MMM3
BBM - Badan Bertindak Untuk Siapa ?
Seperti yang kita jangkakan, perasa omongan minggu ini persis ‘Flavour Of The Week’ ialah “Takkan Hilang Melayu di Dunia”. Ia menjadi satu isu hangat bertepatan dengan waktunya Hari Wilayah Persekutuan disambut di Putrajaya dan disusuli oleh pembukaan rasmi 'Wetland Negara’ yang tidak diketahui berapa ratus jutakah harga pembikinannya.
Seperti yang kita tulis dulu, Badan Bertindak Melayu (BBM) telah dimumkan penubuhannya oleh Ibrahim Ali di hadapan sebuah masjid di Kelantan di satu hari sebaik sahaja umat Islam di situ keluar daripada Solat Jumaat mereka. Inilah pengumuman yang dilakukan selari dengan usaha GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) mahu berkempen serata negara mengenai tuntutan Suqui dan berura-ura untuk mengemukakan 100 tuntutan kepada
Perdana Menteri. GPMS lenyap entah ke mana, tetapi yang nyata tindakan mereka itu adalah
berupa perasa omongan minggu itu sahaja, sebagai penampan kepada kisah rakyat marhaen
yang semakin marah dengan seorang diktator tua.
Badan Bertandak Melayu
Kalau kita lihat perjalanan BBM itu dapatlah dirumuskan di sini bahawa badan itu lebih layak disebut badan untuk ‘bertandak’ mengikut rentak yang dilakar oleh seorang diktator tua sahaja. Memang memalukan sekali penubuhan badan itu, apatah lagi kalau kita kaji masak-masak para penaja yang cuba menonojolkan badan itu ke pentas politik orang Melayu. Hampir semua yang menaja badan itu sudah ketandusan kredibiliti, malahan terlalu ramai di kalangan mereka memang sudah tidak lagi diambil kira sebagai pemimpin yang berwibawa. Apabila kita senaraikan nama-nama mereka itu semua dan ambil kira institusi yang pernah mereka pimpin satu ketika dulu, kita akan merasa mual dan mundah muntah memikirkan prestasi institusi semua itu.
Tanpa menyebut nama-nama para penaja BBM itu, kita boleh juga menyorot sejarah dengan menyebut beberapa nama institusi penting yang kini masih lagi tegak megah laksana rumput di tepi jalan, kebanyakannya; hidup segan mati tak mahu.
Bank Rakyat
Inilah bank yang terawal ditubuhkan untuk membantu rakyat di bandar dan desa mendapatkan bantuan dan bimbingan perbankan yang diketuai oleh para professional Melayu. Oleh kerana Bank ini berkonsepkan koperasi, ramailah rakyat marhaen di kampung-kampung yang menjadi ahlinya. Mereka menjadi ahli dan menyimpan di bank itu bukannya mahukan pinjaman daripada bank tetapi sebagai menyumbang kepada satu usaha kerajaan pimpinan UMNO untuk menyediakan satu dana yang dapat mengembangkan ekonomi orang Melayu. Penulis ada menyumbang sebagai seorang ahli pada tahun 1964 sebanyak RM1,000. Wang ini memang terlalu rendah nilainya sekarang. Tetapi kepada masyarakat Melayu, wang sebanyak satu ribu ringgit pada tahun 1964 adalah bersamaan dengan nilai mengadakan satu majlis perkahwinan ketika itu. Wang itu dikeluarkan oleh penulis pada tahun 1992, tanpa menerima sebarang dividen darinya. Selama dua puluh lapan tahun lamanya wang itu tersimpan di situ tanpa memberi sebarang imbohan kepada penulis. Inilah
gambarannya yang ditanggung oleh segolongan besar orang Melayu yang pernah menyimpan wang mereka di situ.
Bank Rakyat lingkup kerana disalah urus dan disabotaj oleh masyarakat bukan Melayu kerana Pemuda UMNO telah menggunakan dana Bank Rakyat itu untuk pergerakan komersialnya. Inilah penyebabnya yang mengheret Dato Harun Idris ke mahkamah dan akhirnya terjatuhnya Hukuman penjara ke atasnya. Inilah juga kisah yang mengheret Dato Abu Mansor Osman sehingga beliau turut terpenjara. Dato Haron diampunkan kesalahannya itu tetapi tidak pula ia dipanjangkan kepada Dato Abu Mansor Othman. Ia kehilangan gelaran ‘datok’nya setelah ditarik balik oleh Sultan Selangor ketika itu.
