Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


TG Nik Aziz anggap isu ‘kemuncup’

KOTA BHARU, Rabu – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mengesahkan menerima surat daripada Istana Kelantan berkata, beliau tidak perlu menjawab surat itu kerana kandungannya adalah ulangan surat terdahulu.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Setiausaha Sulitnya, Nik Mohd Azlan Abdul Hadi, supaya berurusan dengan Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Serpudin Mohamad, bagi menjawab surat berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Abdul Aziz menyifatkan isu itu sebagai ‘kemuncup’ saja dan sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhammad Fauzi Zakaria, berkata Nik Abdul Aziz mengesahkan menerima surat meminta penjelasan daripada Istana Kelantan yang ditandatangani Serpudin seperti dilaporkan akhbar hari ini.

“Bagaimanapun, kerana Menteri Besar mendapati maksud surat itu adalah ulangan daripada yang terdahulu dan tidak relevan dengan dirinya, maka beliau mengarahkan Setiausaha Sulitnya berurusan dengan Setiausaha Sulit Sultan,” katanya ketika membaca kenyataan dua perenggan kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika berceramah di Kampung Air Dingin, Berangan, dekat Tumpat malam tadi, Nik Abdul Aziz meminta ahli dan penyokong Pas supaya tidak terpengaruh dengan isu penarikan pingat dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerana ia boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kita jangan terpengaruh bagi mengeruhkan keadaan... isu itu `kemuncup’ saja yang mana kita boleh pijak dan buang dengan mudah. Usahlah pedulikan perkara itu dan kita kena menganggap perjuangan utama Pas sebenarnya ialah menentang Barisan Nasional (BN), khususnya Umno,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, isu berkenaan hanya bersifat sementara dan sengaja ditimbulkan akhbar untuk menghangatkan keadaan politik di negeri ini.

Beliau berkata, sebagai pendokong dan pejuang parti Islam, semua ahli Pas tidak harus serik dan perlu meneruskan perjuangan.

“Pihak media seolah-olah cuba menghangatkan keadaan dengan mencetuskan isu baru, khususnya penarikan pingat dua Exco,” katanya.

Berita Harian hari ini melaporkan Istana Kelantan menghantar surat kepada Nik Abdul Aziz bagi meminta kerajaan negeri menyatakan pendirian berhubung kenyataan bertulisnya bertajuk ‘Isu Anugerah Tanah Kesultanan Tidak Berbangkit’ minggu lalu, dalam tempoh 14 hari.

Surat itu dihantar ke Pejabat Menteri Besar tengah hari Ahad lalu, tetapi hanya dibuka keesokannya selepas Nik Abdul Aziz pulang dari menghadiri urusan parti di Taiping.

Pada sidang akhbar hari ini, Muhammad Fauzi ketika diminta mengulas maksud ‘surat itu adalah ulangan surat terdahulu’ berkata, ia mengandungi soalan yang pernah dikemukakan sebelum ini, cuma versinya lain, tetapi membawa maksud serupa.

“Oleh itu, Menteri Besar menganggap ia sudah dijawab dan sekadar diulang... jadi ia tak relevan,” katanya.

Beliau berkata, surat Istana bertarikh 29 Januari itu mengandungi tiga soalan dan satu daripada soalan beserta jawapan Nik Abdul Aziz ada diedarkan kepada media oleh Istana pada 31 Januari.

“Soalannya ada tiga, tetapi dia (Istana) hanya bagi (edarkan) satu... itu yang kita panggil sebagai `half truth’ (sebahagian daripada kebenaran) seperti mana disebut Anual Bakhri (Setiausaha Politik Menteri Besar),” katanya.

Ditanya sama ada surat terbaru itu mengandungi tiga soalan, beliau berkata: “Saya kurang perasan (kerana) apabila Menteri Besar mengatakan (isinya) sama, saya tak tanya.”

Mengenai kemungkinan kerajaan negeri mendedahkan dua lagi soalan Istana Kelantan supaya penjelasan menyeluruh dapat dibuat, Muhammad Fauzi berkata, keperluan itu belum timbul setakat ini melainkan diminta oleh Istana untuk berbuat demikian.

Pada sidang media di Kota Darulnaim 29 Januari lalu, Muhammad Fauzi mengedarkan kenyataan bertulis empat perenggan Menteri Besar Kelantan itu bertajuk ‘Isu Anugerah Tanah Kesultanan Tidak Berbangkit’.

Antara lain, ia memuatkan penjelasan Nik Abdul Aziz berhubung isu ‘Tanah Kesultanan’ yang didakwa berlarutan sejak Allahyarham Datuk Ishak Lotfi, menjadi Menteri Besar Kelantan pada awal 1970-an.

Isu itu dikatakan berpunca daripada pengambilan tanah milik Sultan dan kerabatnya di sekitar Istana Balai Besar untuk dibangunkan oleh kerajaan negeri.


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 11 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com