polis yang menyebelahinya. Kini, orang kampung sudah melihat sendiri cara polis menyekat kebebasan rakyat marhaen. Di Jalan Kebun dan Banting, rakyat digodam sesuka hari. Ketika permit diedarkan untuk BA menyambut Hari Raya, majlis itu disabotaj dengan pelbagai sekatan yang mengecewakan rakyat marhaen menjamu selera.
Begitu juga di Sabak Bernam dalam satu majlis yang dihadiri oleh seorang Menteri Besar (Terengganu). Pihak polis tergamak berlagak biadap kerana mengikut arahan orang atas. Inilah tindakan yang menjatuhkan lagi martabat Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor. Sepatutnya majlis di mana orang UMNO membubarkan cawangan mereka untuk menyerahkan borang keahlian menjadi ahli BA, dibiarkan dulu tanpa sebarang arahan untuk majlis itu diganggu. Kalau betul Khir Toyo berwibawa, bolehlah dia pergi ke kampung yang sama selepas itu untuk berunding dengan bekas ahli UMNO yang keluar beramai-ramai itu untuk meng ‘umno’ kan mereka semula.
Kemudian, peristiwa di Kulim dan Kubang Pasu dan diikuti pula dengan penangkapan beberapa pelari marathon Cina yang mahu menarik minat awam terhadap masalah sekolah Cina Damansara. Mereka pun menghadapi masalah dengan pihak polis. Sehari sebelum itu rakyat marhaen berkejar-kejaran dengan pihak polis di Kuala Lumpur kerana menemani Ezam Mohd. Nor membuat aduan polis agar Mokhtar Dugong melepaskan jawatannya.
Kalau Mahathir dan UMNO betul-betul ikhlas dengan perundingan mereka bersama PAS, segala gelagat kejijikan perangai pihak polis tidak tercetus. Mereka boleh mengarahkan polis mengambil sikap berhemah dan berlembut dengan rakyat marhaen agar mereka tidak didera dan disakat untuk disembur dengan air asid dan disebat.
Satu ketika dulu kumpulan yang suka berdemonstrasi di jalanan ialah orang Cina kumpulan DAP di Kuala Lumpur. Pemimpin mereka yang sering mengetuai kumpulan ini ialah Dato Lee Lam Thye. Hampir semua perhimpunann mereka berjaya dilaksanakan tanpa polis perlu menyembur air asid ataupun mengejar mereka dengan belantan. Kenapa? Kerana ketika itu pegawai yang bertanggungjawab dengan risikan ialah Dato’ Zaman Khan. Beliau kerap berunding dulu dengan Lee Lam Thye untuk membiarkan mereka berdemo dengan aman dan kemudian bersurai dengan aman. Zaman Khan mampu melakukan semua itu untuk menaikkan nama Lee Lam Thye kerana ketika itu perdana menteri negara bukannya seorang Malbari tua. Zaman dan Lam Thye bersahabat baik hingga ke hari ini.
b) Mahahtir tidak pernah ikhlas merundingkan halehwal perpaduan Melayu kerana dia tahu apa yang dikatakan perpecahan Melayu itu tidak wujud. Yang wujud ialah perpecahan UMNO. Dia juga tahu UMNO berpecah kerana beliau (Mahathir) mengaibkan orang Melayu dengan cara mengaibkan raja-raja dan budaya Melayu. Sudah menjadi asam garam kehidupan Melayu menangani kerenah raja-raja Melayu dengan bersahaja. Mereka tahu, sejak dulu lagi tidak ada yang boleh diharapkan daripada raja-raja Melayu. Tetapi atas dasar kebudayaan Melayu, mereka sanggup bersabar dengan kerenah raja-raja itu. Apabila Mahathir mengaibkan Anwar Ibrahim dengan segala tipu muslihat di mahkamah dan penggunaan pegawai polis yang mudah dirasuah serta tipu muslihat bajingan politik seperti Sanusi Junid, Megat Junid, Aziz Shamsuddin, RahimTamby Chik, Mohamad Taib, Ibrahim Ali dan banyak lagi nama yang mungkin tidak perlu dituliskan di sini, orang Melayu sedar bahawa Mahathir adalah pemimpin Melayu yang sudah berhati syaitan. Dia sudah menjadi Raja segala penyangak dalam politik Melayu.