Oleh kerana Bank Rakyat menjadi teras kewangan yang diusahakan oleh ramai pemimpin Pemuda UMNO, kita lihat ketika itu banyaknya projek perniagaan yang diusahakan dengan menggunakan dana Bank Rakyat. Hanya mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan Pemuda UMNo ketika itu yang mudah meminjam wang daripada Bank Rakyat untuk apa juga jenis projek yang mereka impikan. Tetapi, pada pertengahan 1960-an, kebanyakan orang Melayu yang mahu berniaga itu adalah lepasan pasukan tentera, ‘Special Constable’ dan ‘Home Guard’ ataupun bekas polis hutan. Ramai juga yang pernah menjadi kelasi kapal yang pernah menjelajah samudera besar dan melihat pembangunan negara asing. Ada juga di antara mereka itu bekas guru lepasan SITC (Sultan Idris Training College) yang berhenti menjadi guru di awal tahun lima puluhan dulu kerana lebih berminat menjadi penoreh getah ketika itu. Harga sekilo getah ketika itu adalah lebih tinggi daripada gaji bulanan seorang guru. Dengan lain perkataan, ramai peminjam Melayu di luar bandar ketika iatu adalah terdiri daripada orang Melayu yang tahu membaca dan berfikir dan beriltizam untuk membangunkan ekonomi kampung mengikut semangat kemerdekaan yang baru sahaja dikecapi. Lagipun di waktu itu kemudahan meminjam daripada MARA sudah semakin menyulitkan kerana budaya sogokan yang semakin menjadi-jadi.
Selepas tercetusnya episod Mei 13, 1969, pinjaman daripada Bank Rakyat semakin mudah diperolehi berbanding dengan proses mendapatkannya daripada MARA. Lagipun MARA Sudah semakin ‘canggih’ kerana mahu menumpukan usaha menggalakkan pembinaan kilang-kilang industri makanan orang Melayu seperti kilang roti, kilang ubikayu, kilang cili dan sos
tomato, kilang kimpalan, bengkel motor dan sebagainya.
Apa juga jenis pinjaman yang diperolehi oleh orang Melayu ketika itu untuk perniagaan berkilang; baik daripada Bank Rakyat, MARA, Bank Bumiputra dan Bank Pembangunan, Proses pinjaman itu tertakluk kepada pengaruh dan kuasa pegawai peminjam yang bertanggungjawab. Malangnya mereka telah dipengaruhi pula oleh konsep dan “Kilang Ubi Mara” yang pernah saya tulis dan ceritakan dalam Siri Suasana Lebaran Pencetus Minda, dulu. Untuk membina kilang memproses ubikayu di Kuantan Pahang, MARA telah mengimpot satu mesin raksasa yang pada asalnya direka untuk memproses ubi kentang. Di waktu yang sama MARA tidak mempunyai ladang ubikayu sendiri, terpaksa bergantung kepada ihsan para petani di Kuantan. Kerana itu projek MARA itu lingkup dan kilang baru dibina pula di Setiawan Perak, kerana MARA mengharapkan ihsan petani Cina pula untuk membekalkan ubikayu kepada mereka. Strategi MARA kali kedua itu kantol juga kerana para petani Cina lebih gemar memproses hasil tanaman mereka sendiri secara tradisi, dengan menyagat ubikayu itu dan menjemurnya di atas bumi. Soalnya sekarang berpuluh juta wang rakyat habis dibalun oleh para pemikir di MARA ketika itu. Di kalangan mereka akhirnya menjadi Timbalan Perdana Menteri, Setiausaha Kementerian, Ketua Setiausaha Negara, Menteri Pertanian, Menteri Besar dan Exco negeri-negeri. Kalau mereka membaca artikel ini mereka tentu sedar siapa mereka itu dan bagaimanakah mereka sedang dibuai mimpi kerana hidup dengan penuh kemewahan dengan pembabitan mereka dengan MARA dulu.
- Budaya Kilang Ubikayu MARA
Budaya Kilang Ubikayu MARA ini menular ke semua institusi perbankan negara di mana orang Melayu terpaksa meminjam untuk perusahaan yang mahu mereka mulakan. Sayang, sehingga hari ini kita belum dapat membaca sejarah bagaimana orang Melayu memulakan tapak perniagaan mereka di ibukota Kuala Lumpur dengan ‘bantuan’ institusi perbankan dan MARA. Hampir sembilan puluh peratus usaha pengusaha Melayu itu gagal disebabkan kerenah birokrasi pegawai bank yang menguruskan pinjaman mereka. Bayangkan, kalau mahu bikin kilang roti, mesti impot dulu mesin canggih daripada luar negara, sedangkan pengilang roti Cina dan Benggali ketika itu tidak pun menggunakan mesin secanggih itu. Yang mereka punyai ketika itu ialah mesin pemotong roti (bread slicer) yang berharga hanya RM500 ketika itu). Begitu juga kalau mahu membuka kilang bikin sos cili dan tomato, mesin kilang merupakan lebih tujuh puluh peratus daripada harga pinjaman yang diluluskan.
