Oleh : Hishamuddin Rais
Sabtu lepas, saya ditangkap lagi bersama enam orang teman daripada Gerakan Reformasi. Kali ini sudah kali kelima saya ditahan dan dihadapkan dengan tuduhan - mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.
Tuduhan ini telah selalu saya dengar. Kali pertama saya dengar pada September 1974 di Mahkamah Johor Bahru. Kebelakangan tuduhan ini semakin galak kita dengar dan semakin sering kita baca di akhbar. Sejak meletusnya Gerakan Reformasi, lebih 2,000 orang, lelaki dan perempuan, termasuk anak-anak sekolah dan golongan profesional telah dikenakan tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.
Malah tidak kurang juga mereka yang telah ditahan berkali-kali atas tuduhan yang sama.
Dua bulan lalu Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar, timbalannya Sallehuddin Ayub dan aktivis parti itu Jalaluddin Manaf dipenjarakan selama sebulan kerana terbabit dalam ‘perhimpunan haram’ membantah lawatan pasukan kriket dari negara Zionis Isreal.
Dari apa yang saya perhatikan, undang-undang, mahkamah dan penjara sedang digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk menewaskan musuh politik dan melanjutkan tempoh dirinya berkuasa. Memang taktik ini selalu digunakan dari zaman berzaman - apa yang berubah ialah pada ketika ini ‘taktik’ ini semakin kerap digunakan tanpa berselindung lagi.
Naib Pengerusi DAP Lim Guan En adalah contoh penggunaan undang-undang untuk mengetepikan beliau daripada berperanan dalam wadah siasah negara kita. Jawatannya gugur sebagai anggota Dewan Rakyat dan tidak dibenarkan bertanding selepas itu. Taktik ini juga secara klasik digunakan untuk ‘merehatkan’ bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim daripada memainkan peranan politik nasionalnya.
Saya bukannya tidak menghormati undang-undang. Saya cukup hormat pada undang-undang yang membawa kepada kebaikan untuk semua. Saya tidak pernah melanggar lampu merah walaupun saya tidak pernah memandu. Saya tidak pernah dan tidak akan merasuah pegawai kerajaan atau anggota polis. Saya tidak akan mencuri atau menipu. Semua ini bukan tabiat yang saya miliki.
Saya mendewasa di kota London - tempat undang-undang sivil cukup dipatuhi oleh rakyat - tanpa mengira putera raja, anak tycoon atau ahli politik. Malah Puteri Anne sendiri telah beberapa kali disaman oleh polis trafik. Tahun lalu anak Perdana Menteri Tony Blair telah dua kali mendapat amaran polis. Jelas kelihatan negara-negara yang kita anggap ‘kafir’ ini lebih menghormati manusia sebagai insan.
Pemimpin muda BA hadapi tuduhan
Tetapi dalam masa yang sama pengalaman, pembacaan, dan pemikiran saya telah meyakinkan diri untuk tidak menghormati undang-undang atau hukum-hakam yang menindas, menyempitkan ruang demokrasi dan mengganggu hak asasi saya sebagai seorang insan. Bagi saya, hukum-hakam yang menindas hak individu, tidak kira apa puncanya, tidak perlu dihormati atau dipatuhi. Kita dilahirkan di dunia ini sebagai insan bebas. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menilai dan mempertahankan kebebasan itu.
Secara kolektif, individu sebagai unit sosial dalam sesebuah negara wajib menghormati perlembagaan, badan kehakiman dan undang-undang negara. Semua ini adalah bahan rujukan yang menjalinkan dan mengikat tenunan penyusunan sesebuah masyarakat. Semua negara wujud berdasarkan perlembagaan dan undang-undang. Hanya sebuah negara saja di dunia yang tidak mempunyai perlembagaan negara yang bertulis - Britain - tetapi masyarakat sivil di negara itu wujud berdasarkan lembaga parlimen dan common law.
Apa yang berlaku di negara kita sekarang bukan keutuhan atau ketelusan undang-undang tetapi penggunaaan undang-undang untuk kepentingan pihak berkuasa. Kerana inilah penangkapan demi penangkapan dilakukan terhadap aktivis Reformasi. Sebenarnya tangkapan ini bertujuan menakut-nakutkan rakyat dan orang ramai agar tidak berani bersuara dan berkata benar.
Lembaga mahkamah sedang digunakan sebagi alat untuk menindas pihak yang tertuduh. Dengan penangkapan ini, terselit sama agenda besar untuk menafikan mereka yang dituduh daripada bertanding dalam pilihanraya umum akan datang. Hal ini bukanlah satu agenda yang tersorok. Secara umum, orang ramai telah dapat membaca agenda hodoh ini.
