Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


19 FEBRUARI: YANG UNTUNG DAN YANG RUGI

Akhirnya Umno dan Pas bersetuju untuk bertemu bagi membincangkan agenda perpaduan Melayu pada 19 Februari depan. Walaupun pada mulanya Umno hanya bersetuju supaya pertemuan itu hanya membincangkan isu perpaduan Melayu, tetapi atas desakan Pas, Presiden Umno seumur hidup itu akhirnya bersetuju supaya integrasi nasional turut dibincangkan tetapi tema utamanya masih berkisar dalam soal perpaduan Melayu. Isu-isu lain yang membabitkan integrasi nasional boleh dibincangkan bersama, kata Presiden Umno selepas mesyuarat MT parti itu semalam. Mengapa parti nasionalis itu beriya-iya benar untuk bertemu dengan Pas tentulah pemerhati-pemerhati politik sudah arif apa maksud yang tersurat dan yang tersirat dalam pertemuan itu.

Selepas Pilihanraya 1999 (Pemilu 99) ternyata Umno, parti kebangsaan terbesar dan yang menjadi teras Barisan Nasional, melihat betapa ia kehilangan sokongan dari rakyat negara ini dan ia kelihatan agak terdesak ahir-akhir ini istimewa selepas kekalahannya di Lunas. Sokongan yang kian berkurangan menyebabkan Umno mencari pelbagai isu, atau sengaja mencipta pelbagai isu agar sokongan rakyat Malaysia, khususnya umat Melayu kembali kepadanya. Bermula dari isu Sauk, membawalah kepada isu Suqui dan akhir sekali yang terbaru BBM yang dikatakan telah menikam para pemimpin Umno sendiri. Akhirnya seorang tokoh akademik, Dr. Ahmad Fawzi Mohd.Basri menyarankan agar isu perpaduan Melayu dibincangkan di antara Umno, Pas dan Keadilan yang matlamatnya tentulah akan menguntungkan pihak pemerintah sendiri. Walaupun Keadilan sudah menolak, tetapi nampaknya Pas masih sedia untuk bermain api dengan menyetujui pertemuan yang dijangka akan diadakan pada 19 Februari itu.

Awang Sulung, seorang jurucakap Umno dalam Mingguan Malaysia 11.02.2001 menjelaskan mengapa Umno perlukan pertemuan itu. Katanya Umno melihat bahawa perpecahan orang Melayu sebagai teras bangsa Malaysia sudah sampai ke satu peringkat mengancam status quo yang menjamin kestabilan politik, keharmonian sosial, dan kemajuan ekonomi Malaysia. Katanya lagi walaupun ramai yang beranggapan bahawa kebimbangan itu lahir selepas Pemilu 99 yang memberikan pertambahan besar kerusi Pas di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, hakikatnya adakah benar Pas boleh memerintah melalui pakatan pembangkang selepas pilihanraya akan datang? Ertinya di sini ialah Umno tidak menaruh kepercayaan bahawa Pas boleh memerintah negara ini dan meneruskan dominasi politik Melayu bersama-sama lain-lain parti dalam Barisan Alternatif. Kerana ketidakyakinan itulah Umno mencari jalan bagaimana menyekat pengruh Pas yang kian menular ke pantai Barat semenanjung, selepas menawan Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999 serta sebahagian dari kerusi ADUN dalam Dewan Undangan Negeri Kedah, Pahang dan Selangor. Tentulah perkembangan ini amat membmbangkan Umno yang berjuang atas dasar kebangsaan dan telah pun mendominasi politik Malaysia lebih empat puluh tahun lamanya.

Dalam akhbar yang sama, Prof. Dr. Zainal Kling, yang juga dikenalpasti sebagai jurucakap Umno menjelaskan kumpulan yang tidak berjuang untuk membela bangsa sendiri dianggap seolah-olah menafikan kuasa Tuhan yang menjadikan manusia ini berpuak-puak dan pelbagai kaum. Beliau seterusnya menjelaskan menafikan hak Melayu juga menafikan Al-Quran dan ketuhanan yang menyatakan bahawa manusia ini dijadikan berpuak-puak dan berbangsa-bangsa yang merujuk kepada surah AlHujarat dalam masalah itu. Beliau tidak pula menyebut tentang bagaimana membela bangsa yang dimaksudkan oleh Islam itu. Apakah membela bangsa di atas dasar kezaliman BN selama ini yang memilih puak dan kroni, sahabat dan suku-sakat sebagai membela bangsa seperti yang dimaksudkan dalam Al-Quran itu?

Walau apa pun pandangan dan pendekatan, pendapat-pendapat dari jurubicara Umno itu melambangkan hasrat sebenar mengapa Umno beriya-iya benar untuk mengadakan pertemuan dengan Pas.Sekurang-kurangnya buat masa ini tekanan ke atas Umno yang dituduh menyebabkan perpecahan di kalangan bangsa Melayu itu agak berkurangan. Sebanyak sedikit ia adalah manifestasi dari hasil persetujuan Pas untuk berbincang dengan Umno sebelum ini. Manakala penyokong-penyokong Pas dan BA berbelah bahagi terhadap persetujuan Pas itu. Di kalangan ahli Pas sendiri terdapat pihak yang pro dan pihak yang kontra dengan pertemuan 19 Februari itu.

