KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - PAS memfailkan writ saman terhadap Sistem Televisyen Malaysia Sdn Bhd (TV3) sebanyak RM100 juta berhubung laporan tidak benar menerusi siaran Buletin Utama pada 6 Februari lalu.
Plaintif menamakan Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Isa manakala pihak defenden adalah penerbit siaran Buletin Utama dan TV3.
Menurut Nasharuddin, PAS mengambil keputusan menyaman TV3 disebabkan apa yang didakwanya pembohongan mereka menyatakan bahawa PAS menghantar surat (penangguhan isu perpaduan nasional) dengan meletakkan di bawah pintu pejabat Setiausaha Agung Umno.
Katanya, surat itu diserahkan kepada pegawai yang bernama 'Suzi' dan dicop sebagai penerimaan rasmi daripada Umno.
"Pas mempunyai bukti yang jelas berhubung penyerahan surat tersebut," katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili PAS, Muhamad Hanifa Maiden berkata, notis saman akan diserah kepada pihak defenden pada minggu ini juga.
Selain itu jelas Hanipa, PAS meminta TV3 memohon maaf mengenai kes pembohongan mereka menerusi siaran Buletin Utama.
Writ saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi, di Wisma Denmark, Jalan Ampang, pagi tadi.