Lihatlah, hampir semua pemimpin muda dalam Barisan Alternatif dan Gerakan Reformasi sedang menghadapi pelbagai tuduhan termasuk terlibat dalam perhimpunan haram. Nama-nama mereka yang tertuduh adalah who and who dalam gerakan siasah negara hari ini.
Antaranya ialah Dr Mohd Hatta Mohd Ramli, Roslan Kasim, Sivarasa Rasiah, Dr Sanusi Osman, Mohamed Ezam Mohd Nor, Azmin Ali, Abd Malek Hussin, N Gobalakrishnan, Lokman Noor Adam dan Tian Chua. Turut dituduh bersama aktivis ini, beratus-ratus lagi aktivis dan penggerak utama Barisan Alternatif dan Gerakan Reformasi.
Mereka merupakan pemimpin baru generasi muda yang sedang membawa rentak, lenggok dan tempo siasah baru yang tidak bersifat perkauman dalam arena politik negara kita. Siasah baru ini sedang berkembang dan akan menggugat semua parti yang bernafaskan perkauman. Siasah yang dibawa oleh generasi muda ini telah memisahkan diri mereka daripada paradigma politik lama yang basi, kolot dan beku.
Perangkap mainan
Generasi muda ini sedang membawa garis politik yang baru yang sihat. Mereka telah memilih jalanraya sebagai wacana politik. Mereka melihat jalanraya dan bukan pilihanraya semata-mata yang akan berjaya meruntuhkan dan menumpaskan regim kuku besi.
Siasah baru ini saya lihat hidup, segar dan mencabar - lalu memberikan tenaga dan simpati saya. Saya sendiri melihat jalanraya sebagai wadah politik gerakan massa yang tulen. Intelek saya, pembacaan saya, ilmu pengetahuan dan pengalaman saya telah menunjukkan dengan jelas bahawa pilihanraya bukanlah satu-satunya jalan yang betul untuk menumbangkan sistem dan regim kuku besi. Pemerintahan diktator di mana-mana pun di dunia ini tidak mungkin dapat ditumbangkan melalui pilihanraya.
Saya melihat semakin jelas bahawa pemimpin muda yang membawa siasah baru ini telah membebaskan diri mereka daripada perangkap mainan: Untuk menjadi calon wakil rakyat seseorang wajib bebas daripada hukuman denda lebih RM2000 atau penjara setahun.
Undang-undang ini menakutkan ramai individu yang bercita-cita ingin menjadi Yang Berhormat daripada turun bersama rakyat di jalanraya. Mereka takut ditangkap dan dinafikan hak bertanding sebagai calon wakil rakyat. Inilah satu-satunya contoh undang-undang humbug yang tidak perlu dipedulikan kerana berhimpun itu adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan negara kita.
Wadah siasah baru ini - jalanraya - telah memperlihatkan bahawa kita tidak perlu menjadi wakil rakyat untuk menerangkan kebenaran kepada orang ramai. Kita juga tidak perlu duduk di Dewan Rakyat untuk bersuara dan berkata benar. Menyatakan kebenaran bukan monopoli Dewan Rakyat atau wakil-wakilnya. Jika ada individu daripada Barisan Alternatif yang melihat parlimen sebagai satu-satunya ruang demokrasi di negara ini, maka individu ini wajib diperiksa kepalanya di Tanjung Rambutan!
Lalu saya pun terfikir bahawa siri-siri penangkapan seperti ini akan berterusan. Mungkin suatu suasana yang baik. Hasilnya, orang ramai akan terdidik untuk menjadi lebih berani dan tidak mudah gentar. Orang ramai akan berasa nikmat hasil kekuatan hak asasi apabila mereka bersatu berkumpul dan bergerak serentak untuk mencapai tujuan yang sama.
Bagi saya, semua undang-undang di dunia ini adalah hasil pemikiran manusia. Tidak ada satu pun undang-undang yang tidak boleh diubah. Perlembagaan Persekutuan yang wujud hari ini boleh diubah dan gantikan atau dibuang sahaja. Tidak perlu kita risau dengan akta pilihanraya kerana akta-akta ini semuanya direka oleh kuasa yang memerintah.
Saya dan teman-teman daripada Gerakan Reformasi mungkin akan terus ditangkap, ditahan dan dituduh menyertai perhimpunan haram. Maka seperti dialog seorang watak dalam teater Tok Ampoo apabila ditanya oleh Tuan Hakim; kenapa dia mengambil bahagian dalam perhimpunan haram? Watak itu menjawab: ‘Kerana belum berjumpa (perhimpunan) yang halal, Yang Arif .’
Jawapan watak ini jugalah yang akan saya gunakan apabila saya dihadapkan di mahkamah nanti. Hanya saya ingin menambah ‘yang adil kita sembah, yang mahazalim kita sanggah.’
.......................................................
Petikan Malaysiakini.com