Budaya bangsa tetap terus terjaga dengan adanya generasi pelapis yang ingin mengekalkan kemurnian dan kesucian budaya yang sememangnya telah tersedia cantik. Kebudayaan yang diwujudkan oleh generasi lama perlu untuk dikekalkan kerana ia mempamerkan kehormatan, kemantapan dan kekuatan bangsa itu sendiri. Kita selaku ahli masyarakat majmuk di Malaysia ini harus mempunyai inisiatif dan usaha yang berkekalan untuk memastikan budaya majmuk yang unik ini kekal terpelihara untuk masa akan datang.
Kesucian dan martabat bangsa akan jatuh dan terhakis apabila ada sahaja pihak yang ingin meruntuhkan sistem kehidupan manusia dengan memasukkan unsur-unsur budaya kuning khususnya dari BARAT. Malah, lebih menyedihkan lagi apabila yang merosakkan sistem itu adalah dari kalangan bangsa Melayu khususnya. Tatkala kita sedih dengan perkara ini, ditambah pula dengan kepincangan yang berlaku di dalam kampus, apabila unsur-unsur BARAT ini berjaya menyusup masuk.
Kita sedia maklum, Institusi Pengajian Tinggi adalah antara tempat mengeluarkan produk para intelektual untuk menjadi sumber tenaga bagi negara. Golongan intelektual tidak seharusnya diracun dengan budaya asing, dan tidak seharusnya mengagungkan orang asing lebih daripada orang tempatan. Kerana mereka jugalah yang mewarisi dan mengekalkan budaya nenek-moyang mereka........
Saya ingin merujuk artikel atau luahan yang dihantar dalam ruangan Surat Pembaca oleh wakil ibu bapa pada tahun lepas berkenaan konsert yang dilakukan di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM. Dalam masa yang sama kita ingin menghasilkan graduan bakal guru yang profesional dan pembina pelapis, masa itu jugalah kita memasukkan unsur-unsur budaya asing.
Saya yang juga selaku penjaga kepada anak saya yang masih menuntut di UPM, agak merasa terkilan dengan sebilangan aktiviti yang masih diadakan walaupun telah ditegur di akhbar kerana tidak bertepatan dengan motto UPM itu sendiri; "Beriltizam Mendidik Mahasiswa Unggul". Baru-baru ini, apa yang mengejutkan saya ialah satu Konsert Unplugged yang dianjurkan oleh Sekretariat Kebudayaan Kolej Kediaman Kelima.
IPT terutamanya kampus UPM seolah-olah ingin menghasilkan graduan yang suka berhibur atau lebih gemar saya istilahkan "Universiti Pertandingan Muzik". Pihak Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar seolah-olah membenarkan dan mengambil pendekatan senyap apabila ada sahaja program-program sebegini. Saya cukup kenal dengan En Aris Fadzillah selaku Pengerusi Unit Kebudayaan HEP yang bertanggugjawab memantau program kebudayaan dalam kampus. Beliau masih jumud dengan makna kebudayaan yang sebenar. Seharusnya diperkenalkan kepada warga kampus, bagaimana budaya bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan bangsa-bangsa lain yang menonjolkan identiti bangsa masing-masing. Sepanjang pemerhatian saya, boleh dikatakan kebudayaan di UPM cukup sinonim dengan konsert, dan saya cukup yakin bahawa konsert ini dibawa masuk dari negara luar. Saya bukan mengkritik HEP secara membabi-buta, tetapi ini sekadar pandangan membina dan selaku orang yang berilmu seharusnya pandangan ini dikaji dengan dada yang terbuka.
Kita boleh tanya kepada sebilangan besar warga kampus, bagaimana budaya bangsanya sendiri, dan amat mengejutkan apabila ramai yang kurang pengetahuan berkenaan identiti bangsanya!!! Sesungguhnya kebudayaan itu cukup luas maknanya meliputi gaya hidup, pakaian, makanan, bahasa dan banyak lagi istilah yang termasuk dalam cabang budaya. Jangan menyempitkan lagi pemikiran anak-anak kita dengan sogokan hiburan yang tidak mendatangkan manfaat malah mendatangkan mudharat seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Kita tidak mahu peristiwa hitam pembuangan bayi di Kolej Pendita Za'ba berlaku lagi untuk masa-masa akan datang.
Man Ganu