Tranung Kite - SARA HIDUP DI BAWAH BN MENINGKAT LAGI!
    Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


SARA HIDUP DI BAWAH BN MENINGKAT LAGI!

Kini kos sara hidup di bawah kerajaan BN meningkat lagi. Kenaikan itu adalah berkisar dalam soal kenaikan kadar tarif air yang diumumkan oleh Jabatan Bekalan Air Selangor semalam dari 50% hingga ke 100%. Kos sara hidup itu sudah pun meningkat akhir tahun lalu bila kerajaan pusat setuju menaikkan harga petrol 10 sen seliter yang mengakibatkan barang-barang keperluan asas naik melambung harganya. Kadar baru air ini dikatakan meliputi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, dan dijangka dapat menangung kos subsidi kerajaan yang dikatakan mencecah satu billion akibat kehilangan air tanpa punca serta menampung kos penggantian paip.

JBAS menganggarkan penukaran paip lama asbestos membabitkan 1.4 billion hingga 1.5 billion dan kali terakhir tarif air dinaikkan ialah pada 1 Januari,1991. Kutipan sekarang dikatakan tidak mencukupi untuk membiayai semua kos di atas di samping kos perawatan air yang sudahpun diswastakan kepada sebuah syarikat konsesi yang belum lagi dikenalpasti. Menurut Dewan Perniagan Islam Selangor " bekalan air kepada penduduk adalah tanggungjawab sosial yang sepatutnya ditanggung oleh syarikat pemegang konsesi dan tidak harus menjurus kepada matlamat mengaut untung semata-mata."

Dr.Mohd. Khir Toyo pula berkata kenaikan tarif air itu terpaksa dilakukan kerana kerajaan tidak mampu menanggung subsidi yang sudah mencecah satu billion setahun. Walau bagaimanapun katanya kenaikan itu hanya melibatkan premis yang menggunakan lebih daripada 35 meter padu air di mana jumlah itu mencukupi bagi keluarga yang mempunyai lima ahli. Soalnya bagaimana kalau sesebuah keluarga itu melebihi dari lima orang anggota keluarga? Bagaimana pula kesannya ke atas harga barang? Bagaimana dengan perusahaan dan pembuatan yang banyak menggunakan air? Bagaimana pula dengan restoran dan kedai makanan yang memang banyak menggunakan air?

Seperti yang kita ketahui air adalah sumber alam. Ia adalah anugerah Tuhan. Dengan begitu ia bukanlah sesuatu yang patut diperniagakan apalagi ia adalah salah satu dari keperluan asas untuk hidup selain dari makanan ,pakaian dan tempat tinggal. Apa yang dapat kita lihat, punca sebenar kenaikan air itu adalah apabila proses perawatannya diswastakan. Apa pun perkaranya, jika ia diswastakan maka harga barangan atau sesuatu perkhidmatan itu akan naik. Perkara ini sudah pun dimaklumi oleh rakyat Malaysia, kerana rakyat negara ini sudah begitu "berpengalaman" dengan projek-projek penswastaan.

Penswastaan pada asalnya diperkenalkan di Malaysia bagi maksud mengurangkan beban kerajaan terhadap satu-satu perkhidmatan atau produk yang diswastakan dan kosnya dipindahkan kepada syarikat yang mengambil alih apa yang diswastakan itu, di samping ia dapat mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Tetapi apa yang berlaku ialah penswastaan selalunya diberikan kepada syarikat yang ada hubungan dengan pemerintah, dan puak pemerintah mengaut hasil keuntungan dari projek penswastaan itu atau menjadikannya milik pribadi, anak-anak, para kroni, suku-sakat dan orang-orang yang ada hubungan dengan pemerintah atau yang menjadi proksi kepada seseorang tokoh kanan kerajaan. Inilah sebenarnya yang berlaku sepanjang proses penswastaan yang telah berjalan di Malaysia sejak tahun lapan puluhan dahulu. Lihatlah sahaja kepada STMB, TNB, KTM, Pos Malaysia, Perkapalan Malaysia, dan beribu-ribu lagi badan-badan kerajaan yang kecil dan besar yang telah diswastakan.

Apa yang terjadi adalah kerajaan melepaskan tanggungjawab sosialnya kepada syarikat yang mengambil alih badan-badan berkenaan dan keuntungannya difaraidkan di kalangan anak-beranak dan para kroni mereka. Yang menjadi mangsa dalam hal ini adalah rakyat marhaen yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kekurangan pula dalam soal harta benda. Sudah sampailah masanya kita menilai semula dasar penswastaan ini yang kelihatannya lebih membebankan rakyat marhaen, dan bukannya meingkatkan kecekapan syarikat-syarikat berkenaan. Selagi Mahathir berkuasa, prsoses penswastaan akan terus berjalan tanpa henti dan kekayaan negara akan lupus di tanganya satu persatu. Sebelum negara punah adalah lebih baik kita usir PM yang gila kuasa, yang gila harta, yang gila segalanya ini dari singgahsana kerusi PM yang amat disayanginya itu.

AlKundangi,
17.2.2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 17 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com