Kisah Aneh Bank RHB
(The Curious Tale of RHB Bank)
Oleh: Jayasankaran/Kuala Lumpur
FEER Issue cover-dated February 22, 2001.
Pada Oktober 1999, suasana keriangan meledak di RHB Bank. Ia menyambut pengumuman kerajaan yang menyenaraikan RHB antara 10 bank utama yang lain yang dilantik untuk mengetuai penggabungan bank di Malaysia. Keriangan ini diperhebatkan dengan munculnya iklan di akhbar-akhbar tempatan yang memberikan ucapan tahniah kepada pengerusinya Abdul Rashid Husin. Malahan, sehari selepas pengumuman itu ketibaan Rashid ke pejabatnya telah disambut dengan tepukan meriah dan laungan tahniah daripada para pelabur yang berada di ruang perniagaan di syarikat sahamnya.
Sememangnya, sambutan yang meriah sudah sepatunya dilaksanakan. Pada Februari 2, Kementerian Kewangan telah menyekat satu perjanjian yang sepatunya memperteguhkan lagi pengaruh Rashid ke atas RHB Bank, yang merupakan bank nombor tiga terbesar di Malaysia. Memandangkan perjanjian itu boleh memberi keuntungan kepada pembayar cukai, tindakan kementerian itu hanya memperakukan spekulasi yang kencang bertiup betapa Menteri Kewangan Daim Zainuddin sedang berusaha untuk menyingkirkan Rashid daripada puncak kuasa di bank itu.
Ketidaktentuan telah menghenyak nilai saham RHB Capital - sebagai tuanpunya 70% saham RHB Bank – sehinggkan pada Februari 12 ia jatuh sebanyak 18% kepada 2.69 ringgit (71 US cents). Rashid menguasai 22% saham Kumpulan RHB, yang mempunyai kuasa ke atas 55% saham RHB Capital.) Keadaan ini mencetuskan kerisauan di sebuah bank yang lain di mana pemegang saham utamanya pun memang diketahui tidak disenangi oleh Daim. Beliau ialah usahawan Azman Hashim dan kumpulan yang dikuasai oleh keluarganya - Arab Malaysia Group. Saham AMMB Holding telah menjunam sebanyak 9% kepada 3.56 ringgit sejak kisah RHB disebarkan.
Perkara ini tidak menyumbang sesuatu yang baik terhadap jangkaan para pelabur. Para analis memang sudah lama merungut mengenai kuasa politik yang terus mengkotak-katikkan suasana perbankan yang sepatutnya mestilah bebas daripada campurtangan kerajaan (yang berlebihan). Sejak kemelut Krisis Asian yang menghantui dunia perbankan rantau itu, Bank Negara Malaysia telah mengarahkan 58 institusi kewangan disatukan kepada enam bank induk bagi tujuan keteguhan kewngan dan stabiliti. Empat tuanpunya bank yang berpengaruh termasuk Rashid dan Azman, telah melobi perdana menteri Mahathir Mohamad yang akhirnya bersetuju agar bank negara meluaskan jumlah bank induk itu kepada 10.
Tindakan terbaru Daim ini sudah tentu akan mencetuskan satu tindakan kedua dalam proses menyatukan bank yang akhirnya akan mencetuskan kewujudan bank nombor dua terbesar di Asia Tenggara (selepas DBS Bank Singapura), ataupun yang lebih mungkin lagi, penubuhan satu bank gergasi dalam negara. Kewujudan dua bank gergasi, mengikut pendapat para analis, akan memudahkan penyaluran dasar perbankan kerana bank yang kecil-kecil selalunya menghadapi kesukaran untuk meneladani sikap mereka dalam penentuan kadar faedah yang direlakan oleh bank negara. Lagipun ia adalah mematuhi hasrat Mahathir ke arah penubuhan syarakat yang besar-besar yang mampu bersaing di rantau ini.
