Dua minggu hampir berlalu, masyarakat Melayu masih terpukau dan terpaku kepada kejadian penubuhan Badan Bertindak Melayu (BBM). Badan yang ditaja oleh selebriti pencen UMNO itu pada mulanya dikatakan mahu mengerakkan satu gelombang kesedaran di kalangan orang Melayu betapa martabat Melayu mesti dimuliakan. Namun apabila ia dilancarkan di PWTC ia bertukar wajah menjadi satu wacana mengganyang seorang Perdana Menteri. Apakah sebenarnya yang terjadi sedangkan hampir semua yang hadir adalah ahli sebuah parti yang teragong dalam sejarah tamaddun orang Melayu. Walaupun untuk hampir dua dekad pucuk kepimpinannya adalah insan-insan yang naik melonjak dengan cara menukar irama untuk bertandak dalam peraturan berpolitik mereka sehingga mampu terus menang tanpa perlu banyak berjuang.
Perdana Menteri Mahathir Mohammad telah mengetahui akan agenda perhimpunan itu di tahap awalnya. Ketika merasmikan pembukaan ‘Wetland’ dia ada menyentuh sedikit mengenai forum BBM itu dengan mengatakan “UMNO tidak ada kena mengena dengan perhimpunan itu”. Tetapi, dia tidak pula menegah ahli-ahli UMNO daripada meneruskan perhimpunan itu. Malahan dia memberikan penekanan yang lebih terhadap kemungkinan adanya ahli parti pembangkang yang akan melakukan gerakan ganas mengkucar-kacirkan perhimpunan itu.
Majlis BBM itu berjalan seperti yang dijangkakan di mana antara 3,000 hingga 4,000 manusia yang rata-ratanya ahli UMNO yang hadir. Bermulalah ucapan yang hangat-hangat mengganyang UMNO di bawah kepimpinan Mahathir. Kabinet Mahathir dan Majlis Tertinggi UMNO “diwakili” secara tidak rasmi oleh Khalid Yunus dan Drs. Sulaiman Mohamad. Badan korporat Melayu diwakili oleh Tan Sri Awang Had Salleh. Selepas perhimpunan, ketiga-tiga insan ini sibuk mengeluarkan kenyataan betapa mereka sudah disilapkan minda hingga menghadirkan diri di situ. Tetapi, rakaman ucapan mereka menunjukkan mereka bukannya dipukau untuk hadir dan setelah hadir mereka tidak pula dipaku untuk terus membatu di majlis itu. Secara tiba-tiba muncul sesalan di hati, kerana telah menghadirkan diri. Mungkin perasaan “takut-takut berani” ketika berada di PWTC itu sudah bertukar kepada “berani-berani takut” sebaik sahaja berada dalam mercedez yang digunakan dengan belas ikhsan seorang diktator tua.
Melainkan Tun Ghafar Baba yang mengajak masyarakat Melayu berpijak di bumi nyata dengan memberi penekanan kepada kehidupan harmonis dalam sebuah negara yang berbilang bangsa, pemidato yang lain membuat ucapan berapi mereka dengan memberi penekanan kepada sikap kepimpinan seorang diktator tua. Mungkin disebabkan perbezaan usia di antara mereka dengan Tun Ghafar Baba membuatkan besarnya perbezaan dalam tema ucapan. Ataupun mungkin kerana kebanyakan mereka yang muda itu belum lagi membalun harta negara secukupnya sehingga mampu dibantu dengan berjuta ringgit untuk menutup hutang yang membebankan.
Menghimpunkan manusia dengan disediakan kenderaan untuk mengangkut mereka adalah satu kerja yang berat yang hanya mampu dilakukan oleh manusia yang cukup kudrat. Menghimpunkan pemidato yang mampu berucap dengan segak dan mencetuskan suasana yang hangat adalah satu kerja berat juga. Apatah lagi kalau semua pemidato itu diberikan ingatan bahawa ucapan mereka mesti jauh menyimpang daripada agenda rasmi perhimpunan. Agenda forum ialah “Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia”. Tetapi, bagaimanakah boleh berlaku di mana sebilangan besar pemidato itu menghabiskan masa mengganyang Mahathir bin Mohammad, seorang Perdana Menteri yang mereka gelarkan sebagai Wira Dunia Ketiga dan seorang presiden parti yang sungguh bijaksana? Apakah dengan mencemoh dan menghina Mahathir secara terbuka mereka dapat jaminan orang Melayu tidak akan hilang di dunia? Apakah terdapat banyak makna kepada perkataan ‘DUNIA’ itu? Bagaimanakah UMNO mahu terus subur kalau ahli-ahlinya termasuk ahli majlis tertinggi dan bekas timbalan perdana menteri serta beberapa Melayu yang bergelar dan pernah berpangkat tinggi-tinggi sanggup mengganyang secara terbuka presiden parti mereka? Apakah tindakan UMNO seterusnya apabila melihatkan video dan rakaman ucapan majlis itu dijual secara bebas di jalanraya di seluruh negara? Apakah UMNO sebagai sebuah parti terbesar di negara ini tidak terasa terhina dengan segala pengaiban yang dilakukan terhadap pucuk kepimpinannya?
Sepak Terajang Mainan Politik
Ramai yang bertanya hingga kini, apakah sebenarnya agenda BBM itu sebenarnya? Bagaimanakah satu kumpulan ahli UMNO yang berpangkat dan bergelar mampu bersuara lantang mengutuk parti mereka sendiri. Kalau orang lain berbuat demikian, sudah tentu si pemidato itu tidak lagi boleh bernafas lega di rumahnya. Sudah tentu dia ditangkap dibawah Akta Hasutan Negara; dan rumah, pejabat serta keretanya digeledah sama. Apakah bezanya segala kutukan dan cemohan yang mereka ucapkan itu dengan cakap-cakap Marina Yusuf ketika berkempen dulu? Bagaimanakah Marina Yusuf boleh didakwa dan didenda sebanyak RM5000 kerana menyuarakan sesuatu yang sebahagian besar rakyat negara ini sudah tahu?
- Langkah Silat Ibrahim Ali?
Nama Badan Bertindak Melayu tercetus sebaik sahaja muncul ura-ura GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) menjelajah seluruh tanahair mengganyang Suqui yang membuat tuntutan 17 Fasal kepada Perdana Menteri. Saya pernah menulis dan mengatakan bahawa tindakan GPMS itu adalah ‘Perasa Minggu Itu’ kerana itu adalah satu muslihat politik untuk memperlekehkan Pergerakan Pemuda UMNO. Tuntutan Suqui dibuat kepada Perdana Menteri pada bulan Oktober, 1999. Tetapi, Pemuda UMNO mula naik berang pada akhir tahun 2000 dan GPMS menyerang Suqui pada awal 2001. Ibrahaim Ali mula membuat pengemuman penubuhan BBM itu di hadapan sebuah masjid di Pasir Puteh. Mungkin dianaik semangat untuk memimpin ‘bekas pelajar maktab dan universiti’ untuk mengganyang masyarakat Cina setelah dicuit oleh gelagat Dato Suhaimi Presiden GPMS yangdikatakan “sudah menerima ikrar lebih satu juta ahli silat PERKASA dan beberapapertubuhan Melayu yang akan turut serta.” Soalnya ketika itu, bagaimanakah Suhaimimampu mencuit hati satu juta Melayu sedangkan Pergerakan Pemuda UMNO tidak mampu menggamit sokongan (30) tiga puluh orang pemuda UMNO untuk mengiringi Aziz Sikh ketikadia berlagak celupar di atas tembok pagar? Kita masih belum tahu apakah BadanBertindak Melayu (BBM) itu sudah diluluskan pendaftarannya sebagai sebuah badan NGO?
Di sinilah letaknya kepakaran Ibahim Ali berpolitik. Tentu kita masih ingat bagaimana beliau menjadi presiden Persatuan Homoseksual Melayu, sebaik sahaja Anwar Ibrahim ditangkap oleh regim Mahathir. Jawatan itu tidak pun dipegangnya lama-lama. Sebaik sahaja dia melepaskannya, tugas itu disambut oleh seorang insan yang dikenali sebagai Z. Giela.
Ibrahim Ali tentu masih ingat lagi apa yang pernah diucapkannya di Pasir Mas juga pada 10/10/1999. Ketika itu dia berpangkat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tugasnya ialah mengawasi perjalanan mahkamah di mana Ketua Hakim Negara ialah Tun Eusoff Chin dan Ketua Peguam Negara ialah Tan Sri Mokhtar yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Mokhtar Dugong’. Saya ingin rakamkan satu ucapan Ibrahim yang dibuatnya di Pasir Mas dan dirakamkan oleh The Star bertarikh 11/10/1999 (muka surat 2 – The Nation)
“Ibrahim: Oposition has Gone Overboard”
(Pihak Pembangkang Sudah Naik Melampau)
Kerajaan terpaksa bertindak tegas terhadap mereka yang memfitnah dan menabur pembohongan kerana mereka sudah bersikap melampau, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali.
Ketika menjelaskan kenapa baru kini Kerajaan bertindak terhadap pesalah itu, Ibrahim berkata Kerajaan sengaja melengahkannya kerana tidak mahu dituduh sebagai bersikap diktator. “Tetapi, sikap kita itu dianggap sebagai satu kelemahan dan dianggapsebagai kebenaran untuk mereka menabur fitnah.
“Mereka telah menjadi semakin melampau dengan tidak memikirkan bahana tindakan mereka itu yang menjejaskan keselamatan negara,” kata beliau lagi selepas diadakan satu pertemuan dengan penyokong BN pada malam Ahad. Ibrahim berkata kerajaan akan gunakan kuasanya untuk menentukan rakyat tidak akan merana kesan taktik yang digunakan oleh parti pembangkang.
“Kita akan gunakan segala cara untuk melawan budaya fitnah dan pembohongan parti lawan,” katanya lagi.