Pihak yang menyokong memulangkan kepada kebijaksaan pimpinan Pas dalam membuat keputsan. Kepemimpinan Pas diterajui oleh kaum ulama dan tuan-tuan guru, jadi tidak perlu bimbang soal samada Pas akan menyertai BN atau tidak. Hal ini telah pun djelaskan berkali-kali oleh pucuk pimpinan Pas. Di sana terdapat pula pihak yang tidak menyetujui pertemuan berkenaan. Mereka berpendapat adalah membuang masa sahaja berbincang dengan Umno, sebuah parti kebangsaan yang memang sudah jelas kezalimannya yang tidak dapat dimaafkan oleh rakyat marhaen. Peristiwa yang menimpa DS Anwar Ibrahim, penguasaan kerajaan ke atas institusi polis dan kehakiman sehingga kedua-duanya hilang kewibawaannya adalah di antara faktor yang tidak meyakinkan bahawa Umno berniat ikhlas dalam pertemuan itu.

Hal ini ditambah dengan proses membail-out syarikat-syarikat milik kroni oleh kerajaan seperti MAS, MSC dan sebagainya sehingga kewangan negara berada pada tahap yang membimbamgkan. Isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang acapkali dilaporkan dalam akhbar harian sudah pun berakar umbi dalam masyarakat kita dan institusi-institusi kerajaan jelas menampakkan kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam membenteras gejala ini. Kisah Nor Affendi yang terpaksa tutup kedai kerana tidak membayar wang perlindungan kepada penguatkuasa turut menjejaskan kewibawaan kerajaan yang sedang berkuasa. Sebelum ini kita hanya tahu wang perlindungan dikutip oleh kumpulan samseng atau gangster dari orang-orang yang lemah atau kaum mustadafin.

Apa yang jelas dalam perkembangan mutakhir dari pergolakan politik tanahair ialah pihak Umno sebanyak sedikit sudah pun meraih keuntungan dari isu pertemuan ini. Untuk beberapa waktu tohmahan dan luahan tudak puas hati terhadap Umno dan BN agak berkurangan. Media massa yang pro Umno telah pun meletakkan gambar Ustaz Nasaruddin dan Dato' Khalil dalam suasana yang mesra di muka depan akhbar mereka, seolah-olah permusuhan dan persengketaan Pas-Umno telah pun tamat. Proses pereputan yang dialami oleh Umno itu terhenti buat seketika.Umno kembali ceria. Ahli-ahli Pas yang bersetuju dengan perbincangan itu mengambil sikap tunggu dan lihat. Sementara ahli-ahli yang tidak bersetuju mengandaikan bahawa di sana mungkin ada muslihat yang tidak dapat dibaca dan diduga oleh ahli biasa, tetapi ia lebih diketahui oleh pucuk pimpinan. Mungkin ada hikmah disebalik pertemuan itu. Walau apa pun keadaan, ketenangan Pas yang selama ini menjadi tonggak dalam Barisan Alternatif mulai berkocak. Mereka yang baru hendak menyokong Pas mulai ragu-ragu tentang niat Pas itu. Ternyata ada kemelut dan kegelisahan di peringkat akar umbi sekalipun ia tidak begitu jelas.

Pas haruslah mengambil sikap yang bijak dalam isu ini. Kita yakin Pas tidak akan termakan oleh bujukan Umno untuk menyertai BN walau pun BN menjanjikan jawatanTPM2 kepada Pas, seperti apa yang pernah disebut oleh sdr.Zulkifli Nordin dalam ceramahnya di awal bulan Februari lalu. Tetapi itu tidak pula mustahil dalam konteks hukum akal. Hukum akal mengatakan mustahil Tuhan bersifat dengan segala sifat yang baharu, dan kita dapat menerimanya kerana Tuhan itu bersalahan dengan segala yang baharu. Tetap tidak bagi Pas. Tidak mustahil Pas menyertai Barisan Nasional, kalau dikira dari logik hukum akal itu tadi. Pas adalah baharu. Ia bukan Qodim.

Oleh itu, yang dapat meraih keuntungan politik setakat ini dalam isu perpaduan Melayu adalah Umno dan BN. Sementara Pas sedikit sebanyak sudah diragui oleh ahli-ahlinya sendiri, bahkan juga dari parti komponen BA. Dengan begitu Pas perlu berhati-hati dalam soal ini. Umno memang sudah dikenal pasti sedia menangguk di air keruh. Pas adalah musuh tradisi Umno. Mustahil bagi Umno memberi peluang kepada Pas menentukan halatuju negara. Dan pada saat yang baik, Umno akan kembali memukul Pas habis-habisan. Ini telah terbukti sewaktu Pas di bawah pimpinan Asri. Dan kita harap ia tidak terjadi lagi di bawah pimpinan Ustaz Dato' Fadhil Noor.

AlKundangi,
11.2.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 12 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com