Dalam proses membuat kilang sos, mesin yang penting ialah mesin pengukus dan pengisi botol yang menggunakan teknik ‘vacuum filling’. Di awal tujuh puluhan dulu, mesin ini semuanya perlu diimpot daripada luar. Yang disokong untuk digunakan oleh peniaga Melayu ialah mesin buatan orang putih sedangkan mesin buatan India dan Taiwan hanya berharga sepuluh peratus daripada mesin orang putih itu. Oleh kerana para peminjam terpaksa mencagarkan tanah mereka untuk mendapatkna pinjaman, apakah jadi akhirnya kepada industri mereka? Pinjaman yang besar tertumpu kepada harga mesin tentunya meragut peluang untuk pengusaha melakukan proses pemasaran yang mengikut lunas-lunas hukum pasaran semasa. Ketika iu, kedai runcit orang Melayu boleh dikira dengan jari. Di waktu itu pula, belum banyak pasar malam yang dibuka di seluruh kotaraya. Pasar malam hanya bercambah dan membiak atas usaha para pendatang daripada Indonesia dan orang Melayu Kelantan dan Pattani. (Dari situlah mulanya budaya wang perlindungan kerana peniaga tidak layak menerima lesen perniagaan.)
Dalam kisah pinjaman bank itu tadi berlaku beberapa fenomena penting yang menggelikan:
(a)
Si peminjam yang mencagarkan hartanya untuk meminjam terpaksa bergantung kepada ‘ihsan’ pegawai bank untuk meluluskan pinjamannya. Inilah teras budaya perbankan di negara ini. Pegawai bank naik ‘mua’ dan naik ‘lemak’ berlagak angkuh menjadi pegawai bank. Sedangkan di negara maju seorang pegawai bank terpaksa berlembut dan merayu untuk mendapatkan orang awam menyimpan dan meminjam daripada bank mereka. Budaya naik mua ini bermula daripada konsep Kilang Ubikayu MARA di mana kilang yang mahal harganya sengaja dibina untuk menaikkan imej orang Melayu sedangkan orang Cina yang menanam ubikayu di Setiawan dan seluruh Perak dan Pahang tidak pun mempunyai seinci tapak kilang untuk industri itu. Namun mereka inilah yang menjadi pengasas industri gam dan makanan di negara ini.
(b)
Selain daripada menyediakan geran harta sebagai cagaran pinjaman, si peminjam terpaksa mengemukakan dua orang penjamin untuk menyokong pinjamannya itu. Tetapi, undang-undang di Malaysia begitu pelik sekali kerana kalau berlaku sebarang kecundang dalam pembayaran hutang, bank dan institusi peminjam tidak perlu mencari orang yang meminjam. Yang menjadi mangsa ialah si penjamin hutang itu. Inilah sebabnya ramai orang melayu yang muflis kerana mereka menjadi penjamin hutang bank. Ini juga sebabnya ramai pemimpin UMNO yang sudah buta hati dan buta mata kerana mereka mempunyai hutang yang besar di bank dan MARA yang tidak pernah mereka lunaskan.
(c) Ada peminjam hutang itu dulu yang tidak tahu-menahu akan projek yang diusahakannya kerana dia hanya merupakan seorang ‘proksi’ sahaja. Dia dipujuk oleh orang tertentu untuk mencagarkan tanah pesaka yang diwarisinya itu untuk satu projek yang ditaja oleh pegawai Melayu yang ‘celik’ dengan “janji menerima upah bulanan untuk dia bergoyang kaki.” Si
penaja projek ialah seorang Melayu yang mungkin bersaudara rapat dengan si pemegang harta. Tetapi yang selalunya berlaku si penaja projek itu hanya merupakan ‘broker’ sahaja kerana dia membawa bersamanya seorang taukeh cina yang akan mengusahakan projek itu sebenarnya. Si broker sanggup menipu saudaranya sendiri kerana sudah seronok dengan sebuah kereta ‘mercedez’ yang ‘dibelikan’ oleh tauke yang sungguh baik hati dan ikhlas menaikkan ekonomi orang Melayu. Si peminjam tulen tidak pula diberikan ‘mercedes’ itu, kerana dia dijanjikan habuan besar diakhir tahun setelah ditolak segala kos pengilangan. Oleh kerana dia dipasak secukupnya dengan semangat berniaga dengan ‘berjimat dulu’ si peminjam tulen itu terpaksa berpuashati dengan sebuah motor kapcai 49 cc ( di zaman itu yang berharga RM250 sahaja). Kalau nasibnya baik taukeh itu memberikannya sebuah kereta Toyota Corolla yang berharga RM3,500 ketika itu. Orang panggil kereta itu kereta tin ‘MILO’.
Demikianlah kisah orang Melayu berhutang dengan bank yang menjerumuskan orang Melayu itu ke kancah kemuflisan kerana budaya pinjaman yang mencekiknya di tahap awal lagi. Tetapi, yang merana adalah masyarakat yang meminjam itu kerana mereka ditempelak sebagai masyarakat yang tidak tahu mengenang jasa. Mereka dituduh sebagai masyarakat yang tidak tahu berniaga tetapi cuma ingin meminjam untuk berhutang sahaja.
Sekarang cuba kita lihat apa jadi dengan industri Melayu yang terkenal satu masa dulu dan meminjam daripada bank untuk memulakannya. Di manakah Cili sos Aminah Hassan yang sungguh terkenal satu ketika dulu seluruh dunia? Apakah kejayaan sebenarnya itu berlaku tanpa bantuan orang bukan Melayu? Apa jadi dengan pengilang sos yang bernaung di bawah Bank Pembangunan yang memasarkannya di bawah Syarikat Bestari? Kenapakah kebanyakan kilang itu sudah tutup? Bagaimana pula dengan kilang membuat sabun tajaan MARA dan Badan Kemajuan Ekonomi Negeri-Negeri? Apa jadi dengan Projek Pembekal Pukal MARA yang dibakar stornya di belakang bengkel bas MARA di Datuk Keramat? Apa jadi dengan projek Pernas (G-Mart) yang berkonsepkan perniagaan MAKRO yang diwujudkan tiga puluh tahun dulu lagi sebelum syarikat Belanda itu bertapak di negara ini?
Budaya Berhutang Bank Pemimpin UMNO
Sudah ramai orang Melayu yang sudah tahu bahwa setiap pemimpin UMNO yang menjadi wakil rakyat mempunyai kemudahan meminjam daripada bank sekitar setengah juta dengan bercagarkan jawatan yang dipegangnya. Ini merupakan satu hukum yang tidak bertulis. Tetapi, berapakah gaji seorang wakil rakyat? Kalau kita ambil sebagai pukul rata seorang wakil rakyat yang menjadi menteri mampu meraih gaji bulanan termasuk segala Elaunnya berjumlah RM15,000; apakah dia mampu melunaskan hutang bank itu dalam tempoh perkhidmatannya selama empat tahun? Kalau hutang RM500,000 itu dibagi kepada 4 bulan, ia bererti pembayaran sebanyak RM15,000 perlu disediakan termasuk faedah pinjaman? Bagaimana pula seorang wakil rakyat yang menerima gaji hanya sekitar RM8,000 setiap bulan? Mana datang duit lain yang perlu dicekaunya untuk melunaskan hutang setengah juta itu? Bagaimana pula dengan seorang wakil rakyat yang meminjam sampai lima juta untuk membuat rumahnya?
Inilah puncanya kisah Bank Bumiputra muflis sebanyak empat kali, termasuk sebuah bangunan bank itu terbakar satu ketika dulu sehinggakan habis terbakar sama segala pinjaman besar-besar yang dibalun oleh ramai pemimpin negara dan UMNO. Contohnya ialah penubuhan sebuah institusi pelajaran tinggi swasta yang bernama Politeknik Kuala Lumpur yang ditubuhkan di awal tujuh puluhan dulu. Ketika itu para pengajarnya ramai yang masih memakai jubah berwarna hijau dan berkopiah putih. Politeknik Kuala Lumpur berjalan seiring jalan dengan Yayasan Anda yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim. Ramai orang berkata bahawa penubuhan Politeknik Kuala Lumpur itu dulu menerima pinjaman tanpa cagaran sebanyak RM1 juta. Bank yang memberikan pinjaman itu meluluskannya setelah menerima
pesanan daripada seorang menteri kewangan ketika itu. Pesanan itu ditulis di atas secebis kertas tisu sebuah ‘coffee house’ hotel terkemuka sahaja. Apakah betul bahawa pengetua politeknik Kuala Lumpur ketika itu ialah seorang insan yang bernama Ibrahim Ali yang mundar mandir dengan kartu nama yang tertulis gelaran Ph D Sudent Universty of.....USA?.
Berbalik Kisah Bank Rakyat Yang Jatuh Muflis
Sejarah menunjukkan Dato Harun telah mengasaskan satu pergerakan Pemuda UMNO yang lebih berpengaruh daripada MT UMNO di kalangan akar umbi satu ketika dulu. Kerana itu Dato Harun merupakan ‘musuh-numero-uno’ para pemimpin Melayu yang ketika itu berhajat mahu menjadi presiden UMNO. Ketika itu cerita kesihatan Tun Razak adalah satu ‘rahsia’.
Demikianlah kata-kata Dolah Komunis. Soalnya sekarang, ia satu rahsia kepada siapa? Tentu sekali tidak kepada seorang yang berpendidikan dalam dunia perubatan. Tentu juga tidak kepada seorang yang berkhidmat sebagai setiausaha prolitik ataupun setiausaha akhbar kepada Tun Razak itu. Ketika Tun menyorokkan penyakit yang disebut secara rasmi sebagai ‘leukemia’ (tetapi itu bukannya penyakit yang sebenar mengikut MGG Pillai) Dollah Komunis masih bertugas dengan angkuh sebagai pembantunya. Dollah dan Mahathir memang sudah berkenalan lama semasa mereka berada di Singapura. Di waktu itu Tun Razak sudah merestui Dato Haron menaja perlawanan tinju di antara Mohamad Ali dan Joe Bugner. Oleh kerana UMNO tidak berduit untuk menaja perlawanan itu, secara ‘natural’ ataupun semulajadi, tentulah Dato Harun gunakan aset bank Rakyat untuk dicagarkan kepada bank lain, sebagai usaha mendapatkan modal awalan.
Kerja-kerja persiapan diserahkan kepada seorang pegawai berbangsa Cina yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Malaysia. Dialah yang membuat segala urusan itu dan Mohammad Ali memang mudah setuju kerana dia baru sahaja memeluk agama Islam. Sayangnya ketika itu masyarakat Cina masih lagi memeram dendam kepada Datuk Harun kerana
episod Mei 13. Di zaman negara ditadbir oleh kerajaan MAGERAN, terjadi pula pembakaran perkampungan Belakang Mati yang memusnahkan seluruh perkampungan yang beratap rembia itu. Itulah kawasan yang kini dibina Wisma Yakin di satu hujungnya dan Kompleks Campbell di sebelah balai polis Dang Wangi di hujung yang lagi satu pula. Bayangkanlah berapa
besarnya tanah kerajaan Selangor yang sudah pun diserahkan kepada Wilayah Persekutuan ketika itu yang dihuni oleh orang bukan Melayu di kotaraya.
Begitu tebalnya dendam masyarakat Cina kepada UMNO dan juga Dato Harun ketika itu, sehinggakan orang Cina memulaukan penjualan durian pada musim itu. Di waktu itu lebuhraya Utara Selatan belum pun dirancang lagi. Jalan utama daripada Selatan ke Utara perlu menyusuri jalan lama Seremban-Mantin-Beranang-Semenyih-Kajang untuk sesiapa mahu ke Kuala
Lumpur. Di waktu itu ramai pemandu yang memberhentikan kereta untuk berehat di sempadan Selangor-Negri Sembilan yang dipinggir oleh Pajam Estate. Di sepanjang jalan itu memang tersidai berpuluh teratak durian orang Melayu. Pada musim itu mereka kerugian besar kerana orang Cina memboikot penjualan durian mereka. Puncanya ialah bermula apabila Melayu yang baru disuntik semangat kemalayuan tiba-tiba enggan memajakkan dusun durian mereka kepada peraih Cina. Mereka mahu menjualnya sendiri sehingga sampai Ke Chow Kit.
Kalau durian yang menjadi kegemaran orang Cina tetapi ditanam oleh orang Melayu di waktu itu boleh menjadi bahan boikot orang Cina yang mempunyai kuasa membelinya, apakah agaknya nasib perlawanan tinju Mohamand Ali yang ditaja oleh UMNO? Kesannya tidak payah dibincangkan di sini kerana acara itu gagal dan menghampakan. Masyarakat Cina telah
memboikotnya sepertimana mereka berjaya memboikot pembelian durian di seluruh negara.
Tetapi, beberapa bulan kemudiannya, Mohammad Ali muncul di Filipina untuk bertinju melawan Joe Frazier. Di wkatu itu Filipina diperintah oleh diktator Marcos dan kuasa pembeli di negara itu masih juga di tangan orang Filipina yang mempunyai darah kacukan Cina. Perlawanan tinju itu berjaya apabila Stadium yang menjadi tempat bertinju itu dipenuhi dengan tiket laris terjual berminggu sebelum hari perlawanan itu. Dari situ timbul satu soalan. Kalau orang bencikan Marcos kenapa perlawanan tajaannya berjaya? Jawapannya terletak kepada teknik penjualan tiket. Marcos telah menelefon setiap pengarah dan pengurus besar bank di seluruh Filipina untuk membawa duit membeli tiket yang diperuntukkan kepada institusi mereka. Terpulang kepada setiap bank memberikan pinjaman bagi pembelian tiket itu ataupun memberikannya secara percuma kepada pelanggan tetap mereka. Kejayaan Marcos di Manila itu memberi beberapa pengajaran kepada kita:
(a) samada orang Filipina (Melayu beragama Kristian) lebih pintar berniaga daripada orang Melayu UMNO ataupun
(c) Marcos dan para pemikirnya telah belajar banyak kelemahan yang dialami oleh Pemuda UMNO dan juga Bank Rakyat, dulu.
(d)
Masyarakat Cina mampu mengkucar-kacirkan ekonomi negara dengan mensabotaj sebarang usaha perniagaan yang ditaja oleh pimimpim besar Melayu kalau dan apabila mereka bernekad melakukannya.
Saya melihat kegagalan Pemuda UMNO menaja perlawanan Tinju Mohammad Ali itu sebagai satu hukum karma yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada orang Melayu terutama sekali kepada para pemimpin UMNO. Kita mesti ingat bahawa ketika budaya meminjam daripada institusi kewangan bermula selepas negara mencapai kemerdekaannya, yang paling banyak meminjam adalah para pemimpin UMNO. Selepas mereka berjaya meminjam dengan mudah mereka menjadi ‘broker’ kepada ahli UMNO pula. Kemudahan meminjam daripada bank menjadi satu paspot yang besar untuk menarik orang Melayu menjadi ahli UMNO, bukannya kerana mereka amat menyenangi perjuangan UMNO itu. Malahan kalau kita lihat para peminjam dulu-dulu, wang pinjaman bukannya digunakan untuk perniangaan yang mereka maksudkan dalam permohonan pinjaman mereka. Mereka meminjam untuk membeli kereta besar, menjadikan rumah yang kecil menjadi besar dan untuk membesarkan lagi nafsu-nafsi yang memang sudah terlebih besar. Pada waktu itu ada satu rencana kerajaan untuk meluaskan pergerakan koperasi ataupun persatuan ko-op dan berjimat cermat. Semua itu dijadikan alat oleh para pemimpin UMNO untuk meminjam daripada institusi pinjaman yang ada. Hampir semuanya membabitkan para pemimpin UMNO baik di peringkat daerah, negeri hingga ke peringkat kebangsaan.
Kerakusan meminjam daripada MARA, Bank Pembangunan dan juga bank-bank lain yang ditaja dan diuruskan permohonannya oleh para pemimpin UMNO menjadi satu budaya untuk sebahagian besar orang Melayu UMNO membalun dana yang ada untuk berhutang. Melalui hutang piutang itulah mereka membina satu bentuk kekayaan yang palsu sedangkan segala permohonan hutang itu adalah untuk menegakkan asas ekonomi orang Melayu. Oleh kerana mereka meminjam untuk berniaga sedangkan kebanyakan mereka tidak pun mengenal ‘ABC Perniagaan’ apakah yang termampu mereka lakukan? Hampir semuanya menumpukan perhatian untuk mendapatkan kontrak kerajaan. Tetapi, kontrak kerajaan adalah menjadi matlamat dan sasaran utama semua badan kerajaan seperti PKEN (SEDC –State Economic Development Corporation). Kontrak kerajaan juga menjadi sasaran syarikat yang dipunyai oleh para menteri dan wakil rakyat
Melayu yang baru sahaja mengenal apa erti ‘perniagaan’.
Bagaimanakah syarikat Melayu kecil-kecilan boleh mampu untuk berjaya dengan bergantung harap kepada kontrak kerajaan sahaja? Cuba bayangkan siapa saingan mereka? Ketika itu PERNAS adalah satu syarikat bertaraf ‘multinational’ yang mempunyai hak monopoli setiap barangan yang diimpot daripada Negeri China. Syarikat lain di negara ini tidak boleh mengimpot barangan keluaran Chian tanpa persetujuan PERNAS. Daripada usaha mengimpot mesin kecil-kecilan sehinggalah kepada payung buatan China dan juga buah oren sebelum hari lebaran tahun baru China, semuanya mesti diperakukan oleh PERNAS. Kerana itu ditubuhkan beberapa stor pusat jualan borong yang disebut ‘G-Mart’ untuk membolehkan orang Melayu berniaga secara runcit. Apa jadi dengan perusahan itu sekarang? Jawapannya ialah itulah projek yang kantul dan gagal segagalnya. Para pengurus PERNAS dan anak syarikatnya lebih berminat menggunakan hubungan mereka dengan PERNAS untuk menubuhkan syarikat persendirian dengan usahasama dengan orang Cina. Dari sinilah mulanya konsep niaga ‘Ali-Baba’. Banyak anak syarikat ini yang muflis dan dibubarkan tanpa banyak cerita akan kejijikannya.
Mujurlah ada beberapa hotel yang mengguankan jenama ‘HILTON’ yang dimiliki oleh PERNAS tetapi pengurusannya diserahkan kepada orang asing, untuk mengekalkan nama PERNAS itu. Seperti juga dengan beberapa usahasama yang dilaksanakan dengan beberapa syarikat asing, tetapi pengurusannya tidak dikendalikan oleh orang Melayu. Dengan lain perkataan, PERNAS tidak merupakan satu institusi yang diasaskan dengan wang rakyat yang berjaya menaikkan taraf hidup rakyat marhaen. Ironisnya ketua ekskutif PERNAS sejak dulu sehinggakan kini masih lagi seorang anak raja yang saya tidak nampak apakah jasa sebenarnya kepada rakyat marhaen di negara ini. Kalau PERNAS sudah betul-betul berjaya kenapakah kini, monopoli pengimpotan barangan China itu terpaksa dibuka kepada sesiapa saja? Berapakah usia PERNAS sekarang ini, dan kenapakah PERNAS tidak terlibat dengan projek mega seperti yang dilakukan oleh Putrajaya Holdings Berhad? Berapa ramaikah pengurus Melayu dalam PERNAS dulu yang kini menjadi hartawan yang menerima peluang penswastaan negara?
Kegagalan PERNAS dan MARA dalam bidang perushawanan Melayu telah dipengapkan kerana ia merupakan satu episod yang panjang dan amat memalukan orang Melayu. Kalau diteliti semua itu kita boleh bersuara lantang bahawa MARA dan PERNAS merupakan dua konduit ataupun wacana di mana orang Melayu hilang di dunia perniagaannya sendiri gara-gara putarbelit pemimpin Melayu dalam UMNO.
Kenyataan di atas tentu menjadi satu soalan yang mengejutkan kerana orang Melayu kini dikatakan mempunyai daya saing dalam perniagaan. Kalau PERNAS dan MARA gagal, tentu perniagaan Melayu gagal seluruhnya? PERNAS dan MARA termasuk Bank Pembangunan, Bank Rakyat dan Bank Pertanian adalah institusi Melayu yang teruk seiras bank Bumiputra. Cuma, tahap kepunahan di Bank Bumiputra itu terlalu besar lagi, makanya ia menonjol. MARA dan PERNAS tidak menonjol kerana ia sentiasa menerima aliran wang tunai daripada kerajaan ataupun daripada perniagaan yang ada. Tetapi, kalau diamati agenda sebenar dan rancangan awal penubuhannya dulu, dua institusi ini sudah jauh menyimpang hingga menjadi badan yang menyelewengkan harapan orang Melayu. PERNAS dan MARA terpaksa dipertahankan kerana segala kejijikan dalam dua institusi ini akan mendedahkan segala kejijikan pengurusan Melayu selama ini disebabkan putarabelit UMNO dan Mahathir. Kejayaan perniagaan Melayu setakat ini yang digembar-gemburkan itu adalah berpunca daripada sumber yang tidak rasmi dan diiktiraf oleh kerajaan Mahathir selama ini:
a) Dunia niaga eceran (retail) Melayu sejak pertengahan 1960-an dulu, sebelum tercetusnya lagi Mei 13, 1969 adalah diasaskan oleh Al Arqam. Al Arqam yang diasaskan oleh Ustaz Azhari (Abuya) telah banyak belajar daripada beberapa perniagaan masyarakat Jawa lama di Malaysia. Yang paling menonjol ialah sistem francais tidak rasmi Sate Kajang. Perniagaan Sate Kajang diasaskan oleh dua beradik Wak Tasmin dan Wak Rono sehingga mampu maju merebak ke seluruh negara dengan cara membenarkan para pekerjanya membuka ruang niaga di mana sahaja. Asal perniagaan bermula di satu kampung bernama Kampung Paya yang kini menjadi kawasan Radio Malaysia di Kajang. Daripada sate, mereka berkembang kepada kedai makan dan dari situ mereka berkembang ke bidang bekalan makanan, maajun, dan juga pengangkutan. Abuya banyak mempelajari konsep niaga ini kerana dia datang daripada masyarakat Jawa, Kuala Pilah. Kerana itu di tahap awalan Al Arqam, penyokong kuat Abuya dalam industri eceran adalah orang Jawa dan juga kaum yang mendatang kerana inilah masyarakat yang tidak suka makan gaji dengan kerajaan. Ini juga masyarakat yang tidak ada masa berpeleseran di majlis omongan kosong yang bertopengkan politik Melayu. Contoh orang sate Kajang yang berjaya ialah Datuk Ujang Bagong seorang bekas askar Melayu yang akhirnya menjadi seorang pengerusi syarikat yang berdaftar di BSKL.
Kalau masyarakat Jawa dulu berusaha dengan projek gerai sate, menjual tempe dan kicap, masyarakat Minang dan Sumatra pula membuka kedai masakan padang dan jahit menjahit di seluruh negara. Kejayaan mereka itu ditiru oleh masyarakat Kelantan dan Terengganu yang masuk ke bandar-bandar di bahagian barat Semenanjung dengan kepakaran masakan ala Thai sambil mengedarkan “batik cap” dan songket daripada pantai timur itu. Kemasukan mereka sekaligus membawa masuk para penduduk Pattani yang hidupnya tertekan ketika itu.