Ditanya apakah kerajaan akan bertindak terhadap HARAKAH, Ibrahim berkata memang ada beberapa pilihan dalam hal itu.
“Kerajaan telah menunjukkan keupayaannya bertindak untuk menjamin kestabilan negara. Pada 1987 sebagai contohnya, kerajaan bertindak tegas untuk melancarkan ‘Ops lalang’ apabila keadaan menjadi tegang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan memang mencuba menerima pandangan pihak pembangkang. Ibrahim juga berkata para penyokong parti politik seharusnya tidak memprovok satu sama lain ketika berkempen.”
Demikianlah yang dirakamkan oleh The Star. Itulah yang diucapkan oleh Ibrahim Ali menjelang pemilu 1999 dulu ketika dia masih bergelar timbalan menteri. Kini, dia sudah tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti dan masih mampu mengumpulkan beberapa pemimpin UMNO untuk berpidato dan mengganyang presiden parti mereka. Tetapi, bagaimanakah Ibrahim Ali mampu mengumpulkan beberapa pemidato yang sanggup mengganyang Mahathir dan UMNO? Tajuk forum ialah “Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia”. Majlis ditaja dengan begitu hebat sekali termasuk kenderaan khas kepada pelajar universiti dan pakaian yang dihias dengan gambar keris terhunus.
Dr. Mahathir telah membuat komen mengenai perjumpaan BBM itu dengan mengatakan ia tidak ada kena mengena dengan UMNO. Ini yang membuat orang Melayu tertanya-tanya, apakah muslihat sebenarnya Ibrahim Ali dan beberapa pemimpin UMNO yang sudah pencen menaja majlis itu. Kita tidak mahu membazirkan masa mengupas apa yang berlaku dengan BBM itu, kerana sejarah sudah pun menjadi saksinya. Tetapi, kita berani berkata bahawa majlis BBM itu adalah sebahagian sandiwara mega oleh segelintir orang Melayu yang sedang tersedak dan terdesak dalam hidup mereka. Walaupun Dr. Mahathir kini semakin lantang berkata bahawa dia masih tidak faham apa sebenarnya hasrat BBM itu, kita masih berpendapat bahawa penajaan Forum “Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia” tidak akan berlangsung tanpa Ibrahim Ali mendapatkan ‘restu’ seorang diktator tua. Dengan kata mudah, Ibrahaim Ali menaja forum BBM itu dengan ihsan dan arahan pihak tertentu kerana mereka percaya dalam kerja-kerja seperti ini Ibrahim Ali memang mempunyai status ‘pakar’ untuk melakukannya. Lagipun, menaja satu forum yang terpaksa mengangkut hadirin dengan kenderaan serta memberikan cenderamata berupa pakaian bukannya boleh ditaja dengan cakap-cakap dan air liur sahaja.
- Taktik Menepuk Air Di Dulang
Semua orang tahu, ekonomi negara semakin menjerut kerajaan pimpinan Mahathir. Pelbagai pendedahan yang melibatkan wang negara untuk menyelamatkan para kroni sudah mula disoal secara serius oleh rakyat marhain. Ketika Ibrahim Ali rancak mencanang tajaan BBM itu Mahathir sedang sibuk bersuka-sukaan menyambut Hari Wilayah di Putrajaya. Para pekerja di Putrajaya lebih suka memanggil bandar itu dengan akronim ‘BAR’ bererti Bandar Airmata Rakyat. Satu ketika dulu Putrajaya ataupun BAR dikatakan menjadi pusat pentadbiran sahaja. Kemudian, Mahathir menyebut ia akan dijadikan satu pusat bandar yang memerlukan RM25 bilion untuk membinanya. Wang sebanyak itu dicari dengan mengeluarkan kertas pinjaman berupa bon-bon yang perlu dibayar balik oleh rakyat. Pengisytiharaan Putrajaya sebagai wilayah persekutuan telah disambut dengan warna-warni dan belanja yang sungguh tinggi. Keeesokan harinya Wetland dirasmikan dengan belanjanya mencecah RM50 (limapuluh) juta. Tujuan Wetland ialah untuk tempat persinggahan burung dan unggas yang berhijrah daripada kawasan yang bermusim sejuk untuk mencari pancaran suria sambil makan dan minum dengan ihsan rakyat Malaysia.
Rakyat marhaen sudah lama sedar, setiap kali regim Mahathir mengumumkan kos pembinaan sesuatu projek yang tidak digemari rakyat, harga sebenarnya diperam sahaja. Harga bayangan yang difikirkan dapat diterima rakyat akan diumumkan. Contohnya ialah kos membina Mahligai Airmata Rakyat (MAR) yang dikatakan hanya berharga RM17 juta sahaja. Tetapi, kita diberitahu harga membuat pagar dan anak-anak tangga menuju ke mahligai itu mencecah lebih banyak lagi daripada angka yang disebutkan itu.
Akhbar perdana tidak pun menyebut harga membina ‘Wetland’ itu. Kita dapat tahu harga itu daripada akhbar bukan Melayu. Tetapi kalau kita lihat gambar yang ditunjukkan oleh akhbar perdana UMNO itu ada ditunjukkan sekitar 11 ekor angsa sedang beristirehat di situ. Pembinaan ‘wetland’ sudah bermula lebih tiga tahun dan sebelum para petugas kerajaan berpindah bekerja di BAR itu, tempat itu adalah tenang setenangnya. Bagaimanakah selama tiga tahun dulu sehingga kini, masih tidak banyak burung yang turun untuk bermain-main di kawasan itu? Kalau burung pun enggan turun di situ kenapakah Mahathir sanggup membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 juta duit rakyat marhaen untuk menyediakan tempat untuk burung beromen? Mahathir dan para juaknya tidak boleh memberikan alasan mengadakan wetland itu untuk menanam flora dan fauna kerana negara sudah ada hutan simpan.
Sebenarnya apa yang dikatakan ‘wetland’ itu adalah satu kawasan lapang yang mempunyai perairan dan tanah berpaya untuk burung turun dan mencari makan. Kawasan seperti ini bersepah di merata negara. Malahan, setiap kali selesai musim menuai, seluruh jelapang padi adalah kawasan yang bertaraf ‘wetland’. Di Malaysia yang terdapat banyak kawasan bekas perlombongan, pembikinan ‘wetland’ lengkap dengan menara meninjau adalah lambang pembikinan projek yang membazirkan wang rakyat marhaen. Bagaimanakah Mahathir tergamak membina wetland di BAR itu dengan tujuan “untuk rakyat menikmati keadaan di mana burung-burung boleh turun untuk mencari makan”? Apakah Mahathir akan mencari seorang insan yang tahu ilmu Nabi Sulaiman untuk mampu bercakap-cakap dengan burung di angkasa agar turun ke bumi di situ sahaja?
Sebagai satu alasan yang bersifat saintifik ditonjolkan pula bahawa Wetland adalah bersifat menapis kekotoran yang turun daripada dua anak sungai yang dihalakan ke situ, sebelum air itu masuk ke dalam tasik buatan manusia. Alangkah dangkalnya alasan ini. Apakah air yang disedut daripada tasik itu tidak ditapis lagi dan dicampurkan kimia (alum/chlorine) sebagai pengawetnya? Kalau mahu dikurangkan cemaran air daripada dua anak sungai itu kenapa tidak diambil jalan mudah untuk menentukan sungai berkenaan berada dalam keadaan yang bersih dan jernih?
Cuba kita fikirkan masak-masak kos sebenar membuat Wetland itu dengan keperluan rakyat untuk hidup selesa sedangkan keadaannya yang semakin menyesakkan nyawa. Bayangkan sendiri apa yang ditanggung oleh majoriti rakyat marhaen kini. Harga komoditi sudah menurun sehingga ribuan anak-anak di luar bandar tidak mampu membayar yuran peperiksaan mereka. Bagaiaman pula dengan nasib para penjaja Melayu di bandar-bandar yang ditekan oleh para petugas dan penguatkuasa? Bagaimana pula dengan nasib pemandu di jalanraya yang dihenyak oleh saman polis yang menjela panjangnya? Manakah logiknya menyaman seorang pemandu kerana memandu lebih sekitar 90ksj di kawasan yang hadnya ialah 80 ksj di lebuhraya antara Kuala Lumpur dan Kajang. Sedangkan di kebanyakan kawasan perkampungan di mana hanya ada satu lorong untuk sehala, had laju ialah 90ksj? Cuba perhatikan kawasan berhampiran rumah tol. Anda diperlukan memperlahankan kelajuan kereta yang hadnya 110 ksj menjadi 80 ksj dan akhirnya 60 ksj sebaik sahaja tiba di rumah tol itu. Semua itu hanya mampu dilakukan dengan menggunakan brek kereta dan bukan dengan secara melepaskan pedal minyak. Cuba bayangkan apa yang akan jadi kalau kereta lari pada 110 ksj dan mahu masuk ke kawasan 80 ksj. Kita perlu menekan brek yang mungkin menyusahkan orang belakang dan juga mengakibatkan kerosakan kereta. Di tempat itulah si “penyangak berunifom’ memasang lukahnya. Keadaan begini berlaku lebih daripada satu ratus dua puluh tempat di seluruh negara. Inilah caranya regim Mahathir mahukan rakyat menyumbang kepada perbendaharaan negara kerana keadaannya yang sudah kering kontang.
Soalnya sekarang kita dapat melihatkan kereta-kereta mewah berlari seperti menggila di kawasan yang ada had kelajuannya. Cuba perhatikan apakah kelajuan kereta yang membawa Mahathir dan keluarga istana. Tidak ada satu pun yang mengikut hadlaju yang diwartakan. Apakah ini dinamakan satu keadilan sedangkan kita dipaksa membayar tol dan mengikut had laju pula? Kenapakah raja-raja dan para menteri tidak dikenakan tol? Kini, pihak polis sedang giat mengutip saman yang tertunggak di seluruh negara. Untuk memudahkan rakyat marhaen, pihak polis memberi diskaun kepada saman itu. Tindakan ini adalah menyalahi undang-undang. Lantas Paklah membuat pengumuman bahawa diskaun itu adalah tidak benar. Tetapi, apabila kita pergi membayar saman itu, pihak polis akan mengatakan bahawa diskaun diberikan kepada semua jenis kesalahan lalulintas. Yang menjadi pokoknya di sini, kenapakah kerajaan sanggup mendera rakyat dengan saman polis yang tinggi?
Beberapa isu yang kita bincangkan di atas adalah isu hangat yang membuatkan rakyat marhaen bertambah bencikan kepimpinan Mahathir. Tiba-tiba rakyat sedar bahawa Mahathir telah membelanjakan wang rakyat untuk projek mega untuk menyenangkan hatinya dan menaikkan namanya di mata orang asing. Rakyat semakin sedar bahawa kepimpinan Mahathir tidak ikhlas membangunkan negara. Yang dipentingkan ialah pembangunan para kroni dan sukusakatnya sahaja.
Menyedari masalah itu Mahathir dan pemikir regimnya merancang membuat beberapa projek untuk terus memutarkan minda rakyat. Yang pertama sekali dilakukannya ialah persis yang dilakukan oleh Ronald Reagan ketika kerajaan Repablikan diganyang oleh rakyat Amerika Syarikat. Reagan sudah sampai ke penghujung tempoh pertama kekuasannya dan dia bercadang untuk bertanding sekali lagi untuk tempoh yang kedua. Rakyat Amerika gelisah ketika itu kerana Reagan banyak berbelanja untuk Projek ‘Star Wars’. Ekonomi semakin merudum dan pengangguran semakin ketara. Setiap hari ada sahaja demonstrasi aman di jalan raya yang dilancarkan seluruh negara (dengan tajaan Parti Republican juga). Dia gunakan bermacam jenis kumpulan: kulit hitam, Hispanic, veteran perang Vietnam, persatuan seniman filem dan TV, persatuan kelasi kapal dan sebagainya. Apakah yang Reagan lakukan selepas itu? Dia pergi di depan TV dan berucap dengan menggunakan beberapa keratan dan sedutan daripada Kitab Injil. Dia mengkritik kerajaannya sendiri dan dengan demikian dia menarik simpati rakyatnya kerana dia berkata “saya pun manusia biasa seperti anda juga.”
Taktik yang sama pernah dilakukan di China ketika Revolusi Kebudayaan sedang memuncak. Pada tahap awalnya pergerakan yang diterajui oleh Mao Zee Dong itu nampak berjaya. Tetapi di tahap pertengahannya rakyat marhaen hampir memberontak. Mao dan ‘Kumpulan Empat’ telah melancarakan satu program ‘mengutuk diri sendiri’. Dengan cara ini para professional yang ditangkap dan dikerah menghadiri sessi putaran minda itu menjadi keliru sehingga mampu mengaku bahawa mereka telah memusuhi rakyat. Revolusi Kebudayaan di China adalah mainan orang politik dalam parti Komunis China mengganyang para cendikiawan China agar mereka mampu memegang kuasa memerintah negara. Bayangkan, apabila Timbalan Presiden parti Deng Xao Peng boleh dikena deraan dan dihukum menjadi pencuci jamban. Dia bernasib baik kerana rakyat marhaen yang bersamanya tidak membenarkannya membuat kerja itu, cukup dengan memikul satu batang penyapu bersih setiap hari sebagai satu lakonan semata-mata. Cukup untuk setakat berdiri di pintu tandas untuk menjadi gambaran bahawa dia menjalani proses hukuman yang keras.
Regim Mahathir telah mengambil contoh dua teknik putar-belit politik yang berlaku di Amerika dan juga di China untuk mencetuskan satu alat pemutar minda orang Melayu agar lalai selalu. Alat yang paling baik ialah mencetuskan isu yang mengguris semangat orang Melayu.
Kenapa Putar Belit Mega?
Kita dapat buat penilaian akan keresahan rakyat marhaen di luar bandar yang terdesak hidupnya. Masyarakat luar bandar hari ini bukannya serupa dengan masyarakat luar bandar sebelum merdeka dulu. Yang dikatakan masyarakat luarbandar Melayu hari ini adalah mereka yang menghuni rancangan tanah kelolaan agensi persekutuan seperti FELDA, RISDA ataupun FELCRA. Kemudian, ada pula penempatan yang dikelolakan oleh kerajaan negeri-negeri seperti KESEDAR, KETENGAH, PERDA dan bermacam ‘DA’ lagi, kerana ‘DA’ itu bererti ‘Development Authority’. Hampir semua institusi ini sedang nazak kerana harga komoditi yang rendah dan pengurusan yang lemah.