Dalam sejarah tamadun Melayu, pertalian rakyat dengan raja-raja hanya utuh selagi raja itu masih memegang kuasa. Apabila raja berperang dan kalah, keseluruhan warga istana dijatuhkan untuk menjadi hamba abdi kepada raja yang menang. Permaisuri raja yang kalah dijadikan isteri baru kepada raja yang menang, ataupun dia hanya menjadi ketua inang kepada gundik-gundik raja yang malang. Rakyat jelata tetap menjadi rakyat jelata walaupun orang yang menghuni istana sudah bertukar kuasa. Itu sebabnya dalam sejarah Melayu lama, tipu-menipu dan membelot sudah menjadi satu budaya Melayu. Amok mengamok pun merupakan sebahagian budaya lama itu. Semua budaya jijik istana raja-raja Melayu lama itu sudah pun berulang di zaman Mahathir berkuasa selepas beliau nyahkan segala kuasa yang ada pada raja-raja Melayu.
Kejijikan Raja Mahathir
Mahathir tahu kalau dia berunding mengenai perpaduan Melayu, dia akan kalah segala perdebatan berasaskan segala fakta yang akan dikemukakan oleh PAS berdasarkan amalan rejim Mahathir. Apabila PAS mengenakan syarat untuk mendapatkan kembali hak menerbitkan HARAKAH seperti dulu, UMNO menjawab bahawa PAS seharusnya tahu perbezaan di antara kuasa kerajaan dan kuasa UMNO. Inilah satu penipuan kerana UMNO mempunyai segala alat propaganda yang mampu membuat ulasan langsung akan setiap pergolakan mengenai perundingan itu. Apabila PAS mahukan royalti minyak diberikan balik, PAS sebenarnya melakukan sesuatu yang mengikut peluang yang ada. Kalau PAS tidak mengenakan permintaan ini sebagai pra syarat, sejarah akan menuduh pucuk kepimpinan PAS sebagai cuai. Begitu juga dengan hal Anwar Ibrahim. PAS berhak membuat tuntutan dan semestinya tuntutan itu diberikan pertimbangan segera, supaya Anwar Ibrahim dialihkan daripada hospital kepada rumah kediamannya. Bukannya balik ke penjara. Dia boleh dikenakan penjara dalam rumah kerana statusnya sebagai bekas timbalan perdana menteri. Dia dituduh berdasarkan bukti yang tidak sahih dan mengikut Islam sudah patut dibebaskan. Apabila dia diracun dan digodam dan sehingga kini mengerang kesakitan ekoran ‘episod mata lebam’, dia sepatutnya diperjuangkan agar ditahan di rumah sendiri. Kalau junta tentera Myanmar boleh mengenakan tindakan tahanan rumah kepada pemimpin parti pembangkang, kenapakah Mahathir tidak boleh dipengaruhi menggunakan kepala otaknya untuk memerintahkan Anwar di tahan di rumahnya sendiri?
PAS tidak perlu takut dengan pengaruh UMNO dan Mahathir. Pengaruh yang disebutkan itu sebenarnya sudah lama tiada. Rakyat marhaen sudah mamai dengan laungan kekuatan UMNO itu. Sebenarnya UMNO dan pemimpin yang di sekeliling Mahathir sedang syok sedirian memikirkan UMNO masih lagi berkuasa. Di dalam UMNO sendiri sudah berlaku perpecahan yang besar sehinggakan Mahathir hanya terpaksa ternanti-nanti sebelum muncul kumpulan yang akan menendangnya keluar daripada parti. Kini, kita belum jelas menilai siapa sebenarnya yang bertanggunjawab mendera rakyat marhaen dengan pancutan air asid dan pukulan rotan dan belantan. Apakah polis bertindak di atas arahan Mahathir ataupun Paklah? Kalau arahan Paklah apakah sebenarnya tujuan mendera rakyat itu? Apakah kumpulan Paklah sengaja mahu mencetuskan kucar-kacir negara agar rakyat terus bersatu mengganyang diktator tua? Apakah Paklah tidak sedar, kalau Mahathir ditumbangkan oleh rakyat marhaen, Paklah pun akan terjerut sama?
Di dalam UMNO masih terdapat kumpulan yang menyembunyikan kuku mereka laksana kucing yang sedang berundur ke belakang dan duduk memerhatikan tikus yang sedang berkeliaran di depan mata. Hanya menunggukan waktu dan ketika yang sesuai untuk menerkam dan mencengkam. Di waktu yang sama terdapat beberapa kumpulan besar yang sedang berperang besar secara proksi dengan menguasai wang dan alat propaganda. Mahathir sudah lama sedar perkara ini. Kerana itu dia memilih meletakkan ‘senator’ pilihan menjadi ahli kabinetnya. Tetapi orang-orang ini termasuk mereka yang menang pemilu dulu dengan undi hantu adalah manusia yang tidak menerima mandat rakayt yang sah.
Mahathir Yang Terus Terdesak
Beberapa isu besar negara akan membuatkan Mahathir separuh gila.
(i) Masalah pelaburan orang Melayu di Tabung Haji tidak akan luput dengan penjelasan bertubi oleh Hamid Othman. Dulu, Hamid meletakkan jawatan kerana dia mempunyai “masalah kesihatan”. Tetapi, kenapakah Mahathir melantiknya sebagai penasihat agama? Kenapakah masalah Tabung Haji tidak pernah dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Agama? Hamid berkata bahawa Tabung Haji hanya melaburkan 25% wangnya dalam pasaran saham. Ini bererti banyak lagi jenis pelaburan Tabung Haji yang menghenyak tabung dana itu. Saya telah membuat taksiran kasar bahawa daripada RM 2.5 bilion pelaburan Tabung Haji di Indonesia, nilai pelaburan itu sebenarnya adalah sekitar RM 500 juta sahaja dan tidak lebih dari itu. Kalau di Malaysia amalan anjakan tanda tukul besi dan cat pangkah sebagai sempadan hutan rimba untuk pembalakan boleh ditukar dan dialihkan oleh kumpulan yang rapat dengan Tengku Wong, apakah perkara yang serupa tidak berlaku di Indonesia? Lagipun banyak kawasan perladangan Tabung Haji yang telah dirampas oleh orang tempatan kerana mereka bertegas semua ladang itu adalah kepunyaan datuk moyang mereka yang dirampas oleh rejim Suharto dulu. Tabung Haji boleh mengambil sikap bertenang dengan kawasan perladangan di negara sendiri, tetapi tidak dengan ladang-ladang yang dibeli secara bermusim di rantau orang. Yang amat menyedihkan, pelaburan orang Melayu yang menjadi mangsa.
ii) Menjelang 19 Februari, Mahathir telah melancarkan majlis Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru. Apakah sebenarnya projek ini selain daripada kerja menggembar-gemburkan satu usaha Majlis Belia Malaysia atas tajaan Kementerian Belia (lagi?) dan kerajaan Selangor. Semua itu adalah alat memutarbelitkan minda golongan belia agar mereka mewarisi UMNO yang sudah tenat dan tidak berpedoman perjalanannya. Berapakah kos penajaan hari patrotisme itu? Apakah kejayaannya kalau dibandingkan dengan majoriti anak peneroka yang ke sekolah tanpa duit belanja?
Satu ketika dulu semangat patriotisme dipasak saban hari kepada para anggota tentera. Itulah amalannya setiap kali mereka bersiap sedia menjalankan operasi di hutan belantara. Inilah kumpulan yang kini merana hidup mereka kerana sebahagian mereka kini menjadi ‘pegawai keselamatan’ satu nama baru kepada nama kerja yang sama yang dulu disebut ‘jaga’ sahaja. Inilah patriot sebenarnya yang mempertahankan negara dan yang kini menjadi pemandu teksi, drebar lori panjang dan peneroka rancangan tanah. Bagaimanakah nasib mereka sebenarnya? Sedarkah semua anak-anak muda akan sejarah bangsa dalam percaturan sejarah patriotisme itu? Apakah Mahathir dan Hishamuddin Hussein ataupun Khir Toyo pernah terfikirkan sejarah sebenar semangat patriotisme itu? Kalau Mahathir seorang patriot, sanggupkah dia menyiarkan senarai hartanya sejak dia menjadi Perdana Menteri? Bolehkah rakyat marhaen mengetahui apa jenis hartanya semua, termasuk yang dipunyai oleh Mak Andehnya?
Kini, warisan pejuang negara yang layak digelar patriot itu sedang hidup laksana rumput di tepi jalan; hidup segan mati tak mahu kerana punca pendapatan mereka yang semakin menurun. Harga getah dan sawit sedang menjerut diri mereka bukan disebabkan harga itu turun mendadak hanya semalam, atau pun sebulan yang lalu ataupun tahun yang lalu. Harga komoditi sudah merudum sejak akhir 1998 lagi. Apakah perkara ini tidak menjadi perhatian pihak kerajaan pimpinan Mahathir? Tidak, kerana lebih baik dialihkan perhatian rakyat marhaen daripada memikirkan masalah itu dengan mencetuskan pelbagai drama seperti Isu Al-Maunah, Pulau Layang-layang, Sipadan dan Komander Robotnya, Suqui dan Aziz Sikh memanjat pagar orang dan sebagainya. Keangkohan UMNO, menjangkakan harga komoditi akan naik semula seperti yang berlaku kepada kejatuhan harga minyak petroleum. Ataupun sebahagian besar pemimin UMNO itu memang tidak arif mengenai apa yang disebut ‘ekonomi negara’ ? Apakah yang dibuat oleh Rafidah selama empat tahun dulu ketika cuba menarik pelabur asing? Kenapakah kini Pakistan dan India lebih memberi ruang membeli minyak sawit Indonesia daripada keluaran kita?
Semua hasil Petronas dibalun untuk menolong para kroni yang muflis. MAS diselamatkan untuk membolehkan Tajuddin terlepas daripada bebanan hutang. Begitu juga denagn kompeni LRT. Kini, Tajuddin dikatakan sedang berusaha membeli perkhidmatan udara di negara orang. Orang kampung terus sesak jua hidupnya dan orang Melayu akan terus tertanya-tanya apakah akan jadi akhirnya?
Semua ini adalah isu yang menghantui Mahathir dan para juak yang sedang memegang kuasa secara menipu. Hampir semua mereka sedar betapa mereka menang undi dulu dengan menipu juga laksana yang terdedah di Lunas baru-baru ini. Inilah semuanya pemimpin UMNO yang sedang bergaya menjadi wakil rakyat sedangkan mereka sedar kuasa itu adalah bukan dengan mandat rakyat yang sah. Mereka merampas kuasa secara lembut dan berhemah. Sedangkan mereka merupakan kumpulan penyangak yang menyusahkan rakyat jelata.
Orang Melayu secara keseluruhannya harus besyukur kepada Allah swt. kerana perundingan antara Mahathir dengan PAS itu terbantut juga. Manusia merancang Allah menentukannya. Inilah sebaik mungkin iktibar yang ada masa kini kerana yang mahu diajak berunding itu bukannya kepalang besar penyangaknya. Mahathir adalah sebesar-besar raja penyangak dalam tamadun Melayu setakat ini. Mahathir dan UMNO sengaja tidak mahu perundingan itu dilangsungkan. Kerana itu UMNO sengaja menyakitkan hati orang Melayu apabila mengagihkan peket wang ihsan di Terengganu kepada kaum Cina, sedangkan di perladangan orang Melayu hidup kelaparan. Usah ditangisi dan disesali kalau perundingan PAS-UMNO itu tidak akan menjadi. Kalau PAS betul-betul mewakili segolongan besar orang Melayu, prasyarat perundingan harus diluaskan lagi. Mahathir mesti merombak kabinetnya dulu dan mengeluarkan semua ‘senator’ yang dilantik sebagai menteri kabinetnya itu.
-Marhaintua-
21.2.2001.