Tugas Yang Membosankan
(One Lousy Job)
Oleh: Warren Carragata
Asiaweek: February16, 2001 Vol.27 No.6
Bahagian Pertama:
Setiap pagi Edwin Gerungan melakukan senaman menarik nafas panjang-panjang sebagai satu riadah amalan dirinya, sebeblum dia memulakan pula tugas formal sebagai seorang insan yang bukan kepalang kuasanya. Orang lain merasa hairan bagaimana dia mampu bertenang dalam tugasnya yang dianggap paling sukar di Indonesia. Edwin Gerungan ialah pengerusi IBRA(Indonesian Bank Restructuring Agency) yang bertanggungjawab ke atas sistem perbankan negaranya. IBRA juga mempunyai kuasa ke atas satu kumpulan aset negara yang pelbagai bentuknya: dari ladang ternakan udang hinggalah pusat pelancongan di Bali. Keseluruhan institusi itu telah ditaksir oleh Bank Dunia bernilai $58 bilion dollar. Memang, lima puluh delapan bilion dollar – dalam bentuk bank, syarikat, hartanah, dan kebanyakan semua itu berada dalam keadaan muflis.
Gerungan ialah orang kelima yang mengepalai agensi itu sejak ia ditubuhkan di bahagian akhir pemerintahan Suharto pada 1998. Perlantikannya itu berlaku kali ketiga dalam satu tahun. Sebelum menerima jawatan pengerusi itu dia merupakan timbalan presiden kanan Bank Mandiri kepunyaan kerajaan. Sebelum itu, Gerungan, 52, telah bertugas selama 25 tahun dengan Citibank, Jakarta. Jawatan terakhirnya di situ ialah sebagai timbalan presiden. Dia memang kelihatan tenang, tetapi Gerugan memang boleh dimaafkan kalau merasa janggal mengenai keselamatan dalam pekerjaannya yang baru itu. Tiga bulan setelah menjawat pangkatnya itu, ofisnya masih menampakkan satu tanda seolah-olah penghuni kamar itu memang bersedia untuk meletakkan jawatan bila-bila masa. Tidak ada foto keluarga menghiasi meja-tulisnya, ataupun alat-alat kegemarannya, malahan tidak ada langsung sebarang hiasan menggambarkan bahawa dia memang selesa di situ. Selain satu balang plastik yang berisi biskut keluaran “Jacob’s”, kamar itu memang ketandusan barangan peribadinya sehingga mencuit hati seorang pegawai IBRA untuk berusaha secara sukarela menggantung sekeping lukisan dinding di bahagian belakang meja tulisnya.
Apa dihairankan kalau dia tidak merasa selamat di situ; Gerungan bertanggungjawab memulihkan sistem perbankan Indonesia, memberikan nafas baru kepada ekonomi negara dan merobohkan keseluruhan legasi Suharto yang jijik-jijik. “Masalah yang dihadapi di sini mungkin lebih berkecamuk daripada tempat yang lain,” kata Gerungan. Ini merupakan satu kenyataan merendah diri kerana IBRA ditubuhkan pada 1998 untuk menyelamatkan secara pukal sistem perbankan yang melibatkan lebih 200 institusi kewangan yang kurang daya dananya, kabur strukturnya, dan dibebani oleh hutang yang berbilion banyaknya sedangkan sebahagian besar hutang itu ditanggung oleh para peminjam. Jumlah asset dalam kawalan IBRA bernilai sekitar 57 persen Keluaran Kasar Negara. Di waktu yang sama ia sudah menjadi semakin tidak efisen, kurang daya saing, kerap menjadi korup kerana disokong dan digalakkan pada dasarnya oleh kerajaan pusat yang lemah. Masalah itu bukan berakhir di situ sahaja. IBRA sudah merupakan pusat pergolakan untuk menguasai jiwa ekonomi Indonesia. Di satu pihak terdapat satu ketumbukan yang masih berbisa yang dianggotai oleh anasir regim lama – inilah anak-anak Suharto dan para kroninya. Di satu pihak lagi adalah para penggiat reformasi ekonomi dan aktivis yang mahu menuntut bela dan pembalasan kerana segala kepedihan yang mereka lihat pernah tanggungi oleh negara; gara-gara perjanjian yang manis-manis dan segala bentuk korupsi yang menggunung tingginya.
Memang tinggi sekali perhitungannya. Seandainya IBRA gagal menjual segala institusi bermasalah itu, segala usaha menegakkan ketelusan korporat dan pemerintahan negara akan pincang. Para kroni yang pernah mengkutak-katikkan ekonomi negara di zaman Suharto akan kembali bersarang. “Peneraju konglomeret itu masih tidak putus asa,” kata Sri Mulyani, seorang professor ekonomi di Universiti Indonesia yang pernah menjadi penasihat ekonomi kepada Presiden Abdurrahman Wahid. Apa juga yang akan berlaku ke atas Wahid akhirnya, memang tidak ada sebab untuk mempercayai sesiapa yang akan menggantinya nanti mampu memperolehi kuasa dan kepakaran untuk mengadili segala pertelingkahan itu. “Segala usaha untuk mempercepatkan dan mendera golongan supra-ningrat kerana kebajingan korupsi mereka terletak kepada keupayaan Indonesia melayari proses pemulihan yang akan membantutkan proses kemajuan negara itu untuk satu waktu yang bertahap di hari muka.” Inilah laporan Standard & Poor, sebuah firma penilai bon dalam satu laporan terbaru mereka. Kalau masa depan Indonesia itu dikiaskan kepada satu acara tarik-tali, IBRA merupakan tali yang perlu ditarik itu. Demikian pula pendapat perunding perniagaan Jakarta, JamesVan Zorge daripada Van Zorge Heffemen. “IBRA akan menjadi penentu kepada pengagihan kekayaan negara di masa hadapan.”
Perkara itu bukannya satu omongan. IBRA memperolehi asetnya dalam proses memulihkan bank yang mencetuskan dua cara: (i) dengan menyuntik dana modal dan (ii) dengan mengambil alih segala hutang lapuk yang ditanggungi oleh bank tersebut. Para pengkritik IBRA berkata, agensi itu telah sengaja mengelakkan penjualan aset tersebut kerana mengelakkan pendedahan segala kemudahan yang pernah disalurkan kepada para kroni yang selalunya merupakan tuanpunya bank yang diberikan bantuan. Yang dipersoalkan ialah segala aset yang diterima oleh IBRA itu bukannya setara dengan segala nilai pampasannya. “Sepatutnya kerajaan berterus terang mengeluarkan kenyataan bahawa segala wang yang dibayar itu tidak akan dapat ditebus balik.” Demikian pendirian Eko Budianto seorang bekas timbalan pengerusi IBRA yang melepaskan jawatannya tahun lepas setelah bertelagah mengenai apa yang dianggapnya sebagai campurtangan politik. Kalau agensi itu berjaya mendapatkan balik 20 hingga 40 cents bagi setiap dollar yang dikeluarkannya, mengikut taksiran para pakar sebagai penilaian yang munasabah, ini bererti proses menyelamatkan bank yang tercungap itu akan menelan 40 bilion dollar, bersamaan dengan 144 persen daripada bajet (peruntukan kewangan ) tahunan kerajaan. Marie Muhammad, pengerusi jawatankuasa penilaian IBRA telah berpendapat bahawa IBRA harus meneruskan kerja-kerja menjual aset (institusi) yang ada. “Kita harus mengiktiraf betapa sudah berlakunya banyak kemusnahan.”
....bersambung....
..........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua
Catatan: Penterjemah telah menterjemahkan artikel ini dengan membagikannya kepada empat bahagian. Artikel ini mempunyai kaitan yang amat dalam maknanya kepada ekonomi Malaysia dan akan mendedahkan secara berkias di mana perginya wang ringgit rakyat marhaen Malaysia, selama ini. Melalui artikel yang berisi maklumat ini rakyat marhaen harus sedar bahawa segala gembar-gembur mengenai pemulihan ekonomi negara adalah kelentongan semata-mata. Apabila diambil-kira artikel ini dan diimbau balik tulisan MGG 3901 “The Bankrupt Icons...” serta nukilan terbaru Amin Sapiro “Jangan Besar Pancing Dari Umpan”, rakyat marhaen akan sedar bahawa Mahathir dan Daim sedang bermain mekap dengan perangkaan untuk menunjukkan ekonomi negara sudah beransur pulih. Insya Allah segala alasan mainan mekap ini akan diterangkan dalam MMM4. – MT--