Satu ketika dulu institusi ini masyhur dan gah kerana tenaga pengurusannya adalah golongan professional yang amanah. Tetapi, selepas Tun Abdul Razak meninggal dunia ramai professional ini melepaskan jawatan mereka kerana tidak tahan dengan kerenah orang politik yang bersikap, lebih pandai daripada sepatutnya. Kesannya ialah terdapatnya pegawai yang pandai mengampu orang politik yang menjadi pegawai utama kepada badan-badan ini. Akhirnya, korupsi mula bersarang dan agensi-agensi ini kebanyakannya menjadi pincang kerana orang yang mengurus di atas tidak tahu apa ertianya pertanian negara. Mereka fikir pertanian adalah satu ilmu pengetahuan yang boleh diamalkan oleh graduan BA sastera sahaja. Lihat apa yang terjadi kepada FELCRA kini? Kemana perginya Dato’ Mustapha Juman seorang lulusan BA Kajian Melayu? Dia digantung kini kerana kes rasuah. Tempatnya diganti oleh seorang Dato’ lagi yang tidak pun ada pengetahuan berkenaan pertanian. Itu sebabnya FELCRA sanggup berbelanja besar membeli hartanah kepunyaan Kumpulan Utusan. Kalau pembelian itu tidak dibuat, alamat Utusan terdedah kepada kancah kemuflisan.
Soalnya sekarang, kenapakah wang FELCRA digunakan untuk membeli hartanah Utusan? Apakah gunanya kerja-kerja haram-jadah ini sedangkan para peneroka FELCRA memerlukan bantuan untuk hidup lebih selesa lagi? Kenapakah wang sejumlah RM35 juta (kalau saya tidak silap) tidak digunakan untuk memberi pinjaman pelajaran mudah kepada setiap anak peneroka yang layak menerimanya, tanpa faedah dan tanpa susah-susah mereka meredah tangga bank dan institusi pinjaman lain? Jawapannya ialah kalau FELCRA tidak membeli hartanah Utusan itu akan malulah Zainuddin Maidin yang kini bergelar Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan.
Begitu juga dengan nasib para petani di sawah padi. Kenapakah BERNAS yang merupakan syarikat swasta kini, tidak ditugaskan menjadi institusi yang menjamin hidup selesa para petani padi ini? Mahathir merestukan BERNAS membuat projek menanam padi dan ternakan ayam di Guinea, yang terletak nun jauh di Afrika Barat. Kenapa tidak dilakukan projek itu di Malaysia di mana terdapat beratus ribu hektar tanah pertanian yang terbiar? Apa salahnya ditaja projek ternakan ayam kampung dan BERNAS serta FAMA menjadi pembeli yang menjamin hasil ternakan itu? Sebaliknya wang BERNAS digunakan untuk membeli saham syarikat Gardenia yang menjual roti di seluruh negara. Kenapakah tidak dibeli semua kilang roti Melayu dan besarkan jaringan pasaran mereka ?
Rakyat marhaen di luar bandar semakin sedar betapa Kementerian Pertanian telah gagal menjalankan peranannya secara berkesan hanya selepas Dato’ Effendi Norwawi menjadi Menteri Pertanian kerajaan pusat. Sedangkan sebelum itu orang yang paling lama menjadi menteri pertanian ialah seorang bekas menteri besar di Kedah di mana padi ditanam di atas bumbung dan lembu dan kambing dipelihara untuk pertandingan haiwan cantik. Tetapi Sanusi Junid bertindak begitu kerana mengikutkan rentak dan ragam perdana menterinya. Bukankah Mahathir pernah berkata: “Kalau mahu maju kita mesti meloncat ke arah negara berindustri. Segala keuntungan daripada industri itu boleh digunakan untuk membeli keperluan makanan kita.” Itu sebabnya Sanusi taja projek para petani khayal mencari uban dan petani lelaki mengorat isteri. Semua itu adalah ekoran projek “Malaysia Boleh” yang mengkhayalkan sehingga para pelajar universtiti digalakkan membuat ‘Jalur Gemilang terpanjang’ dan digantung di tembok besar China. Kerana itu kita lihatkan ada pelajar universiti membuat ‘sirih junjung tertinggi dan terbesar di dunia’, dan memasak ‘lemang terpanjang di dunia’.
Semuanya bertaraf dunia. Tetapi, kalau orang China mahu, disuruhnya setiap rakyat menyediakan sekeping bendera, seluruh Malaysia ini boleh ditudungnya. Sekarang kita mahu tanya Hisyamuddin Husin, apakah yang jadi kepada bendera yang tergantung di tembok China itu? Adakah sesiapa yang menjaganya? Apakah kemungkinannya rakyat China mengambilnya dan dibuat sebagai ‘wallpaper’di tandas mereka ataupun di kandang ternakan mereka? Kalau mereka pasang di tandas sendiri, tidak mengapalah kerana syaitan yang menjadi saksi. Tetapi kalau mereka pasang di kandang ternakan mereka, apakah jenis ternakan yang paling banyak di sana? Begitu juga dengan projek memasak lemang terpanjang. Saya syorkan penaja projek itu pergi ke Batu Sembilan, Jalan Cheras hinggalah ke Bukit Dukong. Tanya penjual lemang di sana berapa batang lemang yang mereka bakar setiap hari. Kalau dikumpulkan semua yang mereka bakar itu, jawabnya rekod universiti dalam hal itu boleh jadi bahan untuk memalukan diri.
Projek yang ditaja dengan duit kementerian, kerajaan negeri dan juga para penyumbang swasta yang mempunyai agenda tersirat mereka itu, adalah projek yang menghayalkan orang Melayu semata-mata. Satu ketika dulu pelajar universiti digalakkan membuat projek berbudi kepada desa. Projek itu dihentikan kerana didapati pelajar maktab dan universti sudah memukau minda orang luar bandar untuk menyedari apakah sebenarnya hak mereka. Untuk menentukan golongan mahasiswa berada dalam keadaan ‘subservient’ regim Mahathir menentukan bahawa semua VC HEP (Vice Chancellor Hal Ehwal Pelajar) adalah orang UMNO totok. Sayang, orang-orang semacam ini sudah buta hatinya kepada apa ertinya kemajuan bangsa. Malahan di UiTM VC yang terbaru Dr. Ibrahim Shah sanggup berkata dengan lantang bahawa hanya persatuan pelajar di UiTM merupakan persatuan pelajar yang menyokong kerajaan. Dia lupa ketika belajar di ITM dulu, dia adalah seorang ketua persatuan pelajar yang banyak mengecam kerajaan.
Mahathir terpaksa teruskan memutar minda rakyat marhaen kerana dia berada di satu tahap yang tertekan. Mahathir memerintah negara setelah banyak memberi penekanan kepada sistem kehidupan di Jepun. Tetapi, di Jepun, seorang perdana menteri yang sudah gagal segagalnya seperti Mahathir, sudah lama meletakkan jawatannya. Apakah lagi projek Mahathir yang menunjukkan kejayaannya? MAS sudah lingkup tetapi dia masih membenarkan Tajuddin Ramly menguruskannya. Kenapa tidak dipanggil balik Dato Kamaruddin dan Dato Aziz Abdul Rahman yang dulu menerajui MAS sebelum ianya diswastakan? Bagaimana pula dengan dua syarikat LRT yang diambil balik itu? Siapa pula yang menguruskannya sekarang? Kini, kita disogokkan dengan berita bahawa Proton membuat keuntungan. Tetapi, kenapakah harga kereta keluaran proton dinaikkan? Rakyat marhaen masih marah dengan hal ini tetapi tidak ada akhbar yang menuliskannya. Rakyat mahu tahu kenapakah kereta KIA buatan Korea menjadi kereta paling popular di negara ini? Dulu, semua orang kata Rafidah Aziz membenarkan IP (Import Permit) kepada menantunya. Kini, baru kita tahu bahawa Naza Motors yang diberikan lesen khas ini berpengerusikan seorang insan yang baru sahaja bersara sebagai setiausaha khas kepada perdana menteri. Harga kereta proton adalah yang termahal di negara ini apabila dibandingkan dengan kereta buatan asing. Kita disogokkan dengan ucapan agar berkorban menyokong kereta buatan sendiri. Tetapi kenapakah dibenarkan IP untuk membawa masuk kereta asing? Di Korea, semua rakyatnya termasuk para diplomat tidak dibenarkan membawa balik kereta asing ke negara sendiri. Di Jepun, semua rakyatnya yang bertugas di negara asing diarahkan menggunakan kereta buatan negara sendiri.
Septutnya Malaysia menjadi sebuah negara di mana para petaninya mempunyai kadar hidup yang antara tertinggi di dunia. Kalau para petani di European Union boleh hidup senang-lenang sedangkan mereka menghadapi cuaca dan iklim yang bermusim, kenapakah petani Malaysia tidak boleh menandingi mereka? Apa guna berbelanja besar untuk membuat hanya satu kawasan wetland sedangkan wang sebanyak itu sudah mampu memodenkan industri pertanian dan perikanan menjadi industri yang menghasilkan barangan ekspot yang berkualiti di seluruh dunia? Kalau petani kecil-kecilan di India boleh menternak kerbau dan lembu dan melelongnya seminggu sekali untuk disembelih dan diekspot ke negara ini, kenapakah orang Melayu di kampung dan rancangan tanah tidak dilatih dan diatur untuk membekalkan ternakan itu? Kenapakah perkampungan orang asli di Tasik Temenggor dibiarkan berpadi-huma sedangkan mereka boleh diajar menternak ikan di sangkar jaring untuk dibekalkan ke bandar-bandar?
