Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Siapa Pilih Ikut Yang Saya Suka

MGG2501

Siapa Pilih Ikut Yang Saya Suka
(Dr. M: I Appoint Who I Like Into My Government)

Perdana Menteri telah memperingatkan ahli parlimen UMNO jangan merasa kecewa kalau dia memilih bukan ahli parlimen (MP) menganggotai kerajaannya. Itu adalah haknya untuk melantik sesiapa yang dia suka. Pada kali ini dia memilih mereka dari kalangan senator semuanya. Ada kalanya kita melantik orang yang bukan MP kerana “ kita perlu mengambil kira beberapa pertimbangan tertentu. ” Apakah “ beberapa pertimbangan tertentu” itu? Dia tidak pula memberikan penjelasannya. Inilah yang mengegarkan keadaan. Kenapakah dia memilih senator sahaja? UMNO sudah terlalu sarat dengan kayu hanyut di kalangan pemimpin yang ada; sehinggakan presiden parti yang merangkap perdana menteri, tidak lagi berupaya merombak kabinetnya tanpa menghadapi risiko yang berbahaya. Satu ketika dulu, Perdana Menteri tidak mahu mengambil kira langsung senator dalam pemilihan kabinetnya. Kini, dia melantik mereka secara eksklusif pula. Sebabnya hanya satu: Mereka semua bukannya dilantik oleh akar umbi parti, tentunya mereka tidak akan menentangnya, nanti.

Dia memang sedang tertekan teruk dan tidak berupaya berhadapan dengan akar umbi. Keadaan UMNO bukanlah lagi seperti di tahun 1981 ketika dia mula-mula memimpinnya. Parti itu sudah berpecah-pecah dan berpuak-puak sehingga menjadi semakin sukar untuk dikuasai oleh seorang insan sahaja. Tidak juga oleh Seorang Insan di Langgak Golf ataupun Insan Yang Mesti Dimusnahkan Dengan Apa Cara Jua. Mereka berdua ini mempunyai kumpulan pendesak yang berpengaruh dalam parti itu. Kalaulah Perdana Menteri mahu sedikit kelegaan, sepatutnya dia telah memilih beberapa MP (ahli Parlimen) yang mempunyai sokongan dan berkelayakan untuk menyerikan suasana kabinetnya yang terlalu suram. Orang-orang seperti Dato’ Shahrir Samad, seorang menteri yang pernah disingkirkan tetapi kini menjadi seorang pengkritik yang berbisa dan Tengku Razaleigh Hamzah, setakat mencadangkan dua nama sahaja.

Perkara semacam ini tidak pun dilakukannya. Tentu ada sebabnya bukan? Sebenarnya inilah satu rencana jangka panjang agar presiden UMNO di masa hadapan akan terus menjadi Perdana Menteri. Dia mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang ditakluki oleh pemerintahan yang berkonsepkan ‘kuasa-presiden’ di mana Perdana Menteri mempunyai kebebasan melantik sesiapa sahaja yang dia suka untuk menganggotai kabinet, waima seseorang daripada puak pembangkang. Mereka tidak perlu menjadi seorang wakil rakyat dulu untuk dilantik ke situ.

Satu kertas laporan mengenai konsep pemerintahan ini sudah pun tersedia, sepanjang 200 muka surat, khabarnya. Kalau perkara ini diterima, kerajaan yang akan datang akan bermajoritikan orang Melayu daripada berunsurkan orang Malaysia. Ini akan meminggirkan orang bukan Melayu, parti politik di Sabah dan Sarawak, lebih terserlah lagi. Tentunya, suasana politik di negara ini akan bercorakkan fahaman perkauman lagi. Saya memang gusar apakah perkara ini sudah difikirkan semasak-masaknya. Selalunya laporan semacam ini memang tidak mempunyai unsur begitu. Cuma kali ini laporan itu beranggapan PAS akan sama menerimanya. Bagaimanakah agaknya, sedangkan selama ini PAS dinafikan untuk berkuasa? Kalau ahli politik Melayu tidak akan menyokongnya apakah rakyat Marhaen Melayu sanggup menerimanya?

Terdapat satu kecacatan dalam rancangan itu: Dato Seri Anwar Ibrahim. UMNO dan PAS secara kadar yang berpada, memang tidak mahu melihat Anwar Ibrahim keluar daripada penjara. Dia akan menggugat kedua-dua parti itu. Sebarang perjanjian di antara UMNO dan PAS akan menghadapi jalan buntu selagi dia berada di situ. Sebarang kerajaan yang dibentuk secara berahsia dan di luar bidang perlembagaan negara tidak akan dapat bertapak sebagai satu ubat yang mujarab dan berguna. Ia akan mendedahkan segala kekalutan dan percanggahan yang tersorok begitu lama dalam masyarakat negara. Cakap-cakap mengenai perpaduan Melayu telah mencakar ketenangan yang ada di permukaan kekalutan yang terpendam itu, lebih hebat lagi daripada isu Suqui dan juga isu Sekolah Wawasan. Sebarang usaha UMNO untuk memulakan satu ikatan UMNO-PAS, akan berakhir dengan pergolakan di kalangan sokongan orang Melayu hinggakan usaha itu akan merudum lebih cepat lagi daripada sebarang ramalan yang mampu dibuat mengenai kesan-kesannya. Apatah lagi kalau usaha itu akan meminggirkan lagi sokongan masyarakat terhadap UMNO itu sekali.

- MGG Pillai -

.........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 1 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com