Terdapat hanya dua bank yang mampu mengambil alih tempat Rashid di RHB Bank. Mereka adalah dua bank terbesar masakini - Maybank dan Bumiputra-Commerce. Penggabungan RHB dengan Maybank akan mewujudkan satu entiti yang mempunyai kumpulan aset berjumlah 202 bilion ringgit ($53 billion) dan meletakkkannya sebagai nombor dua terbesar di rantau Tenggara Asia. Kombinasi RHB-Commerce akan mewujudkan sebuah bank gergasi yang mempunyai aset berjumlah 124 bilion ringgit, kurang 47 bilion ringgit yang terdapat sebagai aset Maybank. Salah satu opsyen ini memang dikira munasabah. “Tidak semestinya ia bertujuan utnuk menyingkirkan Rashid sahaja” kata seorang ketua eksekutif kepada sebuah insitusi perkhimatan kewangan di Kuala Lumpur. “Sebarang usaha penggabungan memang sesuatu yang logik.” Daim enggan menjawab permintaan kami untuk menemuramahnya.
Masanya memang belum ditentukan lagi, namun Maybank dan Commerce sedang menyelaraskan operasi mereka sejak berlakunya penggabungan dulu. Walaupun Rashid berada di tempat yang tergugat, ia bukannya seorang yang mudah disagat. Namun ada tanda-tanda kemungkinan berlakunya penggabungan Commerce-RHB di masa depan. Alasan pertama adalah disebabkan kedua-dua bank memang ada mengeluarkan saham untuk dipegang oleh Khazanah Nasional, sebuah cabang pelaburan kerajaan pusat. Kedua, dua konglomerat yang mempunyai kaitan rapat dengan Daim - Renong dan MRCB – merupakan pemilik saham yang besar juga dalam Commerce dan mereka memang gian menjual saham itu untuk melunaskan hutang bertapuk. Penggabungan Commerce-RHB Bank sudah tentu menarik pembeli sahamnya kerana banyak institusi yang telah bertindak membeli saham Maybank dulu sebagai pelaburan untuk masa depan.
Seandainya perkara ini berlaku ia akan merupakan satu pengunduran yang mengaibkan kepada salah seorang peniaga yang terkenal di rantau ini. Rashid berusia 54 sekarang dan beristerikan Sue Kuok, anak perempuan kepada hartawan Robert Kuok. Namun dia tidak perlukan hubungan itu untuk menjadi orang besar. Sebagai seorang yang berambisi, dia memang berusaha menonjolkan ketohohannya dan gemar bersaing. Ironisnya, Daim merupakan insan yang membantunya dulu ketika beliau menjadi Menteri kewangan sekitar 1984-1991. Daim yang membantu Rashid memulakan syarikat broker saham. Syarikat itu dimulakannya dengan modal 2 juta ringgit pada 1983. Berbekalkan kematangan berniaga dan kontak yang baik-baik, dia menonjol sebagai satu kuasa dalam dunia saham. Syarikat induknya, RHB disenaraikan pada 1987 dan Daim membenarkan RHB mebeli 20% saham RHB Bank pada 1990.
Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan pada 1991. Ekonomi negara meledak dan Rashid pun turut melonjak sama. Dia menceburkan dirinya dalam industri hartanah pada 1995, dengan melancarkan projek Vision City yang bernilai 1.2 bilion ringgit. RHB bank telah membeli Kwong Yik Bank daripada Maybank dengan harga 3 bilion ringgit. Mahathir menjadi terpesona dengan insan ini dan melantiknya menganggotai Khazanah
dan juga Putrajaya Holdings yang diberikan kuasa membina satu pusat pentadbiran baru bernilai 20 bilion ringgit. Ketika itu empayar Rashid bernilai 8 bilion ringgit. Namun usaha mengembangkan empayar itu telah menjerut kakinya. Untuk terus bernafas, Rashid terus mengeluarkan saham yang baru kepada pihak yang disenanginya – agensi kerajaan yang membuat laporan pembelian mereka kepada menteri kewangan. Di waktu yang sama Rashid terus berhutang juga. Inilah yang membuatkan berlakunya hakisan kepada pegangannya dalam syarikatnya sendiri sehinggakan syarikat induknya itu menanggung hutang yang menggunung tingginya. Kini, Rashid menguasai hanya 22% saham RHB berbanding dengan 40% yang pernah dipegangnya dulu. Hutang bertapuk RHB sudah pun meningkat kepada 3 bilion ringgit.
