Taufan Dalam Cawan
(A Storm In A Teacup)
Perkara itu terpaksa terjadi juga, walaupun penyebabnya tidak seberapa. Inilah yang berlaku di Singapura dan Malaysia disebabkan kenyataan yang disuarakan sesama mereka. Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong, telah mengucapkannya dalam satu majlis jamuan, betapa orang Melayu Singapura adalah lebih berjaya daripada saudara mereka di Malaysia, berdasarkan perangkaan yang ada di tangannya. Kenyataan itu adalah satu tindakan bertahan terahadap sindiran yang mengenai Melayu Singapura yang ditulis dalam sebuah buku oleh seorang Melayu Singapura dua tahun yang lalu. Inilah yang menjadi isu dalam percaturan politik orang Melayu, memungkinkan otak mereka menjadi kematu.
Apa yang tertulis dalam buku dan apa yang disebut pada majlis itu, tidak menjadi penting lagi. Tidak ramai di Malaysia yang pernah memegang buku itu apatah lagi untuk membacanya. Sedangkan kemarahan mereka menunjukkan seolah-olah mereka semuanya sudah pun membacanya. Inilah gambaran betapa persepsi dan bukannya kenyataan yang telah memainkan peranan. Utusan Melayu sudah pintar dengan mainan itu. Ia menggunakan buku yang sudah berusia dua tahun itu dan ditulis oleh sorang pendidik Melayu di Australia untuk menunjukkan betapa lemahnya orang Melayu. Bukan sahaja mereka lemah di Malaysia bahkan di mana saja mereka merupakan kumpulan yang minoriti. Inilah satu tindakan yang populis dan berbaur perkauman. Sepatutnya sikap semacam itu biarlah kekal di Malaysia sahaja. Nampaknya tidak pula.
Singapura mengambil pilihan untuk menjawab. Tetapi, kanapakah Goh Chok Tong sanggup mencetuskan perkara ini sambil mencemarkan hubungan baik dua hala, adalah sesuatu yang tidak menyenangkan ramai manusia. Kenapakah dia tidak mewakilkan kerja-kerja semacam ini kepada seorang ahli politik bawahan? Goh adalah seorang yang sungguh dihormati di Malaysia. Ia memang lebih disegani daripada menteri kanan, Lee Kuan Yew ataupun anaknya timbalan perdana menteri, Lee Hsien Loong.
Wisma Putra telah memanggil Pesuruhjaya Singapura, K. Kesavpany, untuk menyerahkan bantahan terhadap kenyataan Goh itu. Tetapi perkara itu ditenteramkan dengan cepat sekali. Mentreri Luar Syed Hamid Albar menyatakan bahawa kenyataan Goh itu adalah satu tindakan untuk mencetuskan hubungan yang lebih akrab. Itu saja yang mampu dilakukannya. Dia tidak mampu memanjangkannya kerana kenyataan Goh itu memaparkan perbezaan pendirian dalam kaedah pemerintahan di dua negara itu.
Singapura terpaksa terus maju dengan kepintarannya dengan mendapatkan khidmat golongan yang pintar-pintar untuk menjadikan negara itu sebagai model antarabangsa. Itu sebabnya ia menggalakkan rakyatnya sentiasa berwaspada, merangkul peluang yang ada dan berusaha menjadikan negara mereka terunggul di rantau ini. Inilah kejayaan Singapura walaupun ia dilakukannya dengan mencetuskan iri hati negara-negara jirannya. Inilah kejayaan sebuah republik yang bermajoritikan kaum Cina sedangkan rantau ini adalah bermajoritikan orang Melayu. Inilah kejayaan “sebuah kepulaun Cina di samudera Melayu yang memang lama cemburu.”
Singapura memang mementingkan meritokrasi, satu konsep di mana yang paling cekap dapat bertapak, kerana itulah matlamatnya. Di Malaysia, dalam dasar tindakan afirmatif terhadap orang Melayu, konsep meritokrasi sengaja dipinggirkan. Orang Melayu Singapura mesti menyesuaikan diri dengan pandangan meritokrasi itu, kerana kerajaan bersedia membantu orang melayu ke arah itu dan tidak dengan cara memanjakannya. Kalau konsep meritokrasi itu menjadi panduan di Malaysia ia akan menghumbankan cirri-ciri “ketuanan Melayu” itu terpelanting jauh-jauh. Inilah yang telah diulang-ulang oleh perdana menteri Mahathir Mohamad sejak berapa lama dulu lagi.
Orang Melayu Singapura mudah mengeluh kerana dinafikan hak yang dinikmati oleh saudara mereka di bahagian utara republik (Malaysia) sedangkan kaum Cina di Malaysia mengeluh pula kerana tidak menikmati peluang yang dinikmati oleh orang Cina Singapura. Kedua-dua anggapan ini adalah bersalahan. Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu menilai kesenangan secara budayanya sedangkan yang lagi satu menilainya dari aspek ekonomi pula. Kesenangan seseorang itu harus dinilai mengikut suasana masyarakatnya dan bukan disebabkan keindahan nirwana di taman lain.
Pencarian menggapai peluang yang lebih indah sedangkan kaki yang mencari itu masih dirantai di bumi yang menambatnya, tentu mencetuskan suasana saling tidak mempercayai di antara kaum yang terlibat. Tidak kiralah kalau masih wujud suasana mengawal perasaan itu daripada mebuak-buak. Inilah mulanya segala masaalah itu, terutama sekali di Malaysia. Di Malaysia, kaum yang dominan ialah Melayu sedangkan di Singapura ia didominasi oleh orang Cina. Yang menjadi moniriti di satu tempat menjadi yang dominan di tempat yang lagi satu. Apabila anggapan ini terus bermain di minda seseorang, otak yang sama menganggap kehadiran kaum yang lagi satu itu sebagai tembok besar kepada kewujudannya sebagai kaum miniroti. Apabila anggapan itu ditonjolkan sebagai satu kerumitan politik dalam sesuatu suasana, sudah tentu ia meletup secara terbuka.
Apabila semua itu diulang-ulang ia akan meledak laksana taufan dalam cawan. Semestinya ia dibiarkan begitu saja.
- MGG Pillai -
.........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua