DILEMA MAYA MELAYU DAN UMNO
Oleh : Al-Farouk
Assalamualaikum dan salam reformasi untuk semua,
UMNO dan
Melayu pada satu ketika diibaratkan sebagai irama dan lagu, isi dan kuku, aur
dan tebing,dan berbagai perumpamaan yang dibuat untuk menunjukkan akrab dan erat
hubungan di antara kedua-dua kata ini.
Melayu mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka (mukasurat 874) ialah nama suatu bangsa atau bahasa (terutama
di Semenanjung Malaysia);masuk ~ a)mengikut cara hidup orang Melayu;
b)masuk Islam.
UMNO mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka (mukasurat 1516) ialah akronim bagi United Malay National
Organisation (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu).
Antara maksud yang telah diberikan maka jelaslah UMNO merupakan
satu badan/pertubuhan/parti/persatuan/harakah/jemaah yang dibentuk untuk
perpaduan/kesatuan/ orang yang berbangsa Melayu (secara automatis adalah
ISLAM).
Sekarang ini, konklusi terhadap maksud Melayu telah
diselewengkan oleh Mahathir dengan membenarkan 'bangsa asing' yang bukan Melayu
menyertai UMNO. Ini menunjukkan Mahathir telah menggunakan kuasa eksekutif
(lebik molek lagi DIKTATOR)nya dengan sokongan kroni-kroni serta tali-tali
barutnya untuk menambah keahlian dalam parti. Masyarakat Melayu yang sepatutnya
yang berhak menyertai disingkirkan atas alasan tidak taat atau setia kepada
parti. Sebenarnya bukan ketaatan atau kesetiaan yang dipentingkan dalam
perjuangan UMNO pada masa kini tetapi kesanggupan untuk bekerja membanting
tulang demi kesejahteraan Dinasti Mahathir dan spesis-spesiesnya di dunia dan
kecelakaan di akhirat.
Setelah konspirasi menjatuhkan Dato' Seri Anwar
berlangsung, di sini kita dapat melihat bahawa orang-orang Melayu telah berpecah
menjadi beberapa bahagian yang kecil iaitu :
1. Mereka yang menyokong Mahathir secara tulus ikhlas tang
berbelah bahagi;
2. Mereka yang menyokong Mahathir hanya kerana
terpaksa;
3. Mereka yang menentang Mahathir secara terbuka dan agresif;
4.
Mereka yang menentang Mahathir secara 'silence protest';
5. Mereka
yang hanya terlopong tanpa tahu hulu dan hilir;dan,
6. Mereka yang menentang
Mahathir daripada perahu parti pembangkang.
Daripada kategori kelompok di atas, kita lihat puak yang
menentang lebih banyak daripada yang menyokong. Ini adalah kerana rata-rata
rakyat Malaysia (majoriti di kalangan Melayu) telah mula sedar dengan kelentong
dan tipu helah Dinasti Mahathir ini.
Kelompok pertama, merupakan mereka yang berdiri teguh di
belakang Mahathir dengan hidung tercucuk tanpa memikirkan maruah "human dignity'
mereka terlelong dengan harga murah semurah-murahnya. Kelompok inilah yang
dikatakan kelompok yang berkepentingan untuk mengisi tembolok mereka dan
keluarga mereka.
Kelompok kedua (menyokong kerana terpaksa biasanya kakitangan
kanan kerajaan)merupakan kelompok yang berada hampir kepada dilema kehidupan.
Mereka ini menyokong bukan kerana Dinasti Mahathir itu memang menjadi pilihan
tetapi kerana periuk nasi mereka masih berada di tangan Mahathir. Kepada
kelompok ini, saya menyeru agar meneguhkan iman bahawa semua rezeki yang ada di
muka bumi ini datangnya dari Allah S.W.T. dan bukannya dari Dinasti
Mahathir.
Kelompok ketiga hingga keenam, bukanlah menentang kerajaan atau
menyokong Dato' Seri Anwar tetapi mereka ini menuntut dan menyuarakan hak agar
kerajaan yang dipimpin oleh Dinasti Mahathir ini yang menggunakan "lambang
dacing kuno" yang boleh diragui KEADILAN
timbangannya, mengembalikan KEADILAN yang hakiki
kepada rakyat. Sekiranya ini tidak dikembalikan, maka rakyat akan terus menuntut
dan melaungkan slogan anti-Mahathir sehingga KEADILAN
diserahkan kepada mereka.
Di sini ingin saya menyentuh tentang usaha pihak-pihak media
yang cuba menyelongkar tentang jawatan-jawatan yang dipegang oleh kawan-kawan
(kroni Anwar kononnya) yang berpuluh-puluh dan beratus-ratus, tetapi di manakah
bilangan jawatan kroni-kroni Mahathir dan kerabatnya. Mengapakah ini
disembunyikan ? jawapannya mudah,kalau didedahkan maka hilang dan papa kedanalah
empunya syarikat media massa tersebut yang juga saham-sahamnya serta
jawatan-jawatan penting yang dimonopoli oleh Mahathir dan kerabat serta
kroni-kroninya.
DILEMA MAYA MELAYU DAN UMNO ini
entah bilakah akan berakhir. Marilah kita sama-sama berusaha agar Mahathir
mengembalikan KEADILANkepada yang berhak dengan cara
yang dirasakan munasabah dan berdoa agar mereka yang tertindas mendapat
pertolongan Allah S.W.T. dan yang menindas dan menganiaya diberikan taufik dan
hidayah agar mereka ini sedar dan insaf.
Kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim serta keluarga, anggaplah ini
sebagai salah satu daripada ujian dari Allah S.W.T. untuk menggugurkan dosa-dosa
silam yang terlanjur sama ada disedari ataupun tidak.
Wassalamualaikum.
Petikan ©Wahana Reformasi™