Kuasa Yang Tidak Berkuasa
(The Power Of The Powerless)
Muncul di ‘Chiaroscuro’ pada January 29.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad mahu kaum India bersatu-padu di bawah panji-panji MIC. “Kalau mereka tidak bersatu, bererti perpecahan akan berlaku.” Dengan lain perkataan, kalau mereka bersatu, penyatuan pun berlaku. Itu sebabnya MIC menggunakan kuasa veto mereka menolak usaha Indian Progressive Front (IPF) untuk menjadi anggota Barisan Nasional. Presiden MIC, S. Samy Vellu mahukan IPF dibubarkan dan semua ahli parti itu menjadi ahli MIC pula. Mereka beranggapan usaha ini akan menyatupadukan orang India di bawah panji-panji Barisan Nasional.
Boleh jadikah perkara itu? Kemudian, MCA dan Gerakan harus bersatu pula di baah Ling Liong Sik. Oleh kerana PPP (People’s Progressive Party) pada dasarnya adalah sebuah parti kaum India, ia pun harus dibubarkan untuk menganggotai MIC. Seandainya Gerakan dan PPP adalah parti multi-kaum, dan bukannya parti perkauman, memang patutlah mereka bersatu sahaja.
Nampak sangat bodohnya perkara ini, bukan? Tetapi, begitulah halnya dengan harapan Dr. Mahathir. Sesuatu masyarakat itu tidak bersatu disebabkan menyokong hanya satu parti politik. Bukannya politk yang menyatupadukan masyarakat seperti yang dilakukan oleh sesuatu budaya. Malangnya itulah anggapan setiap ketua kaum di dalam BN, yang bertambah yakin bahawa perkara itu boleh terjadi kalau hanya satu badan masyarakat yang mewakili semua kaum itu. Inilah silapnya.
Sesuatu masyarakat dapat bersatu dan maju kalau ia mampu menyelesaikan masalah yang mencabar kemajuannya. Apabila masyarakat itu menjadi terpinggir daripada para pemimpinnya seperti yang berlaku dalam BN kini, masyarakat itu tidak akan berpatah balik untuk mengizinkan para pemimpin itu meneruskan usaha mengaibkan mereka.
Pandithan telah tersilap langkah berpolitik apabila dia mengisytiharkan taat setia kepada BN. Dia menyekat peluangnya untuk memimpin IPF menyertai barisan pembangkang. Itu sebabnya BN boleh mengawal peranannya dan dia tidak mampu berbuat apa-apa. Tetapi, BN tidak boleh melepaskan beliau begitu saja. Kuasa undi yang sungguh diperlukan daripada kaum India pimpinannya, mampu mencetuskan taufan Lunas di masa hadapan.
Dr. Mahathir sudah terlalu mengalut dengan wawasan meganya hinggakan beliau terlupa akan peraturan biasa. Bagaimana mungkin sesuatu masyarakat itu bersatu sama ada secara berpolitik ataupun mengamalkan budayanya sedangkan ia mesti taksub hanya kepada pendapat seorang pemimpin sahaja? Kedua-dua presiden MIC dan juga MCA amat cekap menyingkirkan sesiapa sahaja yang cuba menyanggah kuasa mereka dengan mengemukakan pendapat berbeza mengenai cara memajukan kaumnya.
Apabila sesuatu masyarakat itu menghadapi masalah yang luarbiasa seperti Sekolah Wawasan ataupun dilema kaum India di ladang-ladang, para pemimpinnya mengambil sikap diam membisu. Rakyat marhaen tidak digalakkan memilh pemimpin untuk mewakili mereka, kerana golongan yang memerintah yang akan memilih siapa yang patut mewakili rakyat marhaen itu. Isu yang asas dan masalah yang mudah-mudah sengaja diabaikan. Tercetuslah jurang pemisah yang dalam di antara sesuatu masyarakat itu dengan pemimpin politik mereka.
Para pemimpin di akar umbi menghabiskan masa yang lama untuk mengkaji bagaimana caranya berada di tahap atas tangga kepimpinan parti, sedangkan mereka harus membuat kajian bersama para pemimpin tinggi parti dan menyelesaikan sikap para pengikut yang amat mudah meludah ke arah mereka. Sikap para pemimpin yang angkuh dan sombong yang diperkuatkan dengan sindiran ketika berucap memberikan kekuatan kepada apa yang mereka cakapkan berbanding dengan apa yang sebenarnya mampu mereka lakukan. Selalunya apa yang mereka katakan adalah janji-janji palsu hanya layak untuk orang-orang yang otaknya sudah keliru.
Persidangan agung UMNO telah diatur begitu licik sekali lengakp dengan koreografinya hingga menjadikannya satu majlis yang sungguh bergemerlapan sehinggakan isu yang serius tidak layak dibincangkan. Presiden MIC kerap mencabar sesiapa bertumbuk dengannya di di persidangan agung tahunan parti, kalau-kalau mereka tidak puashati dengannya. Presiden MCA begitu popular di kalangan ahlinya sehinggakan setiap kali dia berucap tidak ada sesiapa yang mahu mendengarnya.
Perubahan tidak dapat dilakukan kalau wujudnya kumpulan yang terdesak bersatu di bawah kepimpinan seorang pemimpin yang sudah tersedak. Sikap MIC menyerap IPF tidak akan menyatupadukan orang India, tidak juga kalau MCA dan Gerakan bergabung sama-sama. Semua kaum telah berpecah-pecah di antara satu dengan lainnya dan juga daripada pemimpin mereka. Para pemimpin masyarakat telah mengabaikan pengikutnya seperti juga kerajaan yang mengabaikan kepentingan dan masalah mereka.
Tetapi, dari kalangan mereka itu muncul pula pemimpin yang tidak punyai kesetiaan kepada mana parti politik dan yang sanggup berusaha menyelesaikan masalah yang ada. Sekaligus mereka mencabar pemimpin politik itu. Inilah yang berlaku dalam kisah Sekolah Wawasan dan Sekolah Damansara. Para pemimpin politik cuba berusaha merapati masalah itu tetapi tidak berjaya.
Orang yang berkuasa memerlukan sokongan puak yang tidak berkuasa untuk terus berkuasa. Tetapi, golongan yang tidak berkuasa selalunya memang mencari satu tapak kuasa sendirian pula. Inilah satu petua yang telah dilupakan oleh BN selama ini: sesuatu masyarakat itu menjadi kuat apabila pemimpin yang mewakili mereka muncul dari kalangan mereka jua.
- MGG Pillai -
.........................................................................
Terjemahan oleh Sdr. Marhain Tua