Apabila krisis ekonomi meledak, Rashid bertindak membeli Simebank, yang terus menghantuinya semenjak itu. Penggabungan itu menyebabkan Khazanah membeli 30% saham RHB dan Danamodal, menyuntik 1.5 bilion ringgit dengan suasana pelaburan yang menyenangi RHB Capital.
Tetapi, semua ini berlaku ketika kementerian kewangan mempunyai seorang menteri yang menyenangi Rashid. Apabila Anwar disingkirkan atas tuduhan palsu “tidak bermoral”, pentas sandiwara sudah disediakan untuk Daim kembali merajai kementerian itu dan sekaligus memulakan satu masalah besar kepada Rashid. Adalah tidak jelas bagaiman mereka berdua boleh bercanggahan akhirnya, tetapi ada sumber yang rapat dengan Daim mengatakan menteri itu tidak puashati dengan sikap Rashid yang agresif mengetuai kumpulan perniagaaannya. Namun, Rashid berjaya mendapatkan status bank induk dengan ihsan Mahathir dan telahpun membayar hutangnya sebanyak 500 juta ringgit kepada Danamodal.
Tiba-tiba satu kejutan dicetuskan oleh Kementerian Kewangan. Usaha Rashid untuk membayar Danamodal dengan premium bernilai 38% kepada hutang 1 bilion ringgit yang berbaki telah ditolak oleh Danamodal. Ini memberikan Danamodal peluang memegang saham sebanyak 14% dalam bank itu. Apabila dicampur dengan pegangan Khazanah, ia memberikan kerajaan sejumlah 44% saham bank dan membuatkan RHB Capital dan juga Rashid berada pada satu keadaan yang lemah. Para analis sudah membuat taksiran betapa kedudukan Rashid memang semakin lemah kerana agensi kerajaan dan juga pemegang saham yang memihak kepada Daim sudah pun mengawal hampir 50% saham RHB. “Kalau usaha penyingkiran itu diperhebatkan, Rashid akan tertendang juga akhirnya,” kata seorang analis bank asing yang memang mengamati pergolakan di RHB Capital.
Masyarakat perbankan sedang meneliti peristiwa itu secara tekun. Malahan lebih tekun lagi daripada Azman Hashim. Arab Malaysian sedang berhutang kepada Danamodal sebanyak 460 juta ringgit. Arab Malaysian sedang berunding untuk mengambil alih MBf Finance, yang mempunyai hutang bertapuk dengan Danamodal sebanyuak 2.3 bilion ringgit. “Saya fikir Azman harus memikirkan apa yang akan jadi apabila seseorang itu berhutang kepada Danamodal, kata seorang peniaga yang rapat dengan beliau.
Rashid enggan berbual dengan REVIEW, namun ramai rakan-rakannya berkata bahawa dia sudah bersedia mengatur peranan lamanya sebagai seorang broker. Empat syarikat broker RHB memang dianungi oleh satu kumpulan berasingan dan di luar kuasa bank, seolah-olah Rashid memang sudah lama menjangkakan sesuatu akan terjadi kepadanya. Seorang pegawai kanan berkata bahawa Daim hanya mahukan bank itu dan tidak RHB Property dan cabang pelaburan sahamnya. Beliau fikir semua ini adalah satu awalan kepada penggabungan bank yang terbaru pula. Walau bagaimana pun sesiapa yang mengaharapkan berlakunya perubahan serta merta harus bersedia menunggu lebih lama lagi. “Kerja-kerja itu memerlukan dua hingga tiga tahun lagi sebelum semua itu dapat dilaksanakan,” kata ketua ekskutif syarikat khidmat kewangan itu.
................................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua