Apabila delegasi Indian Progressive Front (IPF) dengan sebulat suara tidak mahu menyertai parti MIC dan PPP ( People’s Progressive Party), President MIC yang mulut celupar dengan segera memberi maklum balas dengan mengucapkan “tahniah” kepada Datuk M.G. Pandithan kerana berjaya mementaskan sebuah drama yang hebat (“well-staged drama”).
Di sini kita tidak perlu susah payah meneka adakah ada niat tersembunyi disebalik jemputan MIC kepada IPF untuk menyertai parti MIC. Terima kasih kepada Samy Vellu kerana dia sendiri membuka pekung didada niat sebenar MIC menjemput IPF menyertai parti itu. Jika MIC benar-benar ikhlas menjemput IPF menyertai parti itu tanpa ada apa-apa niat tersembunyi, Samy Vellu tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian jika dia benar-benar ikhlas mahu orang India bersatu padu.
Sudah jelas kelihatan kenyataan yang dibuat oleh Samy Vellu menunjukkan memang ada niat tersembunyi MIC kononnya mahu menyatupadukan kaum India di Malaysia. Sama seperti Presiden UMNO yang mudah melenting, apabila diketahui keputusan IPF menolak jemputan MIC dan PPP, Presiden MIC menuduh Pandithan bersandiwara dan tidak mahu menghormati keputusan IPF. Mungkin segala rancangan tersembunyi Samy Vellu tidak menjadi sebab itu Samy Vellu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya lantas melepaskan geram kepada Pandithan dan menuduhnya bersandiwara. Sama ada Pandithan bersandiwara ia tidak penting, apa yang penting ialah niat jahat Samy Vellu terbongkar.
Keengganan IPF menyertai MIC memberi tamparan hebat kepada Samy Vellu. Kemungkinan dia akan dijadikan sebagai bahan ketawa orang ramai kerana gagal menyakinkan IPF menyertai MIC. Kekuatan MIC semakin lemah dan goyah ekoran kekalahan calon mereka di Lunas. Samy Vellu tahu kedudukannya semakin terancam dan jika dia tidak berbuat sesuatu, kemungkinan dia tidak akan dapat kepercayaan dari orang India lagi. Jemputannya untuk mengajak IPF sertai semula MIC mungkin dilihat sebagai jalan untuk mengukuhkan kedudukan parti BN dan disamping itu terus mendapat sokongan orang India kerana melihat usaha ini adalah untuk menyatu padukan orang India. Apabila IPF tidak mahu sertai MIC, Samy Vellu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan membuat kenyataan yang bodoh bukan kerana IPF tidak mahu bekerja sama dengannya untuk menyatu padukan orang India tetapi IPF telah melemahkan lagi kekuatan MIC dan kedudukan beliau sebagai Presiden MIC. Siapa yang tidak takut kalau kedudukan Presiden sesebuah parti itu semakin goyah. Inilah yang ditakuti oleh Samy Vellu. Mimpi ngeri Samy Vellu menjadi kenyataan. Sebab itu Samy Vellu marah kepada Pandithan kerana Pandithan menggagalkan niatnya yang tersembunyi.
Kalau saya ialah orang India, saya sudah tentu kecewa dan berasa malu dengan sikap Samy Vellu yang sama seperti Presiden UMNO, sering kali membuat kenyataan yang memperbodohkan diri sendiri dan tidak menunjukkan kematangan seorang pemimpin mengeluarkan kenyataan yang bertanggungjawab. Kenyataan Samy Vellu tidak boleh dipandang remeh kerana ia jelas memperlihatkan adanya agenda tersembunyi beliau. Kita tidak tahu apa agenda tersembunyi tersebut. Kita hanya sekadar meneka. Delegasi IPF membuat keputusan yang sangat bijak. Mereka berasa was-was adakah mereka mendapat tempat dan layanan yang baik jika mereka sertai MIC atau PPP.
Kaum India yang masih sokong MIC harus ambil iktibar dari delegasi IPF yang memberi satu mesej yang penting kepada mereka iaitu kenapa IPF tidak mahu menyertai MIC. Saya tidak mahu dituduh menghasut orang India keluar dari MIC tetapi orang India harus menerima hakikat bahawa MIC gagal membela nasib kaum India. Ini mungkin salah satu sebab kenapa IPF tdak mahu sertai MIC. Ahli IPF ingin mahu lihat taraf hidup orang India meningkat. Jika ahli IPF sertai MIC, mungkin usaha mereka tidak akan tercapai. Jika ahli IPF berada dinaungannya sendiri, kemungkinan usaha mereka untuk memperjuangkan nasib orang India lebih cerah dan suara orang India menuntut pembelaan lebih kuat. Perlu ada parti seperti IPF yang bertindak sebagai “watchdog” kepada MIC. Kalau IPF sertai MIC, sukar untuk lihat nasib orang India akan lebih terbela kerana tidak ada siapa yang memantau MIC selain PPP.
Kita semua tahu siapa Samy Vellu. Sudah 20 tahun dia memimpin MIC, orang India mesti bertanya kepada Samy Vellu selain tuntutan gaji minima, apakah Samy Vellu telah lakukan untuk membela nasib bangsa India. Nasib orang India semakin terbiar dan dipinggirkan. Memang malang nasib bangsa India. Apa yang kaum India mahu tunggu lagi? Saya tidak memahami pemikiran kaum India. Samy Vellu memang tidak boleh diharap langsung tetapi kaum India masih menaruh harapan kepada beliau untuk mempertingkatkan taraf hidup kaum India.
Kita orang semua tahu selagi Samy Vellu jadi Presiden MIC, ia seperti menunggu kucing bertanduk, Samy Vellu tidak dapat menjanjikan kaum India dapat maju dan disegani oleh kaum lain. Mungkin kaum India tidak ada alternatif, tiada satu parti yang benar-benar boleh membela nasib dan kepentingan kaum India. Mahu tidak mahu sampai sekarang kaum India terpaksa membayar harga yang tinggi dengan terus memberi kepercayaan kepada MIC yang sememangnya tidak boleh diharapkan lagi. Disini timbul persoalan mengenai kegagalan parti Keadilan mahupun DAP mendapatkan kepercayaan kaum India bahawa PKN dan DAP ialah parti alternatif yang sesuai dan boleh dijadikan sandaran kaum India mendapatkan pembelaan. Memang ada usaha PKN dan DAP untuk mendapat sokongan kaum India tetapi ia tidak mencukupi. PKN dan DAP harus bertindak dengan lebih proaktif lagi bagaimana cara mahu mendapatkan kepercayaan dari kaum India untuk menyertai BA.
LTL