KOTA BHARU, 26 Feb (Hrkh) - Pemimpin Umno digesa supaya tidak cepat melatah dengan permintaan yang dikemuka PAS sebagai syarat bagi pertemuan berhubung soal perpaduan nasional.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, sepatutnya pemimpin Umno menimbang secara rasional syarat yang dibangkit parti itu, bukannya melatah mengikut rentak mainan media.
Ini kerana katanya, semua syarat sebagaimana yang disebut Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor menyentuh kepentingan orang-orang Melayu.
Sehubungan itu katanya, jika Umno bersungguh-sungguh terhadap perpaduan Melayu inilah masanya mereka menerima semua syarat PAS.
"Tak ada satu pun permintaan PAS yang tidak menyentuh kepentingan orang Melayu, kita tak minta apa-apa kecuali semuanya melibatkan kepentingan bangsa Melayu.
"Contohnya royalti minyak Terengganu, bukankah sebahagian besar rakyat Terengganu orang Melayu, begitu juga mengenai isu Harakah, kita sedia maklum semua ahli PAS beragama Islam yang majoritinya orang Melayu.
"Jadi apa susah sangatnya syarat yang kita kemuka itu, lagi pula kita tak minta pun benda-benda baru, kita hanya minta dia kembalikan semula benda itu di tempat asal," katanya ketika berceramah di Padang Majlis Daerah Kota Bharu, di sini, malam kelmarin.
Turut hadir, Ketua Penerangan PAS negeri, Haji Zulkifli Mamat, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadok, Shukri Abdul Rahman, Adun Gual Periok, Ustaz Abdullah Ab Razak, Adun Limbongan, Drs Zainudin Awang Hamat, Adun Selising, Saipul Bahrin Mohamed dan bekas Anggota Parlimen Bachok, Ustaz Buniyamin Yaakob.
Pada 18 Februari lepas, iaitu sehari sebelum pertemuan yang dicadang antara Presiden PAS dan Presiden Umno, Dato' Fadzil mengumumkan keputusan parti itu untuk menangguh pertemuan itu sambil mengemuka beberapa syarat.
Antara syarat itu ialah, mengembalikan semula soyalti minyak Terengganu, membenarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu dan meminta kerajaan menolak cadangan Umno supaya melarang penggunaan perkataan Islam pada PAS.
Sementara itu, Haji Zulkifli yang juga Adun Pulai Chondong menyeru penyokong PAS supaya memperbanyakkan solat hajat dalam menangani isu-isu yang berlaku sehari dua ini.
Selain itu katanya, ahli PAS turut diingatkan supaya terus mempergiatkan gerak kerja ke arah memantap parti.