Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Ha, ha, ha! Lawak PM dan Asiaweek

Oleh : Hishamuddin Rais

Dua minggu lalu pembaca akhbar dan penonton televisyen dihiburkan dengan beberapa komedi. Komedi ini, jika dikaji dari segi genre, bukanlah jenis slapstick tetapi lebih menghampiri black comedy (lawak hitam).

Dalam budaya Melayu, lawak hitam telah lama wujud. Cerita klasik ‘Lebai Malang’ adalah contoh terbaik genre ini. Beberapa episod dalam epik ‘Pak Pandir’ juga memaparkan unsur-unsur lawak hitam. Pak Pandir kematian anak dan Pak Pandir melawan gergasi - adalah dua contoh terbaik daripada genre ini yang tersimpan dalam khazanah kesusasteraan Melayu klasik.

Di Eropah, lawak hitam tidaklah baru. Daripada novel, drama pentas hinggalah kepada filem - genre ini sering digarap. Filem-filem Eropah pada tahun-tahun akhir alaf lalu sering menampakkan unsur lawak hitam. Lawak ini disadur pula unsur-unsur kesinisan. Genre ini menjadi ‘chic’ terutama pada tahun-tahun akhir Perang Dingin.

Pada 1992, sekumpulan tukang tipu profesional dan seorang pelukis dari Jerman Timur bersepakat untuk mementaskan lawak hitam. Tujuan mereka: Membuat keuntungan. Lawak hitam ini dirancang dengan begitu rapi. Mereka mengambil masa yang lama untuk merancang dengan teliti agar lawak hitam mereka akan dilihat sebagai fakta sejarah.

Ilmu dan kebijaksanaan sang pelukis dan pengetahuan tukang-tukang tipu yang berpengalaman itu telah digemblengkan untuk melahirkan apa yang dikenali sebagai Diari Hitler (Hitler’s Diary).

Berita kewujudan Diari Hitler ini menjadi ‘scoop’ dalam sebuah majalah yang berwibawa di Jerman Barat. Berita ini dipungut pula oleh The Sunday Times London yang terus berurusan untuk membeli hak menerbitkan Diari Hitler ini sepenuhnya. Akhbar mingguan ini pula telah mengupah seorang profesor sejarah dari Universiti Cambridge untuk meneliti buku harian Hitler ini.

Mahathir dan kedunguan

Profesor tua dari Cambridge ini menjadi begitu excited hingga berani mengeluarkan pendapat secara terbuka bahawa ‘sejarah Eropah moden wajib ditulis semula setelah beliau melihat dan meneliti buku harian Hitler ini.’

Ha, ha, ha! Tidak sampai sebulan kemudian semuanya bocor. Buku harian Hitler ini tidak wujud. Diari yang diberitakan wujud bukan tulisan Hitler tetapi ditulis oleh seorang pelukis yang terlatih dengan teknik meniru tulisan seseorang. Eropah Barat yang pada awalnya gempar kini ketawa terbahak-bahak. Episod Diari Hitler ini akhirnya dijadikan sebuah filem komedi di Jerman - yang mendapat sambutan hangat.

Kita juga mempunyai lawak-lawak hitam yang seakan-akan sama isi dan naratifnya.

Dua minggu dahulu, majalah Asiaweek yang diterbitkan di Hong Kong telah menggunakan gambar Perdana Menteri Malaysia sebagai hiasan kulit. Gambar ini digunakan kerana dalam majalah ini terdapat berita dan temubual antara Dr Mahathir Mohamad dengan tiga wartawan kanan mingguan itu.

Apabila majalah itu mula-mula sampai di pasaran, dengan tidak semena-mena Dr Mahathir menjadi gundah-gulana; bukan kerana isi temubual beliau diputar-belitkan. Tidak. Isinya tidak dinafikan, malah tidak dipertikaikan kesahihannya. Apa yang menjadikan Perdana Menteri ini murka ialah gambar beliau yang digunakan oleh Asiaweek telah memperlihatkan beliau seolah-olah ‘seorang yang dungu’ atau an idiot.

Lawak hitam Dr Mahathir ini diperkuatkan pula oleh kenyataan dungu beliau sendiri. Beliau mengakui bagaimana dirinya telah ‘ditipu’ oleh tiga orang wartawan Asiaweek yang menemubual beliau. Wartawan-wartawan ini, menurut kenyataan Dr Mahathir lagi, telah datang dengan senyuman dan lagak yang penuh sopan-santun.

Senyuman wartawan ini telah melemahkan jiwa raga Dr Mahathir. Sebanyak 200 keping gambar telah diambil - seolah-olah Perdana Menteri kita ini sedang beraksi dengan gaya ‘cat walk’ sebagai model majalah URTV! Sayangnya, gambar yang digunakan Asiaweek tidak memperlihatkan ‘kejantanan’ pemimpin agung itu tetapi memperlihatkan kedunguannya pula.

Ha, ha, ha! Seorang Perdana Menteri ditipu oleh senyuman dan sopan-santun tiga orang wartawan. Fikirkanlah betapa dungunya seorang Perdana Menteri yang boleh ditipu dengan begitu senang sekali? Bagaimanakah agaknya senyuman kroni-kroni beliau yang saban hari menuntut itu dan mendesak ini? Tidakkah mereka juga bersopan-santun apabila berhadapan dengan Dr Mahathir?

Profesor tua dan BBM

Lawak hitam ini bersambung pula dengan episod seorang yang memanggil dirinya profesor; yang mengaku secara terbuka bahawa dirinya telah ditipu oleh Barisan Bertindak Melayu (BBM). Babak ini adalah contoh klasik ciri-ciri lawak hitam. Dari satu segi, para penonton dan pembaca akan bersimpati dengan seorang profesor tua. Mungkin kerana ketuaannya. Tetapi, dari satu segi yang lain pula kita akan ketawa terbahak-bahak kerana apakah mungkin seorang profesor ditipu?

Plot seorang profesor ditipu ini bertambah tebal apabila akhbar melaporkan bahawa dua orang ahli politik bertaraf menteri telah turut mengaku tertipu bersama profesor tua ini. Semua mereka berjaya ditipu agar hadir dan berucap dengan penuh semangat di perhimpuann ‘Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia.’

Yang menjadikan lawak ini bertambah hitam ialah apabila akhbar arus perdana melaporkan bahawa ‘tukang tipunya’ tidak lain dan tidak bukan ialah Datuk Ibrahim Ali!

Ha, ha, ha! Rupa-rupanya masih ada lagi orang yang boleh ditipu oleh Ibrahim. Apabila tersebut saja nama Ibrahim Ali, maka lawak-lawak hitam hampir tergelincir ke taraf lawak bodoh sahaja. Keadaan ini hanya diselamatkan kerana gejala ditipu dan tertipu ini telah menjadi sebahagian naratif budaya politik Malaysia masa kini.

Ratusan tahun mulai hari ini, anak cucu-cicit kita akan melihat tema dan plot lawak-lawak hitam ini seperti kita sekarang mendengar cerita ‘Lebai Malang’ atau ‘Pak Pandir.’

Cucu-cicit kita akan bertanya, apakah betul pada satu ketika dahulu terdapat seorang Perdana Menteri Malaysia yang berwatak dungu berjaya ditipu oleh tiga orang wartawan majalah asing yang dikritiknya sendiri?

Jawapan ini mungkin tidak terlalu sukar untuk dibuktikan.

Begitu juga watak dua orang politik yang bertaraf menteri itu, tipu-menipu adalah sebahagian lumrah kehidupan harian berpolitik.

Cuma pelik sedikit kepada anak cucu cicit kita nanti ialah bagaimana seorang profesor tua boleh ditipu oleh 'berudu' politik. Inilah yang bakal menjadi ‘punch line’ lawak hitam kita ini.

Profesor yang ditipu oleh berudu politik itu sebenarnya telah mendapat ijazah daripada Universiti Buffalo. Ha, ha, ha!

.................................................................
Petikan Mlaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 15 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com