Inilah masyarakat yang bertapak kecil-kecilan di awal enam-puluhan dulu dan akhirnya berjaya naik ke atas untuk membeli tapak dan tanah ataupun menerimanya secara menyogok pegawai kerajaan dan pemimpin UMNO untuk membuat harta mereka. Mereka kumpul segala harta itu dengan titik peluh dan keringat sendiri tanpa bergaul dengan orang poltik secara rapat. Setiap harta yang mereka kumpul, mereka beli dengan wang halal kerana sebagai peniaga tulen mereka banyak berserah nasib kepada Allah swt sambil berusaha setiap masa. Di zaman pengusaha tulen Melayu dulu, tidak ada budaya ‘daddykasi’, kronisme, dan tender percuma. Mereka berusaha secara bersendirian ataupun secara berkumpulan, dan mereka berjaya. Tetapi, setelah kepimpinan UMNO diambil alih oleh Mahathir, apakah jadinya dengan mereka? Mereka terpinggir kerana keutamaan perniagaan diberikan kepada ‘orang UMNO’. Adakah mereka memberontak? Tidak, mereka mengambil sikap berdiam diri dan sengaja menumpukan perhatian kepada perusahaan sendiri. Mereka bersabar seperti bersabarnya mereka ketika memulakan perniagaan dulu.
Contoh tebaik dalam hal ini ialah ketika Mahathir memulakan satu pembaharuan dalam penjualan ‘Sate Ria’ yang menggunakan kuah sate ciptaan Majid Sate di kampung Baru dan Sate Tasmin dan Rono di Kajang. Apakah jadinya dengan projek sate itu? Kenapakah Mahathir lupa apabila dia bercakap mengenai kegagalan orang Melayu berniaga? Masih ingatkan para pemimpn UMNO apa yang Mahathir sebut di London ketika diiwawancara oleh Financial Times beberapa bulan yang lalu? Masih lupakah orang Melayu apabila Mahathir berkata; “Orang Melayu adalah seperti penduduk negara Komunis. Mereka tidak tahu nilai wang ringgit, kerana itu mereka tidak tahu berniaga.” Malahan di New York Mahathir pernah berkata: “Masih ramai golongan fanatik di antara orang Melayu yang sanggup membuang peti-ais dan TV di sungai.”
Kini, Mahathir sudah menulis berpuluh bukunya mengenai acuan Malaysia membangunkan negaranya. Dia bersuara lantang berkhutbah dan menulis bagaimana dia memimpin Malaysia menjadi negara terkaya di kalangan Dunia Ketiga. Bukunya dijual merata dunia. Dia kini sudah berani mengajar Jepun bagaimana mentadbir negaranya.
Mungkin ketokohan Mahathir ini sudah menjadi satu pengajaran yang amat besar kepada Ibrahim Ali, Rahim Tamby Chik, Mazlan Haron, Tamrin Ghaffar dan kawan-kawan mereka menaja perhimpunan Melayu di Sulaiman Kelab. Bermotifkan ‘Takkan Melayu Hilang Di dunia’ perhimpunan itu terpaksa dialihkan ke PWTC pula. Apakah yang terjadi sebenarnya dengan tajaan itu sehinggakan ia menjadi bercelaru sebelum hari rasminya?
Kita akan sambung cerita ini dengan mendedahkan banyak kisah lagi. Memadailah dikatakan di sini, perhimpunan ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’ adalah penyedap-rasa (flavour) minggu pertama Bulan Februari untuk memudahkan segala kerja-kerja seorang diktator tua meneruskan tipu muslihatnya menipu rakyat marhaen semuanya. Badan Bertindak Melayu dikatakan berhimpun untuk mengusahakan satu perbincangan terbuka bagi kebaikan dan masa depan orang Melayu. Anihnya Mahathir sendiri tidak merestui perhimpunan itu dengan menyebut UMNO tidak terbabit dengan perhimpunan itu. Kenapakah dia mengeluarkan pendapat ini setelah PAS dan Keadilan serta parti BA yang lain mengutuknya? Kenapa dia melakukannya selepas Syed Hami Albar selaku presiden MAYC mengutuk himpunan itu?
Kalau himpunan itu tidak membabitkan UMNO kenapakah Mahathir tidak mengarahkan ahli-ahli UMNO yang menaja majlis itu menghentikannya? Malahan, dia lebih lantang menyuarakan kemungkinan adanya rusuhan yang dirancang oleh BA untuk mensabotaj majlis itu. Bagaimana dia tahu hal itu semua? Inilah masalah rakyat marhaen Melayu. Mereka amat mudah menerima-pakai segala cakap-cakap pemimpin lama yang sepatutnya sudah lama dihumban ke pulau buangan sahaja.
-Marhaintua-
5.2.2001