Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


KEKAYAAN YANG SEBENAR

Boleh dikatakan setiap insan di dunia ini bercita-cita untuk menjadi kaya raya. Ia sudah menjadi tabiat manusia sejak dahulu lagi. Ramai orang percaya bahawa kekayaan material itu akan membawa kepada kebahagiaan. Namun ramai juga yang kita perhatikan orang-orang yang berada itu tidak bahagia hidupnya. Mereka sering kesuntukan masa kerana untuk mengurus harta yang banyak itu. Dengan begitu masa untuk bersama keluarga dan anak-anak pun menjadi sedikit. Ramai juga orang kaya yang keluh kesah kerana hutang. Sebabnya dari hutang itulah dibuat modal untuk mencari kekayaan di dunia ini. Jadi, mengapa perlu kekayaan yang melimpah ruah di dunia ini kalau sekadar untuk hidup selama lima atau enam puluh tahun?

Inilah persoalan yang sering menghantui manusia era globalisasi ini. Mereka inginkan kemewahan dalam hidup.Mereka inginkan kekayaan. Bahkan anak-anak kecil sekalipun bercita-cita untuk menjadi kaya raya .Rancangan TV seperti How To Be A Millionare menjadi kegemaran pada setiapkali ia muncul di kaca TV. Begitulah terikatnya jiwa kita. Terikat dengan benda-benda. Sebab itulah orang kita memanggilnya faham kebendaan, atau dalam istilah Barat ia dipanggil materialisme.

Tetapi kekayaan yang sebenar bukanlah setakat kaya dari segi itu sahaja. Dalam Islam seseorang itu tidak dianggap kaya hanya dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kaya yang sebenar di samping ia mempunyai harta, ia sebenarnya memiliki jiwa dan hati yang jauh lebih mulia dari hartanya itu. Seseorang itu belum dianggap kaya jika ia tidak dapat menseimbangkan kekayaan material dengan kekayaan ruhaninya yang berdasarkan kepada nilai-nilai Islam yang sejati. Sebab jika ia hanya kaya dari segi zahir sahaja, tetapi di hatinya tersemat perasaan tamak, dengki khianat, sombong, 'ujub, tinggi diri, bakhil dan sebagainya, maka tidak ada gunanya kekayaan yang dimiliki oleh seseorang itu. Sebab kekayaannya itu tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain, tidak dapat memberi faedah kepada anggota masyarakat yang fakir dan yang miskin. Ia hanya kaya untuk dirinya. Tidak untuk orang lain. Kekayaan seperti ini bertentangan dengan semangat Islam. Sebab orang Islam apabila ia kaya dan berharta, di sana ada hak untuk orang lain.

Arahan supaya mendirikan sembahyang selalu diikuti dengan arahan membayar zakat. Ini bermakna zakat dan sembahyang tidak dapat dipisahkan. Dengan begitu orang yang kaya tetapi tidak bersedekah dan membayar zakat, tidak memberi faedah di sisi Islam. Bahkan di zaman Abu Bakar Assiddiq ra menjadi Khalifah, ia memerintahkan supaya memerangi orang-orang Islam yang tidak membayar zakat, walaupun ia mendirikan sembahyang.

Sebenarnya hati yang kaya, yang penuh dengan sifat mulia seperti lemah lembut terhadap sesama manusia, suka tolong menolong, tenang dan berpuas hati dengan apa yang ada, menghormati sesama insan, dan tidak memiliki sifat-sifat hati yang tercela seperti sombong, tinggi diri dan sebagainya, orang yang memiliki hati seperti itulah yang sebenar-benarnya kaya. Orang sebegitu tidak memerlukan pujian dalam hidupnya, ia juga tidak bergantung harap kepada orang lain. Hati dan jiwa yang seperti inilah yang dapat mengecap kebahagiaan dan ketenangan di dunia dan akhirat. Selama hati dan perasaan itu belum merasa puas, selama itulah ketenangan dan kebahagiaan itu tidak akan diperolehi.

Mereka yang jiwanya tinggi dan mulia senantiasa merasa kaya sekalipun tidak berharta, tetapi bila mereka berharta, maka itulah manusianya yang benar-benar bahagia di dunia yang fana ini. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah kekayaan yang sebenar adalah kekayaan kebendaan yang dapat diseimbangkan dengan kekayaan hati nurani dan jiwa yang mulia selaras dengan prinsip-prinsip Islam. Kekayaan sebeginilah yang menjamin ketenangan dan kebahagiaan dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini. Hal seperti ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulallah Saw yang bermaksud "Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu ialah dengan kayanya diri (jiwa)," Hadis disepakati oleh Imam Bukhari & Muslim. Wallahu a'lam.

AlKundangi,
20.2.2001.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 21 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com