Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


MENGAPA MESTI NEGARA ISLAM?

Satu persoalan yang sering dilemparkan kepada kita umat Islam hari ini ialah Islam itu adalah satu agama dan tidak ada kaitannya dengan kegiatan politik. Ucapan-ucapan dan tulisan-tulisan seperti ini sering diucapkan dan dilakarkan oleh pihak yang berkuasa semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka. Malah sebahagian dari orang Islam sendiri mempercayainya, khususnya mereka yang menganut fahaman sempit yang berdasarkan kebangsaan semata-mata. Sebenarnya hal ini adalah merupakan satu kejayaan kepada gerakan sekularisme yang ditaja oleh kaum imperialis demi untuk memisahkan Islam dari politik dan seterusnya menguasai umat Islam hingga ke hari ini.

Kuasa politik Islam sememangnya telah lama runtuh dari muka bumi ini. Sejak Musatafa Kamal Attartuk berjaya mengusir Sultan Abdul Hamid dari kekuasaan Khalifah Islam di Turki pada awal abad dua puluh, sejak itulah umat Islam telah kehilangan kuasa politik Dan politik telah menjadi terasing dari Islam. Ini ditambah pula oleh pihak Barat yang cuba mengikis fahaman politik dari umat Islam, khususnya politik Islam dengan berpadu dalam gerakan sekualarisme dan orientalisme. Maka umat Islam yang kurang faham pun menerima hakikat bahawa politik adalah berlainan dari agama. Namun apakah benar kenyataan itu? Benarkah Islam hanya untuk di masjid-masjid, di majlis-majlis pembukaan rasmi, untuk memerangi dadah dan segala kebejatan sosial lainnya, untuk memerangi Aids, untuk upacara kematian dan perkahwinan dan sebagainya. Hanya itukah tugas Islam?

Tentu sekali para penganut politik kebangsaan seperti Umno akan cepat menyetujuinya. Ini ditambah oleh kenyataan para pemimpinnya yang sering mengarahkan agar politik tidak usah dicampurkan dengan agama. Demikianlah lahirnya satu konsep pemikiran yang memisahkan Islam dari kehidupan berpolitik itu sendiri.

Tetapi Tuhan tidak mengkehendakki agamanya terbiar begitu sahaja. Ulama-ulama yang sedar akan gerakan dan aliran pemikiran ini bangun dengan tiba-tiba untuk menyanggah aliran pemikiran seperti itu yang mereka lihat berentangan dengan tabiat dan kehendak agama Islam itu sendiri. Di Mesir bangkitlah seorang pemuda bernama Hassan Al Banna, yang kemudian mendirikan gerakan Ikhwanul Muslimin bagi memerangi usaha-usaha mengembalikan fahaman umat Islam ke landasan Islam yang sebenar dan berusaha mengembalikan Khalifah Islam yang sudah ditumbangkan itu. Usaha-usaha ini telah menular ke segenap pelusuk dunia di mana sahaja umat Islam berada, tidak terkecuali di negara kita.

Namun bukanlah mudah mengembalikan kefahaman umat Islam yang sudah tersasar jauh itu.Tetapi berkat dengan usaha gigih para pendakwah yang tidak mengenal penat dan jemu dengan segala pengorbanan mereka termasuk nyawa mereka sendiri, secara perlahan-lahan umat ini sudah menerima kembali kenyataan bahawa politik dan Islam itu adalah dua saudara kembar yang tidak dapat dipisahkan. Tetapi mengapakah masih ada yang menolak kenyataan ini? Apakah sebenarnya mereka kurang faham, atau kurang mendapat kefahaman atau ada kepentingan tersendiri yang menyebabkan mereka seolah-olah tidak faham realiti ini? Penulis bukanlah dari kalangan ulama yang mampu menjelaskan perkara sedemikian. Tetapi tulisan ini akan cuba melihat mengapakah negara Islam itu diperlukan dan mengapa umat Islam memerlukan negara Islam itu. Dilihat dari kedudukan nash-nash dari AlQuran dan AlHadis sendiri bahawa negara Islam itu merupakan satu keperluan yang paling ketara dari ajaran Islam yang tulin. Firman Allah yang bermaksud,"Seungguhnya Allah menyuruh kalian menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila menetapkan hukuman di antara manusia hendaklah kalian menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kalian taat kepada Allah dan taat kepada Rasulnya dan ulil-amri di antara kalian..(Annisa':ayat 58-59)."

Dalam ayat di atas kita diperintahkan menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya. Kita juga diminta taat kepada ulil-amri( para penguasa) selama mana mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Dan kita diperintahkan pula kembali kepada Allah dan Rasulnya, kiranya terjadi perselisihan faham atau pendapat. Maksudnya kita diminta kembali kepada ajaran AlQuran dan Sunnah jika berlaku perselisihan pendapat di antara sesama umat Islam. Menunaikan amanah, menetapkan hukuman di antara manusia serta kembali kepada AlQuran dan Sunnah adalah di antara sebab kita memerlukan sebuah daulah atau negara. Tanpa sebuah negara Islam, tugas yang diarahkan seperti itu tidak akan dapat kita laksanakan dengan sempurna.

Alasan lain mengapa umat ini memerlukan negara Islam dapat dilihat dari kesepakatan pendapat ulama Islam sendiri. Sebaik sahaja Rasulalllah saw wafat perkara pertama yang dilakukan oleh para sahabat ialah membentuk negara dan pemerintahan atau pun Imam. Justru itu mereka mengadakan satu mesyuarat tergempar di Thafiqah Bani Sa'diah untuk memilih pengganti Rasullah Saw dalam memimpin negara Islam yang pertama itu, walaupun jasad Rasulallah saw belum lagi dikebumikan. Tidak ada seorang pun di antara para sahabat ra yang mempertikaikan permasalahan ini. Perbedaan pendapat bukan pada kewajiban melantik seorang pemerintah politik Islam, tetapi khilaf yang berlaku hanyalah di sekitar siapakah yang patut dilantik. Dengan demikian para sahabat sependapat tentang kewajiban melantik pengganti itu.

Dalam ajaran Islam itu sendiri terdapat kewajiban yang bersifat kenegaraan. Jika tidak ada sebuah negara kewajiban berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Umpamanya menghukum dengan hukum Allah. Firman Allah yang bermaksud "Perintahlah mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Berhati-hatilah agar mereka tidak sampai menyebabkan engkau mengabaikan sebahagian dari undang-undang yang telah ditanzilkan kepada kamu (AlMaidah : 49)." Dalam kitab-kitab fiqh misalnya, di sana ada hukum-hukum yang berkaitan dengan jenayah dan hudud. Bagaimana mungkin kita akan dapat melaksanakan undang-undang jenayah Islam misalnya, bila kita tidak mempunyai sebuah negara? Dengan demikian undang-undang itu sendiri memerlukan negara dan kekuasaan, maka barulah kita mampu melaksanakannya.

Dari sejarah Islam sendiri kita dapat melihat bukti-bukti tentang kewujudan negara Islam dan ciri-cirinya. Selepas Rasullallah saw melepasi dakwah di zaman Mekah, beliau pun mendapat perintah berhijrah ke Madinah. Hal ini kerana waktu itu Mekah tidak memungkinkan terdirinya sebuah negara Islam memandangkan ia dikuasai oleh kafir Quraisyi, dan umat Islam masih belum begitu ramai dan kekuatan belum cukup untuk mendirikan sebuah daulah/negara. Tetapi setelah peristiwa Hijrah semua suku kaum yang berhijrah dan yang tinggal di Madinah sepakat membaiah Nabi saw langsung mengangkatnya menjadi pemimpin negara Islam yang pertama di Madinah. Di sinilah Rasulallah saw mengasaskan sebuah negara Islam dan mempersatukan kaum Muhajirin dan Ansar. Dari negara Madinah inilah kekuatan Islam mula muncul yang akhirnya mampu menjadi sebuah kuasa besar dan mengalahkan kuasa-kuasa besar yang lainnya di zaman itu, khususya empayar Rome dan Parsi.

Banyak lagi kewajiban-kewajiban lain dalam Islam yang tidak akan dapat dilaksanakan tanpa adanya sebuah negara. Kewajiban-kewajiban seperti menegakkan prinsipsyura dalam pemerintahan, berlaku adil, kewajiban jihad dan melebarkan dakwah Islam, kewajiban melindungi hak-hak rakyat, kebebasan bersuara dan sebagainya itu memerlukan sebuah negara jika semuanya itu ingin dilaksanakan. Dengan demikian keperluan kepada sebuah negara Islam memang tidak dapat dinafikan untuk umat Islam itu sendiri, istimewa akhir-akhir ini di mana umat Islam tidak dapat menangani kebanyakan dari permasalahan mereka akibat tidak wujudnya sebuah negara Islam sejak sekian lama. Tidakkah umat Islam merasa cemburu bahawa ajaran-ajaran mulhid dan batil di atas dunia ini sendiri pun mampu melahirkan sebuah negara mereka sendiri seperti sosialis, komunis, kapitalis dan sebagainya?

Dengan begitu hujah-hujah yang mengatakan bahawa Islam dan politik itu adalah terpisah dan tidak boleh dicampuradukkan adalah satu fahaman yang batil, yang tidak berpijak kepada realiti Islam itu sendiri. Soal mengapa negara itu tidak wujud pada hari ini bukanlah alasan untuk tidak mendirikan negara Islam. Soal sudah mendirikan masjid, pusat-pusat Islam, Universiti Islam, Bank Islam, Insuran Islam dan apa sahaja atas nama Islam juga bukanlah alasan untuk tidak mewujudkan pemerintahan Islam. Selagi sebuah negara Islam tidak tertegak, selagi itulah umat Islam wajib berusaha untuk mendirikannya suatu hari nanti. Kita tidak akan ditanya mengapa kita gagal merealisasikan negara Islam itu ke alam nyata pada hari ini, tetapi kita akan ditanya apakah kita sudah berusaha untuk mewujudkannya? Sekian. Wallahu a'lam.

AlKundangi,
2.2.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 4 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com