Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Ikon Kemuflisan Di belakang Wang RM10

Ikon Kemuflisan Di belakang Wang RM10
(MGG:The Bankrupt Icons Of The RM10 currency Note)

Di bahagian belakang wang kertas RM10 terdapat tiga ikon “Malaysia Boleh”: MAS, LRT,dan MISC. Ketika wangkertas itu diperkenalkan beberapa tahun yang lalu, ia merupakan satu lambang visi “Malaysia Boleh’ yang mengilhamkan sebuah negara berindustri pada tahun 2020. Kini, seperti juga beberapa ikon yang lain di negara ini, ketiga-tiga ikon yang disebutkan itu sudah pun jatuh muflis; kerajaan telah menyelamatkan dua yang pertama sedangkan Petronas melakukannya kepada MISC. Nama syarikat mencetak wang-kertas itu sudah tidak kelihatan lagi, seperti yang berlaku kepada wang-kertas negara yang lain.

Sejak bertahun lamanya, wang kertas negara telah dicetak oleh tiga syarikat pencetak yang mempunyai unsur-unsur keselamatan, Thomas de la Rue, Bradbury Wilkinson dan untuk satu masa yang singkat oleh pencetak Belgium yang tidak dapat dibaca namanya oleh kerana mata saya yang sudah tidak mampu membacanya dengan jelas. Tetapi, wang-kertas Malaysia tidak lagi mencatatkan nama pencetaknya. Kenapa? Bukan sahaja wang kertas bernilai RM10, malahan semua wang-kertas yang lain. Malahan, kerajaan pernah menghentikan wang-kertas RM1 dan memperkenalkan syiling bernilai RM1. Ketika itu kita diberitahu bahawa wang-kertas tidak boleh tahan lama sedangkan wang syiling boleh bertahan lebih lama lagi. Tiba-tiba kita sudah disogokan oleh wang-kertas RM1 yang baru dan dikatakan dicetak di negara sendiri. Kenapa?

Bukan itu sahaja yang mesti kita soal sekarang. Dulu, wang-kertas Malaysia mempunyai tarikh keluarannya. Ini telah dihapuskan sebagai mengikuti amalan sejagat. Kemudian, ia telah direka semula untuk memaparkan kebanggaan Malaysia sebagai sebuah negara industri di hari muka. Kenapakah nama pencetak sudah dihapuskan? Itu bukannnya satu amalan sejagat. Apakah itu merupakan satu awalan kepada pencetakan wang-kertas dalam negara? Siapakah yang mencetak wang-kertas bernilai RM1?

Cuba bandingkan RM5 dan yang bernilai lebih tinggi lagi, bukankah kertasnya kelihatan bermutu rendah? Mungkin daya rasa saya (daya meraba - penterjemah) tidak sehebat dulu. Tetapi kerajaan harus memberikan penjelasan kenapakah RM1 itu diedarkan semula. Apakah kerajaan sudah sedar bahawa syiling berharga RM1 mempunyai unsur-unsur yang membahayakan kesihatan ataupun apakah ada juak, kroni dan sukusakat ataupun anak-anak daripada golongan pemerintah yang dianugerahkan kerja-kerja mencetak itu untuk membolehkannya mengaut kekayaan?

Mungkin perkara ini satu remeh-temeh sahaja. Tetapi, saya masih sangsi mengenainya. Kerajaan memang mudah melakukan pelbagai jenis gimik dan innovasi untuk memberikan komisen yang baik kepada sesiapa yang mengajukan sesuatu cadangan dan juga kepada pegawai yang meluluskan cadangan itu. Tetapi sebaik sahaja sesuatu projek itu telah dilaksanakan, ia akan dibiarkan terbengkalai beberapa tahun kemudiannya, kerana aliran sogokan sudah pun dihentikan dan peruntukan untuk menyelia projek itu tidak disalurkan lagi. Kamera untuk mengesan lalulintas telah dibeli dengan kos yang sungguh tinggi dan dipasang di setiap persimpangan yang berlampu untuk merakam lagak pemandu yang melanggar lampu isyarat lalulintas. Pelaburan bernilai berjuta ringgit itu dibazirkan kerana kos filem yang terlalu mahal menyebabkan projek itu terpaksa diabaikan. Kerajaan telah membebani para pemandu dengan mensyaratkan pemasangan lampu brek ketiga. Sebaik sahaja lampu itu sudah dipasang, ia pun diperlekehkan sahaja kerana ada pihak tertentu yang menjadi kayaraya kerananya.

Kerajaan telah mengumumkan projek penswastaan dengan segala gah dan keraiannya. Institusi yang mempunyai aset pilihan telah dibiarkan untuk tender terbuka sedangkan pemberiannya diberikan kepada para kroni, juak, dan sukusakat pihak yang berkuasa. Kini, setiap projek itu sedang dihenyak masalah. Lebuhraya Utara Selatan sedang tertekan kerana hutang bertapuk bernilai RM30 bilion menjadi bebanan. Kos yang dihantui hutang itu akan menaikkan bebanannya meningkat lagi. Dulu, kerajaan mengumumkan bahawa adalah tidak wajar kalau kerajaan terlibat dengan perniagaan. Kini, kerajaan sudah meludah ke langit dan menadahnya semula kerana terpaksa membeli balik semua syarikat yang diagihkan kepada anak-anak emas yang ‘boleh diharap’ dulu untuk mengelakkan mereka menjadi bangkrap.

Cara kerajaan menyelamatkan Tajuddin Ramli, pemegang utama saham MAS, dan bukannya dengan tujuan untuk menyelamatkan MAS adalah persis keputusan pemilu 1999 dulu, yang kini menggugat keupayaan kerajaan untuk terus bernafas. Sekaligus ia menjerumuskan negara ini ke kancah kemuflisan. Malaysia sedang dihantui masalah kewangan, tetapi kerajaan sedang cuba melindunginya dengan membuat beberapa projek besar (mega) yang berharga berbilion ringgit nilainya. Tidak ada niat untuk melihatkan perjalanannya apatah lagi dengan memulakannya. Beberapa projek awam terpaksa ditangguhkan kerana JKR, tidak mempunyai wang, dan tidak mampu memulakan projek itu.

Kerajaan tidak mempunyai alasan yang boleh meyakinkan rakyat marhaen kenapa dilakukan kerja-kerja menyelamatkan projek para kroni dan sukusakat yang bermasalah. Mungkin ada satu-dua yang boleh diterima pakai, tetapi bagaimanakah dengan usaha kerajaan menyelamatkan projek Super Bumiputra yang lebih terkenal sebagai seorang pedagang bertaraf antarabangsa yang tidak ada tolok bandingnya, Tan Sri Vincent Tan? Mungkin ada orang yang berminat untuk mengetahua betapa Danaharta kini menguasai Berjaya Group secara memegang 30 peratus saham syarikat itu. Vincent Tan memegang hanya tujuh peratus sahaja. Kenapa?

Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin harus berterus terang kali ini dan membuat penjelasan mengenai keadan kewangan negara di sessi parlimen yang dijangka bersidang pada pertengahan Mac. Kita boleh menjangkakan beliau tidak akan melakukan perkara ini. Kerajaan memang tidak mahu rakyatnya mengetahui perkara sebenarnya dan lebih bersedia menyuntik dadah kepada rakyatnya agar mereka lalai dalam mendapatkan maklumat sebenar. Tetapi, bukan ini saja yang menghantui Daim, sekarang.

Kebanyakan projek yang diswastakan itu dan yang telah diselamatkan kebanyakannya, adalah projek yang ada kait-mengait dengan dirinya. Lagipun, ahli UMNO mahu tahu sekarang apa yang sudah jadi kepada harta UMNO yang difaraidkan kepada satu syarikat yang bernama Hatibudi. Inilah syarikat yang memegang kuasa syarikat penswastaan yang kini dipegang oleh kumpulan Renong-UEM. Sebagai Bendahari UMNO Tun Daim sedang tertekan kerana terpaksa menjelaskan mana perginya sekitar RM1,000 juta (satu bilion ringgit) yang diamanahkan padanya selama ini.

Usaha mengnyahkan nama pencetak di wang-kertas negara adalah satu gambaran betapa sikap ‘desparado’ yang semakin menghantui pengurusan kewangan yang sepatutnya cermat dan berhemah.

-MGG Pillai-
10.2.2001.

...............................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 12 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com