MGG 3301
Kenapa Anwar Ibrahim Diberikan Layanan Istimewa di Penjara?
(Why Does Anwar Ibrahim Get Special Privileges In Prison?)
Kita mudah terpedaya setiap kali perdana menteri dan juga timbalannya memberitahu betapa mantan timbalan perdana meneri Dato Seri Anwar Ibrahim, menerima layanan istimewa dalam penjara. Kita mudah naik marah dengan cerita itu kerana beliau ialah seorang banduan. Kita bertanya kenapa keistimewaan itu diberikan kepadanya sedangkan orang lain tidak pun menerimanya? Di sinilah kita tersilap sesuatu. Memang, dia menerima layanan istimewa itu kerana itulah yang diberikan kepadanya oleh kerajaan. Bukannya semua orang yang ditangkap di bawah Akta keselamatan Dalam Negara (ISA) yang ditutup matanya dan digari tangannya dan diberikan asakan pukulan karate bertubi kali mengikut ayunan khas yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara. Tidak ada sesiapa yang dikenakan hukuman penjara begitu lama berasaskan tuduhan yang tidak dapat dibuktikan seperti yang pernah dilaluinya. Tidak ada sesiapa yang diberikan bilik khas sebesar sebuah apatment studio, seperti yang disebut secara berulang-ulang oleh Dato’ Abdullah Badawi, lengkap dengan kemudahan yang hanya dapat dimimpikan oleh banduan lain di Malaysia ini. Semua itu diberikan kepada beliau. Kenapa agaknya?
Kenapakah Perdana Menteri dan timbalannya menyalahkan beliau kerana segala kemewahan yang diluluskan sendiri oleh Menteri Halehwal Dalam Negeri? Dia dimasukkan ke hospital kerana menghidapi penyakit yang dianggap oleh para doktor boleh membuatkannya lumpuh seandainya dia tidak diberikan rawatan segera. Dia memerlukan rawatan di luar negara. Saya diberitahu kerajaan bersedia membenarkan permintaannya itu sekiranya dia bersetuju untuk tidak pulang kembali ke negara asalnya. Memang dia tidak akan bersetuju dengan perkara itu. Pada 1973 dulu dia ditahan di bawah ISA, sahabatnya telah mendapatkan biasiswa untuk beliau menyambung pelajaran di Oxford, tetapi beliau enggan menerimanya selagi kerajaan masih mengenakan akta drakonian itu terhadapnya. Apabila kumpulan yang sama memberikan tawaran yang serupa sebelum dia ditangkap pada September 1998, dia menolak lagi, kerana tidak mahu dianggap laksana seorang pencuri yang cuba lari di malam hari. Kalau dia pergi juga ke luar negara untuk mendapatkan rawatan, dia akan pulang semula, dan berkemungkinan menerima nasib yang dilalui oleh Benigno Aquino. (Sanator Aquino telah pulang daripada Amerika dan ditembak mati oleh pembunuh upahan di landasan ‘tarmac’ kapalterbang Manila – penterjemah)
Perdana menteri dan timbalannya boleh terus mengeluarkan kata-kata yang muluk-muluk, merepet dan jua meracau. Tetapi, secara berahsia mereka semakin sedar dan sanggup pula mengakuinya bahawa musuh ketat mereka itu masih menerima sokongan dan simpati rakyat marhaen. Kerjaya politik mereka kini banyak bergantung kepada apa yang akan jadi akhirnya kepada Dato Seri Anwar. Penyakit yang ditanggung oleh Anwar itu sudah dipolitikkan begitu hebat sekali, dengan daya usaha dan kepintaran para penyokongnya; kalau berlaku sebarang bencana di meja bedah kelak, ia akan dijadikan bukti betapa kerajaan mempunyai peranan dalam bencana itu. Para penyokong Anwar sudah semakin galak mengulang kisah kematian pengerusi Pantai Hospital, Dato’ Wan Adli, yang menjalani pembedahan kerana sakit resdung di hospital kepunyaannya sendiri dan mati ketika dibedah. Kemudian diungkit pula cerita letupan misteri yang berlaku ke atas sebuah helikopter yang sepatutnya dinaikki oleh Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dulu. Begitu juga dengan kisah Mercedes beliau yang terpaksa melanggar bukit di Langkawi (kerana minyak berek yang kering - penterjemah). Tindakan dan laungan para penyokong agar beliau menjalani rawatan di luar negara sudah semakin lantang kini. Tetapi , perkara itu sudah tidak penting lagi kerana para doktor percaya adalah lebih baik kalau dilakukan ‘microsurgery’ ke atasnya. Kalau rawatan begitu dilakukan risiko beliau lumpuh adalah sedikit sahaja berbanding dengan pembedahan menyeluruh yang sudah tentu membawa risiko yang lebih tinggi lagi.
Tetapi, kenapakah beliau dikurung bersendirian? Kenapa pula pihak kerajaan mengarahkan agar dua buah kamera dipasang dalam kamarnya – satu kamera menghala ke arah pintu keluar dan satu lagi ke arah ruang dalaman? Saya difahamkan pegawai penjara tidak pernah menggeledah kamarnya, tetapi kerja jijik semacam itu dilakukan oleh orang lain pula. Kenapakah kamarnya itu digeledah semasa dia berada di hospital? Adakah untuk memeriksa samada dia mempunyai satu komputer peribadi ataupun mempunyai talian telefon yang boleh disambung kepada para penyokongnya? Layanan yang diterimanya itu tidak seperti yang dinikmati oleh seorang banduan istimewa yang merupakan kroni perdana menteri, yang mempunyai tilam aqua untuk tidurnya dan di malam hari dibiarkan keluar daripada penjara untuk menguruskan perniagaannya. Menteri hal ehwal dalam negeri mempunyai hak menentukan apa bentuk keistimewaan yang perlu diberikan. Dia boleh menamatkan semua keistimewaan itu, tetapi risikonya dia terpaksa berhadapan dengan penentangan yang lebih hebat lagi.
Hakikatnya, Dato Seri Anwar mungkin pernah membuat kesilapan di masa yang lalu, tetapi kini dia adalah simbol segala kesilapan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia. Kalau boleh kerajaan mahukan beliau lenyap begitu sahaja dari bumi negara ini. Tetapi, di waktu yang sama kerajaan amat takut kalau-kalau perkara semacam itu boleh berlaku. Kalau boleh, dia mesti hidup dan mati pada satu waktu yang sama. Apa pun yang mungkin berlaku sudah pasti mencetuskan kegusaran di kalangan pemimpin UMNO. Kerajaan sudah tidak berdaya lagi mengabui pemikiran para penyokongnnya bahawa dia diberikan layanan yang istimewa sedangkan dia tidak pun menerima semua itu. Inilah yang membuatkan kisah Anwar itu menjadi satu saga yang menakjubkan. Dato Seri Anwar telah memperjuangkan satu rukun hidup yang bermaruah, dia tidak boleh berganjak daripada pendirian itu kerana ini akan menamatkan riwayatnya. Sebetulnya kerajaan sudah mati akal tentang cara menangani masalah mereka dengan beliau. Lagipun kerajaan sudah buta hati tentang tindakan yang patut dilaksanakan.
-MGG Pillai-
.......................................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua
Catitan: Artikel asal disiarkan oleh ‘Keadilan’ keluaran terkini.