Oleh Salmah Mat Husien
KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengharapkan Umno menerima tiga syarat yang dikemukakan oleh PAS sebelum tarikh pertemuan baru ditentukan.
Katanya, memandangkan syarat yang dikemuakan PAS tidak merugikan negara, bahkan menguntungkan semua pihak, adalah tidak wajar bagi Umno menolak syarat tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, di sini, semalam.
Sambil menegaskan PAS akan berpegang pada tiga syarat itu, beliau berkata, Umno seharusnya tidak berasa berat dengan syarat berkenaan kerana apa yang ditanggung PAS selama ini lebih buruk lagi.
"PAS telah menghadapi pelbagai keperitan akibat penentangan Umno sejak berpuluh tahun lalu seperti ISA yang dikenakan terhadap orang PAS sewenang-wenangnya, peristiwa mageran, tak kan lah hanya tiga syarat tu pun dah rasa berat," ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, seterusnya berkata masalah akhbar rasmi PAS, Harakah dituntut untuk kepentingan masyarakat umum yang perlukan ilmu bersesuaian di zaman yang makin mencabar ini.
"Begitu juga royalti minyak, kita hanya nak tuntut hak kerajaan negeri yang selama ini diuruskan sendiri olehnya (kerajaan negeri), takkanlah bila kerajaan baru ni, nak tarik balik, nampak sangat 'politiking' tu," ujarnya.
Tambahnya, begitu juga masalah Islam dalam parti politik atau pertubuhan diharap tidak disekat.
Menurutnya, matlamat PAS adalah untuk menjadikan masyarakatnya beriman dan bertaqwa, agar semua urusan hidup sama ada politik, budaya dan sosial berteraskan Islam.