Pemerintahan Mahathir yang Semakin Nazak
Mahathir gagal sebagai Perdana Menteri kerana dia tidak ada mandat yang sebenar untuk menjadi pemimpin negara. Belum ada seorang pun perdana menteri negara ini sebelum Mahathir yang naik tanpa memenangi jawatan presiden UMNO secara bertanding. Inilah asas mandat rakyat yang ditipu oleh Mahathir secara bulat-bulat. Berkat doa orang miskin akan melaratlah hidup Mahathir dan ahli kabinetnya menanggung bebanan hukum karma. Orang Melayu terutamanya, masih tidak lupa bagaimana Zainur Zakaria dinafikan kemenangan sedangkan Shahrizat sudah menangis terisak-isak. Begitu juga dengan kekalahan calon BA yang lain di Lembah Kelang. Mereka sudah menang sebenarnya sebelum peti undi hantu datang menjelma. Semua calon UMNO yang menang dengan cara undi tipu dan undi hantu sedar betapa mereka tidak boleh lari daripada kebenaran. Inilah yang mereka hadapi setiap hari dan fikirkan setiap kali mereka menerima gaji bulanan mereka. Inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak dan saudara-mara mereka apabila disindir oleh teman-teman mereka.
Sepandai-pandai Mahathir dia masih tidak pandai lagi kerana dia sibuk mencanang untuk membangunkan negara Malaysia dan bangsa Melayu. Dia lupa bahawa sesuatu bangsa itu hanya boleh menjadi satu bangsa yang besar kalau rohaninya sudah kukuh dan teguh. Orang Melayu di bawah pimpinan Mahathir mempunyai rohani yang ampuh. Selagi rohani dan jiwa orang Melayu itu ampuh, selagi itulah kehidupan orang Melayu itu akan terumbang-ambing keadaannya. Mahathir mungkin sudah sedar akan perkara ini tetapi kesedaran itu sudah terlambat munculnya. Dia sedar bahawa orang Melayu sudah muak dengannya. Tetapi dia tidak sanggup meletakkan jawatannya kerana tahu tempatnya selepas itu ialah di sebuah kamar yang berjejari besi. Mungkin Daim di kamar sebelah kanan dan Megat Junid di sebelah kiri.
Untuk mengelakkan dirinya daripada dihambat oleh hukum karma yang menghantuinya Mahathir membiarkan apa juga rencana yang boleh melambatkan proses penghukuman rakyat ke atasnya. Dia mahu melengahkan proses itu. Kalau boleh, dia mahu putar balik jarum jam negara ini. Kalau boleh, dia mahu semua orang terpukau dan mengakui bahawa hanya dialah pemimpinnya yang menjolokkan orang Melayu naik ke atas.
Mengikut analisa saya, Ibrahim Ali menerajui forum BBM hanya kerana tiga sebab:
a) Kerana dia mahu membantu Mahathir terus menipu orang Melayu agar mereka terus terpukau dan terpaku. Tidak mengapa kalau ramai pemimpin lama yang mengkritik Mahathir secara terbuka, kerana mereka tidak akan didakwa di bawah Akta Hasutan. Esok lusa mungkin mereka akan keluarkan satu kenyataan betapa Mahathir mahu berbincang dulu dengan segala pemidato yang mencemohnya itu. Selepas itu lupuslah cerita “Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia.” Itu merupakan tajuk yang menjadi perasa minggu pertama bulan Februari. Kini kita sudah lihat, Paklah sudah mencetuskan satu perasa terbaru. Dia mahu semua pelajar menghentikan budaya kafir mengkafir. Apakah tujuan sebenar cakap Paklah itu? Bukankah dia mengulangakan satu isu yang sudah mati 18 tahun yang lalu? Seperti juga Mahathir mengungkit kembali isu Suqui yang muncul pertama kali pada bulan Oktober 1999 dulu.
b) Satu hari selepas dilancarkan forum TAMHD oleh Ibrahim Ali itu, Mahathir telah berkhutbah di BAR seperti yang biasa dilakukannya setiap awal bulan. Tajuk ucapannya ialah “Demonstrasi Jalanan Tidak Akan Menjatuhkan Kerajaan”. Alangkah angkuhnya. Namun, di sebalik segala cemohan Mahathir terhadap tindakan BBM, Ibrahim Ali dan rakannya masih bertegas mahu melaksanakan satu kempen seluruh negara atas tajuk yang sama. Tetapi itu juga strategi yang pernah dicadangkan oleh Dato’ Suhaimi GPMS dulu. Itulah strategi acah-acah sahaja akhirnya.
c) Kita tidak tahu di antara dua perkara di atas yang mana satu yang lebih mengelirukan. Tetapi ada satu cerita yang bertiup kencang di BAR. Ketika sambutan hari wilayah dilangsungkan, angin lintang datang menggila sehinggakan bendera dan segala sepanduk di situ berlilitan di tiang lampu, sehingga ada bunga yang patah dan terbalik dibuatnya. Dari situ muncul pula cerita hebatt yang masih hangat di BAR sehingga kini. Khabarnya Mahathir telah berjumpa dengan seorang tukang telek di Myanmar dulu, yang meramalkan dia akan jatuh akhirnya pada tahun 2001.
Apakah cerita yang masih hangat itu yang mendorong ramai pemimpin UMNO untuk mengganyang Mahathir secara terbuka? Apakah ini bermakna drama yang panjang berbentuk satu sandiwara mega sudah pun bermula? Siapakah heronya dan siapakah pula bajingannya? Siapa pula sutradaranya?
-Marhaintua-
13.2.2001.