Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PERTEMUAN PAS-UMNO TERTANGGUH LAGI?

Dalam suasana debaran menanti apakah yang mungkin dibincangkan oleh dua parti terbesar negara kita yang dikira mewakili 60% penduduk negara ini, tiba-tiba media-media elektronik yang pro Umno/BN malam tadi (18.02.2001) menghebahkan berita bahawa perbincangan mengenai perpaduan Melayu itu ditunda hingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan. Kita tidaklah mengetahui punca sebenar apakah sebab pertemuan itu tertangguh, tetapi menurut berita berkenaan bahawa Pas-lah yang menangguhkan pertemuan itu. Mungkin ada agenda yang tidak dipersetujui oleh kedua belah pihak untuk dibincangkan, sebab itu ia ditangguhkan.

Suatu waktu dulu Pas sering mengajak Umno bermuzakarah. Pada mulanya Umno bersetuju. Tetapi akhirnya muzakarah itu dibatalkan kerana Umno tidak bersetuju untuk bermuzakarah. Tetapi kali ini keadaan itu menjadi seperti terbalik. Pas pula yang menangguhkan pertemuan, meskipun belum lagi membatalkannya.

Maka hebohlah tokoh-tokoh Umno memperkatakan penangguhan itu. Tetapi yang agak peliknya PM sendiri tidak mahu mengulas perkara berkenaan, atas alasan bahawa jika dia bercakap mengenai hal-hal yang berkaitan dengan pertemuan itu, takut nanti ianya tidak menjadi realiti seperti mana yang diharapkannya. Apa yang agak ganjil ialah perubahan sikap Dr.Mahathir itu. Biasanya ia akan bercakap apa sahaja tentang sesuatu isu sehingga kadang-kadang sampai pendengar naik bosan, tetapi kali ini beliau tidak mahu mengulas perkara tersebut. Apa yang mungkin dapat dianalisa dari sikapnya itu adalah Mahathir sendiri memang mengharapkan pertemuan Umno-Pas ini menjadi realiti.

Mengapa PM yang sudah berusia 75 tahun itu mengharapkan pertemuan atas tajuk penyatuan Melayu menjadi kenyataan adalah tidak terlalu sukar kita membuat telahan. Umno seperti yang kita tahu akhir-akhir ini sudah begitu terdesak kerana kehilangan sokongan khususnya dari orang Melayu sendiri. Parti-parti pembangkang yang berada di bawah BA sependapat bahawa isu yang sebenarnya bukanlah perpecahan Melayu, tetapi adalah perpecahan dalam Umno sendiri. Apa yang berlaku adalah beralihnya sokongan orang Melayu dari parti pemerintah kepada pembangkang. Inilah yang amat merisaukan Umno. Ini jugalah yang amat merisaukan Mahathir. Sebab itu Mahathir beriya-iya benar agar pertemuan ini menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya keuntungan politik hasil dari pertemuan itu ialah Umno dapat bernafas kembali setelah nazak beberapa ketika akibat kehilangan sokongan yang amat membimbangkan itu.

Begitulah,Umno kini seolah-olah memohon kasihan belas dari Pas demi untuk meneruskan survival politiknya. Atau lebih tepat lagi Umno meminta sedekah dari Pas untuk melanjutkan jangka hayatnya yang kian ke penghujung itu. Dan bagi pihak Pas pula, mereka merasa kasihan melihat Umno ibarat orang lemas yang sudah hendak tenggelam, lalu menghulurkan tangannya memberikan bantuan; iaitu dengan menyetujui pertemuan berkenaan. Mungkin Pas melihat Umno adalah saudaranya dalam Islam, meskipun ramai di antaranya yang sudah munafik bahkan murtad pun ada. Kita ada fakta yang jelas dalam hal ini dan mereka tidak akan dapat menafikannya. Pas sepatutnya membiarkan sahaja Umno menemui ajalnya, mengingatkan betapa banyak kezaliman yang dilakukannya terhadap orang Melayu sendiri khususnya Pas. Pas tentu ingat peristiwa Memali yang meragut 14 nyawa pada tahun 80an dahulu. Begitu juga peristiwa Lubuk Merbau. Pas tentu juga ingat bagaimana ia diusir dari gabungan BN dan me"magerankan" kerajaan Kelantan, sehingga Pemilu berikutnya Pas hanya memperolehi dua kerusi. Ramai pimpinan-pimpinan Pas ditahan di bawah ISA oleh Umno (BN) termasuklah YB Muhammad Sabu, Yb Mahfuz Omar dan ramai lagi namanya yang tidak dapat dicatat di sini.

Tetapi mungkin Dato' Fahdil Noor ada perhitungan lain. Sebagai orang berpengalaman dalam politik dan amat memahami sepak terajang Umno dalam arena politik tanahair, tentulah beliau lebih arif akan segala keadaan. Kesediaannya membawa Pas bertemu Umno dalam isu Penyatuan Melayu dipertikaikan olek banyak pihak. Tetapi kita harus mengambil sikap Islam, katanya dalam laporan akhbar-akhbar hari ini. Kita bersedia untuk berunding, sekalipun sering bergaduh, berseliseh faham dan sebagainya. Dan inilah sikap Islam yang ingin kita tampilkan. Serba sederhana.Sedia berunding walaupun dengan musuh sendiri. Itulah sikap Islam, katanya.

Apa yang kita harapkan, sekalipun Pas sedia berunding dengan Umno, dan mungkin juga ada tawar-menawar, Pas tidak akan menyertai gabungan BN seperti yang telah banyak kali disebut oleh pimpinan Pas. Sekiranya Pas menyertai BN, bermakna Pas sudah mengkhianati janji-janjinya, mengkhianati ahli-ahlinya, bahkan mengkhianati perlembagaan dan prinsip perjuangannya sendiri. Ini juga beramakna mengkhianati rakan-rakannya dalam BA Kita harap itu tidak akan berlaku, sekalipun kita sedar Pas dipimpin oleh makhluk yang bernama manusia, dan bukan malaikat. Apapun boleh terjadi. Kita ingin Pas mengkotakan janji-janjinya, iaitu akan menubuhkan kerajaan baru, sekiranya menang dalam Pemilu akan datang. Kita sedar dan Pas pun sedar, bahawa Islam tidak dapat ditegakkan dengan cara bergabung dengan puak-puak jahiliyyah itu, sepertimana Nabi Saw tidak sedia bergabung dengan Abu Jahal dan Abu Lahab sekalipun mereka bersedia melantik Rasulallah Saw sebagai Perdana Menteri (pemimpin) mereka. Itulah tawar-menawar yang terkenal dalam sejarah di antara Rasulallah Saw dengan kaum musyrikin Mekah, sebelum mereka mengambil langkah terakhir, iaitu bertindak untuk membunuh Nabi Saw. Wallahu a'lam.

AlKundangi,
18.2.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 20 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com